BERMULANYA DETIK PERJUANGAN - Majid Salleh

BERMULANYA DETIK PERJUANGAN

Oleh Majid Salleh

Pada akhir-akhir tahun 1945
tahun empire Jepun menyerah kalah
detik jajahan Jepun hancur musnah
detik ‘ohayo gozaimas’ mula dilupakan
diganti semula dengan ‘good morning’

Pada saat-saat itulah juga awal mula pertama mula
bangsa Melayu mengukir sejarah
sejarah yang tak kunjung padam
sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan
menerusi sebuah pertubuhan parti politik

PKMM nama badannya
Parti Kebangsaan Melayu Malaya nama penuhnya
Malay Nationalist Party nama Inggerisnya
ditubuhkan di Ipoh, Perak

Para penajanya terdiri dari budak-budak
nakal belaka
budak-budak yang berumur di bawah 30 tahun
budak-budak yang tidak punya apa-apa kelulusan

Di antara budak-budak penajanya
Ahmad Boestamam dari Behrang, Tanjung Malim, Perak
Baharuddin Tahir dari Kuala Kangsar, Perak
Mokhtaruddin Lasso dari Bidor, Perak
Abdullah CD dari Lambor, Perak
Dahari Ali dari Sungai Raya, Kampung Kepayang, Perak
Swito dari Ayer Kuning, Kampar, Perak
Arshad Ashaari dari Bidor, Perak
Musa Ahmad dari Pengkalan Baru Gopeng, Perak
Rahman Rahim dari Tanjung Rambutan, Perak
Dan… dan… ramai lagi

Pada awal tahun 1946 datang Dr. Burhanuddin
datang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) sekarang doktor
datang Shamsuddin Salleh, penulis dan pengarang
datang Cikgu Harun Aminurrashid
dan datang… datang mencurah-curah

PKMM tertubuh di seluruh pelusuk tanah air
dari Timur ke Barat dan
dari Utara ke Selatan hingga ke Singapura

Puak-puak yang mula-mula menerima
ialah rakyat jembel, orang-orang kampung
orang-orang buta huruf, rakyat jelata
rakyat tertindas, rakyat miskin

Orang-orang kaya jangan diharap
apa lagi orang berpangkat
orang-orang mengerat jauh sekali

Ayuh berjuang! Seru pemimpin
Maju sekarang! Sahut pengikut


Sumber: 'Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh' Penerbit UKM, 2004

Categories

Pengikut