Khamis, 30 Ogos 2012

SALAM MERDEKA

0 ulasan

"Pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman dengan megahnya mengisytiharkan kemerdekaan Malaya. Kemerdekaan ini telah diperjuangkan turun temurun sejak Portugis menduduki Melaka pada tahun 1511.

Kemerdekaan 1957 adalah suatu kemenangan besar rakyat negara kita. Ia disulami dengan titih peluh dan darah para pahlawan rakyat berbilang kaum, berbagai aliran Malaya yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air. PKM turut memberikan sebesar sumbangan dalam perjuangan tersebut." - Abdullah C.D.


Ahad, 19 Ogos 2012

AIDILFITRI BERLANGSUNG MERIAH DI KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

1 ulasan

Sambutan Aidilfitri di Kampung Perdamaian Sukhirin (Ban Chulabhorn Patana 12) berlangsung meriah dan penuh kesyukuran pagi ini 19 Julai 2012. Solat sunat Aidillfitri diadakan pada 8 pagi (waktu tempatan).

Sebagaimana hari raya yang lepas, rumah Abdullah C.D. dipenuhi bekas perjurit yang datang menyampaikan ucapan selamat hari raya serta ampun maaf. Tapi sayangnya, Ibu Suriani tidak dapat ikut sama meraikan kedatangan kawan-kawan kerana keuzuran.

Sebuah jamuan sederhana disediakan untuk seluruh penduduk. Di mimbar masjid sebelum solat sunat Aidilfitri dimulai, imam telah memberitahu bahawa jamuan ini disediakan oleh organisasai PKM untuk menambah kemeriahan Aidillfitri di kalangan bekas perajurit. Imam mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa Abdullah C.D. kerana masih mengambil perhatian kepada mereka walaupun sudah 23 tahun perdamaian berlalu.

Menjelang lebaran, sebuah kad hari raya atas nama Abdullah C.D. dan bekas perajurit Rejimen Ke-10 telah direkacipta dan dihantar kepada rakan seperjuangan dan rakan-rakan di berbagai fron perjuangan.

Di samping itu, berbagai bentuk ucapan selamat hari raya yang disampaikan melalui internet oleh rakan seperjuangan dan rakan-rakan di Malaysia telah dicetak untuk dibaca oleh seluruh kawan. Pihak warga Kampung Perdamaian Sukhirin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang masih ingat kepada mereka di Selatan Thailand.

Menjelang solat



solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Aman

Meraikan Bapa Abdullah C.D.

Mengunjungi Bapa Abdullah C.D.

Ketua Kampung bersalaman dengan Bapa Abdullah C.D.

Anak2 generasi baru tak melepaskan peluang merakam gambar kenangan

pesan selamat hari raya dicetak untuk dibaca oleh seluruh kawan

membaca message selamat hari raya dari tanahair

Jumaat, 17 Ogos 2012

SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN

0 ulasan


Selamat  Hari Raya Aidilfitri, maaf  zahir  batin  kepada   seluruh  rakan seperjuangan yang beragama Islam, kepada keluarga dan sanak saudara para pahlawan dan kesatria yang telah  gugur,  kepada  rakyat  revolusioner yang telah memberikan sokongan bernilai kepada perjuangan bersenjata revolusioner, kepada para tahanan politik ISA dan akta zalim seumpamanya, kepada pejuang-pejuang rakyat dan demokrasi generasi baru yang sedang  teguh  di pos perjuangan dan kepada seluruh umat Islam di mana jua mereka berada.

Daripada:
Abdullah C.D.
dan seluruh bekas
komander dan perajurit
Rejimen Ke-10 di Sukhirin
1 Syawal 1433 H. / 2012 M.

Jumaat, 10 Ogos 2012

KEHIDUPAN GERILA: SUATU SUDUT DARI KEMPEN KEPUNG BASMI

0 ulasan

Julai 1982, kempen kepung basmi THAI ROM YEN 11 atau DIBAWAH NAUNGAN CAHAYA HIJAU sedang giat dilancarkan. Setiap hari tembakan meriam berdentuman di atas kepala. Kapal-kapal terbang dikerah menembak roket dan mesingan dari udara secara sembarangan. Kempen ini dilancarkan oleh tentera Thai dengan belanja kerajaan Malaysia.

Sebuah platun tempur diketuai Kawan Hatta telah dihantar keluar dari kem pasukan induk (Kompeni Ke-21) untuk mengepung musuh yang sudahpun menguasai satu perkhemahan Rejimen Ke-10.

Perkhemahan itu sengaja dikosongkan oleh Kompeni Ke-23 pimpinan Rashid Maidin untuk memberi kerjasama kepada tentera Thai. Akan tetapi setelah mendapat betis nak kan paha pula. Bila dapat menawan kem itu dengan mudah, tentera Thai mengeluarkan seruan mendesak Rejimen Ke-10 menyerah diri, kalau tidak kawasan hutan akan dibom secara besar-besaran.

Sebenarnya pihak tentera Thai telahpun membuat perjanjian dengan Rejimen Ke-10. Mereka minta disediakan sebuah kem kosong untuk merakam gambar kemudian berundur. Periuk api-periuk api yang di sepanjang perjalanan ke kem tersebut telah dibuka. Tapi sekarang mereka telah ingkar janji.

Regu-regu kecil penembak kapal terbang diarah keluar pekhemahan menghendap di kubu-kubu penembak kapal terbang yang telah disediakan lebih awal. Beberapa regu periuk api dihantar ke segala penjuru untuk memasang periuk api di jalan-jalan atau di mana sahaja yang boleh dilalui musuh termasuk sungai-sungai besar dan kecil.

Suasana di perkhemahan markas besar (Kompeni Ke-21) sunyi sepi. Tidak ada suara kedengaran, setiap kawan hanya dipebolehkan bercakap secara perlahan, barang-barang dikemas seolah-olah pasukan segera akan bergerak. Di langit perkhemahan disamar rapi dengan daun-daun hijau agar tidak dapat dikesan dari udara. Padang latihan yang juga padang permainan seolah-olah tidak wujud lagi, dipenuhi dengan pokok-pokok penyamaran.

Semua bahagian tertumpu pada serangan musuh. Regu-regu tempur dalam pasukan berada dalam berjaga-jaga, menunggu isyarat pertempuran dari kawan gard yang berkawal di berbagai sudut perkhemahan.

Aku tidak terpilih ke dalam platun tempur tapi sibuk juga dengan kedatangan tetamu yang tak diundang itu. Kerjaku menyimpan alat-alat, termasuk buku-buku, bahan-bahan cetak, mesin taip, alat-alat kesenian dan macam-macam lagi. Berulang-ulang aku dan beberapa rakan lain memunggah keluar dari perkhemahan menyimpan di tempat yang selamat.

Selesai menyimpan barang-barang bahagian ini, aku ditugaskan membantu menyimpan barang-barang bahagian yang lain pula. Memang banyak bahagian dalam pasukan ini, semua memerlukan tenaga menyimpan. Maklumlah banyak tenaga telah dikerahkan ke medan pertempuran.

Suatu pagi, setelah melintasi sungai besar, aku dan kawan Gelombang (nama perjuangan) mendaki sebuah anak bukit  menyusur permatang. Kami menggalas alat-alat kilang untuk disimpan di suatu tempat. Terasa sangat berat, entah apa isinya, mungkin, peluru, mungkin senapang atau periuk api. Walaupun kerja menggalas barang ini sangat memenatkan, tapi aku lebih suka tugas begini. Apa tidak, jika ditugaskan berkawal di dalam perkhemahan, alamak… masa sejam terasa bagaikan sehari.

Suasana ketika kempen kepung basmi agak kencang. Kami mengontrol bunyi-bunyian yang mungkin saja boleh mendedahkan sasaran kami kepada musuh. Menembak dilarang sama sekali, kecuali bila berhadapan dengan musuh. Jadi kami berjalan dengan sangat hati-hati.

Ketika menyusuri permatang yang indah itu, tiba-tiba terdengar bunyi semak samun dirempuh sesuatu dari lereng bukit. Kami menghentikan langkah. Bunyi itu semakin mendekat.

Tiba-tiba, nampaklah seekor seladang sedang melintasi permatang. Saya berbisik, “kita tembak”. “Ya” sahut Kawan Gelombang. “Kena disiplin pun relalah, lama tak memetik picu senapang ni”bisik hati kecil ku.

Si seladang mendekat sehingga jarak kira-kira 20 meter, kami melepaskan seruntun tembakan sekaligus. Si seladang rebah, kami berkejar menghampirinya untuk menyembelih. “Awak sembelih”, ujarku. Ketika itu seladang sedang menghentak-hentak kepalanya meronta atau cuba bangun. Melihat Kawan Gelombang masih teragak-agak, aku menambah sedas lagi di atas kepalanya, barulah dia masuk menyembelih dengan benet yang sudah tersedia dipingangnya.

Rezeki sudah berada di depan mata, geram memetik trigger pun sudah dilampiaskan, tapi aku dan Gelombang masih tak tenang. “hari ini kita sudah tentu dikenakan tindakan disiplin kerana melepaskan tembakan ketika dalam serangan musuh”. Kebetulan pada malam semalam platun tempur baru menyerang musuh untuk kali pertama dengan menggunakan meriam kecil dan meriam carbine.

“kita terima sajalah, pun tak apa juga, rezeki sudah dapat, geram sudah dilepaskan”

Setelah berbincang sejenak, aku dan Kawan Gelombang ambil keputusan meninggalkan seladang bersama barang-barang di situ untuk pulang ke perkhemahan membuat laporan. Sepanjang perjalanan, fikiran aku hanya tertumpu pada hukuman yang bakal dikenakan oleh markas pengarah. Mungkin saja kami akan dikenakan tindakan disiplin melanggar peraturan militeri, mungkin akan dikenakan amaran keras, dikenakan belajar semula disiplin tentera , sudah pasti tak lebih dari itu.

Lamunan memanjang, sedar tak sedar aku sudah sampai depan perkhemahan. Kawan Gelombang yang berjalan di depan memberikan isyarat menandakan kami akan masuk dan kawan gard membalas isyarat itu. Kami masuk ke perkhemahan dengan tidak berkata apa-apa, terus menuju ke pejabat Abu Samah. Beliau adalah komisar politik Kompeni Ke-21.

“Assalamualaikum Bung”, sapa ku.

“Waalaikumussalam” jawab Abu Samah sambil memandang kami yang sudah berdiri tegak di depan mejanya.

Belum sempat aku melaporkan apa-apa, beliau bertanya: “awak tak dengar tembakan tadi?”

“kami menembak seladang Bong, Sekarang seladang sudah ada di sana.”

Abu Samah tidak memberi apa-apa respon, air mukanya tidak juga menunjukkan kegembiraan. Aku dan Gelombang sudah bersedia dikenakan tindakan disiplin.

Tiba-tiba dari belakang terdengar suara, “bagus, bagus”.

Makcik Suriani mengangkat ibu jari, dibelakangnya berdiri Kawan Maju (Abdullah C.D.) Rupa-rupanya kepulangan kami sudah diperhatikan oleh mereka berdua.

Aku nampak muka Makcik dan Abdullah C.D. tersenyum puas. Air muka Makcik dan Kawan Maju yang berseri-seri telah mengubati gelora yang melanda dalam hati sejak tadi.

Makcik terus masuk menghampiri kami dan berkata “sebenarnya kita sudah terputus lauk untuk dihantar kepada platun tempur. Mujurlah rezeki mendatang secara tidak diduga. Tindakan kawan berdua adalah sumbangan besar untuk platun tempur digaris depan dan pasukan”.

Seketika itu juga, Makcik meminta aku memanggil Ketua Kompeni yang menjadi Pengarah pada hari tersebut. Hari itu tugas Pengarah Harian giliran Kawan Masin (nama sebenarnya Sanib Jasmani, tapi lebih mesra dipanggil Pakcu).

“Makcik minta Pakcu ke pejabatnya segera”, aku memberitahu. Dia meletakkan pen, bangun melangkah keluar dari mejanya. Pakcu adalah Ketua Kompeni, tapi sangat mesra dengan bawahan. Sambil berjalan aku terangkan apa yang telah terjadi .

Di pejabat Abu Samah, 3 orang pimpinan berbincang dengan Kawan Masin mengatur tenaga mengambil daging . 20 orang kawan dipilih untuk memunggah daging ke perkhemahan.

Aku melemparkan senyum kepada Kawan Gelombang sambil berkata “nasib baik kita tak dikenakan tindakan disiplin hari ini”. Gelombang membalas senyum kegembiraan sambil menghayun langkah lebar menuju ke tempat kerja kami yang belum selesai.

Isnin, 6 Ogos 2012

KRONOLOGI PERJUANGAN KEMERDEKAAN

0 ulasan

Malaya pernah dijajah oleh penjajah barat selama 346 tahun. Sepanjang masa tersebut rakyat negeri kita telah melancarkan berbagai bentuk perjuangan terutamanya melancarkan perang ke atas kekuasaan penjajah barat. Kenyataan menunjukkan bahawa perjuangan-perjuangan ini disirami dengan darah dan jiwa raga pejuang-pejuang mengikut zaman masing-masing.

1511 – 1641 Perang menentang Portugis

1782 - 1784 Perang menentang Belanda

1786 – 1928 Perang kaum tani menentang British

1941 - 1945 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang Jepun

1946 – 1948 Perjuangan berperlembagaan menentang British

1948 – 1957 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang British

1951 – UMNO menukar semboyan Hidup Melayu kepada Merdeka

1957 Penjajah British terpaksa mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

1957 - 1989 Perjuangan bersenjata revolusioner menuntut Kerajaan BN /Perikatan menamatkan perang warisan penjajah, menuntut kemerdekaan diisi dengan corak rakyat dan mempertahankan diri.

1959 – 2012 Rakyat semua kaum berbagai golongan bersama parti-parti pembangkang dan lain-lain kekuatan yang patriotic-demokratik berjuang secara berparlimen untuk menjatuhkan rejim BN/Perikatan bagi membangun kemerdekaan sejati mengikut corak rakyat.

REJIMEN KE-10 TRM