BAGAIMANA IMPERIALIS BRITISH MENGUASAI SINGAPURA DAN JOHOR

Setelah memperoleh Pulau Pinang, penjajah British mengalihkan pula perhatiannya untuk mencari sebuah pangkalan yang lain yang lebih strategik kedudukannya. Kali ini mereka mahu mencapluk pulau Singapura pula. Pada masa itu, Johor, Singapura, Pahang, Riau dan Lingga merupakan sebuah negara kesatuan dengan pusat pemerintahannya bertempat di Riau.

Pada tahun 1812, Sultan Mahmud Shah, Sultan Kerajaan Riau telah mangkat. Ini memberi peluang kepada British untuk memasukkan jarumnya. Pengganti Sultan sepatutnya Tengku Husin, akan tetapi yang dilantik sebagai sultan yang baru ialah adiknya, Tengku Abdul Rahman. Stamford Raffles yang mewakili kepentingan Kompeni Hindia Timur ketika itupun tak lengah-lengah lagi. Dia lalu menghubungi Tengku Husin dari Riau melalui Temenggong Abdul Rahman yang merupakan wakil Kerajaan Riau yang mentadbir Johor dan Singapura ketika itu. Dalam rungingan tiga pihak itu, Tengku Husin dan Temenggong Abdul Rahman, pihak British berjanji akan mengangkat Tengku Husin sebagai Sultan Johor dan Singapura dengan syarat dia sanggup bekerjsama dengan British dan memajakkan Pulau Singapura untuk dijadikan pangkalan British.

Atas permintaan Tengku Husin, pada 6 Februari 1819, diapun diisytiharkan oleh British sebagai sultan bagi Johor dan Singapura. British membayarnya elaun sebanyak $5,000 setahun manakala Temenggong Abdul Rahman $3,000 setahun. Semenjak itu Singpura dan Johor terpisah daripada negara kesatuan yang berpusatkan di Riau; Singapura dan Johor dimasukkan ke dalam lingkungan kekuasaan Inggeris manakala Riau pula dibawah kekuasaan Belanda yang menjajah Indonesia.

Akan tetapi, pada tahun 1824, British menyingkir Tengku Husin dan mengangkat pula anaknya Raja Ali sebagai Sultan. Tapi itupun untuk sementara saja. Kekuasaan Ali kemudian dialih kepada Temenggong Abdul Rahman. Sungguhpun Johor secara rasmi dimasukkan ke dalam pentadbiran “Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu” pada tahun 1914, akan tetapi pengaruh British telah meresap di Johor sejak 1819 lagi.

Sumber: ABDULLAH C.D.: STRATEGI PENJAJAH BRITISH UNTUK MENGUASAI MALAYA

SELAMAT TAHUN BARU TIONGHUA: SEMUA KAUM BERSATULAH

Kami mengucapkan SELAMAT TAHU BARU TIONGHUA kepada rakan seperjuangan kami di Kampung Perdamaian Banlang, Kampung Perdamaian Betong, Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, kepada massa revolusioner yang telah memberikan sokongan tak berbelah bagi selama berlangsungnya perjuangan bersenjata menentang penjajah British, kepada keluarga para perajurit yang telah gugur serta kepada kaum Tionghua di seluruh tanahair.

Kami menyeru rakyat berbagai kaum tanah air dengan tegas menolak polisi pemecahbelahan kaum dan agama yang terus menerus dimainkan oleh pihak berkuasa, memelihara perpaduan berbagai kaum dalam perjuangan bersama membentuk sebuah masyarakat yang benar-benar bebas merdeka dan berdaulat, menjunjung keadilan untuk semua rakyat dan membela rakyat tertindas yang merupakan jumlah terbanyak penduduk tanah air kita.

BERSATU KITA TEGUH
BERCERAI KITA ROBOH

INGGERIS MENGUASAI PULAU PINANG DENGAN UGUTAN DAN TIPU DAYA




Sebelum menguasai Malaya penjajah British terlebih dahulu telah menjajah India. Kompeni Hindia Timur milik penjajah British yang berpangkalan di India ketika itu sangat memerlukan pangkalan-pangkalan yang sesuai di Selat Melaka untuk membolehkannya menjalankan aktiviti perdagangan rempah dan lain-lain dengan negara Asia Tenggara dan Timur Jauh. Kompeni Hindia Timur telah menghantar Kapten Francis Light yang membawa kapal perang ke Pulau Pinang yang berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah dan dengan berbagai tipu helah termasuk ugutan, dia telah memperdayakan baginda sultan. Pihak British dengan licik mempergunakan pertentangan antara sultan dengan musuh-musuh luarnya khususnya Kerajaan Siam untuk memaksa baginda supaya bersetuju mengikat perjanjian dengannya. Mengikut perjanjian itu, British bersetuju memberi bantuan senjata untuk menentang Siam dan musuh-musuh luar lainnya dan membayar $30,000 setahun kepada sultan sebagai pajak bagi mendapatkan Pulau Pinang.

Akan tetapi setelah membuka dan menguasai Pulau Pinang, British bukan saja memungkiri janjinya bahkan telah pergi lebih jauh dari itu. Ia telah mengisytiharkan Pulau Pinang dengan nama “Prince of Wales” pada 11 Ogos 1786 dan memasukkannya ke dalam jajahan takluk British. Tindakan British yang kurang ajar ini telah membangkitkan kemarahan sultan dan orang-orang Melayu. Pihak sultan telah bersiap-siap untuk menyerang British bagi merebut kembali Pulau Pinang. Serangan itu dilancarkan pada tahun 1791. Ini adalah perang anti-British yang pertama dilancarkan oleh orang-orang Melayu. Akan tetapi sultan tidak mengerahkan massa rakyat sepenuhnya. Baginda lebih bersandar pada kekuatan lasykar laut saja. Di pihak British pula pasukan Kapten Ligh di Pulau Pinang telah mendapat bantuan kapal-kapal perang British yang berpangkalan di India. Dengan demikian dia dapat mengalahkan pasukan-pasukan sultan. Dengan peperangan itu, bukan saja British telah dapat mempertahankan kedudukannya ke atas Pulau Pinang, bahkan mereka mara terus lalu menguasai Sungai Perai. Kerana British berada pada kedudukan yang lebih unggul, maka pada tahun 1800 Sultan Kedah terpaksa menerima satu perjanjian baru yang lebih menghinakan yang memberikan pula Seberang Perai kepada British. Mengikut perjanjian tersebut, pajak tahunan sebanyak $30,000 untuk Pulau Pinang telah diturunkan kepada $6,000. Seberang Prai diserahkan kepada British dengan pajak sebanyak $4,000. Dengan itu Pulau Pinang dan Seberang Perai telah menjadi tanah jajahan langsung British dengan bayaran pajak hanya $10,000 saja setahun. Dari tapak inilah penjajah British terus merancangkan untuk menguasai negeri-negeri Melayu satu demi satu. 




JUALAN BUKU TAHUN BARU GERAKBUDAYA






GB GERAKBUDAYA 2012 NEW YEAR SALE!

High-quality, Provocative, Controversial, Inspiring Books
Friday, 13 January to Sunday, 15 January 2012
10.00 am – 7.00 pm
BIG discount from 20%-100%
Venue:
GB GerakBudaya Enterprise Sdn. Bhd.
11, Lorong 11/4E,
46200 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Come and Buy These Stimulating Books!
Arts & Literature, Current Affairs, Development, Economics, Environment, Globalization, Indigenuous,Labour and Migrant Workers,Memoirs,Oral History,Politics and International Relations,Religions and Cultures,Social Science,Women and Gender Studies,and many more...
Books from: Malaysia, Singapore, Indonesia, Phillipines and other countries
For more information please contact Chong Ton Sin 016-3797231, Kimmy Lim 012-357 3397 or Wong Peck Lin 012-373 6743

Sajak: BONG KAMAR

BONG KAMAR
(Ibrahim Chik – Nasionalis Ulung Dalam Kenangan)
 
Oleh: Susila
3 Januari 2012
Kelantan





Bong Kamar
nasionalis ulung
patriot sejati
pemimpin yang disegani
pejuang yang berjasa.

Bong Kamar
mengobarkan api kemerdekaan
menyedarkan tani miskin Temerloh
negeri Datok Bahaman
bangkit melawan kerakusan kolonial British
berganding bahu
mengasaskan Rejimen Ke-10
tentera anak tani.

Bong Kamar
disayangi rakyat kawasan sempadan
pendengar setia jerih payah mereka
menyingkir kejahilan
buang jauh kemiskinan
tingkatkan maruah diri
bersama melawan kebejatan turun temurun.

Bong Kamar
hormati atasan
cintai bawahan
teguh dan patuhi arahan
tegas tapi dedikasi dalam tugas
ketepikan kepentingan diri
berjuang demi bangsa agama
dan negara.

Bong Kamar
peralihan damai
lebih mendekatkan diri denganNya
menambah mana yang kurang
mentelaah yang sedia ada
redha dengan ketentuanNya
dengan tenang pergi menemuiNya
ya Allah! Rahmatilah rohnya.

Gugurnya Bong Kamar
hilanglah lagi sebutir bintang
yang menyinari taman sejarah negara
jasanya terpahat kukuh
kekal abadi!


 ---
Susila adalah bekas perajurit wanita Rejimen Ke-10 , berasal dari Kelantan

IBRAHIM CHIK DALAM KENANGAN - DURI DAN API

Ibrahim Chik dalam kenangan 

Sempena ke pulangan ke rahmatullah Haji Ibrahim Chik,  pejuang kemerdekaan dari Temerloh, pada 29/12/2011, saya ingin mencatatkan di sini sedikit kenangan saya terhadap beliau.

Saya mula mengenali beliau pada tahun 2002, apabila almarhum Prof. Anuar Mahmud dari Jabatan Sejarah UKM menunjukkan kepada saya manuskrip memoir beliau yang dikirimkannya kepada Penerbit UKM.  Prof.Anuar Mahmud adalah orang pertama yang diminta oleh  Penerbit UKM untuk membaca dan menilai manuskrip itu.

Saya tertarik membaca  manuskrip itu yang  antara lain mengisahkan perjuangan beliau dalam API Temerloh (1946-1948) dan  Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaysia (TPNM) (1948-1989). Beliau  adalah salah seorang pejuang dari Temerloh yang ikut berpindah ke Selatan Thai  untuk  meneruskan perjuangan  bersama Rejimen Ke-10  dari negara jiran  itu selama kira-kira  empat dekad. Dalam organisasi PKM  beliau pernah dilantik menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama Abdullah C.D,  Rashid Maidin, Suriani Abdullah dan Abu Samah Kassim.

Selepas itu, sehingga tahun 2004,  saya mengunjungi beliau berulang ahli di rumahnya di Temerloh, kerana pada masa  itu saya sedang  mengumpul bahan untuk buku saya, Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan. Temu ramah dengan beliau sedikit sebanyak dapat membantu saya memahami bagaimana   anggota Regimen Ke-10 dari Malaysia yang tidak begitu  ramai dan sentiasa diburu oleh askar Malaysia dan Thailand  dapat bertahan di Selatan Thailand selama kira-kira empat dekad.

Pihak Penerbit UKM bersetuju menerbitkan  manuskrip memoir Ibrahim Chik. Pada masa yang sama Penerbit UKM juga  merancang untuk menerbitkan memoir tokoh-tokoh kiri Melayu  yang lain, seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Abdullah C.D.

Saya telah diminta oleh Penerbit UKM untuk mengedit manuskrip memoir Ibrahim Chik. Memoir Ibrahim Chik merupakan memoir pertama tentang tokoh kiri Melayu yang diterbitkan oleh Penerbit UKM. Memoir kedua ialah memoir Shamsiah Fakeh.

Malangnya penerbitan  memoir dua  tokoh kiri Melayu itu  telah menimbulkan kontroversi, kerana banyak pihak di dalam dan di luar UKM yang tidak bersetuju  UKM menerbitkan memoir "tokoh komunis Melayu" itu.  Pihak Kementerian Pendidikan telah  mengarahkan Penerbit UKM  supaya menarik balik buku itu dari pasaran, dan  rancangan penerbitan memoir tokoh kiri Melayu yang lain pun tidak dapat diteruskan.

Memoir Ibrahim Chik yang mula-mula diterbitkan oleh Penerbit UKM  pada tahun 2004  telah di terbitkan semula sebagai edisi baru oleh SIRD pada tahun 2010 dengan sedikit tambahan oleh beliau sendiri dan dengan gambar kulit yang baru.

Dengan kepulangan Ibrahim Chik ke rahmatullah, kini hanya tinggal dua orang tokoh kiri Melayu yang masih hidup, iaitu Abdullah C.D. dan isterinya Suriani Abdullah yang sudah begitu uzur. Mereka tidak pulang ke Malaysia dan kini sudah menjadi warga negara Thai. Tokoh lain, Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan Abu Samah Mohd.Kassim sudah pun meninggalkan kita terlebih dahulu.

Di sini saya mengambil kesempatan untuk memanjatkan doa supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan  semoga  roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang salleh.

dipetik dari http://duridanapi.blogspot.com/

PROFAIL IBRAHIM CHIK - ANGGOTA MARKAS BESAR REJIMEN KE-10 DAN ANGGOTA JKP PKM


"Saya masuk hutan kerana hendak berjuang untuk kemerdekaan tanah air. Ada bermacam-macam cara berjuang. Kami di Rejimen Ke-10 mengangkat senjata bergerila kerana kami tiada pilihan lain sebab kami dipaksa British untuk berbuat demikian. Kami percaya kemerdekaan tanah air pada 1957 ada sedikit sebanyak sumbangan kami. Saya dan rakan-rakan seperjuangan amat mensyukurinya kerana Negara telah merdeka." – Ibrahim Chik, Ogos 2004


  • Nama: Ibrahim Chik, nama perjuangan Kamar, di dalam pasukan lebih kenali sebagai Bong Kamar, nama pena Al-Pahmi.
  • Lahir: Disember 1922, di Kampung Sungai Dingin, Mukim Mentakab, Daerah Temerloh, Negeri Pahang.
  • Pendidikan: Lulus darjah 5 Sekolah Melayu, belajar agama di sekolah pondok Lubuk Kawah dan Kelantan.
  • Pekerjaan: Sebelum perisytiharan Undang-undang Darurat, bekerja menjaga kedai syarikat di kampung, kemudian membuka kedai sendiri, kemudian bertani.
  • Politik: Pada Jun 1947 menjadi anggota PKM. Aktif dalam API dengan menjadi anggota Badan Penerangan Cawangan, kemudian menjadi Ketua Penerangan PETA Pahang.
  • Mei 1948 membuat persiapan-persiapan untuk Sekolah Parti Kem Se-Malaya dan menghadiri sekolah tersebut.
  • Setelah darurat 48  menyertai perjuangan bersenjata, pada masa awalnya menjalan kerja-kerja menyusun massa, dan sebagai Instruktur Poliatik Platun.
  • 1952 bersama-sama Chang Ling Yun bertolak ke Selatan Thai, tiba  pada Mac 1953. Di Betong beliau dilantik sebagai Jawatankuasa Kerja Negeri Jabatan Kerja Melayu, menyusun kampung-kampung Melayu di Betong (Thailand) dan lain-lain.
  • Akhir 1954, bergabung semula dengan Rejimen Ke-10 di Dusun Nyor, bertugas memimpin regu penyusun massa.
  • 1955 dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen Ke-10.
  • 1980 dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PKM
  • 1992 pulang ke tanah tumpah darah melalui perjanjian damai 89 antara Kerajaan Malaysia, Thailand dan PKM. 
  • 2004 berjaya menyiapkan Memoir Ibrahim Chik - Dari API ke Rejimen Ke-10
  • Disember 2011 meninggal dunia di kediamannya di Temerloh, Pahang.
  • Rumahtangga: 1943 mendirikan rumahtangga dengan Rahmah, tapi isterinya itu tertangkap, mendirikan rumahtangga pula dengan Zamiah.

Categories

Pengikut