BERSIH - Dalam jalur sejarah kebangkitan anak muda

Oleh Tongkat Bahaman 

Anak muda adalah aset negara yang bakal mencanai masa depan bangsa. Persis, kudrat anak muda bukan sahaja untuk menolak kereta mogok, apabila kereta sudah bergerak dan meluncur kerapkali mereka ditinggalkan begitu sahaja.  Demikianlah yang selalu terjadi dalam kehidupan ini dan begitulah yang sering menimpa nasib anak-anak muda sepanjang sejarah.  Acapkali mereka diketepikan dan jasa mereka dilupakan begitu saja.

Hari ini kita memerlukan tenaga dan intelek mereka bagi mengembalikan erti demokrasi dan kedaulatan rakyat, menghidupkan kembali sistem kehidupan masyarakat yang kian punah kerana rasuah, penipuan dan salahguna kuasa oleh pemerintah.

Harus diingat tanpa perjuangan dan jasa anak-anak muda suatu ketika dulu negara kita tidak akan merdeka.  Tanyalah orang-orang tua yang masih ada seperti Pak Samad (A.Samad Said, gambar kiri), Pak Said Zahari  yang telah mula berjuang dan menulis sejak 1950-an lagi berapa usia pemimpin-pemimpin ketika menentang Inggeris sebelum merdeka dulu - kesemuanya adalah belia-belia yang kebanyakannya berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Sejak sebelum Perang Dunia Ke-II lagi, malah jauh sebelum itu, perjuangan anak muda tidak pernah putus-putus demi mengembalikan keadilan.  Perjuangan menentang Inggeris di Pahang oleh gerila pimpinan Bahaman, penentangan terhadap tentera fasis Jepun 1942-1945, beratus ribu lasykar rakyat yang terdiri dari anak-anak muda telah digerakkan.  Sebelum dan selepas perang tamat tenaga dan keberanian mereka telah mengisi pelbagai gerakan. KMM, PKMM, API, AWAS, GERAM (Gerakan Angkatan Muda pimpinan Aziz Ishak dan A. Samad Ismail) dan sebagainya. Termasuk juga ketumbuk dari bukan Melayu seperti MDU, MIC, dan MPAJECA (Malayan People’s Anti - Japanese Ex-Comrades Association) dan sebagainya.  Seluruh gerakan ini telah dipimpin oleh anak-anak muda yang sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap rakyat tertindas.

Sejak Darurat pada 20 Jun 1948 pemimpin gerakan anak-anak muda ini telah dilumpuhkan oleh Inggeris serta puak reaksioner (UMNO) kerana mereka dianggap berbahaya.  Beribu-ribu anak muda yang progresif telah ditangkap dan dipenjara.  Di dera dan dan tahan tanpa bicara.  Ramai juga telah mati tanpa mereka tahu apa kesalahan mereka kerana mereka tidak pernah dibicarakan seperti Dr. Burhanudin al-Helmy, Ahmad Boestamam serta kawan-kawan yang lain.  Dari kalangan wartawan dan penulis seperti Said Zahari (gambar kanan) bekas Ketua Editor Utusan Melayu yang berjuang demi kebebasan akhbar juga telah ditahan dan dipenjara tanpa bicara selama 18 tahun di bawah ISA.  Yang tua lebih mudah menjadi boneka - untuk hidup enak sendiri berselindung di sebalik pelbagai topeng termasuk agama.  Kepada kelas ini janganlah disandarkan sebarang harapan untuk perubahan.

Hampir 55 tahun idealism perjuangan anak muda telah dibongsaikan.  UMNO telah mengguna pelbagai strategi dalam bentuk undang-undang untuk mengawal pengaruh dan peranan mereka.  Mereka dipaksa menelan dogma bahawa orang tua yang makan garam lebih dulu adalah lebih bijak dan berhak menentu semua perkara termasuk peranan mereka.

Kebangkitan anak-anak muda hari ini justeru doa para pejuang muda dulunya.  Doa yang mereka lafazkan di antara dinding dan tembok penjara.  Doa pemimpin-pemimpin yang luhur seperti Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanudin al-Helmy yang pernah dikurung hingga mati oleh pemerintah.

STRATEGI MELUMPUHKAN ANAK MUDA OLEH UMNO

Sepanjang hampir 55 tahun UMNO tampak terus ingin menggenggam jiwa anak-anak muda menerusi pelbagai akta - ISA 1960, AUKU 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948, yang menghalang perbincangan yang boleh ditafsir sebagai menghasut dianggap suatu jenayah.  ISA sejak 1960 telah membidas beribu-ribu anak muda ketika mereka sedang nyenyak tidur.  Mereka ditahan tanpa bicara hingga hari ini masih ada yang merengkok di pusat tahanan di Kamunting walaupun akta ini telah dihapuskan pada 12 Mac 2012 lalu.  Demi kebebasan mereka juga melancarkan mogok lapar baru-baru ini.

Penghapusan ISA ini bukanlah kerana UMNO ingin menghapuskannya tetapi kerana perjuangan anak-anak muda Malaysia di bawah GMI (Gabungan Menghapuskan ISA). Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah wajah baru ISA yang sedang mensasarkan matlamatnya untuk melumpuhkan musuh politik mereka di samping cuba menakut-nakutkan yang lainnya.  Pun begitu anak-anak muda yang bijak, cekal dan berani hari ini tetap mampu membolosi kawat duri yang tajam dan bermata songsang ini untuk terus membebaskan mereka.

Melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948, pelbagai akhbar dan majalah telah ditahan permitnya sekiranya cuba melayani selera dan idealism anak muda.  Majalah Panji Masyarakat contohnya hanya berjaya menemui pembaca selama tiga keluaran.  Begitu juga dengan Detik dan al-Wasilah, telah mengalami nasib yang sama.  Sebuah akhbar Cina - Oriental Daily yang diterbit pada 29 September 2002 telah dibatalkan permitnya pada hari yang sama yang berjaya mencecah 200,000 naskah cetakan.  Begitu juga "KEADILAN" yang menjadi lidah rasmi PKR, permitnya telah dibatalkan sebelum tamat tempoh dan banyak lagi.  Daripada angkara akta ini, banyak penerbit mengalami kerugian.  Ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang muflis.

Strategi UMNO untuk terus menguasai media utamanya dan melancarkan perang propaganda yang dahsyat melalui saluran Utusan Malaysia, Siaran media elektronik khususnya TV3 hanya akan menjadi sia-sia kerana ia tidak lagi menjadi pilihan mereka.  Anak-anak muda hari ini bertemankan media baru.

ANAK MUDA SUDAH DI GARIS DEPAN

Daripada 300,000 yang hadir dalam BERSIH 3.0 baru-baru ini, 80% adalah anak-anak muda, melaung suara rakyat bukan parlimen, mendesak sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.  Mereka sekarang sedang menjulang harapan rakyat untuk melihat sebuah bangsa yang benar-benar demokratik dan merdeka.

Mereka adalah anak semua bangsa - Melayu, Tiong Hua, India dan lainnya meraikan demokrasi dan hak kebebasan bersuara sebagai suatu bentuk penyertaan politik yang aman, berkumpul secara sah di bawah peruntukan perkara 10 Perlembagaan Malaysia.  Dunia ini sebenarnya milik mereka - Lihat pada internet, broadband serta segala perkakas dan perisiannya.  Lihat juga pada rangkaian sosial facebook, twitter, blog yang menjadi diari peribadi mereka, segalanya adalah dicipta oleh anak muda untuk anak muda.  Ia lebih mesra dengan mereka berbanding orang tua.

Dalam perhimpunan BERSIH pada 28 April 2012 yang lalu masing-masing membawa telefon bimbit berkamera canggih, mereka merakamkan semua peristiwa dalam sekelip mata dan dalam sekelip mata juga telah dimuat naik ke Facebook, Twitter yang dikongsikan dengan ribuan anak muda yang lain di seluruh dunia.

Dengan ilmu dan maklumat yang mereka boleh akses dengan cepat daripada internet hari ini mereka semakin gagah.  Anak-anak muda yang tidak mengikut perkembangan media baru dan rangkaian sosial telah dianggap sebagai mayat yang bergerak.  Kini terdapat 9.276 juta pengguna facebook dan 1.056 juta twitter di seluruh negara dengan kadar penembusan setinggi 88.4% daripada kadar penembusan internet 64.4%. (Ooi Heng : Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa: 42). 【Baca: Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0

DEWAN KULIAH

BERSIH sebenarnya telah menjadi dewan kuliah yang telah mengajar ilmu politik buat mereka.  Tentu sekali mereka akan lebih faham tentang hak mereka untuk memilih wakil dalam PRU 13 nanti.  Begitu juga mereka semakin faham melihat gelagat kelakuan pemuda-pemuda haprak (meminjam istilah Mahathir) yang semakin tidak tentu arah yang menetas di bawah inkubator UMNO.  Mereka juga akan tentu lebih faham bahawa segala tindakan dungu pemuda-pemuda haprak itu hanya akan mempercepatkan keruntuhan regim UMNO-BN.
Dengan gangguan dan kekacauan yang mereka lakukan terhadap Ambiga (gambar kiri) yang berketurunan India sebenarnya bukan sahaja menyebabkan UMNO-BN akan kehilangan sokongan orang-orang India yang lebih banyak dalam PRU 13 nanti malah turut menimbulkan kemarahan seluruh rakyat sekaligus mampu menobatkan Ambiga sebagai "Woman of the year".  Begitu juga dengan keganasan pemuda-pemuda haprak ini terhadap ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sebenarnya akan merugikan UMNO dan mereka sendiri.  Orang yang mengikut nafsu akhirnya akan tewas dalam apa jua pertarungan.

(Dipetik dari Merdeka Review:  http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13115)
 

TUAN IMPERIALIS DAN ANJING BURUANNYA



Klip video ini disedut dari filem PERCIKAN API, terbitan Studio TV Rejimen Ke-10 pada Mei 1989. Ehsan Muzium Kampung Perdamaian Sukhirin

BARISAN GERILA MALAYA

REJIMEN KE-10 TPNM


Hari ini pada 63 tahun yang lalu, tepatnya pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 telah dirasmikan di hutan Kerdau Daerah Temerloh, Pahang. Rejimen Ke-10 adalah sebuah pasukan gerila Melayu, terdiri dari putera puteri kaum buruh dan tani Melayu yang inginkan kemerdekaan penuh tanah air dan pembebasan rakyat.

Bapa Abdullah C.D. seorang anggota KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan anggota Jawatankuasa Pusat PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) adalah penaja dan pemimpin pasukan ini dari awal sampai akhir. Berikut adalah petikan tulisan beliau berkenaan penubuhan Rejimen Ke-10.

Penubuhan Rejimen Ke-10


Rejimen Ke-10 adalah sebuah pasukan Melayu Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Rancangan untuk mendirikan pasukan gerila Melayu telah dirancang dan diperbincangkan dalam Sekolah Parti Kem Se-Malaya pada pertengahan Jun 1948 (lihat bab 35). Mengikut rancangan asal, di Temerloh akan didirikan satu kompeni dipimpin Kamarulzaman Teh, satu kompeni di Jerantut dipimpin Rashid Maidin dan saya mendirikan satu kompeni di Benta. Akan tetapi, apabila Kamarulzaman dan Rashid Maidin ditangkap, semuanya telah berubah. Saya ditugaskan untuk menggantikan Kamarulzaman memimpin pasukan di Temerloh.
Abdullah C.D.

Masa penubuhan Rejimen Ke-10 tidaklah dirancang dari awal atau boleh juga dikatakan secara kebetulan sahaja. Ketika itu, saya sedang memimpin Platun 1 bergerak di Jerantut. Chen Nan mengirim surat melalui utusan meminta saya pulang ke Kerdau untuk bermesyuarat. Saya bertolak meninggalkan Platun 1 ke Kerdau bersama beberapa orang pengawal. Dalam perjalanan pulang, saya melalui Gong. Massa Tionghua di situ menghadiahkan saya sedikit sumbu badak (tanduk badak sumbu). Mengikut keterangannya ia menjadi ubat yang paling baik untuk pelbagai penyakit.

Sepeninggalan saya, dalam Platun 1 timbul pertentangan antara orang Jerantut dengan orang Temerloh. Orang Jerantut di wakili Wan Ali mahu pertahankan Jerantut manakala orang Temerloh diwakili Budin mahu pertahankan Temerloh. Kerana pertentangan itu, orang Temerloh dalam Platun 1 juga bertolak balik ke Kerdau mengekori saya dari belakang. Tak lama saya tiba di Kerdau, mereka juga sampai.

Dalam pada itu, satu platun di bawah pimpinan Musa Ahmad dan Wahi Anuar telah diserang tentera British. Dalam pertempuran itu Wahi berpecah dengan pasukan. Komander Platun, Hasan sangat marah terhadap Wahi. Hasan akhirnya memimpin platunnya pulang ke Kerdau. Dalam masa yang sama Wahi dan Musa yang berpecah dari pasukan juga tiba di Kerdau. Jadi secara tidak dirancang, kami semua telah berkumpul di Kerdau.

Kerana kami semua sudah berkumpul, Chen Nan mengadakan perbincangan dengan kami iaitu saya, Musa dan Wahi untuk mendirikan Rejimen Ke-10. Kebetulan pula hari yang kami tetapkan itu ialah tanggal 21 Mei 1949.

Rejimen Ke-10 dirasmikan dalam suatu perayaan yang penuh khidmat dan meriah. Perayaan itu dihadiri oleh Chen Nan, 3 orang pimpinan bahagian Melayu iaitu saya, Wahi dan Musa bersama 2 platun pasukan asas (Platun 1 dan Platun 3). Selain itu terdapat Kompeni Khas Rejimen Ke-6 di bawah pimpinan Hong Yi dan satu kompeni pasukan Tionghua yang baru datang dari Raub, kira-kira 200 orang semuanya.

Chen Nan selaku wakil Jawatankuasa Pusat mengisytiharkan berdirinya Rejimen Ke-10 TPNM dan menyampaikan ucapan. Yang penting ditegaskannya ialah Rejimen Ke-10 adalah tentera Melayu - dari komander hingga ke perajuritnya terdiri daripada putera puteri terpuji bangsa Melayu; Rejimen Ke-10 adalah lambang kemegahan kaum tani Melayu yang luas.

Kemudian saya membuat ucapan, pokoknya menyatakan keazaman pasukan Melayu untuk teguh berjuang demi kemerdekaan ibu pertiwi, memikul harapan nusa dan bangsa khasnya membangkitkan kaum tani yang luas untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasan nasional. Sebagai pasukan tentera rakyat kami haruslah tegas mematuhi disiplin TPNM.

Johan telah mempersembahkan 2 lagu berentak march bertajuk TENTERA PEMBEBASAN NASIONAL dan BARISAN GERILA MALAYA. Lagu itu dipersembahkan dengan gaya yang amat menarik. 2 buah lagu ini menjadi lagu rasmi Rejimen Ke-10. Johan adalah seorang pejuang internasionalis dari Indonesia.

Badan pimpinan Rejimen Ke-10 pokoknya berdasarkan ketetapan di dalam persidangan kader di Sekolah Parti Kem Se-Malaya, cuma sedikit perubahan kerana Kamarulzaman dan Rashid Maidin masih di dalam penjara:

Komisar Politik Abdullah CD
Panglima Wahi Anuar
Pegawai Politik Musa Ahmad

Sebelum Rejimen Ke-10 didirikan, PKM telah mendirikan 9 rejimen TPNM, asasnya ialah 8 Rejimen Pasukan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya yang dibubarkan apabila tamat Perang Dunia Kedua. 9 Rejimen TPNM tersebut didirikan semula setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat pada pertengahan Jun 1948.

Pada 1 Februari 1949, PKM merasmikan Markas Agung TPNM atau Malaya National Liberation Army (MNLA). Sejak itu berbagai pasukan gerila anti-British disatukan di bawah Markas Agung TPNM.

Rejimen Ke-10 yang dirasmikan pada 21 Mei 1949, masih peringkat dalam buaian. Tapi dengan adanya sokongan dan bantuan yang kuat dari kaum tani yang luas dan bantuan pasukan sesaudara, pasukan Rejimen Ke-10 telah tertempa dalam api perang.

Sebagai salah sebuah pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, Rejimen Ke-10 harus dengan teguh mematuhi 4 Asas Disiplin dan 10 Fasal Perhatian tentera iaitu:

EMPAT ASAS DISIPLIN

1. Segala tindakan patuh kepada perintah;
2. Tidak mengambil sebatang jarum atau seutas benang pun dari massa;
3. Sebarang rampasan perang harus dirasmikan;
4. Dengan ketat menyimpan rahsia tentera.

SEPULUH FASAL PERHATIAN

1. Pertuturan hendaklah ramah tamah;
2. Berjual beli harus adil;
3. Barang-barang yang dipinjam harus dikembalikan;
4. Ganti kerugian barang-barang yang dirosakkan;
5. Rumah-rumah yang ditumpangi harus dibersihkan;
6. Menghormati adat resam;
7. Jangan memukul atau memaki orang;
8. Jangan merosaki tanaman;
9. Jangan berlaku tidak senonoh terhadap wanita;
10. Jangan menganiayai tawanan perang.

Di samping itu, kerana keistimewaan Rejimen Ke-10 terdiri dari orang Melayu, Markas Agung menetapkan songkok khas berbintang lima yang boleh digunakan untuk sembahyang.

Manifesto Penubuhan Rejimen Ke-10

Selepas dirasmikan penubuhan Rejimen Ke-10, pejabat penerbitan yang dikendalikan oleh satu regu khas di dalam hutan telah mencetak MANIFESTO PENUBUHAN REJIMEN KE-10 dan diedarkan ke serata tempat.

Perisytiharan penubuhan Rejimen Ke-10 telah menggemparkan penjajah British dan memberangsangkan massa rakyat. Pasukan gerila Melayu di berbagai negeri merasa sangat terdorong kerananya. Kaum tani di merata tempat di Pahang menghantar putera puteri mereka yang tersayang memasuki Rejimen Ke-10 untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu menghalau penjajah British. Mereka telah memberikan sokongan dan menjadi sandaran penting bagi Rejimen Ke-10. Oleh itu, Rejimen Ke-10 benar-benar bintang harapan petani Melayu yang luas.

Saya mendapat laporan dari organisasi bawah tanah dan unit pasukan bersenjata Melayu di beberapa negeri bahawa pasukan-pasukan Melayu di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah sangat terberangsang setelah mendapat berita berdirinya Rejimen Ke-10. Mereka menghantar tahniah dan ada yang memohon menyertai pasukan Rejimen Ke-10. Pada tahun 1950, Jawatankuasa Pusat PKM dan Markas Agung TPNM membuat penyusunan semula menetapkan pasukan bersenjata Melayu di berbagai negeri diletakkan di bawah riayah Rejimen Ke-10 di samping bekerjasama dengan organisasi Parti di negeri masing-masing.

SELAMAT HARI PEKERJA ANTARABANGSA


Hari Mei Satu: Hari Kuasa Pekerja

Choo Chon Kai | May 01, 2012 03:11:29 pm |http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13030
 
Tahun ini, Hari Mei Satu disambut dalam satu suasana politik yang amat menarik di Malaysia. Kita berada di persimpangan jalan di mana kebangkitan kuasa rakyat telah menggegarkan pemerintahan UMNO-BN yang penuh dengan kepincangan dan korupsi.

Tiga hari sebelum Hari Mei Satu, himpunan raksasa BERSIH 3.0 pada 28 April 2012 telah mencipta sejarahnya tersendiri dengan rekod kehadiran 200,000 rakyat turun ke jalanraya menuntut demokrasi dan menentang penyelewangan pemerintah. Pada masa yang sama, kita juga menyaksikan kebangkitan anak muda dalam perjuangan menuntut pendidikan percuma dan juga gerakan Occupy Dataran yang cuba menuntut kembali ruang demokrasi rakyat.

Kebangkitan mahasiswa dan rakyat di negara kita sebenarnya adalah juga satu protes menentang sistem kapitalis yang hanya melindungi kepentingan 1% dan mengabaikan hak 99%. Kepincangan pilihanraya BN adalah semata-mata untuk berkuasa untuk mengondol kekayaan negara demi kesejahteraan kroni-kroni kapitalis mereka.

Sementara itu, di peringkat dunia pula, sistem kapitalis global sedang mengalami krisis yang amat mendalam dengan menyaksikan kegawatan ekonomi yang berterusan di Amerika Syarikat dan krisis hutang di negara-negara Eropah. Serangan bertubi-tubi golongan kapitalis antarabangsa ke atas golongan pekerja dan rakyat biasa telah mencetuskan penentangan yang hebat. Gerakan Indignados di Sepanyol, perjuangan menentang pengurangan perbelanjaan awam di Greece dan juga gerakan Occupy Wall Street yang merebak menjadi satu fenomena global, adalah manifestasi terbaru perjuangan rakyat dalam mencabar sistem kapitalis dan mencari alternatif baru.

Perjuangan hebat pekerja lebih satu abad yang lalu, yang melibatkan pengorbanan pejuang-pejuang pekerja telah menjadikan kerja lapan jam sehari suatu hak asasi untuk pekerja sedunia. Namun, hak pekerja yang dimenangi dalam satu abad yang lalu, sedang digugat dan semakin dihakis oleh golongan kapitalis yang tamakkan keuntungan yang tidak terhabis-habis. Golongan pemodal, korporat gergasi dan tauke besar sanggup mengorbankan kepentingan pekerja demi menyelamatkan keuntungan mereka dalam krisis ekonomi yang berterusan.

Di Malaysia, Kerajaan UMNO-BN di bawah pimpinan Najib telah mewarisi dasar-dasar pro-kapitalis yang diamalkan sejak zaman Mahathir dengan meneruskan serangan ke atas rakyat melalui penswastaan, pemotongan sabsidi untuk rakyat, penindasan ke atas kesatuan sekerja dan sebagainya. Dasar ekonomi yang pro-kapitalis dan anti-pekerja telah membantu golongan kroni dan korporat besar mengaut keuntungan besar. Ini telah melebarkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Rakyat biasa akan terus dimangsakan dan kualiti kehidupan terus terjejas sekirannya dasar sebegini diteruskan.

Serangan yang terbaru dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, termasuklah pindaan undang-undang buruh yang menghakis hak pekerja, termasuk pindaan Akta Pekerjaan yang menghalalkan buruh kontrak yang menindas pekerja. Jaminan kerja untuk para pekerja telah dijejas dengan teruknya dalam serangan terbaru ini.

Dengan segala serangan dan hakisan ke atas hak pekerja, pengumuman gaji minima oleh Najib semalam hanyalah satu sandiwara untuk memancing undi menjelang pilihanraya umum ke-13. Selain paras gaji minima yang diumumkan jauh kurang daripada apa yang dituntut oleh gerakan masyarakat, pelaksanaan gaji minima hanya akan berlaku selepas enam bulan dan kemunginan besar akan ditunda lagi seperti yang berlaku pada gaji minima untuk pegawai keselamatan. Kalau kerajaan UMNO-BN benar-benar ingin melaksanakan gaji minima, sepatutnya ia dilakukan sekarang juga. Apabila hak pekerja dituntut, maka taktik lambat-melambatkan menjadi lumrah pemerintah.

Kerajaan UMNO-BN langsung tiada niat untuk melindungi hak pekerja, malah ia sanggup menggadaikan segala hak pekerja demi menjaga keuntungan kroni dan juga pemodal besar.

Tuntutan pekerja di Malaysia yang perlu ditunaikan segera demi menjamin kesejahteraan hidup adalah gaji minima RM 1500, jaminan kerja, kawalan harga barang, kebebasan menubuhkan Kesatuan Sekerja, bebas daripada beban cukai GST, perumahan selesa dan penghentian penswastaan perkhidmatan asas Semua tuntutan tersebut tidak mungkin jadi realiti dengan kerajaan UMNO-BN sekrang yang hanya tahu merompak rakyat biasa untuk kapitalis.

Hak pekerja tidak akan jatuh seperti durian, tetapi hanya jadi kenyataan melalui perjuangan yang berterusan.

Hari Mei Satu adalah hari untuk memperingati perjuangan pekerja dan juga inspirasi untuk kita terus memperjuangkan hak pekerja. Kita telah menunjukkan kehebatan kebangkitan kuasa rakyat dalam Himpunan Raksasa BERSIH 3.0 pada 28 April yang lalu, dan kita akan bawa semangat ini untuk terus maju ke hadapan.

Hidup Rakyat! Hidup Kaum Pekerja!

*Choo Chon Kai ialah ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia.

Categories

Pengikut