BERKABUNG UNTUK KAWAN WAJIB

Wajib @ Liu Po
Kawan Wajib (Liu Po) telah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 14 Oktober 2012 di Betong, Selatan Thailand dalam usia 76 tahun. Rakan seperjuangan dari Kampung Perdamaian Sukhirin menyatakan rasa sedih dan takziah yang mendalam kepada isteri, keluarga dan seluruh rakan seperjuangan Mendiang Kawan Wajib.

Kerana rahsia organisasi, kami tidak tahu banyak tentang Kawan Wajib. Setakat yang kami tahu beliau adalah anggota PKM bahagian Singapura dalam tahun 50-an. Beliau berundur ke Indonesia setelah Lee Kuan Yew memburu kaum komunis di Singapura.

Pada tahun 70-an beliau berkhidmat di Suara Revolusi Malaya (SRM) sebagai penyiar bahasa tempatan (Cina) yang beroperasi di Republik Rakyat China.

Pada tahun 1981, sebelum radio SRM memberhentikan siarannya, beliau balik ke kawasan basis sempadan untuk menyertai perjuangan bersenjata.

Pada tahun 1982, beliau dan isterinya Akal (Luo Lan) ditransfer ke Rejimen Ke-10. Sebahagian masa mereka berkhidmat di Kompeni Ke-21 dan Kompeni Ke-23, tertumpu dalam bahagian penterjemah kod kawat wayarles, kerja politik dan kesihatan. Isteri beliau Akal adalah seorang doktor professional.

Akal @ Luo Lan
Sepanjang masa di kedua-dua pasukan Rejimen Ke-10, mendiang telah menunjukkan semangat persaudaraan sekelas yang tebal mendalam dengan kawan-kawan Melayu, sama suka sama duka, banyak memberi pelajaran yang berguna kepada kawan-kawan Melayu, selalu mempelopori berbagai gerakan yang dianjurkan pihak organisasi.

Mendiang rendah hati, belajar dari kawan-kawan Melayu, ikhlas menerima kritik dan memperbaiki kekurangan dan kelemahan sendiri. Dengan demikian beliau telah mendapat penghormatan dari kawan-kawan Melayu di Kompeni Ke-21 dan Kompeni Ke-23.

Setelah perang ditamatkan melalui perjanjian perdamaian Hatyai pada tahun 1989, beliau dan isteri dipindahkan ke Kampung Perdamaian Betong.

Kawan Abdullah C.D. dan seluruh rakan seperjuangan di Kampung Perdamaian Sukhirin menyatakan dukacita yang mendalam atas pemergian mendiang Kawan Wajib, juga menyampaikan takziah dan salam hiburan kepada isteri mendiang Kawan Akal, kaum keluarga dan rakan seperjuangannya.




1 ulasan:

ABADILAH PARA KESATRIA!!

Reply

Categories

Pengikut