IBRAHIM CHIK DALAM KENANGAN - DURI DAN API

Ibrahim Chik dalam kenangan 

Sempena ke pulangan ke rahmatullah Haji Ibrahim Chik,  pejuang kemerdekaan dari Temerloh, pada 29/12/2011, saya ingin mencatatkan di sini sedikit kenangan saya terhadap beliau.

Saya mula mengenali beliau pada tahun 2002, apabila almarhum Prof. Anuar Mahmud dari Jabatan Sejarah UKM menunjukkan kepada saya manuskrip memoir beliau yang dikirimkannya kepada Penerbit UKM.  Prof.Anuar Mahmud adalah orang pertama yang diminta oleh  Penerbit UKM untuk membaca dan menilai manuskrip itu.

Saya tertarik membaca  manuskrip itu yang  antara lain mengisahkan perjuangan beliau dalam API Temerloh (1946-1948) dan  Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaysia (TPNM) (1948-1989). Beliau  adalah salah seorang pejuang dari Temerloh yang ikut berpindah ke Selatan Thai  untuk  meneruskan perjuangan  bersama Rejimen Ke-10  dari negara jiran  itu selama kira-kira  empat dekad. Dalam organisasi PKM  beliau pernah dilantik menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama Abdullah C.D,  Rashid Maidin, Suriani Abdullah dan Abu Samah Kassim.

Selepas itu, sehingga tahun 2004,  saya mengunjungi beliau berulang ahli di rumahnya di Temerloh, kerana pada masa  itu saya sedang  mengumpul bahan untuk buku saya, Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan. Temu ramah dengan beliau sedikit sebanyak dapat membantu saya memahami bagaimana   anggota Regimen Ke-10 dari Malaysia yang tidak begitu  ramai dan sentiasa diburu oleh askar Malaysia dan Thailand  dapat bertahan di Selatan Thailand selama kira-kira empat dekad.

Pihak Penerbit UKM bersetuju menerbitkan  manuskrip memoir Ibrahim Chik. Pada masa yang sama Penerbit UKM juga  merancang untuk menerbitkan memoir tokoh-tokoh kiri Melayu  yang lain, seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Abdullah C.D.

Saya telah diminta oleh Penerbit UKM untuk mengedit manuskrip memoir Ibrahim Chik. Memoir Ibrahim Chik merupakan memoir pertama tentang tokoh kiri Melayu yang diterbitkan oleh Penerbit UKM. Memoir kedua ialah memoir Shamsiah Fakeh.

Malangnya penerbitan  memoir dua  tokoh kiri Melayu itu  telah menimbulkan kontroversi, kerana banyak pihak di dalam dan di luar UKM yang tidak bersetuju  UKM menerbitkan memoir "tokoh komunis Melayu" itu.  Pihak Kementerian Pendidikan telah  mengarahkan Penerbit UKM  supaya menarik balik buku itu dari pasaran, dan  rancangan penerbitan memoir tokoh kiri Melayu yang lain pun tidak dapat diteruskan.

Memoir Ibrahim Chik yang mula-mula diterbitkan oleh Penerbit UKM  pada tahun 2004  telah di terbitkan semula sebagai edisi baru oleh SIRD pada tahun 2010 dengan sedikit tambahan oleh beliau sendiri dan dengan gambar kulit yang baru.

Dengan kepulangan Ibrahim Chik ke rahmatullah, kini hanya tinggal dua orang tokoh kiri Melayu yang masih hidup, iaitu Abdullah C.D. dan isterinya Suriani Abdullah yang sudah begitu uzur. Mereka tidak pulang ke Malaysia dan kini sudah menjadi warga negara Thai. Tokoh lain, Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan Abu Samah Mohd.Kassim sudah pun meninggalkan kita terlebih dahulu.

Di sini saya mengambil kesempatan untuk memanjatkan doa supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan  semoga  roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang salleh.

dipetik dari http://duridanapi.blogspot.com/

Categories

Pengikut