PENGATURAN PENTADBIRAN DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN PARTI KOMUNIS MALAYA SELARAS DENGAN PERSETUJUAN MENAMATKAN PERMUSUHAN


            Kerajaan Malaysia, selepas ini disebut sebagai Kerajaan dan Parti Komunis Malaya, selepas ini disebut sebagai PKM, dengan ini bersetuju dengan Pengaturan Pentadbiran di bawah ini untuk melaksanakan persetujuan bersama yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di Hadyai, Thailand bagi menamatkan semua permusuhan.

PERKARA 1 - PENAMATAN AKTIVITI-AKTIVITI BERSENJATA

1.1       Kerajaan dan PKM akan menamatkan semua aktiviti bersenjata dengan ditandatanganinya Persetujuan ini.

1.2       Kenyataan-Kenyataan Akhbar

Semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mana-mana satu pihak selepas ini haruslah dibuat dengan semangat persetujuan dan tidak harus mengandungi sebarang istilah memfitnah seperti "penyerahan diri beramai-ramai" dan "kapitulasi" (pengkhianatan/serah diri).

PERKARA 2 - PEMBUBARAN PASUKAN-PASUKAN BERSENJATA

2.1       Pengumuman Pembubaran     

PKM akan membubarkan semua pasukan bersenjatanya, khasnya Tentera Rakyat Malaya (TRM) di dalam Malaysia dan Thailand dan akan  mengumumkan pembubaran tersebut tidak melebihi dua setengah bulan daripada tarikh Persetujuan      ditandatangani.

2.2       Senarai Nama 

PKM akan menyerahkan kepada pihak berkuasa Malaysia satu senarai nama mengandungi butir-butir peribadi anggota-anggotanya dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan, yang       memutuskan untuk bermastautin di Malaysia, bagi tujuan verifikasi (pemeriksaan untuk pengesahan) oleh pihak berkuasa Malaysia. Senarai anggota tersebut harus diberikan kepada pihak berkuasa Malaysia       dengan seberapa segera, dan walau macam mana pun dalam tempoh tidak melebihi setahun dari tarikh Persetujuan ditandatangani.

2.3       Pengunduran Dari Hutan.
           
Semua anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan PKM akan berkumpul di tempat-tempat yang ditetapkan lebih awal di Thailand dalam tempoh tidak melebihi dua bulan dari tarikh Persetujuan  ditandatangani.

2.4       Pemusnahan Senjata Api, Amunisi dan Bahan-Bahan Letupan

2.4.1    Semua anggota pasukan-pasukan bersenjata yang dibubarkan akan memusnahkan senjata api, amunisi dan bahan-bahan letupan mereka dalam masa tidak melebihi 15 hari dari tarikh ketibaan mereka di tempat-tempat di Thailand yang telah ditetapkan lebih awal itu. Dan tidak melebihi dua setengah bulan dari tarikh Persetujuan ditandatangani.

2.4.2    PKM harus menyerahkan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Thai satu senarai mengandungi      keterangan dan jumlah senjata api, amunisi dan bahan letupan tersebut bagi tujuan verifikasi (pemeriksaan untuk pengesahan) sebelum dimusnahkan. Pemusnahan tersebut haruslah disaksikan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thai.

2.4.3    Pemusnahan tersebut tidak boleh diambil  gambar atau dirakam dengan video.

2.5       Mencari Dan Memusnahkan Jerangkap Samar.

2.5.1    Anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan PKM harus mencari dan     memusnahkan semua jerangkap samar di dalam Malaysia yang dapat ditemui, dan akan disaksikan oleh pihak berkuasa Malaysia.

2.5.2    PKM harus menyerahkan kepada pihak berkuasa Malaysia semua pelan kasar yang ada tentang lokasi jerangkap-jerangkap samar di dalam Malaysia.

2.5.3    Mencari dan memusnahkan jerangkap-jerangkap samar itu harus dimulakan seberapa segera dan harus diselesaikan tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu.

2.5.4    Pihak berkuasa Malaysia akan memberi rawatan perubatan, elaun dan pampasan sekiranya berlaku kematian atau kecederaan kepada anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinan PKM tersebut dalam masa mencari dan memusnahkan jerangkap-jerangkap samar itu.

2.5.5    Semua perbelanjaan yang dipakai dalam mencari dan memusnahkan jerangkap-jerangkap samar di dalam Malaysia akan ditanggung oleh pihak berkuasa Malaysia.

2.6       Radio Suara Demokrasi Malaya

PKM dalam tempoh sebulan dari tarikh penandatanganan Persetujuan harus menutup stesen radio Suara Demokrasi Malaya (SDM). Dalam tempoh satu bulan ini, SDM tidak boleh menyiarkan sebarang pernyataan yang memfitnah terhadap kerajaan.

PERKARA 3  - BARANG-BARANG PERSENDIRIAN

Semua barang persendirian termasuk cenderamata (barang kenang-kenangan), gambar dan lain-lain   keperluan harian anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan  pimpinannya itu, yang mana pemilikannya tidak menyalahi undang-undang di Malaysia, boleh dipegang oleh mereka selepas diperiksa sebelum mereka  memasuki Malaysia.

PERKARA 4 - PEMASTAUTINAN DI THAILAND DAN KEBEBASAN  BERGERAK

4.1       Pihak berkuasa Malaysia tidak menentang anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinannya itu daripada bermastautin di Thailand.

4.2       Mereka yang menetap di Thailand bebas untuk memasuki Malaysia melalui saluran-saluran halal bagi menziarahi saudara mara dan sahabat handai mereka dan untuk bercuti.

4.3       Mereka yang dibenarkan menetap di Malaysia bebas untuk menziarahi saudara mara dan sahabat handai mereka di Thailand melalui saluran-saluran halal.

4.4       Saudara mara dan sahabat handai mereka yang menetap di Thailand dan Malaysia bebas untuk menziarahi mereka di mana-mana satu negeri tersebut melalui saluran undang-undang.

PERKARA 5 - PEMASTAUTINAN DI MALAYSIA

5.1       Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan akan dibenarkan bermastautin di Malaysia sekiranya mereka ingin berbuat demikian, setelah mereka tinggal di     tempat yang telah ditetapkan di Thailand bagi satu    tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.

5.2       Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang bukan berketurunan Malaysia boleh dibenarkan bermastautin di Malaysia, sekiranya mereka mahu, setelah mereka tinggal di tempat yang telah ditetapkan di Thailand untuk satu tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

5.3       Mereka yang berhasrat menetap di Malaysia mestilah memberitahu pihak berkuasa Malaysia akan hasrat mereka tidak melebihi satu tahun dari tarikh Persetujuan ditandatangani.

5.4       Berhubung dengan perkara 5.1 dan 5.2, PKM harus menyediakan butir-butir yang perlu kepada pihak berkuasa Malaysia untuk diproses dan diversifikasi (diperiksa untuk pengesahan). Dalam hubungan ini, kerajaan akan mengirim pegawai-pegawai  bersangkutan untuk mengurus kes-kes ini di Thailand.
5.5       Mereka yang ingin menetap di Malaysia akan dikategorikan sebagai berikut:

5.5.1    Warganegara Malaysia

5.5.2    Suami/isteri dan anak-anak bukan warganegara daripada warganegara Malaysia dan

5.5.3    Orang asing

5.6       Mereka yang dibenarkan menetap di Malaysia akan diberikan dokumen-dokumen pengenalan sebaik saja mereka memasuki Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke tempat permastautinan  masing-masing menurut pilihan mereka.

5.7       Suami/isteri dan anak-anak bukan warganegara daripada mereka yang berketurunan Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia menurut undang-undang Malaysia sekiranya mereka mahu.

5.8       Mereka yang telah bermastautin menurut pilihan mereka di Malaysia harus memberitahu kepada pihak berkuasa Malaysia akan alamat semasa mereka serta akan perubahan-perubahan alamat selanjutnya untuk memudahkan pembayaran bantuan kewangan.

5.9       Mereka yang dibenarkan menetap di Malaysia akan dibawa masuk ke dalam negeri dalam jumlah kecil dan sebarang pemeriksaan yang akan dijalankan    haruslah dengan cara yang tidak akan memberi malu.

5.10     Kemasukan mereka ke dalam Malaysia tidak akan diberi sebarang publisiti.



PERKARA 6 - KEPERLUAN UNDANG-UNDANG

6.1       Taat Setia Kepada Yang Di-Pertuan Agung Dan Negara

Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjata yang dibubarkan pimpinannya yang telah pulang untuk menetap di Malaysia, harus taat setia kepada Yang di-Pertuan Agung dan negara dan harus mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

6.2       Tidak Ada Tahanan, Soal Siasat Atau Dakwaan.

6.2.1    Kerajaan tidak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 ataupun mana-mana undang-undang lainnya terhadap anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan, yang telah pulang untuk menetap di Malaysia, kerana aktiviti-aktiviti lampau mereka yang berkait dengan PKM.

6.2.2    Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan akan tertakluk di bawah undang-undang Malaysia bagi sebarang  aktiviti haram yang mereka lakukan pada masa  hadapan.

6.3       Kewarganegaraan dan Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC).

6.3.1    Mereka yang dulunya mempunyai NRIC biru dan merah serta sijil kewarganegaraan sebelum mereka memasuki PKM atau pasukan bersenjatanya boleh terus menggunakannya sebagai dokumen-dokumen yang sah. Sebarang dokumen demikian yang telah hilang atau rosak akan digantikan dengan segera setelah  diversifikasi (diperiksa untuk pengesahan).

6.3.2    Suami/isteri dan anak-anak bukan warganegara kepada mereka yang berketurunan Malaysia yang telah menetap di Malaysia akan diberikan NRIC merah. Mereka boleh memohon untuk mendapat  kewarganegaraan selepas dua tahun menetap secara terus-menerus di Malaysia menurut undang-undang Malaysia.

6.3.3    Mereka yang terdiri daripada orang asing dan mereka yang kewarganegaraannya dibatalkan akan diberikan NRIC merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia. Mereka selanjutnya boleh  memohon untuk mendapat kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.

6.3.4    Mereka yang berketurunan Malaysia dan menyertai PKM dan pasukan-pasukan bersenjatanya sebelum pelaksanaan Pendaftaran Kebangsaan, akan diberikan NRIC Merah sekiranya mereka dibenarkan menetap di Malaysia. Mereka selanjutnya boleh  memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan menurut undang-undang Malaysia.

6.4       Keistimewaan Dan Kewajipan.

6.4.1    Mereka yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan telah menetap di Malaysia akan menikmati keistimewaan-keistimewaan yang sama seperti lain-lain warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

6.4.2    Mereka yang bukan berketurunan Malaysia dan bukan warganegara yang telah menetap di Malaysia akan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
PERKARA 7 - PENYERTAAN DALAM AKTIVITI-AKTIVITI POLITIK

7.1       Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang terdiri daripada warganegara Malaysia bebas untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti politik termasuk pembentukan sebuah atau beberapa buah parti politik menurut ketentuan-ketentuan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

7.2       Pihak berkuasa Malaysia akan dengan cepat menimbangkan sebarang permohonan yang  dikemukakan oleh mereka untuk pendaftaran sebuah parti politik menurut proses undang-undang yang   sepatutnya. Setelah pendaftaran parti tersebut akan diberikan taraf  yang sama seperti mana-mana parti politik lainnya yang didaftarkan secara undang-undang.

7.3       Mereka yang terdiri daripada warganegara Malaysia akan dibenarkan mendaftarkan diri sebagai pengundi.

PERKARA 8 - BANTUAN

8.1       Pihak berkuasa Malaysia akan memberi bantuan yang munasabah kepada anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang menetap di Malaysia. Segala bantuan kewangan yang diberikan kepada mereka akan diurus dan ditadbirkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

8.2       Bantuan Kewangan

8.2.1    Setelah memasuki Malaysia, jumlah pertama sebanyak $3,000 ringgit akan diberikan kepada setiap orang daripada mereka sebelum mereka meneruskan ke tempat permastautinan pilihan mereka.

8.2.2    Subsidi sebanyak $300 ringgit sebulan akan diberikan kepada setiap orang daripada mereka selama tempoh 36 bulan berkuat kuasa dari tarikh mereka    memasuki Malaysia.

8.2.3    Jumlah terakhir sebanyak $5,000 ringgit akan diberikan kepada setiap orang daripada mereka setelah tamat tempoh 36 bulan.

8.3       Pekerjaan

Pihak berkuasa Malaysia di mana mungkin akan  membantu anggota-anggota PKM dan anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan untuk mencari  pekerjaan.

8.4       Aktiviti-aktiviti Ekonomi.

Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan bebas untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dalam negeri. Pihak berkuasa Malaysia tidak menentang mereka membawa masuk sebanyak mana wang untuk mendirikan perusahaan bisnes, selagi modal dan  keuntungan yang diperolehi daripadanya tidak digunakan untuk tujuan-tujuan yang melanggar undang-undang.

8.5       Bantuan Kepada Mereka Yang Tiada Rumah

Anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang pulang ke Malaysia dan tidak mempunyai rumah sendiri akan disediakan tempat tinggal yang dilengkapi perabot dan alat-alat dalam rumah secara asas bagi satu tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh mereka pulang.

8.6       Bantuan Kepada Yang Tua Dan Cacat

Pihak berkuasa Malaysia akan memberikan bantuan yang munasabah dalam bentuk tempat tinggal dan rawatan perubatan kepada anggota-anggota PKM dan anggota-anggota pasukan bersenjatanya yang dibubarkan yang terdiri daripada orang-orang tua dan orang-orang yang cacat yang pulang ke Malaysia, untuk satu tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh mereka pulang.

PERKARA 9 - JAWATANKUASA PENGHUBUNG

Sebuah Jawatankuasa Penghubung terdiri daripada wakil-wakil Gerup Kerja kedua-dua pihak akan didirikan di Thailand dengan keizinan dan kerjasama pihak berkuasa Thai, untuk berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul dalam pelaksanaan pengaturan pentadbiran ini.

PERKARA 10 - PENANDATANGANAN PERSETUJUAN DAN PENGATURAN PENTADBIRAN

10.1     Persetujuan dan Pengaturan Pentadbiran ini akan ditandatangani secara berasingan di tempat yang ditetapkan terlebih dahulu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

10.2     Persetujuan ini akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak di depan umum dan semangat persetujuan ini akan diumumkan dalam satu Pengumuman Bersama segera selepas penandatanganan.

10.3     Pengaturan Pentadbiran juga akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak tapi ia tidak akan diumumkan.

Ditandatangani pada 2 Disember 1989, Hadyai, Thailand

Categories

Pengikut