Rabu, 26 Disember 2012

SAJAK: DIA KEKASIHKU


Dia kekasihku 



(Mengenangi Kawan Agus)



Putera Gunung Tahan
Waris datuk Bahaman
Pembawa obor patriotisma
Pejuang buruh yang berani
Penyebar percikan api perjuangan
Bangun menentang kezaliman

Dia pejuang kemerdekaan
Dalam tubuhnya mengalir darah satria
Berjiwa patriotik
Bernadi marhein
Bermata tajam
Menerjah setiap kezaliman
Mengenali ketidakadilan

Semangatnya …0
Kental – tak tunduk pada pujukan
Berani – mendepani kekejaman lawan
Teguh – pada tekad dan azam
Tabah – kesusahan diremeh dipijak-pijak
Penyakit dianggap ujian Ilahi

Kawan Agus
Pemegang panji komunisma
Perajurit berani regimen 10
Tentera Pembebasan Rakyat Malaya
Pengawal jujur lagi setia
“empat disiplin sepuluh peringatan”
Disemat kukuh dalam dada

Dipegang kejat
Diikut taat

Dia kekasihku
Seorang lelaki sejati
Tak pandai merungut
Tak erti berkira
Penyayang mesra berbicara
Peramah bijak mengatur kata
Pengikut setia Muhammad saw
Bersemai di sisi-Nya
Perginya dia kekasihku
Hilangnya sebutir bintang
Di medan sejarah perjuangan kemerdekaan
Lenyap nyanyian lagu patriotism
Sayu menyelubungi malam asmaraku
Tiada tangis hiba
Tiada ratap pilu
“dari Nya dia datang , kepada Nya dia kembali”


Hari ini
Di atas pusaranya bermekaran kudup kudup sejarah
Yang telah berkembang
Menghiasi medan tinggalan kita
Yang pasti mengeluarkan buah
Yang lebih manis
Lebih khasiatnya

Semoga kau damai di persemadian
Dia kekasihku.



Susila

Pasir Putih

20.12.2012

Tiada ulasan:

REJIMEN KE-10 TRM