CATATAN RASHID MAIDIN PADA PENGANTAR MEMOIR SURIANI ABDULLAH


Setengah Abad Dalam Perjuangan - sebuah memoir tulisan Suriani Abdullah yang mencatatkan perjuangan dan kehidupan beliau yang mengkagumkan, bagaikan helang merempuh badai gelora menuju ke puncak cita-cita pantai bahagia.

Sejarah berputar mengikut edarannya, kesedaran dan kemajuan manusia juga berkembang mengikut zamannya. Beliau dilahirkan dalam zaman kesedaran nasional rakyat tanah jajahan dan  setengah jajahan di dunia, Asia khasnya sedang menggelora. Kebangkitan ini telah menempa beliau dari seorang gadis "bagaikan mutiara di tapak tangan" berubah menjadi seorang pejuang wanita yang unggul dan bercita-cita tinggi untuk keadilan masyarakat, kemerdekaan negara dan bangsanya.

Saya bertemu dengan beliau pada tahun 1945, apabila saya menyertai Pasukan Propaganda Perak di bawah pimpinan beliau. Sejak itu kami bahu membahu dalam perjuangan. Selepas itu, kami sama-sama bergerak sebagai wakil PKM terbuka dan kemudiannya sama-sama berjuang di Rejimen  Ke-10.

Suriani pernah melalui 6 masa sejarah atau 6  peringkat perjuangan yang penting iaitu masa perjuangan sebelum pencerobohan fasis Jepun; perjuangan anti-Jepun (1941 - 1945); perjuangan secara berperlembagaan selepas kekalahan Jepun (1945 - 1948), Perang Pembebasan Nasional Anti-British setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat (1948-1957); Perang Revolusioner Dalam Negeri apabila Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menolak untuk  memberhentikan perang secara adil dan munasabah (1957-1989) dan perjuangan untuk membangun kehidupan bekas perajurit Rejimen Ke-10 setelah termaterinya Persetujuan Damai Haadyai pada tahun 1989.

Sepanjang masa sejarah yang cemerlang tersebut, beliau telah mengharungi berbagai-bagai prahara atau berbagai ujian perjuangan yang dahsyat. Sebelum pendudukan Jepun, beliau pernah diserbu dan dikepung polis British di sebuah bilik, tetapi dengan sikap yang tenang dan akal teknik yang cerdik, beliau berjaya melepaskan diri. Dalam masa pendudukan Jepun, beliau pernah terserempak dengan pegawai dan tentera Jepun ketika beliau  berbincang dengan anak tuan punya lombong di Tanjung Tualang, tetapi beliau dengan tabah dan berani bersembunyi di sebalik dinding sebelah; ketika menjadi Setiausaha Kawasan Tanjung Tualang, beliau pernah dikepung oleh askar fasis Jepun. Kerana pistolnya tak meletu, beliau ditangkap dan dipenjarakan. Di dalam penjara beliau telah memperlihatkan semangat yang gagah berani, sedikit pun tak tunduk kepada kekejaman fasis Jepun. Dalam Perang Pembebasan Nasional Anti-British dan Perang Revolusioner Dalam Negeri, beliau banyak kali melakukan pertempuran gagah berani dan banyak kali menerima ujian berat seperti kempen kepung basmi tentera penjajah British di Cameron Highlands, serangan udara terbesar dalam sejarah peperangan Malaya di Ulu Kinta yang diarahkan sendiri oleh Jeneral Bonn, kempen-kempen kepung basmi di kawasan sempadan dan lain-lain. Demi perjuangan, beliau telah menjelajahi  seluruh bumi tanah air, dari Singapura di hujung selatan hinggalah ke kawasan sempadan di hujung utara Semenanjung dengan mengharungi ribuan   sungai, ribuan bukit bukau dan gunung ganang serta ribuan lereng bukit dan lembah.

Di sepanjang jalan perjuangan, Suriani telah  memperlihatkan semangat dan tekad juang yang teguh tak berganjak, berkhidmat sepenuh hati  kepada usaha perjuangan. Pada awal pendudukan Jepun, beliau dilantik sebagai Setiausaha Komiti Parti Bandaran Ipoh, pernah menjadi Wakil Parti Kompeni Teladan Rejimen Ke-5 TAJRM; kemudian menjadi anggota Area Komiti kawasan Chemor, Sungai Siput dan Setiausaha Area Komiti Kawasan Tanjung Tualang, kampung-kampung Melayu sekitar Lambor, Batu  Gajah dan lain-lain. Pada masa aman selepas Jepun kalah, beliau dilantik sebagai Wakil PKM Negeri Perak dan menyertai kerajaan BMA. Selepas itu, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti Kuala Lumpur dan kemudian ditukarkan ke Singapura. Setelah undang-undang darurat diisytiharkan, beliau mulanya dilantik sebagai Jawatankuasa Negeri Johor, kemudian dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-6. Setelah sampai di kawasan sempadan, beliau dilantik  sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10. Pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai Naib Setiausaha Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-10, tahun 1965 dilantik sebagai anggota Dewan Rendah Pertama Utara Malaya dan pada tahun 1975 dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PKM.

Kerana penampilan dan semangatnya yang menonjol dalam Perang Anti-Jepun, beliau bersama 2 lagi pejuang wanita Malaya telah diiktiraf sebagai SRIKANDI ANTI-JEPUN dalam satu sidang antarabangsa di Beijing, Tiongkok.

Selepas kekalahan fasis Jepun iaitu dalam masa  perjuangan secara aman, beliau muncul sebagai wakil parti atau Ketua Setiausaha Pejabat Parti,  beliau bersama-sama kader terbuka yang lain dengan tekun dan tabah memperluaskan pengaruh parti dan mempertinggikan prestij parti serta mendorong maju perjuangan. Dengan adanya kelebihan berpidato dalam berbagai-bagai bahasa serta mempunyai langgam dan gaya yang baik, beliau mendapat jolokan "Bintang PKM" dari massa rakyat khasnya dari golongan nasionalis kiri bangsa Melayu.

Sejarah perjuangan beliau berkait erat dengan sejarah perjuangan Rejimen Ke-10. Apabila  ditugaskan membantu Rejimen Ke-10 dalam perjalanan jauh ke kawasan sempadan pada tahun 1953, beliau telah dengan tulus ikhlas membantu Abdullah C.D. dan Markas Besar Rejimen Ke-10 menyelesaikan bermacam-macam tugas di sepanjang jalan. Setelah dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10, beliau dengan rendah hati berusaha mempelajari kebudayaan dan adat istiadat Melayu dan akhirnya telah mengintegrasikan diri dengan kawan-kawan Melayu yang pada umumnya berasal dari kelas tani miskin. Di sini pula, bersama-sama pimpinan lain, beliau menumpahkan seluruh tenaga dan usahanya untuk membangun dan mendewasakan pasukan, memperluas dan memperkukuh kawasan basis, serta memimpin seluruh kader dan perajurit  mempertahankan perjuangan bersenjata sampai  termaterinya persetujuan damai Haadyai.

Ujian paling berat dihadapinya ialah ketika Abdullah C.D. jatuh sakit terkena racun pada tahun 1975. Ketika itu semua urusan memimpin tentera, parti dan berbagai bahagian terletak di atas bahu beliau. Dalam kenyataannya beliau telah lulus dalam ujian dan menyelesaikan tugas dengan jaya.

Termaterinya persetujuan damai Haadyai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM dan antara Kerajaan Diraja Thailand dengan PKM merupakan titik balik penting dalam sejarah perjuangannya. Tugas beliau memimpin pasukan telah selesai, tapi diganti tugas baru membangun kampung dan kehidupan baru untuk bekas perajurit. Sesudah pembangunan kampung dan kehidupan bekas perajurit agak sempurna, beliau telah beberapa kali berkunjung ke luar negeri untuk menambah pengetahuan, dan  pernah 2 kali balik ke Malaysia, menemui keluarga, sahabat handai dan menghadap ke bawah DYMM Sultan Perak. Yang penting lagi ialah beliau dan Abdullah C.D. telah berpeluang menunaikan ibadat Haji di tanah suci Mekah.

Kini usia beliau telah menjangkau 80 tahun, tapi beliau masih aktif menabur bakti kepada penduduk umum dan untuk masa depan  generasi baru, zuriat bekas perajurit agar menuju masa depan yang indah.



(Rashid Maidin)
Yala,
Selatan Thailand

Ogos 2005

Categories

Pengikut