Khamis, 29 November 2012

SAJAK: DUA DEKAD BERLALU BAGAI RIBUT

0 ulasan




Kawan Susila sedang mendekmasikan sajak
di depan majlis makan malam Perhimpunan 
Agung Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia
 

 

DUA DEKAD BERLALU BAGAI RIBUT


Dua puluh tahun
berlalu bagai ribut
menempuh liku-liku kehidupan
melangkaui jurang terjal
mengharungi lembah kehidupan nan dalam.

Tapi
kerana di dada ini
tersimpan satu tekad
alah bisa tegal biasa
satu demi satu
tunduk di bawah
ketekunan, kesabaran
dan kegigihan yang tak mengenal
erti jemu dan menyerah.

Hari ini
hati hati kita berbunga riang
tersenyum bangga
kerana jejak-jejak silam kita
sedang dinilai oleh anak-anak muda
untuk diabadikan sebagai sejarah bangsa
dan diwarisi
     meneruskan cita-cita pusaka
     untuk sebuah bangsa yang merdeka.


Susila
24 Nov 2012
SM Yuk Choy, Ipoh

Selasa, 27 November 2012

PERSATUAN PERSAHABATAN ADAKAN PERHMPUNAN TAHUNAN DI IPOH

0 ulasan

Mesyuarat tahunan PPAKM pada 24.11.2012

Ipoh, 24 November - Persatuan Persahabatan Abad Ke- 21 Malaysia (PPAKM) telah melangsungkan perhimpunan tahunannya dari 24 hingga 25 Disember 2012 di Sekolah Menengah Yuk Choy. Perhimpunan ini juga diadakan sempena sambutan 10 tahun pertubuhan tersebut. 
Lebih 1000 orang terdiri dari anggota PPAKM, rakan-rakan seperjuangan, kawan karib, tokoh awam serta pertubuhan persaudaraan menghadirinya. Wakil dari kampung-kampung perdamaian di Selatan Thai iaitu Kampung Perdamaian Banlang, Kampung Perdamaian Betong, Kampung Perdamaian Sukhirin dan seramai 105 orang Orang Asli telah menghadiri perhimpunan itu.
wakil-wakil disambut hangat oleh kawan2 PPKAM
 Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan, Kawan Chai Kan Fook dalam ucapannya menyebut: “Pengembalian kami ke tanahair telah genap 20 tahun, dan penubuhan persatuan kami telah genap 10 tahun. Berkat adanya prihatin dan bantuan dari sanak saudara, sahabat handai dan kawan-kawan karib, maka kami telah mengharungi masa yang sukar dan telah menetap aman dalam pelbagai aspek, kini telah dapat membuat kerja-kerja yang bermakna setakat yang mampu kepada orang ramai dan masyarakat. Sekiranya tiada bantuan yang tersebut itu sudah pasti tidak ada hari ini bagi kami.” 
Yang Dipertua PPAKM, Kawan Lee Huck Tee dalam ucapannya menyebut: “Malam ini kami di sini meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia (PPAKM), saya berasa berhutang budi kepada para rakan seperjuangan, kawan karib, tokoh awam terkenal, serta pertubuhan persaudaraan yang melapangkan masa datang menghadiri majlis ini; maka atas nama persatuan ini saya menyatakan alu-aluan mesra dan ribuan terima kasih kepada kalian.” 
Perhimpunan telah meluluskan 4 usulan yang antara lain menuntut Kerajaan Malaysia melaksanakan sepenuhnya semangat persetujuan damai; membenarkan Chin Peng sebagai Ketua Perwakilan Rombongan PKM balik ke tanah airnya, menuntut Kerajaan Malaysia membatalkan semua sekatan dan gangguan ke atas bekas anggota Tentera Rakyat Malaya yang kembali ke Malaysia terutamanya dalam masalah permohonan kad pengenalan dan kebebasan bergerak. 
Di samping itu juga diadakan kempen mengutip tanda tangan menuntut kerajaan Inggeris bertanggungjawab kekejaman tenteranya ke atas rakyat Batang Kali dan menyatakan simpati kepada mangsa. 
ketika elektrik terputus

Perhimpunan yang dihadiri oleh berbagai etnis itu telah berlangsung dalam suasana damai dan harmonis. Akan tetapi menjelang jamuan makan malam majlis terganggu kerana elektrik terputus secara tiba-tiba tanpa sebab selama sejam. Walau bagaimanapun majlis dapat diteruskan dengan lancar setelah elektrik bersambung semula. 



persembahan lagu2 revolusioner
mendeklamasikan sajak
poskad kempen tandangan



Rabu, 14 November 2012

ALFATIHAH UNTUK KAWAN TAHAN

5 ulasan




Pada 13 November, kira-kira pukul 10 waktu tempatan, warga Kampung Perdamaian Sukhirin sekali lagi berkabung atas pemergian seorang rakan seperjuangan. Beliau adalah Kawan Tahan atau nama sebenarnya Ibrahim Cikyat.

Ini adalah berita duka kedua dalam masa 2 minggu selepas pemergian Allahyarham Busu pada 3 November yang lalu.

Allahyarham Kawan Tahan mendapat sakit kanser dalam usus yang merebak cepat ke paru-paru. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 2 orang anak, serta seorang cucu.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1961 di Kampung Seberang, Daerah Weang, Wilayah Narathiwat. Pada tahun 1975, beliau dan adiknya Kawan Lasak menyertai pasukan Rejimen Ke-10, berkhidmat di pasukan Markas Besar.

Di dalam pasukan Allahyarham aktif belajar dan berlatih sehingga menjadi seorang perajurit yang baik, dapat membaca dan menulis dengan lancar. Di samping itu, beliau aktif dalam berbagai pekerjaan seperti membuat stor stragegi, memunggah barang2 dan lain-lain.

Pada pertengahan tahun 1980-an, apabila terbentuknya Studio TV Rejimen Ke-10, beliau dipilih berkhidmat di studio tersebut sehingga terwujudnya perdamaian pada tahun 1989.

Setelah perdamaian, Allahyarham telah berkahwin dengan seorang pemudi berasal dari kawasan selatan Thai dan mendapat 2 orang cahaya mata.
 
Pilihan gambar sekitar pengebumian Allahyarham Kawan Tahan pada 13 November 2012 di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin.
 




 

Ahad, 11 November 2012

Rabu, 7 November 2012

ALFATIHAH UNTUK KAWAN BUSU

3 ulasan
Busu @ Hak Kadir
Kawan Busu telah meninggalkan kita menghadap Sang Pencipta pada 3 November 2012. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan seorang putera yang juga anggota Rejimen Ke-10. Segenap kawan di Kampung Perdamaian Sukhirin tergenang dalam rasa sedih kehilangan seorang rakan seperjuangan. Segenap kawan memanjatkan doa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Nama asal beliau ialah Hak Kadir, dilahirkan pada tahun 1938 di Kampung Cabang Dua, Tambun Sako (Sega), Daerah Sungai Padi, Wilayah Narathiwat Selatan Thailand. Sebagai petani miskin, beliau kenyang menderita berlapis-lapis penindasan dan penganiayaan yang dihasilkan oleh masyarakat feudal kapitalis.

Tahun-tahun 1950-60-an, masyarakat di kawasan sempadan masih sangat mundur, kehidupan petani amat menderita. Di kampung-kampung wujud genster2 dari golongan orang berkuasa bermaharajalela ke atas rakyat.

Dalam kekacauan masyarakat inilah mucul tentera rakyat Rejimen Ke-10 menyusun kaum tani di kawasan sempadan. Mereka telah memberikan sepenuh sokongan kepada Rejimen Ke-10 sebagai tentera anak mereka sendiri. Seorang antara mereka ialah Allahyarham Hak Kadir @ Busu.

Kesedaran baru kaum tani kawasan sempadan sangat tidak disenangi kaum reaksioner tempatan. Gengster-gengster dari golongan berkuasa tempatan yang didalangi Badan Intelijen Bersama Thai-Malaysia melakukan penindasan kontra revolusioner ke atas kaum tani yang menyokong Rejimen Ke-10. Dalam keadaan inilah, pada tahun 1968 Allahyarham Hak Kadir dan ramai lagi yang seangkatan dengannya secara sukarela menyertai pasukan Rejimen Ke-10 demi membela nasib rakyat kawasan sempadan.

Dalam revolusi yang kusut masai, Kawan Busu telah memperlihatkan semangat perjuangan yang tinggi, bersedia menyumbangkan jiwa raganya demi pembebasan kaum tani dan rakyat tertindas lainnya.

Sebagai seorang anggota Rejimen Ke-10 yang baik, beliau memikul tugas-tugas yang diberikan dengan penuh kesedaran. Ada masa beliau ditugaskan sebagai penyusun massa, ada masa pula bertugas di unit produksi menghasilkan makanan untuk pasukan.

Keistimewaan beliau ialah ramah tamah dan kasih mesra dengan kawan-kawan, bersedia menerima kritik dan bersedia membetulkan kesalahan. Beliau pandai bertukang besi, terutamanya membuat parang.

Selain berjuang keras, beliau juga tekun belajar, dari buta huruf sampai pandai membaca dan menulis. Beliau menjadi mahasiswa yang berjaya di Sekolah Parti Rejimen Ke-10 dan Sekolah Marxis Malaya.

Apabila Rejimen Ke-10 menyusun semula pasukan membentuk 3 kompeni Rejimen Ke-10 pada tahun 70-an, beliau ditugaskan berkhidmat di Kompeni Ke-22 sehingga tercapainya persetujuan damai antara kerajaan Malaysia, Thailand dan PKM pada tahun 1989.

Setelah perang ditamatkan beliau bersama-sama anggota Rejimen Ke-10 yang lain berusaha keras membangun kampung Perdamaian Sukhirin, mengusahakan tanah kebun untuk memenuhi keperluan ekonomi keluarga.


GAMBAR-GAMBAR PENGEBUMIAN ALLAHYARHAM BUSU






REJIMEN KE-10 TRM