SELAMAT HARI WANITA PEKERJA ANTARABANGSA

Peranan Wanita Rejimen Ke-10


Kawan-kawan wanita juga merupakan bahagian penting dalam pasukan. Untuk membimbing mereka, saya sentiasa memberikan kursus-kursus, dorongan, memperkuatkan semangat kawan-kawan wanita supaya melepaskan belenggu masyarakat lama yang memandang wanita sebagai insan yang lemah. Untuk ini, saya perkenalkan pemimpin wanita antarabangsa Klarazetkin, dan lain-lain. Bagi saya, bangsa Melayu juga memiliki srikandi terpuji, yang tak kenal tunduk demi membela maruah tanah air seperti Srikandi Tun Fatimah. Untuk menonjolkan keperwiraan perajurit-perajurit wanita Rejimen Ke-10, saya menulis kisah beberapa srikandi Rejimen Ke-10 yang berkorban dengan gagah perwira demi kemerdekaan tanah air seperti Srikandi Maimun, Srikandi Hitam, Srikandi Asiah, Srikandi Zahura, dan lain-lain, di samping itu mencipta lagu dan sanjak untuk mengenangi jasa mereka, menganjurkan seluruh kawan khasnya kawan-kawan wanita mempelajari semangat para pahlawan dan srikandi.

Kawan-kawan wanita Rejimen Ke-10 mencapai kemajuan yang pesat di berbagai bidang. Mereka membuang pandangan lapuk dan memegang semangat perjuangan dari rangkaian kata "tangan yang menghayunkan buaian itu boleh menggoncangkan dunia". Mereka mengobarkan semangat berjuang keras, bahu membahu dengan kawan-kawan lelaki. Pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan kawan-kawan lelaki juga mampu mereka buat, seperti kerja harian, kerja menyusun massa, kerja teknik, kerja produksi, kerja seni budaya, tugas-tugas pertempuran dan lain-lain. Yang amat membanggakan kita ialah telah muncul sejumlah kader-kader wanita di berbagai peringkat dari peringkat cawangan sampai ke peringkat Setiausaha Jawatankuasa Kawasan atau dari perajurit biasa sampai kepada Ketua Kompeni seperti Zaleha Mat Roni (Rosmah), Siti Norkiah Mahmud Baginda (Minah), Zamiah Latif (Zam) pernah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Kawasan, Selamah Abdullah (Chau Qi Zhu), Siti Mariam (Atom) menjadi Jawatankuasa Kawasan, Ropiah Mat Yatim (Makcu) dan Aminah Hj, Hassan (Taufan) Ketua Platun.  - Sumber: Memoir Suriani Abdullah, SETENGAH ABAD DALAM PERJUANGAN.

Categories

Pengikut