Selasa, 26 Jun 2012

KAMPUNG PERDAMAIAN TERIMA HADIAH DARI MANTAN PERDANA MENTERI THAILAND

0 ulasan

Kampung Perdamaian Sukhirin atau secara rasminya disebut Ban Chulabhorn Patana 12 adalah sebuah kampung yang dibangun untuk bekas perajurit Rejimen Ke-10 setelah menamatkan perjuangan bersenjata di bawah perjanjian perdamaian 3 pihak pada tahun 1989.
Ketua Kampung Perdamaian menerima hadiah dari Mantan PM Thai Mr. Anan


Keistimewaan anggota kampung ini ialah mencintai hutan rimba atau alam semula jadi. Ketika dalam perjuangan bersenjata mereka memelihara hutan rimba daripada diceroboh oleh pembalak2 dan lain-lain agar kawasan hutan yang luas  bersambungan dari sempadan Thailand ke Malaysia terpelihara.  Kini setelah mendirikan kampung halaman mereka tetap memelihara hutan rimba sebagai khazanah alam yang amat berharga.

Atas sebab-sebab tersebut, Kampung ini telah menerima hadiah di bawah gerakan bumi hiijau yang dianjurkan oleh syarikat Petroleum Thailand (PTT).  Mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Anan telah menyampaikan hadiah tersebut kepada kumpulan dan individu yang terpilih. Kampung Perdamaian Sukhirin adalah satu-satunya kampung dari Wilayah Narathiwat yang mendapat hadiah tersebut .
Rombongan dari Sukhirin bergambar di depan pejabat PTT di Bangkok, Thailand

Jumaat, 22 Jun 2012

PKM DAN MASALAH AGAMA

0 ulasan
Demi kepentingan mempertahan kuasa dan menipu rakyat semua kaum, penjajah British dan kerajaan UMNO Barisan Nasional telah melemparkan seburuk-buruk tuduhan terhadap PKM dan Rejimen Ke-10 yang berjuang di bawah lambang PKM (Parti Komunis Malaya) dan TPNM (Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Satu propaganda jahat yang masih lagi mendalam di dalam fikiran sebahagian rakyat kita ialah 'komunis tidak beragama'.

Fitnahan yang dilemparkan sejak tahun 1948 ini samalah dengan fitnahan yang dilemparkan Kerajaan Barisan Nasional terhadap barisan pembangkang hari ini. Untuk lebih detail mari kita melihat dokumen asli pernyataan PKM yang dikeluarkan pada 29 April 1985 yang bertajuk BERJUANG DEMI MEWUJUDKAN PROGRAM KHUSUS MASA SEKARANG.

Dasar PKM ialah menghormati kebebasan rakyat semua bangsa untuk menganut agama. Kepercayaan agama di kalangan massa mempunyai punca masyarakatnya yang mendalam. Kebebasan ini mesti dihormati. Hak penganut agama bagi melakukan kegiatan agama harus dibela. Dasar parti kita ini ditegakkan di atas dasar asas pandangan ilmiah Marxis yang kukuh. Dasar ini sekali-kali bukanlah satu siasat.

Dalam masalah agama, anggota PKM mengikuti garis massa parti dan menyertai kegiatan agama massa bangsanya sendiri. Komander dan perajurit Tentera Rakyat Malaya pula mempunyai kebebasan melakukan kegiatan agama dan beramal ibadat.


Pernyataan JKP PKM untuk Merayakan Ulangtahun Ke-55 berdirinya PKM (29 April 1989) BERJUANG DEMI MEWUJUDKAN PROGRAM KHUSUS MASA SEKARANG yang diterbitkan Pejabat Kebenaran

Khamis, 21 Jun 2012

PAK HATTA DI TEMERLOH

0 ulasan
Di bawah adalah sedikit catatan berkenaan sambutan anak muda Temerloh kepada Pak Hatta, seorang bekas komander Rejimen Ke-10 yang dipetik dari http://batutepijalan.blogspot.com./ KINI DAN SILAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Ahmad Nizam Hamid, Bloger Batu Tepi Jalan, anak-anak muda dan lain-lain yang telah memberikan sambutan dan perhatian kepada beliau.

Lagu Rejimen Ke-10 Live @Esplanede Temerloh



Pak Awang aka Hatta merupakan bekas pejuang Rejimen ke-10 yang mengangkat senjata berperang untuk menghalau penjajah demi memerdekakan Malaya bersama rakan-rakannya yang lain.

Beliau kini memilih untuk tinggal di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand. Inilah bukti bahawa beliau masih teguh dengan perjuangannya.
Beliau pulang ke Temerloh baru-baru ini adalah untuk menziarahi adiknya yang meninggal dunia.

Lagu yang dinyanyikannya ini cukup menyentuh hati dan sanubari seorang anak muda yang lahir dalam dunia yang sudah serba ada. Dapat digambarkan bagaimana semangat mereka ketika itu yang berjuang menuntut kemerdekaan menghalau penjajah. Memilih jalan berjuang di hutan dan meninggalkan zaman muda mudi hanya kerana satu matlamat iaitu merdeka.
Inilah bukti Malaya merdeka juga atas sumbangan dari pihak lain selain Umno.



 



 
P/s: Terima kasih kepada Pak Awang kerana sudi berkongsi cerita dan pengalaman dengan anak-anak muda

Hujung minggu ini kita #occupy di Kuantan pula!

Sepetang Di #Occupy Temerloh


Temerloh merupakan sebuah daerah di Pahang yang sarat dengan sejarah perjuangan menentang penjajah. Bermula dengan Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan rakan-rakannya hinggalah ke zaman sekitar 1940-an yang menyaksikan penubuhan Rejimen ke-10 Tentera Pembebasan Malaya.

Kini perjuangan ini disambung pula oleh generasi muda Temerloh yang mewarisi semangat perjuangan nenek moyang mereka. Cuma perbezaannya adalah perjuangan generasi muda kini adalah perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran dari sang pemerintah dari dalam negara sendiri.

Petang Sabtu baru-baru ini iaitu pada 16 Jun 2012, #Occupy Temerloh telah diadakan di Taman Esplanede Temerloh yang berlokasi di pinggir sungai Pahang. BTJ telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada. Selain BTJ, tetamu yang turut dijemput ialah sdr. Ahmad Nizam Hamid, Pak Awang aka Hatta dan anak-anak muda lain yang membuat persembahan seni.

Program ini dimulakan oleh sdr. Ahmad Nizam Hamid yang merupakan Ketua PKR Cabang Temerloh dan juga pengamal undang-undang. Beliau menerangkan atau menceritakan mengenai udang-undang media yang baru yang ditentang dan dibantah oleh banyak pihak termasuk dari pihak Pemuda Umno sendiri.


Sdr. Ahmad Nizam Hamid sedang berkongsi dengan anak-anak muda mengenai info terkini mengenai undang-undang media
Kemudian, sesi kedua adalah sesi bagi BTJ pula. Tidak banyak yang BTJ boleh kongsikan. Apa yang BTJ sampaikan lebih kepada pengalaman dan pengetahuan yang sebenarnya masih cetek. Akhir sesi kedua ini BTJ tutup dengan bacaan sajak yang BTJ tulis sendiri yang bertajuk "Mahu Jadi Pejuang". Harap dapat memberi semangat dan inspirasi kepada anak-anak muda yang hadir.
Sesi ketiga pula adalah sesi bersama dengan Pak Awang aka Hatta (warga emas yang memakai kopiah) yang selesa digelar "aki" yang bermaksud atuk oleh anak-anak muda. Siapa Pak Awang aka Hatta ini? Ya, beliau merupakan bekas pejuang Rejimen ke-10 yang suatu masa dulu memikul senjata bergerila di hutan bersama rakan-rakannya dengan hanya satu tujuan iaitu memerdekakan Malaya. Beliau kini bermastautin di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand dan pulang ke Temerloh seketika kerana adiknya yang baru sahaja meninggal dunia.



Pengerusi majlis mempersilakan Pak Awang aka Hatta untuk berkongsi pengalamannya

Apa yang dikongsi oleh Pak Awang ini sangat bermakna dan tidak mungkin akan diperolehi di bangku sekolah mahupun di menara gading. Sangat beruntung kepada sesiapa yang hadir. anak-anak muda dapat menyelami semangat perjuangan yang masih kuat dalam diri Pak Awang. Beliau yang pernah beberapa kali ditembak dan tegas mengatakan bahawa rela untuk mati di hutan dari berundur serta tidak pernah menyesal memilih jalan perjuangan. Di akhir sesi beliau menyampaikan pesan kepada anak-anak muda untuk teruskan perjuangan. Alang-alang menyeluk pede (pekasam) biar sampai ke pangkal lengan, kata Pak Awang.

Sesi akhir sebelum program ditamatkan ialah sesi seni oleh anak-anak muda. Ada anak muda yang tampil dengan sajak yang dibaca dengan penuh semangat. Ada juga yang tampil dengan kumpulan muzik yang mendendangkan lagu rentak terkini yang bergenre underground. Anak-anak muda yang hadir kelihatan terhibur dan bersemangat menghayati lirik lagu yang didendangkan. Apa yang BTJ pasti tiada nyanyian k-pop didendangkan seperti di Himpunan Sejuta Belia.


Antara persembahan seni oleh anak-anak muda


Sebelum azan Maghrib berkumandang, program telah ditamatkan dan anak-anak muda telah bersurai. Sempat juga anak-anak muda ini berbincang mengenai untuk menubuhkan commitee bagi mengutip derma supaya dapat disalurkan kepada projek Lebuhraya Rakyat yang akan dibina oleh kerajaan negeri Kelantan. Moga projek mereka yang baik ini akan membuahkan hasil.

BTJ ucapkan terima kasih atas jemputan. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada organizer dan sekalian anak muda yang hadir kerana berjaya mengadakan program seperti ini. Jika tidak kita siapa lagi, betul tak? Teringat sebaris kata yang pernah BTJ baca dalam sebuah buku yang berbunyi 'erti hidup pada memberi'. Apa yang sekalian anak muda Temerloh lakukan ini tidak kira yang menjadi organizer atau yang hadir memberi sokongan, itulah erti hidup yang dimaksudkan.



Anak-anak muda menggenggam tangan simbol bersemangat untuk terus berjuang diikuti juga oleh Pak Awang


P/s: Ini bukan lagi masa untuk kita hanya melihat tetapi masa untuk kita melangkah dan tariklah tangan rakan-rakan di sekeliling kita untuk melangkah sama.

dipetik dari http://batutepijalan.blogspot.com/

Rabu, 20 Jun 2012

PERISYTIHARAN DARURAT DAN REVOLUSI BERSENJATA

0 ulasan
Penangkapan Besar-besaran

Hari ini pada 64 tahun yang lalu, (20 Jun 1948) suatu peristiwa besar telah berlaku dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanair kita. Pada hari tersebut, penjajah British telah melakukan penangkapan besar-besaran di seluruh negara ke atas tokoh-tokoh dan organisasi yang memperjuangkan kemerdekaan. Serentak dengan itu, semua parti politk dan organisasi massa yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air telah diharamkan. UMNO di bawah pimpinan Datok Onn adalah satu-satunya parti politik yang tidak diharamkan. Mengikut Abdullah C.D., tekanan berat yang paling dirasakan ialah organisasi politik bahagian Melayu, Hampir kesemua kader penting PKMM, PETA (API sudah diharamkan lebih awal dari itu), AWAS, Barisan Tani Malaya, Hizbul Muslimin kesatuan buruh dan lain-lain telah disumbat ke dalam penjara.

Rancangan jahat penjajah ini telah dapat dihidu oleh PKM lebih awal dari itu. Berkenaan maalah iatu, Ibu Suriani Abdullah yang pernah menjadi wakil PKM terbuka di pejabat PKM Singapura menulis dalam memoirnya:

“Kira-kira dalam bulan Mei 1948, penjajah British memperketat perisikannya terhadap kader-kader PKM. Memandangkan situasi itu, kader-kader terbuka telah menyelenggarakan mesyuarat di Singapura. Ketika itu parti ada gerakan terbuka dan gerakan rahsia. Saya sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti adalah kader yang terbuka. Kira-kira lebih kurang 20 orang lebih kader menyertai perbincangan. Dalam perbincangan itu, pihak pimpinan memberitahu supaya membuat persiapan rapi kerana penjajah British mungkin akan mengadakan tekanan ke atas parti dan kekuatan demokratik dan progresif.”

“Seiring dengan itu, intelijen British juga mencari saya di Pejabat PKM dan di rumah abang saya di Singapura, tapi kerana telah berwaspada, saya dapat bersembunyi. Tak lama selepas itu, saya berundur ke Johor bergabung dengan gerup Jawatankuasa Negeri Johor di bawah pimpinan Ah Tien. Saya menjadi salah satu anggota Jawatankuasa Negeri di Johor Selatan.”

Dalam kenang-kenangaan yang diabadikan dalam buku Darurat Dan Kemerdekaan, Abdullah C.D. menyebut:

“Penangkapan besar-besaran itu telah memberikan pukulan yang paling berat ke atas kekutan patriotic-demokratik bahagian Melayu. 3 orang pimpinan penting bahagian Melayu PKM yang hadir dalam Kem Se-Malaya telah ditangkap. Kamarulzaman ditangkap pada 20 Jun 1948, saya ditangkap pada 10 Julai 1948 dan Rashid Maidin juga ditangkap dalam bulan yang sama. Mujurnya salam pergelutan yang menentukan hidup dan mati itu, saya Berjaya melucutkan gari dan melarikan diri; Rashid Maidin juga Berjaya melarikan diri pada tahun 1951 manakala Kamarulzaman yang pada mulanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati telah diubah menjadi penjara seumur hidup.”

“Rakan-rakan seperjuangan yang lain juga dalam PKMM dan PKM ramai yang menjadi mangsa penangkapan tersebut. Antara mereka termasuklah Ishak Hj, Mohd., Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikgu Sabrun, Osman Bakar, Cikgu Muda, Cikgu Hamid, Ustaz Yahya Nasim, Taharuddin, Kamaruddin, Bizar Ahmad, Sutan Djenain, Khatijah Ali dan lain-lain. Ketika itu seluruh Negara telah ditenggelami dalam suasana terror putih, penindasan dan penangkapan terus menerus berlaku di mana-mana.”

Meletusnya Revolusi Bersenjata

Pengharaman dan penangkapan secara menyeluruh penjajah British tersebut telah menutup semua pintu perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Pemuda pemudi Melayu dari berbagai negeri yang bergerak aktif dalam perjuangan kemerdekaan tidak rela meringkuk dalam penjara penjajah telah berundur ke hutan belukar, disamping mengelakkan penangkapan penjajah juga bersiap menentang penjajah British secara bersenjata. Serentak dengan itu PKM telah menyerukan rakyat semua kaum supaya berjuang menentang penjajah British secara bersenjata. Oleh iatu meletuslah perjuangan bersenjata menentang penjajah British untuk kemerdekaan penuh tanah air.

Berkenaan revolusi bersenjata atau secara rasminya disebut Perang Pembebasan Nasional Anti-British, Abdullah C.D. menulis:

“Setelah diisytiharkan Undang-undang Darurat, pasukan-pasukan gerila dibentuk secara berturut-turut di berbagai negeri. Kira-kira 8,000 laras senjata yang disimpan PKM pada masa perang anti-Jepun telah dikeluarkan untuk mempersenjatai pasukan-pasukan tersebut. Dalam masa beberapa tahun saja, pasukan gerila tersebut telah berkembang menjadi 12 rejimen. Berbagai negeri di Semenanjung (kecuali Pulau Pinang hanya ada pasukan lasak) ada pasukan bersenjata anti-British. Pada 1 Februari 1949, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) telah dirasmikan. TPNM adalah sebuah tentera anak rakyat bentuk baru yang terdiri dari putera puteri terpuji rakyat semua kaum Malaya. Maka itu bermulalah perjuangan bersenjata anti-British untuk kemerdekaan nasional.”



Sabtu, 16 Jun 2012

KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN DI MATA MASYARAKAT THAILAND

2 ulasan



Doktor Besar Sukhirin menyampaikan ucapan

Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12  yang terletak di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat semakin hari semakin dikenali di Thailand. Lebih-lebih lagi setelah kampung ini mendapat penghargaan kerana warganya memelihara dan mencintai hutan rimba, berbagai bahagian kerajaan tak putus-putus datang berkunjung ke sini walaupun jalannya agak sukar dan agak jauh. Doktor Besar Sukhirin ketika lawatannya selama sehari semalam menyebutkan "Walaupun susah payah melalui jalan yang rosak, tapi saya rasa berbaloi kerana kampung ini sangat unik dan sambutan warganya yang mesra tamu".

Pada 11-13 Jun, satu rombongan dokumentri RIBUAN CAHAYA PELANGI dari syarikat TV PBS Thailand telah berkunjung ke sini untuk merakam keadaan
hutan rimba dan keadaan penduduk di sini.

mengadakan meeting di Kampung Perdamaian Sukhirin
RIBUAN CAHAYA PELANGI adalah satu filem dokumentri yang memuatkan berbagai masalah yang  memberikan tumpuan kepada penjagaan hutan oleh penduduk kampung.  Produsernya Puan Niramon Maedhisuwakoon menyebutkan bahawa beliau amat tertarik dengan kesungguhan warga kampung ini yang mencintai hutan rimba dan tertarik dengan latar belakang sejarahnya. "Saya pernah melawat tempat2 perkampung Parti Komunis Thailand, tetapi belum pernah dengar adanya kampung komunis Melayu." Beliau berharap warga kampung ini mencatatkan sejarah perjuangan yang heroik ini untuk tatapan pelawat dan untuk generasi akan datang.

Berikut adalah petikan berita dari Blog kampung tersebut: (http://banchula12.blogspot.com/)

AKTIVIS RIBUAN CAHAYA PELANGI

Puan Niramon
Bahagian TV Thai PBS telah melawat Kampung Chulabhorn Patana 12, Amphor Sukhirin, Tambon Sukhirin, Wilayah Narathiwat pada 11 - 13 Jun 2012 untuk membuat dokumentri dan menyiarkan maklumat berkenaan hutan perkampungan dan memelihara kawasan hutan oleh warga kampung. Puan Niramon Maedhisuwakoon pengarah produser menyatakan perasaan sukacita rombongannya kerana warga kampung memiliki latar belakang sejarah yang manarik serta sudi mengorbankan tenaga untuk menjaga alam sekitar dengan baik.



juru kamera merakam gambar keadaan kampung
produser menyampaikan arahan penggambaran

para anggota dokumentri bergambar sebelum masuk hutan

merakam gambar suasana hutan rimba
berehat di dalam hutan
menjamu selera masakan "komunis"
bergambar di pokok besar kira2 10 pemeluk

menjelang perpisahan
bergambar bersama anak-anak  "komunis"

Ahad, 10 Jun 2012

PERBUALAN TENTANG KEDAULATAN NEGARA DAN HAK ASASI MANUSIA

0 ulasan


Oleh Cuan.     Sedutan Terjemahan Afandi




Dalam perhubungan antarabangsa kontempolari, kedaulatan negara adalah kewibawaan tertinggi, prinsipnya prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Pertama kewibawaan tertinggi di dalam negeri dan kedua kewibawaan bebas di luar negeri, inilah dua cirinya. Yang pertama bermakna negara berdaulat mentadbirkan urusan dalam mengikut kehendaknya sendiri; yang kedua bermakna di dalam perhubungan antarabangsa tiada apa-apa kewibawaan yang mengatasi kewibawaan negara, negera adalah bebas sepenuhnya melaksanakan kuasanya tanpa diganggu gugat sebarang kuasa asing.

Kedaulatan adalah atribut asas yang memang wujud dalam negara, negara tidak akan wujud jikalau tiada kedaulatan. Menafikan atau memperhina kedaulatan adalah perbuatan hegemoni. Ketika negara menggunakan kedaulatan ia juga berkewajipan menghormati kedaulatan negara lain, tidak boleh mencampurtangan urusan dalam negara lain, ini adalah undang-undang dan persetujuan antarabangsa.

Konsep hak asasi manusia yang terawal dalam Petisyen Hak 1628 dan Perakuan Hak England 1689 telah menetapkan perlindungan undang-undang bagi hak kebebasan individu. Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat (A.S.) 1776 buat julung-julung kali memastikan prinsip Hak Semulajadi dan Kedaulatan Rakyat. Manakala Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Warga Negara Perancis yg diluluskan pada 1789 dijadikan sebagai mukadimah Perlembagaan Perancis pertama telah memastikan prinsip hak asasi manusia dengan bentuk perlembagaan, maka Deklarasi itu digelar sebagai Kanun Hak Asasi Manusia Pertama.

Tentang penggubalan undang-undang hak asasi manusia, pada umumnya mulai selepas Perang Dunia I. Ini disebabkan serentetan pencabulan hak asasi manusia yang serius telah terjadi dalam masa perang dan selepas perang. maka muncullah konvensyen dan ketetapan perlindungan bagi hak asasi manusia antarabangsa. Dalam Perang Dunia II, keganasan fasis Jerman, Itali dan Jepun yang bertindak sewenang- wenang mencabul hak asasi manusia, melakukan pembunuhan beramai-ramai itu telah menimbulkan kemurkaan rakyat sedunia. Maka perlindungan antarabangsa ke atas hak asasi manusia menjadi tugas yg ditanggung masyarakat antarabangsa.

Piawai asas hak asasi manusia antarabangsa. Dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1945 julung-julung kali ditetapkan Hak Asasi Manusia, menandakan menghormati hak asasi dan kebebasan manusia adalah satu asas tujuan PBB. Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 diluluskan oleh PBB, hak asasi manusia dijadikan matlamat perjuangan bersama sejagat.

Hak asasi manusia bukan semata-mata sebagai urusan dalam negeri, perkembangan dan evolusinya telah memberikannya sifat antarabangsa dan dilindungi undang-undang antarabangsa, negara seharusnya berkewajipan dan komitmen menjamin hak asasi manusia.

Hubungan antara kedaulatan negara dan hak asasi manusia bersifat kesatuan dialektik. Kedua-duanya adalah prinsip dan komponen penting dalam undang-undang antarabangsa.

Berdasarkan Piagam Hak Asasi Manusia dan ketetapan Piagam PBB, hak asasi manusia dan perlindungannya adalah komponen penting undang-undang antarabangsa. Pertama, negara tidak boleh memungkiri kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang mesti ditaati. Kedua, negara tidak boleh mengambil perlindungan hak asasi manusia antarabangsa sebagai dalih untuk secara biadab menceroboh atau mengintervensi urusan dalam negara lain, atau melakukan jenayah mencabuli hak asasi manusia yang dianggap serius oleh masyarakat antarabangsa.

Badan utama perlindungan hak asasi manusia ialah negara. Negara bukan saja secara langsung menggubal akta hak asasi manusia dalam negeri, bahkan berkewajipan menyerap undang-undang hak asasi manusia ke dalam akta hak asasi manusia dalam negeri.

Sejarah membuktikan bahawa tiada kedaulatan akan tiada hak asasi manusia. Sejak penjajah Barat mencerobohi dan menguasai negara kita, segala hak asasi manusia rakyat kita telah dirampas hampir kehabisan. Pemerintah penjajah boleh bertindak sekehendak hati memungut segala macam cukai-cukai dan levi-levi yang sangat tinggi, merampas tanah milik penghuni, menyeksa kejam, membunuh orang yang berani melawannya; dan melabel patriot yang menentang penjajahan sebagai “pengganas”, Di segi lain mereka memuji algojo yang membunuh patriot sebagai wira. Penceroboh-penceroboh imperialis itu adalah pencabul kedaulatan sekali gus juga menginjak hak asasi manusia.

Pada akhir 1970-an abad lalu, negeri-negeri Barat yang diketuai A.S. menyodorkan slogan “hak asasi manusia mengatasi kedaulatan”. Hakikatnya slogan itu bukan saja tidak dapat dipertahankan di aspek teori, malahan penuh dengan percanggahan. Umpamanya dalam perang Kosovo, walaupun mereka melindungi etnik Albania, tetapi akibatnya telah menyebabkan lebih banyak orang Serbia dibunuh, dipaksa meninggalkan kampung halaman dan merayau-rayau, menyebabkan malapetaka kemanusiaan yg lebih teruk. Pada 2003, A. S. menceroboh Iraq dengan dalil hak asasi manusia, mengakibatkan negara itu menjadi negara yang paling tidak selamat di dunia, dan sebaginya, dan sebagainya.

Yang lebih membuat pihak Barat berasa amat malu adalah “senjata makan tuannya”, apabila Russia meniru idea yang sama dengan Barat (untuk mencegah pembunuhan kaum) dan menggunakan cara yang sama (mengiktiraf kemerdekaan Ossetia Selatan) sebagai tindakan menghukum Georgia, pihak Barat tiada pilihan lain hanya satu konsep “kedaulatan” yang telah lama dicampakkannya dijadikan sebagai senjata balasan, inilah senjata makan tuan namanya.

Mereka yang meuar-uarkan “hak asasi manusia mengatasi kedaulatan” itu hanya menghendaki orang lain melepaskan kedaulatan, tetapi yang dilaksanakannya adalah hegemoni seratus peratus, kapal perang, kapal pembawa pesawat dan pelbagai pesawat perangnya merayau-rayau ke seluruh dunia untuk mengancam atau mengajar sesiapa yang berani melawannya. Askar-askarnya sewenang-wenang membuat jenayah merogol, membunuh, menyeksa banduan, mencabul kehormatan rakyat, menghina agama bangsa lain dan sebagainya, tetapi A.S. mempertahankan bidang kuasa luar wilayahnya, tidak membenarkan kerajaan negara yang didudukinya menyoal siasat askarnya yang membuat jenayah. Jelaslah apa yang diutamakannya hanya hegemoni sahaja.

Dalam menghadapi hakikat begini, apa yang harus dilakukan oleh rakyat? Yang paling praktik adalah menerusi keinsafan rakyat, bangkit berjuang untuk mengubah negara menjadi badan pentadbiran yang kuat melindungi hak asasi manusia. Kalau tidak, kepentingan dan hak asasi rakyat sendiri sudah tentu akan tidak dapat dilindungi .

Dipetik dari: Buletin Persatuan Persahabatan Abad 21 Malaysia,Bilangan 23

REJIMEN KE-10 TRM