Isnin, 27 Februari 2012

ALFATIHAH UNTUK KAWAN LIJAH

5 ulasan
Kawan Lijah, puteri terpuji rakyat marhaen  Pattani, Selatan Thailand telah pergi menghadap Illahi pada hari Khamis 23 Februari 2012 dalam usia 76 tahun.  Jenazahnya dimakamkan di tanah tumpah darahnya, Kampung Jambu, Pattani. Allahyarhamah mengidap sakit buah pinggang yang kemudian merebak menjadi radang paru-paru. Allahyarhaman meninggalkan dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Suaminya, Allahyarham Dolmat telah meninggal dunia pada 24 April 2010.

Kawan Lijah atau nama sebenarnya Limah Karim hidup menderita di bawah penindasan masyarakat kapitalis dan sistem feudal yang memandang wanita sebagai kaum darjat rendah. Beliau tertarik dengan kisah perjuangan wanita dalam angkatan AWAS.  Dengan demikian beliau berketetapan hati untuk ikut berjuang bersama anggota AWAS dalam Rejimen Ke-10 pada akhir tahun 60-an.

Dalam perjuangan bersenjata yang kusut masai, Kawan Lijah telah memperlihatkan semangat seorang serikandi terpuji, pantang menyerah dihadapan mara bahaya dan susah payah. Beliau pernah beberapa kali ikut serta  pasukan penggempur mara ke Selatan (Malaya) di bawah pimpinan Abu Samah Mohd. Kassim. Pada tahun 1973, beliau dihantar bertugas di Pasukan Penggempur Ke-15 di bawah pimpinan Rashid Maidin. Setelah terwujudnya perdamaian 1989, beliau menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin.

Seluruh rakan seperjuangan dari Kampung Perdamaian Sukhirin menyampaikan takziah sedalam-dalamnya kepada kaum keluarga Allahyarhamah dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihi Allah.

Jumaat, 17 Februari 2012

BERMULANYA DETIK PERJUANGAN - Majid Salleh

0 ulasan
BERMULANYA DETIK PERJUANGAN

Oleh Majid Salleh

Pada akhir-akhir tahun 1945
tahun empire Jepun menyerah kalah
detik jajahan Jepun hancur musnah
detik ‘ohayo gozaimas’ mula dilupakan
diganti semula dengan ‘good morning’

Pada saat-saat itulah juga awal mula pertama mula
bangsa Melayu mengukir sejarah
sejarah yang tak kunjung padam
sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan
menerusi sebuah pertubuhan parti politik

PKMM nama badannya
Parti Kebangsaan Melayu Malaya nama penuhnya
Malay Nationalist Party nama Inggerisnya
ditubuhkan di Ipoh, Perak

Para penajanya terdiri dari budak-budak
nakal belaka
budak-budak yang berumur di bawah 30 tahun
budak-budak yang tidak punya apa-apa kelulusan

Di antara budak-budak penajanya
Ahmad Boestamam dari Behrang, Tanjung Malim, Perak
Baharuddin Tahir dari Kuala Kangsar, Perak
Mokhtaruddin Lasso dari Bidor, Perak
Abdullah CD dari Lambor, Perak
Dahari Ali dari Sungai Raya, Kampung Kepayang, Perak
Swito dari Ayer Kuning, Kampar, Perak
Arshad Ashaari dari Bidor, Perak
Musa Ahmad dari Pengkalan Baru Gopeng, Perak
Rahman Rahim dari Tanjung Rambutan, Perak
Dan… dan… ramai lagi

Pada awal tahun 1946 datang Dr. Burhanuddin
datang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) sekarang doktor
datang Shamsuddin Salleh, penulis dan pengarang
datang Cikgu Harun Aminurrashid
dan datang… datang mencurah-curah

PKMM tertubuh di seluruh pelusuk tanah air
dari Timur ke Barat dan
dari Utara ke Selatan hingga ke Singapura

Puak-puak yang mula-mula menerima
ialah rakyat jembel, orang-orang kampung
orang-orang buta huruf, rakyat jelata
rakyat tertindas, rakyat miskin

Orang-orang kaya jangan diharap
apa lagi orang berpangkat
orang-orang mengerat jauh sekali

Ayuh berjuang! Seru pemimpin
Maju sekarang! Sahut pengikut


Sumber: 'Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh' Penerbit UKM, 2004

Rabu, 1 Februari 2012

HARI PENUBUHAN TPNM 1 FEBRUARI

0 ulasan

Hari ini pada 1 Februari 1949, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya telah merasmikan penubuhan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) dan Markas Agungnya, menetapkan tugas, disiplin dan wajah tentera. Sejak dari itu semua gerilawan gerilawati golongan kiri yang masuk hutan akibat dari penindasan penjajah British pada 20 Jun 1948 disatukan dibawah pasukan tersebut. TPNM adalah sebuah tentera rakyat bentuk baru yang terdiri dari putera puteri terpuji rakyat berbagai kaum Malaya  memanggul senjata  berjuang menentang penjajahan Inggeris untuk kemerdekaan bumi pertiwi dan pembebasan rakyat.

Sejak peristiharan darurat oleh penjajah British, pasukan-pasukan gerila dibentuk secara berturut-turut di berbagai negeri. Dalam masa beberapa tahun saja pasukan gerila TPNM telah berkembang menjadi 12 rejimen. Berbagai negari di Semenanjunag (kecuali Pulau Pinang yang hanya ada pasukan lasak) ada pasukan bersenjata anti-British.

Mengikut perangkaan yang tidak lengkap, dari bulan Jun 1948 hingga Januari 1954, pasukan TPNM telah melancarkan pertempuran dalam berbagai bentuk sebanyak 19,000 kali lebih.

Dalam beberapa tahun setelah diisytiharkan undang-undang darurat, hampir 100 batalion pasukan infantri, pasukan meriam, dan pasukan kereta perisai British yang terlibat dalam perang di Malaya. Mengikut perangkaan yang diperolehi, jentera perang penjajah British terdiri dari 400,000 orang tentera, 77,000 polis dan 320,000 tentera simpanan termasuk AP.

Penjajah British yang terlepur dalam perang rakyat jangka panjang menghadapi pukulan berat dari segi politik, ketenteraan dan ekonomi, akhirnya terpaksa menukar strategi dari kolonialisme kepada new kolonialisme dengan memberikan "kemerdekaan" kepada Malaya pada tahun 1957.

Demi menyambut kemerdekaan yang bakal tiba dan mewujudkan perdamaian dalam negeri, PKM secara inisiatif telah mengadakan perundingan dengan Tunku Abdul Rahman untuk menamatkan peperangan dan mengambil bahagian dalam mengisi kemerdekaan negara. Akan tetapi, Tunku ternyata tidak berniat untuk mencapai persefahaman di meja perundingan. Beliau tetap berkeras mahukan PKM dan TPNM menyerah diri atau dalam erti kata lain mahu meneruskan perang menggantikan penjajah Inggeris terhadap PKM dan TPNM. Dengan itu, berlangsunglah perang dalam negeri selepas kemerdekaan.

Pada tahun 1982, nama Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah diubah kepada Tentera Rakyat Malaya (TRM), namun sistem pasukan, disiplin tentera, pakaian seragam dan lain-tidak tidak diubah.

Pasukan TRM telah dibubarkan selepas penandatanganan persetujuan damai 3 pihak Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan PKM pada 2 Disember 1989. Semua alat persenjataan telah dimusnahkan sebagai keikhlasan pihak PKM dan TRM memberhentikan perjuangan bersenjata.



LAGU BENDERA TENTERA

Bendera tentera berkibar-kibaran
Memandu kita maju ke depan
Bintang keemasan bertanahkan merah
Rakyat bangun berjuang terus berjuang

Majulah kawan fajar sudah menyingsing
Melawan musuh dengan perwra
Untuk pembebasan nusa serta bangsa
Perjuangan kita pasti berjaya

Kita tentera anak rakyat
Bersatu dan sepakat
Memperjuangkan negara rakyat
Menghalau penjajah dari Malaya
Kibarkanlah bendera tentera
Ke serata pelusuk Malaya

REJIMEN KE-10 TRM