KAWAN LAO TEGUH DALAM KENANGAN


Nama sebenar Kawan Lao Teguh (Ah Fu) ialah Wu Chai. Beliau dilahirkan di Pusing, Perak pada Januari 1930. Ayahnya seorang buruh lombong bijih timah manakala ibunya bekerja mendulang bijih.

Jun 1948 penjajah Inggeris mengisytiharkan Undang-undang Darurat. Kawan Lao Teguh yang baru berusia 18 tahun mengikuti ibunya menjadi penyusun massa dan mendukung pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya menentang penjajah British untuk kemerdekaan Malaya.

Pada tahun 1950 beliau masuk pasukan gerila menjadi anggota Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM). Pada tahun 1951 beliau diterima menjadi anggota PKM. Dalam masa 1950-58, beliau banyak kali menyertai pertempuran bersama Organ Pasukan Khas.

Pada tahun 1958 beliau dihantar ke luar negeri untuk berubat dan belajar. Beliau pernah belajar kebudayaan di Beijing, kemudian belajar militeri dan teknik perledakan di Maktab Militeri Nanjing.

Tahun 1964 beliau pulang semula ke kawasan basis sempadan Malaya-Thai, berkhidmat di pasukan asalnya iaitu Organ Pasukan Khas sebagai seorang pengawal dan bertanggungjawab kerja utusan yang menghubungkan pasukan tersebut dengan Rejimen Ke-10.

Pada pertengahan tahun 1974 beliau ditransfer ke Rejimen Ke-10 berkhidmat di bahagian Pengarah Platun dan membuat peralatan senjata dan periukapi.

Di Rejimen Ke-10 beliau mengembangkan kemahirannya dalam bahagian militer terutamanya masalah persenjataan dan perledakan. Sebagai Ketua bahagian perkilangan, beliau telah memimpin kawan-kawan Rejimen Ke-10 mencipta berbagai jenis senjata peledak seperti meriam kecil, meriam waktu dan sebagainya. Meriam waktu adalah sejenis meriam katak yang boleh dikontrol dengan menggunakan waktu. Keistimewaannya ialah untuk menyerang sasaran yang tidak penguntungkan pihak penyerang.

Di samping itu beliau telah mencipta berbagai jenis periuk api termasuk bom waktu, bom air, bom tabung , bom orientasi, bom rangkaian, bom “dewi menabur bunga”dan lain-lain. Keistimewaan bom-bom ini ialah: Bom tabung  untuk memecah kenderaan berlapis waja musuh; bom orientasi disebut juga bom arah boleh memilih arah sasaran dan sukar dikesan oleh radar musuh; bom rangkaian ialah rangkaian bom untuk menyerang jumlah musuh yang ramai, bom air pula di pasang pada sungai besar dan kecil untuk menghalang musuh melakukan gerakan pengesanan melalui sungai.

Disember 1989, perdamaian antara 3 pihak Kerajaan Diraja Thailand, Kerajaan Malaysia dan PKM ditandatangani dan perjuangan bersenjata ditamatkan. Beliau balik bergabung bersama rakan seperjuangannya di Organ Pasukan Khas yang memilih untuk menetap di kawasan Banlang, Banang Star, Yala yang kemudiannya dinamakan Kampung Perdamaian Banlang atau Ban Chulabhorn Patana 9. Di samping rakan seperjuangan yang lain, beliau tinggal bersama sorang isteri bernama Sui Fei (di Rejimen Ke-10 dikenali dengan nama Bintang) dan seorang anak.

Pada 13 Julai petang, beliau menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua dalam usia 82 tahun. Jenazah beliau disemadikan mengikut adat agama Buddha di sebuah Wad di Bandar Betong, Selatan Thailand pada 17 Julai 2012.

Lao Teguh bersama isterinya Sui Fei

bergambar bersama dengan alat senjata kesayangannya

bersama rakan seperjuangannya, Chung Ming

Lao Teguh selepas perdamaian


1 ulasan:

Tanpa Nama mod

ABADILAH PARA KESATRIA!!

Reply

Categories

Pengikut