BAGAIMANA IMPERIALIS BRITISH MENGUASAI SINGAPURA DAN JOHOR

Setelah memperoleh Pulau Pinang, penjajah British mengalihkan pula perhatiannya untuk mencari sebuah pangkalan yang lain yang lebih strategik kedudukannya. Kali ini mereka mahu mencapluk pulau Singapura pula. Pada masa itu, Johor, Singapura, Pahang, Riau dan Lingga merupakan sebuah negara kesatuan dengan pusat pemerintahannya bertempat di Riau.

Pada tahun 1812, Sultan Mahmud Shah, Sultan Kerajaan Riau telah mangkat. Ini memberi peluang kepada British untuk memasukkan jarumnya. Pengganti Sultan sepatutnya Tengku Husin, akan tetapi yang dilantik sebagai sultan yang baru ialah adiknya, Tengku Abdul Rahman. Stamford Raffles yang mewakili kepentingan Kompeni Hindia Timur ketika itupun tak lengah-lengah lagi. Dia lalu menghubungi Tengku Husin dari Riau melalui Temenggong Abdul Rahman yang merupakan wakil Kerajaan Riau yang mentadbir Johor dan Singapura ketika itu. Dalam rungingan tiga pihak itu, Tengku Husin dan Temenggong Abdul Rahman, pihak British berjanji akan mengangkat Tengku Husin sebagai Sultan Johor dan Singapura dengan syarat dia sanggup bekerjsama dengan British dan memajakkan Pulau Singapura untuk dijadikan pangkalan British.

Atas permintaan Tengku Husin, pada 6 Februari 1819, diapun diisytiharkan oleh British sebagai sultan bagi Johor dan Singapura. British membayarnya elaun sebanyak $5,000 setahun manakala Temenggong Abdul Rahman $3,000 setahun. Semenjak itu Singpura dan Johor terpisah daripada negara kesatuan yang berpusatkan di Riau; Singapura dan Johor dimasukkan ke dalam lingkungan kekuasaan Inggeris manakala Riau pula dibawah kekuasaan Belanda yang menjajah Indonesia.

Akan tetapi, pada tahun 1824, British menyingkir Tengku Husin dan mengangkat pula anaknya Raja Ali sebagai Sultan. Tapi itupun untuk sementara saja. Kekuasaan Ali kemudian dialih kepada Temenggong Abdul Rahman. Sungguhpun Johor secara rasmi dimasukkan ke dalam pentadbiran “Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu” pada tahun 1914, akan tetapi pengaruh British telah meresap di Johor sejak 1819 lagi.

Sumber: ABDULLAH C.D.: STRATEGI PENJAJAH BRITISH UNTUK MENGUASAI MALAYA

Categories

Pengikut