PAK HATTA DI TEMERLOH

Di bawah adalah sedikit catatan berkenaan sambutan anak muda Temerloh kepada Pak Hatta, seorang bekas komander Rejimen Ke-10 yang dipetik dari http://batutepijalan.blogspot.com./ KINI DAN SILAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Ahmad Nizam Hamid, Bloger Batu Tepi Jalan, anak-anak muda dan lain-lain yang telah memberikan sambutan dan perhatian kepada beliau.

Lagu Rejimen Ke-10 Live @Esplanede Temerloh



Pak Awang aka Hatta merupakan bekas pejuang Rejimen ke-10 yang mengangkat senjata berperang untuk menghalau penjajah demi memerdekakan Malaya bersama rakan-rakannya yang lain.

Beliau kini memilih untuk tinggal di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand. Inilah bukti bahawa beliau masih teguh dengan perjuangannya.
Beliau pulang ke Temerloh baru-baru ini adalah untuk menziarahi adiknya yang meninggal dunia.

Lagu yang dinyanyikannya ini cukup menyentuh hati dan sanubari seorang anak muda yang lahir dalam dunia yang sudah serba ada. Dapat digambarkan bagaimana semangat mereka ketika itu yang berjuang menuntut kemerdekaan menghalau penjajah. Memilih jalan berjuang di hutan dan meninggalkan zaman muda mudi hanya kerana satu matlamat iaitu merdeka.
Inilah bukti Malaya merdeka juga atas sumbangan dari pihak lain selain Umno.



 



 
P/s: Terima kasih kepada Pak Awang kerana sudi berkongsi cerita dan pengalaman dengan anak-anak muda

Hujung minggu ini kita #occupy di Kuantan pula!

Sepetang Di #Occupy Temerloh


Temerloh merupakan sebuah daerah di Pahang yang sarat dengan sejarah perjuangan menentang penjajah. Bermula dengan Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan rakan-rakannya hinggalah ke zaman sekitar 1940-an yang menyaksikan penubuhan Rejimen ke-10 Tentera Pembebasan Malaya.

Kini perjuangan ini disambung pula oleh generasi muda Temerloh yang mewarisi semangat perjuangan nenek moyang mereka. Cuma perbezaannya adalah perjuangan generasi muda kini adalah perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran dari sang pemerintah dari dalam negara sendiri.

Petang Sabtu baru-baru ini iaitu pada 16 Jun 2012, #Occupy Temerloh telah diadakan di Taman Esplanede Temerloh yang berlokasi di pinggir sungai Pahang. BTJ telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada. Selain BTJ, tetamu yang turut dijemput ialah sdr. Ahmad Nizam Hamid, Pak Awang aka Hatta dan anak-anak muda lain yang membuat persembahan seni.

Program ini dimulakan oleh sdr. Ahmad Nizam Hamid yang merupakan Ketua PKR Cabang Temerloh dan juga pengamal undang-undang. Beliau menerangkan atau menceritakan mengenai udang-undang media yang baru yang ditentang dan dibantah oleh banyak pihak termasuk dari pihak Pemuda Umno sendiri.


Sdr. Ahmad Nizam Hamid sedang berkongsi dengan anak-anak muda mengenai info terkini mengenai undang-undang media
Kemudian, sesi kedua adalah sesi bagi BTJ pula. Tidak banyak yang BTJ boleh kongsikan. Apa yang BTJ sampaikan lebih kepada pengalaman dan pengetahuan yang sebenarnya masih cetek. Akhir sesi kedua ini BTJ tutup dengan bacaan sajak yang BTJ tulis sendiri yang bertajuk "Mahu Jadi Pejuang". Harap dapat memberi semangat dan inspirasi kepada anak-anak muda yang hadir.
Sesi ketiga pula adalah sesi bersama dengan Pak Awang aka Hatta (warga emas yang memakai kopiah) yang selesa digelar "aki" yang bermaksud atuk oleh anak-anak muda. Siapa Pak Awang aka Hatta ini? Ya, beliau merupakan bekas pejuang Rejimen ke-10 yang suatu masa dulu memikul senjata bergerila di hutan bersama rakan-rakannya dengan hanya satu tujuan iaitu memerdekakan Malaya. Beliau kini bermastautin di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand dan pulang ke Temerloh seketika kerana adiknya yang baru sahaja meninggal dunia.



Pengerusi majlis mempersilakan Pak Awang aka Hatta untuk berkongsi pengalamannya

Apa yang dikongsi oleh Pak Awang ini sangat bermakna dan tidak mungkin akan diperolehi di bangku sekolah mahupun di menara gading. Sangat beruntung kepada sesiapa yang hadir. anak-anak muda dapat menyelami semangat perjuangan yang masih kuat dalam diri Pak Awang. Beliau yang pernah beberapa kali ditembak dan tegas mengatakan bahawa rela untuk mati di hutan dari berundur serta tidak pernah menyesal memilih jalan perjuangan. Di akhir sesi beliau menyampaikan pesan kepada anak-anak muda untuk teruskan perjuangan. Alang-alang menyeluk pede (pekasam) biar sampai ke pangkal lengan, kata Pak Awang.

Sesi akhir sebelum program ditamatkan ialah sesi seni oleh anak-anak muda. Ada anak muda yang tampil dengan sajak yang dibaca dengan penuh semangat. Ada juga yang tampil dengan kumpulan muzik yang mendendangkan lagu rentak terkini yang bergenre underground. Anak-anak muda yang hadir kelihatan terhibur dan bersemangat menghayati lirik lagu yang didendangkan. Apa yang BTJ pasti tiada nyanyian k-pop didendangkan seperti di Himpunan Sejuta Belia.


Antara persembahan seni oleh anak-anak muda


Sebelum azan Maghrib berkumandang, program telah ditamatkan dan anak-anak muda telah bersurai. Sempat juga anak-anak muda ini berbincang mengenai untuk menubuhkan commitee bagi mengutip derma supaya dapat disalurkan kepada projek Lebuhraya Rakyat yang akan dibina oleh kerajaan negeri Kelantan. Moga projek mereka yang baik ini akan membuahkan hasil.

BTJ ucapkan terima kasih atas jemputan. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada organizer dan sekalian anak muda yang hadir kerana berjaya mengadakan program seperti ini. Jika tidak kita siapa lagi, betul tak? Teringat sebaris kata yang pernah BTJ baca dalam sebuah buku yang berbunyi 'erti hidup pada memberi'. Apa yang sekalian anak muda Temerloh lakukan ini tidak kira yang menjadi organizer atau yang hadir memberi sokongan, itulah erti hidup yang dimaksudkan.



Anak-anak muda menggenggam tangan simbol bersemangat untuk terus berjuang diikuti juga oleh Pak Awang


P/s: Ini bukan lagi masa untuk kita hanya melihat tetapi masa untuk kita melangkah dan tariklah tangan rakan-rakan di sekeliling kita untuk melangkah sama.

dipetik dari http://batutepijalan.blogspot.com/

Categories

Pengikut