Selasa, 4 Disember 2012

PENGUMUMAN BERSAMA OLEH KERAJAAN DIRAJA THAILAND, KERAJAAN MALAYSIA DAN PARTI KOMUNIS MALAYA

1. Kerajaan Diraja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya sesuai dengan hasrat bersama untuk pendamaian dan perdamaian, telah mengambil dua persetujuan bersama: Satu, di antara Markas Gerakan Keselamatan Dalam Negeri Kawasan Ke-4 Tentera Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya, dan yang satu lagi di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya untuk menamatkan semua aktiviti bersenjata serta mewujudkan perdamaian di seluruh kawasan sempadan Thai – Malaysia dan Malaysia.

2. Bekas anggota pasukan-pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan Parti Komunis Malaya memberi jaminan mereka kepada Thailand dan Malaysia untuk menghormati undang-undang kedua-dua negara ini serta untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat demi faedah rakyat. Thailand dan Malaysia akan memberikan layanan yang adil kepada anggota-anggota ini. Kerajaan Malaysia selepas satu masa akan membenarkan bekas anggota pasukan-pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan Parti Komunis Malaya itu yang terdiri daripada warganegara Malaysia ataupun yang telah menjadi warganegara Malaysia untuk mengambil bahagian secara bebas dalam kegiatan politik dalam rangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

3. Semua ketiga pihak mengakui bahawa penyelesaian secara terhormat ini akan mewujudkan kemakmuran, kestabilan dan keselamatan di kawasan sempadan Thai – Malaysia dan Malaysia.

4. Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya menyatakan rasa terima kasih yang tulus ikhlas kepada Kerajaan Diraja Thailand atas usaha-usahanya menyediakan kemudahan-kemudahan bagi melangsungkan perundingan damai tiga pihak serta membawa penamatan yang berjaya bagi perundingan damai ini.

Hadyai, Thailand

2 Disember 1989


Tiada ulasan:

REJIMEN KE-10 TRM