Sabtu, 27 Oktober 2012

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA KORBAN DARI PERSATUAN PERSAHABATAN ABAD 21 MALAYSIA

0 ulasan





UCAPAN SELAMAT AIDILADHA
DARIPADA PERSATUAN PERSAHABATAN ABAD KE-21 MALAYSIA
Tarikh: 22 Oktober, 2012
Kawan Abdullah C. D dan Suriani Abdullah yg dihormati
beserta segenap kawan seperjuangan di
Kampung Perdamaian Shukirin dan
Kampung Perdamaian Yaha/Kabang

Bersempena dengan sambutan Aidiladha Mubarak, maka saya bersama segenap ahli Persatuan ini dengan segala hormatnya menyampaikan ucapan selamat Hari Raya Haji kepada semua kawan seperjuangan yang jauh di sana, semoga kalian menyambut ketibaan Aidiladha dengan penuh kesyukuran, mudah-mudahan kalian berada dalam selamat sejahtera dan dilimpahi suasana mulia serta menghabiskan hari lebaran dengan riang gembira. 

Dan dengan kesempatan ini kami menyampaikan tahniah atas pencapaian kalian, kali ini Kampung Perdamaian Sukhirin berjaya dalam pertandingan communal forest terbaik kategori Selatan Thai, setakat ini Kampung kalian telah memenangi 3 hadiah yang berkaitan dengan communal forest.  kampung kalian juga selalu dikunjungi banyak tetamu pelbagai kalangan, ini membuktikan kejayaan usaha kalian mendapat penghargaan masyarakat di sana. 

Akhirnya biarlah kita berusaha terus memperkuatkan semangat kesetiakawanan kita dan lebih giat lagi meraih kejayaan dan kemenangan.

Sekian dan selamat Hari Raya Haji.

Daripada

Lee Huck Tee

Ketua Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia

Khamis, 25 Oktober 2012

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA DARI KAWAN ABDULLAH C.D. DAN KAWAN-KAWAN DI SUKHIRIN

0 ulasan

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Menunaikan Ibadah Haji dan Selamat Menunaikan Ibadah Korban

Kami bagi pihak Kawan Abdullah C.D. dan seluruh kawan di Kampung Perdamaian Sukhirin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada seluruh kawan Islam di Kampung Perdamaian Kabang, Yaha, Kepada kawan-kawan Islam di Kampung  Perdamaian Banlang, kepada kawan-kawan Islam di Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia dan kepada kawan-kawan Islam di mana jua mereka berada, kepada kaum    kerabat dan keluarga para pahlawan   revolusioner yang telah gugur dan kepada massa revolusioner yang telah membantu Revolusi ‘48 sehingga ke titik penamatan secara terhormat.

            Juga tak lupa kami mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada seluruh umat Islam di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan di mana jua mereka berada.

            Bersempena hari yang mulia ini, kami mengajak seluruh kawan dan kaum patriot demokrat supaya lebih memperkuat tali silatulrahim sesama kita, lebih memperkukuh perpaduan berbagai kaum dalam masyarakat kita, bersatu padu dan bekerjasama dengan berbagai golongan progresif demi membangun hari depan yang cemerlang.

Akhirnya marilah kita berdoa dan berusaha semoga terus menerus mencapai kejayaan demi kejayaan di depan.

Daripada
Abdullah C.D.
Dan kawan-kawan  Kampung Perdamaian Sukhirin
M. 13, Ban Chulabhorn Patana 12
District Sukhirin,
Tamboon Sukhirin,
Wilayah Narathiwat
Selatan Thailand

10 Zulhijjah 1433 Hijarah


Ahad, 21 Oktober 2012

KAMPUNG SUKHIRIN MERIAH SAMBUT SISWA PSU, ACARA SENI JADI JABATAN SILATULRAHIM

0 ulasan


Kampung perdamaian Sukhirin yang sentiasa damai - gamat malam tadi dengan kehadiran ratusan penduduk kampung bagi meraikan malam kesenian sempena kehadiran kira-kira 60 mahasiswa dari Prince of Songkhla University (PSU).
 
 
Acara malam kesenian ini merupakan sebahagian dari progtam latihan kepimpinan bagi pelajar tahun satu hingga tiga mahasiswa PSU yang terdiri dari pelajar jurusan Pengajian Islam, jurusan Politik, jurusan Sains Masyarakat dan lain-lain.

Persembahan dimulakan oleh anak-anak penduduk tempatan, iaitu acara tarian 'kipas' dan 'payung', sebuah tarian yang menjadi tradisi bagi meraikan tetamu yang datang dari jauh.

Dengan pakaian tradisional Melayu, tarian empat gadis kampung perdamaian Sukhirin turut diiringi oleh muzik latar dengan lagu berirama 'joget' dan 'inang'. Persembahan kira-kira 15 minit mendapat tepukan gemuruh hadirin dan pendudukan tempatan. 


Program kemudian disambung lagi dengan ucapan alu-aluan, ketua kampung Perdamaian Sukhirin, Drome Bin Za yang meraikan kehadian mahasiswa PSU kerana memilih untuk menjadikan kampung ini sebagai lokasi latihan kepimpinan bagi kesatuan mahasiswa PSU. 
 
 

Selain menerangkan asal usul kampung ini. Drome menjelaskan,kedudukan kampung Sukhirin yang berada dikawasan pedalaman, bukan penghalang bagi penduduk di empat wilayah selatan Thaiiand untuk menjalinkan hubungan silaturrahim. 



Kampung Perdamaian Sukhirin, atau nama rasminya, Ban Chulabhorn Patana 12 adalah pemenang anugerah penjagaan hutan kampung (communal forest) kategori wilayah selatan Thailand.

Malah kampung ini juga dicalonkan untuk menerima anugerah 'Kampung IT', iaitu hadiah bagi kerajinan merakam sejarah dan aktiviti kedalam internet. Kampung Perdamaian Sukhirin merupakan perintis bagi empat wilayah selatan Thailand.

Justeru, perkongsian pengalaman, kemahiran dan idea bersama mahasiswa PSU melalui pertemuan dan latihan kepimpinan di kampung ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu kesatuan mahasiswa di PSU dan penduduk kampung Sukhirin. 


Acara kesenian disambung semula dengan persembahan sketsa 'Rejimen ke-10', sebuah kombinasi tarian, lagu dan teater. Kali ini anak-anak lelaki penduduk kampung Sukhirin pula menyampaikan pertunjukan.

Dengan pakaian istiadat Rejimen ke-10, tiga jejaka 'berkawad' diatas pentas, memberi tabik 'hormat' kepada tetamu dan menyanyikan lagu 'Barisan Gerila Malaya' diirimgi muzik rentak 'march' yang bersemangat. 

Paling ditunggu-tunggu, giliran dari tetamu sendiri untuk menyampaikan persembahan dikir barat, iaitu sebuah kesenian yang sinonim dengan penduduk Pattani dan selatan Thailand.

Kali ini, anak-anak kecil dari Kampung Sukhirin turut bersama mahasiswa PSU menyanyikan tiga buah
lagu. Menggelarkan kumpulan tersebut sebagai 'Lanas'. gelagat 'tukang karut' mencuit hati dengan lirik-lirik lucu yang spontan. 


Acaca malam kesenian tamat kira-kira jam 10.30 malam, selepas tayangan dokumentari 40 minit mengenai sejarah kampung perdamaian Sukhirin. Mahasiswa PSU turut mengambil peluang bergambar bersama penduduk kampung untuk disimpan didalam memori sejarah. 
 


Ketika ditemui, rata-rata peserta program dan penduduk kampung gembira dengan acara malam kesenian tersebut.

Lukman, mahasiswa tahun tiga jurusan Pengajian Korea ketika ditemui berkata bahawa beliau gembira dapat bersama penduduk tempatan dalam aktiviti seperti dan merancang untuk mengadakan latihan kepimpinan, motivasi dan lawatan sejarah lebih kerap ke kampung ini.

Lukman, yang menjadi 'tukang karut' kumpulan dikir barat 'Lanas' pada malam kesenian itu menjelaskan, acara kesenian dam kebudayaan merupakan kaedah terbaik mengenali kelompok orang Melayu di seluruh Nusantara, kerana masing-masing ada identitinya yang tersendiri. 
 


Seorang lagi mahasiswa, Sakariya, pelajar tahun akhir jurusan Pengajian Melayu berkata, lawatan ke kampung Sukhirin membuka jalan bagi kajian sosial Melayu yang penting, berikutan kedudukan kampung, latar masyarakat dan peranannya dalam kebudayaan Melayu di selatan Thailand. 
 


Sakariya yang pernah melawat beberapa negara di Asia Tenggara, antaranya Malaysia, Indonesia dan Singapura berkata, perbezaan loghat bahasa, kebudayaan dan pengalaman sejarah orang Melayu di Nusantara sebenarnya adalah khazanah yang perlu dirakam dan dikongsi bersama penduduk di selatan Thailand. 
 


Sebagai pemula kepada program tiga hari ini, iaitu dari 20 hingga 25 Oktober 2012 ini, diharapkan mahasiswa PSU dan penduduk di kampung Sukhirin lebih mengenali sesama mereka dan menjadikan pertemuan begini sebagai jambatan persaudaraan dan perhubungan pada masa akan datang. 
 




Khamis, 18 Oktober 2012

BERKABUNG UNTUK KAWAN WAJIB

1 ulasan
Wajib @ Liu Po
Kawan Wajib (Liu Po) telah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 14 Oktober 2012 di Betong, Selatan Thailand dalam usia 76 tahun. Rakan seperjuangan dari Kampung Perdamaian Sukhirin menyatakan rasa sedih dan takziah yang mendalam kepada isteri, keluarga dan seluruh rakan seperjuangan Mendiang Kawan Wajib.

Kerana rahsia organisasi, kami tidak tahu banyak tentang Kawan Wajib. Setakat yang kami tahu beliau adalah anggota PKM bahagian Singapura dalam tahun 50-an. Beliau berundur ke Indonesia setelah Lee Kuan Yew memburu kaum komunis di Singapura.

Pada tahun 70-an beliau berkhidmat di Suara Revolusi Malaya (SRM) sebagai penyiar bahasa tempatan (Cina) yang beroperasi di Republik Rakyat China.

Pada tahun 1981, sebelum radio SRM memberhentikan siarannya, beliau balik ke kawasan basis sempadan untuk menyertai perjuangan bersenjata.

Pada tahun 1982, beliau dan isterinya Akal (Luo Lan) ditransfer ke Rejimen Ke-10. Sebahagian masa mereka berkhidmat di Kompeni Ke-21 dan Kompeni Ke-23, tertumpu dalam bahagian penterjemah kod kawat wayarles, kerja politik dan kesihatan. Isteri beliau Akal adalah seorang doktor professional.

Akal @ Luo Lan
Sepanjang masa di kedua-dua pasukan Rejimen Ke-10, mendiang telah menunjukkan semangat persaudaraan sekelas yang tebal mendalam dengan kawan-kawan Melayu, sama suka sama duka, banyak memberi pelajaran yang berguna kepada kawan-kawan Melayu, selalu mempelopori berbagai gerakan yang dianjurkan pihak organisasi.

Mendiang rendah hati, belajar dari kawan-kawan Melayu, ikhlas menerima kritik dan memperbaiki kekurangan dan kelemahan sendiri. Dengan demikian beliau telah mendapat penghormatan dari kawan-kawan Melayu di Kompeni Ke-21 dan Kompeni Ke-23.

Setelah perang ditamatkan melalui perjanjian perdamaian Hatyai pada tahun 1989, beliau dan isteri dipindahkan ke Kampung Perdamaian Betong.

Kawan Abdullah C.D. dan seluruh rakan seperjuangan di Kampung Perdamaian Sukhirin menyatakan dukacita yang mendalam atas pemergian mendiang Kawan Wajib, juga menyampaikan takziah dan salam hiburan kepada isteri mendiang Kawan Akal, kaum keluarga dan rakan seperjuangannya.




Isnin, 8 Oktober 2012

SIJIL PENAMATAN SEKOLAH LENIN

0 ulasan

SIJIL PENAMATAN SEKOLAH LENIN

Pada 1.12. 1964 sampai 15.3. 1965

Kawan............................................ Yang tercinta!

Kawan telah berkesempatan dapat mencampori Sekolah Lenin pada kali ini. Di-dalam Sekolah Lenin, Kawan telah mendapat banyak pelajaran2 dan telah mendapat kehasilan yang tertentu; telah dapat lebeh selangkah lagi meningkat-kan taraf politik dan fikiran, menambah ilmu ketenteraan, meningkat-kan kebolehan bekerja, kebolehan memegang dasar dan sebagai-nya.

Akan tetapi ilmu pengetahuan harus-lah menyumbang-kan kepada PRAKTIK, kepada usaha revolusi dan usaha pembebasan massa ra’ayat, dengan lain perkataan teori harus di-rangkai-kan dengan praktis.

Kawan yang tercinta! Sebagai sa-orang murid lepasan Sekolah Lenin yang jaya, Parti, revolusi, dan ra’ayat meletak-kan harapan yang besar kepada kawan, agar kawan dapat  memberi-kan sumbangan lebeh besar kepada Parti, revolusi dan usaha pembebasan massa ra’ayat.

Akhir-nya atas nama para guru Sekolah Lenin ini, kami menyampai-kan setinggi2 tahniah atas kejayaan kawan dalam Sekolah Lenin kali ini.

GURU BESAR
H.Hashim

Jumaat, 5 Oktober 2012

LAGU REVOLUSIONER: PERANG TANI

0 ulasan


Sangsuria terbit di ufuk timur
Embun segar suburkan semaian
Cengkam kejat bedil di tangan
Perang tani Naning, Mahadi, Sagor, Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman
Terus kobar dalam kancah perang

REJIMEN KE-10 TRM