PERISYTIHARAN DARURAT DAN REVOLUSI BERSENJATA

Penangkapan Besar-besaran

Hari ini pada 64 tahun yang lalu, (20 Jun 1948) suatu peristiwa besar telah berlaku dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanair kita. Pada hari tersebut, penjajah British telah melakukan penangkapan besar-besaran di seluruh negara ke atas tokoh-tokoh dan organisasi yang memperjuangkan kemerdekaan. Serentak dengan itu, semua parti politk dan organisasi massa yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air telah diharamkan. UMNO di bawah pimpinan Datok Onn adalah satu-satunya parti politik yang tidak diharamkan. Mengikut Abdullah C.D., tekanan berat yang paling dirasakan ialah organisasi politik bahagian Melayu, Hampir kesemua kader penting PKMM, PETA (API sudah diharamkan lebih awal dari itu), AWAS, Barisan Tani Malaya, Hizbul Muslimin kesatuan buruh dan lain-lain telah disumbat ke dalam penjara.

Rancangan jahat penjajah ini telah dapat dihidu oleh PKM lebih awal dari itu. Berkenaan maalah iatu, Ibu Suriani Abdullah yang pernah menjadi wakil PKM terbuka di pejabat PKM Singapura menulis dalam memoirnya:

“Kira-kira dalam bulan Mei 1948, penjajah British memperketat perisikannya terhadap kader-kader PKM. Memandangkan situasi itu, kader-kader terbuka telah menyelenggarakan mesyuarat di Singapura. Ketika itu parti ada gerakan terbuka dan gerakan rahsia. Saya sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti adalah kader yang terbuka. Kira-kira lebih kurang 20 orang lebih kader menyertai perbincangan. Dalam perbincangan itu, pihak pimpinan memberitahu supaya membuat persiapan rapi kerana penjajah British mungkin akan mengadakan tekanan ke atas parti dan kekuatan demokratik dan progresif.”

“Seiring dengan itu, intelijen British juga mencari saya di Pejabat PKM dan di rumah abang saya di Singapura, tapi kerana telah berwaspada, saya dapat bersembunyi. Tak lama selepas itu, saya berundur ke Johor bergabung dengan gerup Jawatankuasa Negeri Johor di bawah pimpinan Ah Tien. Saya menjadi salah satu anggota Jawatankuasa Negeri di Johor Selatan.”

Dalam kenang-kenangaan yang diabadikan dalam buku Darurat Dan Kemerdekaan, Abdullah C.D. menyebut:

“Penangkapan besar-besaran itu telah memberikan pukulan yang paling berat ke atas kekutan patriotic-demokratik bahagian Melayu. 3 orang pimpinan penting bahagian Melayu PKM yang hadir dalam Kem Se-Malaya telah ditangkap. Kamarulzaman ditangkap pada 20 Jun 1948, saya ditangkap pada 10 Julai 1948 dan Rashid Maidin juga ditangkap dalam bulan yang sama. Mujurnya salam pergelutan yang menentukan hidup dan mati itu, saya Berjaya melucutkan gari dan melarikan diri; Rashid Maidin juga Berjaya melarikan diri pada tahun 1951 manakala Kamarulzaman yang pada mulanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati telah diubah menjadi penjara seumur hidup.”

“Rakan-rakan seperjuangan yang lain juga dalam PKMM dan PKM ramai yang menjadi mangsa penangkapan tersebut. Antara mereka termasuklah Ishak Hj, Mohd., Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikgu Sabrun, Osman Bakar, Cikgu Muda, Cikgu Hamid, Ustaz Yahya Nasim, Taharuddin, Kamaruddin, Bizar Ahmad, Sutan Djenain, Khatijah Ali dan lain-lain. Ketika itu seluruh Negara telah ditenggelami dalam suasana terror putih, penindasan dan penangkapan terus menerus berlaku di mana-mana.”

Meletusnya Revolusi Bersenjata

Pengharaman dan penangkapan secara menyeluruh penjajah British tersebut telah menutup semua pintu perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Pemuda pemudi Melayu dari berbagai negeri yang bergerak aktif dalam perjuangan kemerdekaan tidak rela meringkuk dalam penjara penjajah telah berundur ke hutan belukar, disamping mengelakkan penangkapan penjajah juga bersiap menentang penjajah British secara bersenjata. Serentak dengan itu PKM telah menyerukan rakyat semua kaum supaya berjuang menentang penjajah British secara bersenjata. Oleh iatu meletuslah perjuangan bersenjata menentang penjajah British untuk kemerdekaan penuh tanah air.

Berkenaan revolusi bersenjata atau secara rasminya disebut Perang Pembebasan Nasional Anti-British, Abdullah C.D. menulis:

“Setelah diisytiharkan Undang-undang Darurat, pasukan-pasukan gerila dibentuk secara berturut-turut di berbagai negeri. Kira-kira 8,000 laras senjata yang disimpan PKM pada masa perang anti-Jepun telah dikeluarkan untuk mempersenjatai pasukan-pasukan tersebut. Dalam masa beberapa tahun saja, pasukan gerila tersebut telah berkembang menjadi 12 rejimen. Berbagai negeri di Semenanjung (kecuali Pulau Pinang hanya ada pasukan lasak) ada pasukan bersenjata anti-British. Pada 1 Februari 1949, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) telah dirasmikan. TPNM adalah sebuah tentera anak rakyat bentuk baru yang terdiri dari putera puteri terpuji rakyat semua kaum Malaya. Maka itu bermulalah perjuangan bersenjata anti-British untuk kemerdekaan nasional.”



Categories

Pengikut