PENUBUHAN KESATUAN BURUH LOMBONG PERAK



Negeri Perak kaya dengan pendapan bijih timah. Selama 100 tahun lebih ini, ia merupakan kawasan pengeluar bijih timah yang paling utama di negara kita. Hingga pertengahan tahun-tahun 1930-an, di Perak terdapat 300 buah lebih lombong pam kelikir yang sedang dan kecil serta berpuluh-puluh buah lombong kapal korek moden. Buruh lombong seramai 30,000 orang.

Di bawah tekanan perjuangan buruh, pihak penjajah British telah mengesahkan pendaftaran Kesatuan Buruh Lombong Perak pada akhir tahun 1940 (nama pendaftarannya ialah KESATUAN SALING MEMBANTU BURUH BIJIH TIMAH DAERAH KINTA). Pada awal tahun 1941, Kesatuan Buruh Lombong Perak mengadakan rapat penubuhan yang dihadiri oleh 10,000 orang lebih buruh lombong di Pusing. Anggotanya seramai lebih dari 20,000 orang, dan jika dikira anggota keluarga mereka yang berhak menikmati kebajikan kesatuan, kesemuanya berjumlah 5-6 puluh ribu orang. Cawangan dan pejabat kesatuan itu didirikan di merata kawasan lombong.

Penubuhan Kesatuan Lombong Perak menempuhi sejarah perjuangan yang berliku-liku dan tak terpisahkan dari kecekapan penyusun massa yang luar biasa dan usaha keras Kawan Li Liang – seorang pemimpin yang ulung Parti Komunis Malaya.

Dari penghujung tahun-tahun 20 – 30an abad ini, Malaya berturut—turut dianda krisis ekonomi kapitalis yang berulang-ulang. Imperialis British dan kapitalis memindahkan bebanan krisis tersebut ke atas kelas buruh. Semasa krisis itu, banyak lombong bijih timah gulung tikar, sejumlah kebun getah ditutup, ramai pekerja menganggur. Kaum buruh rata-rata papa kedana. Keadaan buruh lombong timah negeri Perak terutamanya lebih menyedihkan. Upah mereka amat rendah, bahkan tak mampu membeli keranda bila mati. Sesetengah buruh lombong yang menganggur tak dapat mencari kerja lain dan dapur mereka sering tak berasap. Imperialis British juga secara paksa menghantar sebahagian buruh yang tua dan uzur balik ke Tiongkok atau India.

Untuk menyelesaikan masalah-masalah mendesak yang berkaitan dengan kepentingan pokok buruh lombong seperti jaminan pekerjaa, bantuan sesama sendiri semasa menganggur serta masalah yang timbul kerana buruh uzur atau meninggal dunia, cawangan Parti Komunis Malaya bawah tanah di Pusing dan Teronoh mulai mendorong buruh lombong mengorganais kesatuan dan mendirikan jawatankuasa penaja pada akhir tahun 1937. Sekalipun keksatuan mengatakan di antara tujuan penubuhannya ialah untuk saling membantu apabila menghadapi kesukaran dan penubuhannya didukung secara merata oleh kaum buruh lombong, namun tidak sedikit di antara mereka menganggap mengorganais kesatuan adalah salah di sisi undang-undang, maka mereka tidak berani menyertainya. Sesetengah majikan bahkan mengugut akan melaporkan pada polis supaya ditangkap. Pada tahun 1937 dan 38 Cawangan Parti Komunis Malaya bawah tanah di Pusing dan Teronoh telah melakukan banyak kerja propaganda dan pendidikan mengenai penubuhan kesatuan di kalangan buruh di kawasan lombong itu, tapi hasilnya tetap tidak memuaskan.

Dari penghujung tahun 1938 hingga awal 1939, harga bijih timah jatuh lagi. Banyak lombong bijih timah yang sedang dan kecil menghentikan pengeluaran, memecat buruh dan mengurangkan pengeluaran dan upah, bahkan memotong duit dapur. Sekali lagi buruh lombong menghadapi ancaman pengangguran dan kelaparan. Pada tempoh itu, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya mengutus Kawan Li Liang ke Perak untuk memimpin penubuhan Kesatuan Buruh Binaan Singapura. Beliau berpengalaman luas dalam mengorganais kaum buruh dan memimpin perjuangan mereka. Beliau menyelam ke kalangan massa rakyat dan buruh perlombongan, melakukan banyak pengkajian dan penyelidikan secara teliti, luas berhubungan dengan massa buruh dengan berbagai cara membangkitkan kesedaran massa rakyat. Berkat adanya usaha yang tak kendur-kendur dari Kawan Li Liang dan kawan-kawan lain, akhirnya dapat dicapai kemajuan pekerjaan.

Di bawah pimpinan Kawan Li Liang, buruh lombong bijih timah di Perak telah berturut-turut melancarkan pemogokan di beberapa tempat, dan mencapai kemenangan awal di mana pihak majikan memberi jaminan tidak akan memotong upah dan duit dapur serta tidak memecat . Ini telah memberangsangkan keberanian massa buruh. Akan tetapi kerana kebanyakan kapitalis bersikap kepala batu dan pihak penjajah pula mengerahkan polis mengepung dan menggeledah lombong, menangkap anggota Parti Komunis dan anasir cergas kaum buruh, maka perjuangan terkandas untuk suatu waktu. Namun itu tidak bererti kegagalan. Melalui tempaan perjuangan, konsep legal massa buruh telah lenyap, sebilangan anasir cergas sebagai tulang belakang telah muncul dan menyertai kesatuan buruh bawah tanah.

Pada tahun 1939, Parti Komunis Malaya telah menyelenggarakan Sidang Lengkap Ke-6 Jawatankuasa Pusat yang diperluas dalam mana diulangkaji pedoman front persatuan anti-fasis dan dibuat tambahan baru, terutamanya mengatasi lebih lanjut tutup pintuisme di bidang organisasi, sedapat mungkin menggunakan bentuk yang terbuka dan legal dan sekuat tenaga melancarkan gerakan massa. Dalam sidang tersebut, Kawan Li Liang dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Komunis Malayal. Selepas sidang itu, beliau pulang di kawasan lombong di Kinta untuk melaksanakan keputusan Jawatankuasa Pusat PKM tersebut. Di bawah keadaan beginilah kegiatan persiapan membentuk Kesatuan Buruh Lombong Perak dipulihkan dan diubah menjadi kesatuan yang legal. Pendaftaran secara legal Kesatuan Buruh Lombong Perak telah memperlihatkan bahawa pada masa itu, Parti Komunis Malaya telah menyelesaikan masalah koordinasi perjuangan terbuka dengan perjuangan rahsia, melancarkan perjuangan balas berbalas terhadap imperialis British yang memainkan taktik rangkap kontra revolusioner ke atas rakyat negara kita walaupun ia sedang mengalami krisis ekonomi dan kesulitan perang imperialis.

(Suara Demokarasi Malaya 10-12 Mei 1989)

KEHIDUPAN GERILA: MENGAIL DI SUNGAI BATU



MENGAIL DI SUNGAI BATU,
ISI IKAN ENAK SEKALI


Oleh: Xiaopeng. Terjemah: Airi

 Sungai Batu adalah anak Sungai Hala,kami menamainya begini kerana di sepanjang sungai itu terdapat banyak batu besar dan kecil. Sungai Hala terletak di timur Empangan Banglang, selatan Thailand, airnya mengalir dari hulu di timur tenggara menuju ke barat laut dan terus ke Empangan Banglang. Panjangnya berpuluh-puluh kilometer. Luasnya Sungai Batu belasan meter, dalam airnya tidak sama, yang dalamnya kira-kira sepuluh kaki, yang cetek pula airnya tidak sampai separas lutut.

Hulu Sungai Batu terletak di sebelah timur, melangkaui legeh di hulunya terdapat hulu-hulu sungai yang mengalir ke kawasan Pasukan Rejimen Ke-10. Jadi, tempat ini adalah mesti dilalui oleh utusan perhubungan di hutan antara Pasukan Khas dan Pasukan Rejimen Ke-10. Nasib baik! Saya adalah salah seorang anggota regu perhubungan utusan ini. Selang 2 atau 3 bulan, kami akan menggalas bungkusan-bungkusan berupa artikel, buku dan bahan-bahan lain, bertolak dari Kem Kemenangan, mendaki gunung-ganang yang tinggi dan melintasi hutan rimba, menuju ke arah timur. Jarak antara Pasukan Khas dan Pasukan Rejimen Ke-10 sungguh jauh, bersela-sela dengan gunung-ganang dan sungai-sungai. Satu kali perhubungan utusan dalam hutan memakan masa lebih kurang 10 hari pergi-balik. Dalam tempoh itu ada 2-3 hari kami bermalam di tepi Sungai Batu. Pemandangan di sini cantik sekali, hawanya sejuk, airnya jernih, ikan pun banyak, merupakan syurga untuk kami mengail.

Setiap kali bermalam di tepi Sungai Batu, tak kira betapa sibuk dan letih pun saya tetap mahu merebut masa pergi mengail bersama dengan seorang rakan lama. Ikan sungguh banyak di sungai dan tempat untuk mengail pun banyak. Jika di musim kemarau, kami boleh melompat-lompat di antara batu-batu besar di tengah sungai sambil mengail dengan suka hati. Kami membuat buah beringin palsu daripada plastik merah sebagai umpan. Kami memotong batang atap bertam sepanjang kira-kira 8 kaki, dan membersihkan daunnya, batang pokok atap inilah sebagai joran, hujungnya diikat dengan tali kira-kira 7 kaki panjang, dan di hujung tali itu diikat pula dengan mata kail berumpan (terikat dengan buah palsu). Kami bersembunyi di tepi batu besar, melempar joran dengan sebelah tangan, umpan itu boleh dilempar sampai ke sesuatu lubuk sejauh belasan kaki. Seketika terdengar bunyi deburan, kami segera mengangkat joran. Ikan-ikan itu memang cergas, umpan palsu disangkanya buah jatuh dari atas pokok, akan menyerbu dengan pantas seperti anak panah dilepaskan, ia segera makan umpan lalu mulutnya terkail, tak sempat merasa umpan itu benar atau palsu ia sudah pun ditarik naik ke darat. Kami mencucuk ikan-ikan dengan seutas rotan yang diikat simbul di hujungnya, kemudian kami menarik rotan dengan tangan kiri. Kami melempar joran 2-3 kali di sebuah lubuk, hingga ikan tak makan umpan, baru kami beredar ke lubuk lain. Sebenarnya, bukan semesti-nya melemparkan umpan ke dalam lubuk, di dalam air cetek yang deras pun dapat mengail ikan besar yang bersembunyi di situ. Ini bergantung pada kemahiran dan pengalaman. Saya seorang yang masih kurang kemahiran mengail, akan tetapi selalu dapat juga mengail ikan di Sungai Batu. Kadang-kadang juga dapat mengail seekor dua ikan yang agak besar, pada saat itu sungguh riang gembira di hati!

ikan kelah
Seorang kawan yang berulang alik di Sungai Batu bertahun-tahun dan mahir mengail memberitahu saya bahawa tabiat ikan berenang menuju ke hilir, jadi mesti mengail dari hilir menuju ke hulu. Sebaliknya, jika seorang mengail dari hulu ke hilir, dia bukan seorang yang mahir mengail. Seorang lagi yang mahir mengail menceritakan pengalamannya bahawa jika mengail di Sungai Batu ini, yang paling baik ialah pada waktu petang turun hujan renyai-renyai. Suatu kali, mereka baru mulai mengail sahaja sudah turun hujan renyai-renyai, luar dari dugaan, ikan merebut-rebut makan umpan, yang dapat dikail pun ikan-ikan agak besar. Tak sampai setengah jam, mereka dapat mengail ikan segugusan masing-masing.

Di Sungai Batu, jika ada umpan (buah merah palsu), jangan bimbang tak dapat makan ikan! Air sungai di hutan jernih, isi ikan paling sedap! masak dengan air atau panggang pun juga lauk enak sekali!

sumber: Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21, Bilangan 23, 31 Mac 2012

LAGU PEMUDA PELAJAR REVOLUSIONER

- memperingati perjuangan pelajar tahun 1974 -



Pemuda pelajar revolusioner
Semangat juang meluap berkobar-kobar
Membela kebenaran dengan penuh sedar
Maju majulah pemuda pelajar

Dengan buruh dan tani sebati diri
Turun ke desa pergi ke factory
Bangkitkan massa kembang revolusi
Mengabdi rakyat bela pertiwi

Berkejar ke selatan kejar ke utara
Nasib buruh tani dibela semua
Perarakan raksasa membanjiri kota
Kekuatannya sungguh perkasa

Persatuan pelajar terus perjuangan
Tak takut penjara tak takut belantan
Semakin berjuang bertambah kekuatan
maju jayalah pemuda pelajar

Categories

Pengikut