KEHIDUPAN GERILA: MENGAIL DI SUNGAI BATU



MENGAIL DI SUNGAI BATU,
ISI IKAN ENAK SEKALI


Oleh: Xiaopeng. Terjemah: Airi

 Sungai Batu adalah anak Sungai Hala,kami menamainya begini kerana di sepanjang sungai itu terdapat banyak batu besar dan kecil. Sungai Hala terletak di timur Empangan Banglang, selatan Thailand, airnya mengalir dari hulu di timur tenggara menuju ke barat laut dan terus ke Empangan Banglang. Panjangnya berpuluh-puluh kilometer. Luasnya Sungai Batu belasan meter, dalam airnya tidak sama, yang dalamnya kira-kira sepuluh kaki, yang cetek pula airnya tidak sampai separas lutut.

Hulu Sungai Batu terletak di sebelah timur, melangkaui legeh di hulunya terdapat hulu-hulu sungai yang mengalir ke kawasan Pasukan Rejimen Ke-10. Jadi, tempat ini adalah mesti dilalui oleh utusan perhubungan di hutan antara Pasukan Khas dan Pasukan Rejimen Ke-10. Nasib baik! Saya adalah salah seorang anggota regu perhubungan utusan ini. Selang 2 atau 3 bulan, kami akan menggalas bungkusan-bungkusan berupa artikel, buku dan bahan-bahan lain, bertolak dari Kem Kemenangan, mendaki gunung-ganang yang tinggi dan melintasi hutan rimba, menuju ke arah timur. Jarak antara Pasukan Khas dan Pasukan Rejimen Ke-10 sungguh jauh, bersela-sela dengan gunung-ganang dan sungai-sungai. Satu kali perhubungan utusan dalam hutan memakan masa lebih kurang 10 hari pergi-balik. Dalam tempoh itu ada 2-3 hari kami bermalam di tepi Sungai Batu. Pemandangan di sini cantik sekali, hawanya sejuk, airnya jernih, ikan pun banyak, merupakan syurga untuk kami mengail.

Setiap kali bermalam di tepi Sungai Batu, tak kira betapa sibuk dan letih pun saya tetap mahu merebut masa pergi mengail bersama dengan seorang rakan lama. Ikan sungguh banyak di sungai dan tempat untuk mengail pun banyak. Jika di musim kemarau, kami boleh melompat-lompat di antara batu-batu besar di tengah sungai sambil mengail dengan suka hati. Kami membuat buah beringin palsu daripada plastik merah sebagai umpan. Kami memotong batang atap bertam sepanjang kira-kira 8 kaki, dan membersihkan daunnya, batang pokok atap inilah sebagai joran, hujungnya diikat dengan tali kira-kira 7 kaki panjang, dan di hujung tali itu diikat pula dengan mata kail berumpan (terikat dengan buah palsu). Kami bersembunyi di tepi batu besar, melempar joran dengan sebelah tangan, umpan itu boleh dilempar sampai ke sesuatu lubuk sejauh belasan kaki. Seketika terdengar bunyi deburan, kami segera mengangkat joran. Ikan-ikan itu memang cergas, umpan palsu disangkanya buah jatuh dari atas pokok, akan menyerbu dengan pantas seperti anak panah dilepaskan, ia segera makan umpan lalu mulutnya terkail, tak sempat merasa umpan itu benar atau palsu ia sudah pun ditarik naik ke darat. Kami mencucuk ikan-ikan dengan seutas rotan yang diikat simbul di hujungnya, kemudian kami menarik rotan dengan tangan kiri. Kami melempar joran 2-3 kali di sebuah lubuk, hingga ikan tak makan umpan, baru kami beredar ke lubuk lain. Sebenarnya, bukan semesti-nya melemparkan umpan ke dalam lubuk, di dalam air cetek yang deras pun dapat mengail ikan besar yang bersembunyi di situ. Ini bergantung pada kemahiran dan pengalaman. Saya seorang yang masih kurang kemahiran mengail, akan tetapi selalu dapat juga mengail ikan di Sungai Batu. Kadang-kadang juga dapat mengail seekor dua ikan yang agak besar, pada saat itu sungguh riang gembira di hati!

ikan kelah
Seorang kawan yang berulang alik di Sungai Batu bertahun-tahun dan mahir mengail memberitahu saya bahawa tabiat ikan berenang menuju ke hilir, jadi mesti mengail dari hilir menuju ke hulu. Sebaliknya, jika seorang mengail dari hulu ke hilir, dia bukan seorang yang mahir mengail. Seorang lagi yang mahir mengail menceritakan pengalamannya bahawa jika mengail di Sungai Batu ini, yang paling baik ialah pada waktu petang turun hujan renyai-renyai. Suatu kali, mereka baru mulai mengail sahaja sudah turun hujan renyai-renyai, luar dari dugaan, ikan merebut-rebut makan umpan, yang dapat dikail pun ikan-ikan agak besar. Tak sampai setengah jam, mereka dapat mengail ikan segugusan masing-masing.

Di Sungai Batu, jika ada umpan (buah merah palsu), jangan bimbang tak dapat makan ikan! Air sungai di hutan jernih, isi ikan paling sedap! masak dengan air atau panggang pun juga lauk enak sekali!

sumber: Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21, Bilangan 23, 31 Mac 2012

Categories

Pengikut