SELAMAT HARI PEKERJA ANTARABANGSA


Hari Mei Satu: Hari Kuasa Pekerja

Choo Chon Kai | May 01, 2012 03:11:29 pm |http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13030
 
Tahun ini, Hari Mei Satu disambut dalam satu suasana politik yang amat menarik di Malaysia. Kita berada di persimpangan jalan di mana kebangkitan kuasa rakyat telah menggegarkan pemerintahan UMNO-BN yang penuh dengan kepincangan dan korupsi.

Tiga hari sebelum Hari Mei Satu, himpunan raksasa BERSIH 3.0 pada 28 April 2012 telah mencipta sejarahnya tersendiri dengan rekod kehadiran 200,000 rakyat turun ke jalanraya menuntut demokrasi dan menentang penyelewangan pemerintah. Pada masa yang sama, kita juga menyaksikan kebangkitan anak muda dalam perjuangan menuntut pendidikan percuma dan juga gerakan Occupy Dataran yang cuba menuntut kembali ruang demokrasi rakyat.

Kebangkitan mahasiswa dan rakyat di negara kita sebenarnya adalah juga satu protes menentang sistem kapitalis yang hanya melindungi kepentingan 1% dan mengabaikan hak 99%. Kepincangan pilihanraya BN adalah semata-mata untuk berkuasa untuk mengondol kekayaan negara demi kesejahteraan kroni-kroni kapitalis mereka.

Sementara itu, di peringkat dunia pula, sistem kapitalis global sedang mengalami krisis yang amat mendalam dengan menyaksikan kegawatan ekonomi yang berterusan di Amerika Syarikat dan krisis hutang di negara-negara Eropah. Serangan bertubi-tubi golongan kapitalis antarabangsa ke atas golongan pekerja dan rakyat biasa telah mencetuskan penentangan yang hebat. Gerakan Indignados di Sepanyol, perjuangan menentang pengurangan perbelanjaan awam di Greece dan juga gerakan Occupy Wall Street yang merebak menjadi satu fenomena global, adalah manifestasi terbaru perjuangan rakyat dalam mencabar sistem kapitalis dan mencari alternatif baru.

Perjuangan hebat pekerja lebih satu abad yang lalu, yang melibatkan pengorbanan pejuang-pejuang pekerja telah menjadikan kerja lapan jam sehari suatu hak asasi untuk pekerja sedunia. Namun, hak pekerja yang dimenangi dalam satu abad yang lalu, sedang digugat dan semakin dihakis oleh golongan kapitalis yang tamakkan keuntungan yang tidak terhabis-habis. Golongan pemodal, korporat gergasi dan tauke besar sanggup mengorbankan kepentingan pekerja demi menyelamatkan keuntungan mereka dalam krisis ekonomi yang berterusan.

Di Malaysia, Kerajaan UMNO-BN di bawah pimpinan Najib telah mewarisi dasar-dasar pro-kapitalis yang diamalkan sejak zaman Mahathir dengan meneruskan serangan ke atas rakyat melalui penswastaan, pemotongan sabsidi untuk rakyat, penindasan ke atas kesatuan sekerja dan sebagainya. Dasar ekonomi yang pro-kapitalis dan anti-pekerja telah membantu golongan kroni dan korporat besar mengaut keuntungan besar. Ini telah melebarkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Rakyat biasa akan terus dimangsakan dan kualiti kehidupan terus terjejas sekirannya dasar sebegini diteruskan.

Serangan yang terbaru dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, termasuklah pindaan undang-undang buruh yang menghakis hak pekerja, termasuk pindaan Akta Pekerjaan yang menghalalkan buruh kontrak yang menindas pekerja. Jaminan kerja untuk para pekerja telah dijejas dengan teruknya dalam serangan terbaru ini.

Dengan segala serangan dan hakisan ke atas hak pekerja, pengumuman gaji minima oleh Najib semalam hanyalah satu sandiwara untuk memancing undi menjelang pilihanraya umum ke-13. Selain paras gaji minima yang diumumkan jauh kurang daripada apa yang dituntut oleh gerakan masyarakat, pelaksanaan gaji minima hanya akan berlaku selepas enam bulan dan kemunginan besar akan ditunda lagi seperti yang berlaku pada gaji minima untuk pegawai keselamatan. Kalau kerajaan UMNO-BN benar-benar ingin melaksanakan gaji minima, sepatutnya ia dilakukan sekarang juga. Apabila hak pekerja dituntut, maka taktik lambat-melambatkan menjadi lumrah pemerintah.

Kerajaan UMNO-BN langsung tiada niat untuk melindungi hak pekerja, malah ia sanggup menggadaikan segala hak pekerja demi menjaga keuntungan kroni dan juga pemodal besar.

Tuntutan pekerja di Malaysia yang perlu ditunaikan segera demi menjamin kesejahteraan hidup adalah gaji minima RM 1500, jaminan kerja, kawalan harga barang, kebebasan menubuhkan Kesatuan Sekerja, bebas daripada beban cukai GST, perumahan selesa dan penghentian penswastaan perkhidmatan asas Semua tuntutan tersebut tidak mungkin jadi realiti dengan kerajaan UMNO-BN sekrang yang hanya tahu merompak rakyat biasa untuk kapitalis.

Hak pekerja tidak akan jatuh seperti durian, tetapi hanya jadi kenyataan melalui perjuangan yang berterusan.

Hari Mei Satu adalah hari untuk memperingati perjuangan pekerja dan juga inspirasi untuk kita terus memperjuangkan hak pekerja. Kita telah menunjukkan kehebatan kebangkitan kuasa rakyat dalam Himpunan Raksasa BERSIH 3.0 pada 28 April yang lalu, dan kita akan bawa semangat ini untuk terus maju ke hadapan.

Hidup Rakyat! Hidup Kaum Pekerja!

*Choo Chon Kai ialah ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia.

Categories

Pengikut