23 TAHUN PENANDATANGANAN PERSETUJUAN DAMAI

Hari ini pada 2 Disember 1989  - Upacara penandatanganan persetujuan damai antara Kerajaan Malaysia – Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya telah dilangsungkan di Lee Gardens Hotel, Hadyai, Selatan Thailand.

Berikut adalah sedutan tulisan Ibu Suriani berkenaan penantanganan tersebut yang dimuatkan dalam Memoir Suriani Abdullah: SETENGAH ABAD DALAM PERJUANGAN.

Penandatanganan yang Bersejarah


Peristiwa bersejarah upacara penandatanganan perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM serta antara Kerajaan Diraja Thailand dan PKM itu berlangsung di Lee Gardens Hotel, Haadyai pada 2 Disember 1989. Abdullah C.D., Rashid Maidin, saya dan Indra Jaya dari Rejimen Ke-10 bertolak ke Haadyai dengan helikopter tentera Thai untuk ikut serta dalam upacara tersebut. Semua urusan di pasukan  diserahkan kepada Abu Samah buat sementara.

    Ketua-ketua perwakilan tiga pihak yang menurunkan tandatangan di atas draf persetujuan damai itu ialah Panglima Tentera Darat merangkap Pemangku Panglima  Angkatan Tentera Kerajaan Diraja Thailand, Tan Sri Jeneral Chaovalit Yongchaiyuth, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Kerajaan Malaysia, Datuk Wan Sidik Wan Abdul Rahman dan Setiausaha Agung PKM Chen Ping. Selain itu, pihak PKM yang turut hadir dalam upacara penandatanganan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pusat PKM Abdullah C.D. dan anggota Jawatankuasa Pusat, Rashid Maidin. Beberapa orang pimpinan dan kawan-kawan yang menghadiri upacara itu sebagai tetamu kehormat ialah Wu Yi  Shi, Zainun, saya, Huang Seng (Darus), Indra Jaya dan Ng Hui Ngo.

    Pukul 11.45 pagi (waktu Malaysia), ketua-ketua perwakilan dari ketiga-tiga pihak menurunkan tanda tangan di atas dua naskah draf Perjanjian Bersama. Kemudian Jen. Chaovalit Yongchaiyuth menyampaikan ucapan dan membacakan draf perjanjian bersama dalam bahasa Thai. Antaranya beliau berkata: "Hari ini adalah hari yang amat penting bagi Thailand, Malaysia dan PKM. Sejarah akan selama-lamanya mencatat hari ini sebagai hari perdamaian yang amat penting di dunia".

    Ketua Perwakilan Kerajaan Malaysia yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri menyampaikan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, Setiausaha Agung PKM, Chen Ping berucap dalam bahasa Malaysia.
    Ucapan Chen Ping telah menimbulkan kesan yang amat besar dan menarik perhatian. Setelah selesai ucapan tersebut, perwakilan PKM mengadakan sidang akhbar. Chen Ping  menjawab satu demi satu soalan dari para pemberita dalam bahasa Malaysia yang  kemudian diterjemahkan oleh setiausahanya Ng Hui Ngo.
    Dalam perundingan tersebut, Perdana Menteri Datok Seri Dr. Mahathir Mohd dengan pandangan yang jauh telah membersihkan halangan-halangan yang timbul di sepanjang jalan perundingan. Akhirnya perundingan telah mencapai kejayaan yang besar lagi penting. Manakala Mr. Yau Kong Yew, Timbalan Pegawai Polis Cawangan Khas dan juga penasihat bagi rombongan Kerajaan Malaysia dalam perundingan pula menganggap sikap ikhlas Chen Ping telah memberikan bantuan besar kepada kedua-dua pihak yang berunding itu untuk memperoleh kemajuan bahkan mencapai kejayaan. Sikap Chen Ping sedemikian nampak lebih nyata lagi di hari terakhir perundingan, katanya

Berita yang Menggemparkan


Peristiwa penandatanganan persetujuan damai ini amat menggemparkan. Radio, TV dan akhbar mengerahkan kumpulan wartawan yang raksasa, khususnya dari media Thailand, Malaysia dan Singapura. Bahkan ada yang menghantar rombongan wartawan yang diketuai oleh ketua pengarangnya sendiri. Ditaksirkan 300  hingga 400 orang wartawan hadir untuk membuat liputan. Ramai juga massa rakyat datang dari Malaysia dan Singapura untuk melihat keserian wajah pimpinan PKM, khasnya Chen Ping. Semua hotel besar dan kecil di Haadyai telah dipenuhi pengunjung,  sampai-sampai ada yang terpaksa tidur dalam kereta kerana kehabisan hotel.

    Dalam upacara atau selepas upacara itu, Chen Ping menjadi tokoh yang paling menarik perhatian juru gambar. Orang ramai khasnya tetamu yang datang dari Malaysia meminta tandatangan beliau. Chen Ping seperti besi berani layaknya begitu hangat disambut oleh massa rakyat.

Categories

Pengikut