Rabu, 23 November 2011

GERAKAN ANAK MUDA: MENAWAN WALL STREET

0 ulasan

Menawan Wall Street: Perkara Yang Paling Penting Di Dunia Sekarang




Perlu ditegaskan bahawa kita mampu untuk membina sebuah masyarakat yang baik, untuk semua dan pada masa yang sama menghormati had sebenar yang boleh ditampung bumi.

berikut merupakan terjemahan SS daripada tulisan Naomi Klein (http://www.thenation.com/article/163844/occupy-wall-street-most-important-thing-world-now) tentang gerakan Menawan Wall Street (klik http://occupywallst.org/)yang telah sampai tempiasnya ke sini:

Salah seorang jurubicara dalam perarakan menyokong buruh untuk gerakan Menawan Wall Street berkata: “Kita menemukan antara sesama .” Perasaan yang merakam keindahan tentang apa yang tercipta [di sini] – sebidang ruang cukup luas (juga idea cukup besar sehingga tak mampu terkandung) untuk semua orang yang mahukan dunia yang lebih baik untuk kita saling hidup bersama.

Jika ada suatu perkara yang aku tahu, ianya adalah hanya terdapat 1 peratus sahaja orang-orang yang sukakan krisis. Apabila orang terdesak dan tiada siapa yang tahu apa yang perlu dibuat, maka inilah saat terbaik untuk mendorong hajat mereka yang menyokong dasar-dasar pro korporat, justeru menghancurkan halangan terakhir kuasa korporat.

Hanya ada satu perkara yang dapat menghalang taktik ini dan cukup bertuah sekali – ianya adalah 99 peratus orang. Dan inilah 99 peratus manusia yang turun menawan jalan-jalan raya dari Madison sehingga ke Madrid melaungkan, “Tidak. Kami tidak akan membayar krisis kamu.”Slogan yang bermula di Itali pada tahun 2008. Ia kemudiannya melantun ke Greece, Perancis, Ireland dan akhirnya sedang bergerak ke pusat permulaan krisis.

“Kenapa mereka membuat bantahan?” Tanya penganalisis politik, kebingungan di kaca TV . Sementara itu, seluruh dunia bertanya: “Kenapa lambat sangat? Kami tertanya-tanya bila giliran kamu akan turun.” Dan yang lebih penting: “Selamat datang!”

Ramai orang telah menarik persamaan di antara Menawan Wall Street dan bantahan anti-globalisasi di Seattle pada tahun 1999 dahulu. Itulah kali terakhir suatu pergerakan sejagat, yang terpencar (tanpa pusat kuasa tunggal) diterajui oleh anak-anak muda mengambil tindakan langsung terhadap kuasa korporat. Dan aku berbangga menjadi sebahagian apa yang kita panggil “gerakan kepada banyak gerakan-gerakan itu.”

Tetapi terdapat perbezaan yang amat penting. Misalnya, kami memilih sidang kemuncak sebagai sasaran kami: Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), perhimpunan negara-negara kaya G8. Ianya bersifat sementara, ia hanya dapat bertahan selama seminggu. Yang membuatkan kehadiran juga kami bersifat sementara. Menawan Wall Street, pada sisi yang lain, telah memilih sasaran tindakan yang tetap. Ia juga tidak meletakkan suatu tarikh akhir terhadap kehadirannya di sini.

Tetapi perbezaan yang paling besar sedekad lalu pada tahun 1999, kita melawan kapitalisme pada kemuncak ledakan ekonomi yang penuh kegilaan. Pengangguran rendah, harga saham-saham mencanak naiknya. Media kemabukan dengan aliran wang yang mudah. Pada waktu itu, semuanya tentang permulaan, bukan penutupan.

Sepuluh tahun kemudian, kelihatannya seperti tidak ada lagi negara yang kaya. Hanya segelintir orang-orang yang merompak kekayaan harta awam dan memeras sumber semulajadi di seluruh dunia. Perlu ditegaskan bahawa kita mampu untuk membina sebuah masyarakat yang baik, untuk semua dan pada masa yang sama menghormati had sebenar yang boleh ditampung bumi.

Kali ini, gerakan kita tidak boleh terganggu, berpecah-belah, letih lelah atau dihanyutkan dengan kejadian-kejadian lain. Kali ini, kita wajib berjaya. Dan aku tidak bercakap tentang mengawal selia bank-bank dan meningkatkan cukai terhadap orang-orang kaya, meskipun ianya penting. Aku bercakap tentang merubah nilai-nilai asas yang mengawal masyarakat kita. Ia sukar untuk dimuatkan ke dalam suatu desakan tunggal yang bersifat mesra media dan susah juga untuk memikirkan bagaimana untuk melakukannya. Kerana kesukarannya maka ia juga tidak kurang pentingnya.

Sebaik gerakan ini semakin membesar, menumbuhkan satu demi satu kekuatannya, selalulah berwaspada bahawa akan sering terdapat godaan untuk beranjak kepada sasaran-sasaran yang lebih kecil – katakanlah, orang yang sedang duduk bersebelahan dengan kamu dalam pertemuan ini. Sememangnya pertempuran sebegini amat senang untuk dimenangi. Jangan menyerah pada godaan. Aku tidak berkata janganlah sesama kita saling bertelingkah. Tapi kali ini, marilah kita merayakan sesama kita, seolah-olahnya kita merancang untuk bekerjasama berganding bahu dalam perjuangan ini bagi tempoh panjang selama masa-masa mendatang. Jadikanlah gerakan indah ini sebagai perkara yang paling penting sekali di dalam dunia. Kerana begitulah ia. Inilah hakikatnya.

dipetik dari sampahseni

Isnin, 21 November 2011

MEMALI: SEJARAH BERDARAH MELAWAN ISA

0 ulasan
Memali: Sejarah berdarah melawan ISA

Amin Iskandar - Nov 19, 2011- malaysiakini.com


Genap 26 tahun lalu, terjadi satu peristiwa penting dalam sejarah politik negara. Sejarah berdarah menyayat hati dan tidak mungkin akan dilupakan.

Pada ketika itu, Malaysia dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri manakala Tun Musa Hitam adalah timbalannya dan menteri hal ehwal dalam negeri.

Peristiwa yang dikenali sebagai "Tragedi Memali" ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di bawah mukim Siong, Baling, Kedah.

Daerah Baling merupakan satu daerah yang istimewa kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di situ, seperti Rundingan Baling pada 1955 antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Demonstrasi Baling pada 1974 ekoran isu kemiskinan juga berlangsung di tempat sama.

As-Syahid Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya terkorban di tangan anggota keselamatan lengkap dengan pelbagai senjata termasuk senjata automatik dan kereta kebal.

Diberitakan lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud membawa ajaran sesat.

Kemudian pertuduhan diubah - as-syahid dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Siapa Ibrahim Libya?

Almarhum Ibrahim dilahirkan pada tahun 1944 ketika Malaya masih lagi dalam genggaman Jepun di Kampung Carok Putih berhampiran dengan Kampung Memali.

Mendapat pendidikan awal tentang Islam dari ayahnya sendiri Tuan Haji Mahmud - seorang guru agama yang disegani di kampungnya.

Ibrahim kemudian melanjutkan pengajian Islamnya di India, Mesir dan Libya. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air pada awal 1970-an.

Selepas pulang, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pendakwah di Pusat Islam. Populariti beliau meningkat naik oleh kerana syarahan-syarahan agama yang diberikan dan seringkali diundang untuk berbicara mengenai Islam di RTM1.

Beliau kemudiannya berhenti dari JPM dan bekerja sebagai pegawai dakwah dengan kerajaan Libya. Selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan Libya, beliau pulang ke Kampung Memali.

Madrasah didirikan untuk Ibrahim memulakan kelas pengajian agama. Bermulalah kariernya sebagai pendakwah bebas. Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah.

Ibrahim Libya kemudiannya menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling.

Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

'Dosa' Ibrahim Libya

Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada "pihak-pihak tertentu" yang risau dengan popularitinya. Jika dibiarkan terus berleluasa, beliau akan menjadi ancaman yang lebih besar.

Menurut Senator Yusuf Husin yang penulis temui berberapa tahun lalu, selepas menyertai PAS, Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada pemerintah oleh kerana gesaannya dalam setiap ceramah agar perubahan dilakukan terhadap kepimpinan negara.

Inilah puncanya sehingga akhirnya Ibrahim Libya dikehendaki oleh kerajaan Malaysia untuk ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jika tidak menggunakan ISA, sudah pasti Ibrahim Libya akan memberikan kerjasama dengan syarat beliau dibicarakan di mahkamah.

Oleh kerana ISA menjadi pilihan kerajaan, beliau tidak mahu menyerah dan tunduk kepada undang-undang yang dianggap sebagai kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Pengikut-pengikut dan anak-anak murid Ibrahim Libya juga tidak mahu beliau menyerah diri dan bertindak mempertahankannya.

Kampung Memali di kepung oleh ribuan anggota keselamatan untuk menangkap Ibrahim Libya dan pengikutnya.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.

Orang-orang kampung yang hidup ditahan oleh kerajaan Malaysia di bawah ISA termasuklah Yusuf Husin.

Simbol perlawanan terhadap ISA

Ibrahim Libya dan 13 orang lagi yang gugur di Kampung Memali merupakan simbol perlawanan terhebat terhadap ISA.

Seperti yang dikatakan oleh Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya sempena ulang tahun ke 25 tragedi Memali tahun lalu:

"Beliau (baca: Ibrahim Libya) menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod 'termahal' dalam usaha menyanggah ISA."

Benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Lutfi itu, tindakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya mengorbankan nyawa kerana tidak sujud kepada ISA adalah satu tindakan yang mulia.

Para syuhada Memali sebagai adalah simbol perlawanan terhebat rakyat Malaysia terhadap ISA.

Jika satu hari nanti ISA dimansuhkan, muzium bagi memperingati para syuhada Memali harus dibina agar generasi akan datang tahu bahawa ISA bukan sahaja telah merampas kebebasan ribuan orang tanpa dibicarakan di mahkamah, ISA juga telah menyebabkan nyawa melayang.

Secara peribadi, saya menganggap Tragedi Memali ini masih belum selesai.

Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian atau Truth and Reconciliation Comission harus ditubuhkan untuk menyiasat kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali yang berlaku pada tahun 1985 itu.

Hasil penyiasatan haruslah didedah kepada orang ramai dan pesalah-pesalah yang terlibat secara langsung dalam kezaliman ini harus diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.

Selepas 26 tahun sejarah berdarah ini berlalu, tragedi Memali terus dikenang. Kampung tempat gugurnya 14 orang syuhada itu menerima pelawat yang ramai sepanjang tahun untuk melihat sendiri saki baki sejarah tragedi Memali yang masih tertinggal.

Begitulah hebatnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya. Salut kepada para syuhada. Salut kerana melawan ISA. Salut kepada penduduk Kampung Memali yang berani.
 -------
Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di www.twitter.com/aminiskandar.

Ahad, 20 November 2011

SEJARAH RINGKAS KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

1 ulasan
Teks ucapan Ketua Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) Saudara Droman Binza sempenya meraikan kedatangan Pegawai Daerah Jeli, Kelantan di Kampung Perdamaian Sukhirin pada 18 November 2011.

SEJARAH RINGKAS KAMPUNG CHULABHORN PATTANA 12 (KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Yang Dimuliakan Pegawai Daerah Jeli dan rombongan,
Yang Dimuliakan Wakil Ketua Daerah Sukhirin dan rombongan
Dan saudara saudari sekalian yang tercinta!

Parti Komunis Malaya (PKM) didirikan pada tahun 1930. Pada masa Perang Dunia Ke-2, PKM adalah satu-satunya parti politik yang menentang penjajahan fasis Jepun dengan kekuatan bersenjata di Malaya.

Pada bulan Jun tahun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat, mengharamkan semua parti politik dan pertubuhan patriotik-demokratik yang berjuang untuk kemerdekaan. Kerana itu, PKM terpaksa memperjuangkan kemerdekaan dengan cara perjuangan bersenjata.

Pada 1 Februari 1949, PKM merasmikan penubuhan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 TPNM dirasmikan penubuhannya di Kerdau, Temerloh, Pahang. Rejimen Ke-10 adalah pasukan yang terdiri daripada putera-puteri bangsa Melayu. Kebanyakan anggotanya adalah bekas anggota PKMM, API, AWAS dan BTM (Barisan Tani Malaya) yang diharamkan oleh penjajah British. Abdullah C.D. adalah Komisaris Politik pasukan tersebut.

Pada tahun 1953, induk Rejimen Ke-10 melakukan peralihan stratejik dari pangkalannya di Temerloh dan tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand pada tahun 1954. Tahun 1960, Rejimen Ke-10 mulai merekrut perajurit di kawasan sempadan.

Pada 28 Disember 1955, PKM dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengadakan perundingan damai di Baling, Kedah. Akan tetapi, perundingan tersebut tidak mencapai matlamat kerana pihak berkuasa berkeras mahukan PKM menyerah diri. PKM terpaksa meneruskan perjuangan bersenjata.

Pada tahun 1988, Rejimen Ke-10 melakukan perundingan damai peringkat rendah dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan DiRaja Thailand. Perundingan ini telah menciptakan syarat-syarat untuk perundingan peringkat tinggi kemudiaannya.

Pada tahun 1989, perundingan peringkat tinggi antara 3 pihak –Kerajaan Malaysia, Kerajaan DiRaja Thailand dan PKM telah berjaya mencapai persetujuan damai. Dengan demikian, pada 2 Disember l989, Perjanjian Damai 3 pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Kerajaan DiRaja Thailand dan PKM telah ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hadyai, Thailand.

Dalam perjanjian tersebut, PKM bersetuju menghentikan perjuangan bersenjata, membubarkan pasukan bersenjata dan memusnahkan semua senjatanya serta ambil bahagian dalam aktiviti ekonomi dan pembangunan negara. Kerajaan DiRaja Thailand berjanji memberikan kemudahan dan bantuan kepada bekas Tentera Rakyat Malaya (TRM). Kerajaan Malaysia berjanji membenarkan bekas perajurit TRM yang berwarganegara Malaysia balik ke tanahair dan memberikan bantuan hidup selama 3 tahun, dan sebagainya lagi.

Bekas anggota Rejimen Ke-10 diletakkan di satu kampung yang diberi nama Kampung Rattana Kitti 4 ataupun disebut Kampung Perdamaian Ke-4 di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat. Penduduk pada masa awalnya terdiri daripada 167 keluarga seramai 270 orang. Kerajaan DiRaja Thailand memberikan bantuan-bantuan seperti elaun sara hidup selama 3 tahun, rumah untuk setiap keluarga, tanah kebun seluas 15 rai sekeluarga, bantuan bercocok-tanam dan berbagai kemudahan lain termasuk bantuan membangun kampung.

Pada 28 Jun l993, di bawah perhatian Puteri Chulabhorn, kampung ini diletakkan di bawah Institiut Pengkajian Chulabhorn dan diberikan nama Kampung Chulabhorn Patana 12. Dengan demikian, kampung ini telah memperolehi kemajuan yang lebih pesat dan telah dilengkapkan dengan berbagai kemudahaan asas seperti jalanraya, elektrik, air paip, air bersih, talipon, masjid, sekolah rendah, klinik, taman asuhan kanak-kanak dan lain sebagainya.

Sekarang ini, Kampung Chulabhorn Patana 12 berjumlah 138 keluarga dengan jumlah penduduk seramai 500 orang, lebih 200 orang di antaranya ialah kanak-kanak.

Kampung Chulabhorn Patana 12 diselenggarakan oleh 3 badan, iaitu:

1. Jawatankuasa Kampung.

2. Jawatankuasa Ugama.

3. Badan Kebajikan.

Jawatankuasa Kampung diketuai oleh Ketua Kampung bertanggungjawab mentadbir kampung.

Jawatankuasa Ugama diketuai oleh Imam mengurus urusan ugama Islam dan berbagai aktiviti ugama.

Badan Kebajikan mengurus bantuan kemanusiaan kepada orang tua, orang cacat dan uzur dan bantuan-bantuan lainnya yang diperlukan.

Kampung Chulabhorn Patana 12 memiliki 2 keistimewaan, iaitu:

1. Muzium Kampung Chulabhorn 12. Ia didirikan pada tahun 1990. Menyimpan bahan-bahan bersejarah yang bernilai, khasnya bahan-bahan perjuangan bersenjata PKM bahagian Rejimen Ke-10.

2. Bekas kem Markas Besar Rejimen Ke-10 dan terowongnya. Ia terletak kira-kira 1 kilometer dari kampung. Kem itu digunakan Rejimen Ke-10 dari tahun l981 hingga tahun l986. Manakala terowong sepanjang 300 meter digunakan pada tahun 1983 hingga l986.


Sekian. Terimakasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.



Jumaat, 18 November 2011

PEGAWAI DAERAH JELI MELAWAT KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

0 ulasan
Kampung Perdamaian Sukhirin, 18/11/2011: Satu rombongan kakitangan kerajaan daerah Jeli telah mengadakan lawatan persahabatan Sukhirin - Jeli yang  di pekan Sukhirin. Daerah Jeli di Kelantan , Malaysia dan Sukhirin di Naratiwat, Selatan Thailand merupakan daerah yang bertetangga. Dalam kunjungan persahabatan kali ini, Pegawai Daerah Jeli telah mengambil kesempatan  melawat Kampung Perdamaian atau  secara rasminya disebut Ban Chulabhorn Patana 12. Beberapa tahun lepas, Kampung Perdamaian Sukhirin pernah menjadi tuan rumah bagi pertemuan persahabatan antara kakitangan pemerintah daerah Jeli dengan kakitangan pemerintah daerah Sukhirin.

Dalam kunjungan singkat ini, rombongan Pegawai Daerah Jeli telah diraikan di dewan perhimpunan kampung Perdamaian. Ketua Kampung Perdamaian, Drome Binza telah memperkenalkan sedikit sebanyak latar belakang kampung perdamaian yang bermula dari sejarah penubuhan PKM 1930, peristiharan darurat 1948 , penubuhan Rejimen Ke-10 TPNM pada tahun 1949 sehingga perdamaian yang menamatkan perang dalam negeri antara PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand 1989. Turut dinyatakan bahawa, masa kini kampung perdamaian memiliki 140 keluarga dengan anggota seramai 500 orang. Mengambil kesempatan ini Pegawai Daerah Jeli telah menyampaikan cenderamata kepada Ketua Kampung Perdamaian.

Walaupun kunjungan ini  selama kira-kira1 jam sahaja, tapi Pegawai Daerah Jeli sempat menziarahi Bapa Abdullah C.D. dikediamannya. Abdullah C.D. menghadiahkan 1 set memoirnya sebagai kenang-kenangan. Sebelum berangkat pulang, rombongan tersebut juga dibawa melawat Muzium Sejarah yang mempamerkan barang-barang kenangan dari pasukan Rejimen Ke-10.

Menurut maklumat yang disampaikan oleh kakitangan Pentadbiran Sukhirin, rombongan tersebut akan makan tengah hari dan sembahyang Jumaat di Pekan Sukhirin. Sebelah petang, mereka akan adakan  sukan persahabatan Sukhirin - Jeli di Pekan Sukhirin.

Pegawai Daerah Jeli diraikan di Dewan Perhimpunan Kampung

Ketua Kampung Perdamaian menyampaikan ucapan

Cenderamata dari Pegawai Daerah Jeli

Melawat Bapa Abdullah C.D.

menerima 1 set memoir dari Abdullah C.D.
isteri Pegawai Daerah Jeli bersama Abdullah C.D.
Melawat Muzium Sejarah

Menurunkan catatan dibuku pelawat muzium



Selasa, 15 November 2011

MEMPERINGATI PEJUANG KEMERDEKAAN MAT INDERA

5 ulasan
Atas nama Abdullah C.D. dan rakan seperjuangan Mat Indera, KINI DAN SILAM merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakan-rakan dari PAS Kawasan Batu yang telah memberikan sumbangan berupa sebuah papan tanda dan usaha untuk memelihara pusara Allahyarham yang telah terbiar lama. Kami berpendapat, langkah ini adalah satu usaha positif bagi memperbetulkan sejarah tanah air yang sekian lama diputarbelit oleh kaum penjajah British dan tali barutnya yang kini masih memegang kekuasaan pemerintah tanah air.

Di bawah adalah catatan dari Dato' Tarmizi Mohd Jam yang disiarkan diruangan facebook beliau.

 
PAS Kawasan Batu telah menyerahkan papan tanda bagi pusara Allahyarham Mat Indera dan akan memperelokkan pusara yang terbiar itu sebagai ingatan genarasi akan datang terhadap tokoh dan pejuang kemerdekaan yang dijatuhkan hukuman gantung oleh penjajah British pada tahun 1953. Dalam ziarah "XPDC Terjah Juang PAS Batu" pada Sabtu, 12 Nov lalu, Yang Dipertuanya, Ishak Surin telah menyerahkan papan tanda berkenaan kepada penjaga Tanah Perkuburan Islam Kg. Jambu, Yaacob Din. Kos memperelokkan pusara sebanyak RM1,000 ditanggung sepenuhnya oleh PAS Kawasan Batu sejajar dengan peristiharan keluarga Mat Indera menjadi keluarga angkat PAS Kawasan berkenaan.

Jumaat, 11 November 2011

KORBAN DAN ZIARAH YAYASAN UNIT AMAL DI KAMPUNG PERDAMAIAN

1 ulasan
8 November, suasana di Kampung Perdamaian Sukhirin agak lengang kerana kebanyakan warga (mereka yang berasal dari sempadan) pulang berhari raya bersama keluarga di kampung masing-masing. Akan tetapi kekosongan itu telah digantikan dengan aktiviti yang amat bererti - ibadah korban oleh rombongan Yayasan Amal, sebuah badan NGO. Daging korban telah diagihkan kepada seluruh warga. 

Bagi pihak warga Kampung Perdamaian Sukhirin, KINI DAN SILAM merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yayasan Unit Amal dan kepada mereka yang terlibat dalam bahagian korban tersebut. Semoga ibadat korban ini mendapat keredaan dan ganjaran dari Allah Taala. 

KINI DAN SILAM difahamkan bahawa, ziarah korban rombongan ini  juga bertujuan mencari jawapan atas persoalan benarkan Rejimen Ke-10 "tidak bertuhan" dan "anti-agama" yang terus menerus dipropagandakan oleh Kerajaan UMNO BN, apakah Mat Indra yang memimpin pasukan Melayu menyerang Balai Polis Bukit Kepung pada tahun 1950 "tidak beragama" kerana terlibat dengan PKM?


korban diiringi gema takhbir

Ziarah kediaman Abdullah C.D.

bacaan Al-Quran dari anak-anak generasi baru
persembahan lagu-lagu nasyid
sembang santai bersama warga Kampung Perdamaian

Jamuan bersama warga Kampung Perdamaian

Ahad, 6 November 2011

AIDILADHA DI KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

1 ulasan
80 persen penduduk kampung ini terdiri dari bekas perajurit Rejimen Ke-10 dan anak/cucu mereka yang lahir selepas perdamaian 1989. Walaupun peperangan telah ditamatkan dan perdamaian telahpun dinikmati, namun cop "pengganas komunis", "tidak bertuhan", "anti-agama" dan sebagainya masih dikenakan ke atas mereka.

Berikut adalah pilihan gambar-gambar menyambut Hari Raya Korban di Kampung Perdamaian Sukhirin yang dirakam sebentar tadi.




Seorang anak generasi baru membacakan khutbah Aidiladha merakam gambar kenangan dengan Abdullah C.D. selesai solat.






upacara korban

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

0 ulasan
Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di muka bumi ini, kepada rakan seperjuangan dan rakan-rakan dari berbagai aliran politik patriotik-demokratik.





seterusnya boleh tonton di sini

Jumaat, 4 November 2011

SIAPA PENGKHIANAT KEPADA NEGARA?

0 ulasan

Membaca berita arus perdana, kita tak putus-putus berhadapan dengan pembohongan-pembohongan bahkan sesetengahnya amat melucukan. Di atas adalah keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Oktober 2011 yang memuatkan kenyataan Perdana Menteri 1Malaysia memfitnah golongan kiri Melayu sebagai "pengganas komunis". Kenyataan ini dibuat Perdana Menteri untuk menyanggah kenyataan Tuan Haji Mohd. Sabu yang melabelkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Mat Indera adalah seorang pemimpin pasukan gerila Melayu yang bergerak di Johor yang terlibat menyerang balai polis Bukit Kepung pada tahun 1950. Dari sini timbullah persoalan siapa pengkhianat dan siapa pula pejuang  kemerdekaan tanah air.

Untuk mendapat jawapan sebenar atas persoalan di atas, kita cukup dengan memberikan jawapan kepada 54 solan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa remaja yang  disiarkan oleh blog tongkatbahaman.


54 Soalan untuk renungan anak-anak muda pasca merdeka sempena 54 tahun “merdeka…”

  1. Benarkah UMNO tidak pernah berperang dengan British dan pemimpinnya hanya berunding untuk mendapat kemerdekaan. Jadi Tunku adalah perunding atau pejuang ?
  2. Sebelum Merdeka British begitu terancam dengan PKM selepas merdeka UMNO pula, walaupun sudah berdamai (1989) tetapi tetap gelabah. Apakah mereka bimbang mengenai hakikat sejarah yang akan terbongkar.?
  3. Benarkah ramai tentera British telah menjadi korban gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya(TPRM) yang terdiri dari seluruh bangsa rakyat Malaya yang bergabung tenaga bersama PKM?.
  4. Bilakah semboyan MERDEKA bermula dan siapakah pemulanya ?
  5. Benarkah ramai perajurit TPRM juga telah terkorban menentang tentera penjajah Inggeris sejak darurat 1948 hinggalah merdeka. Apakah maksud pernyataan ini ?
  6. Kalau merdeka tanpa pertumpahan darah kenapa begitu ramai nama-nama askar Inggeris yang yang mati direkodkan di tugu negara kita. Kenapa mereka mati ? Mempertahankan siapa - tanah jajahan atau rakyat Malaya ?
  7. Benarkah Darurat 1948 adalah perang terhadap rakyat yang berjuang bersemboyankan merdeka. Mereka ditangkap, dipenjara dan dibunuh yang terlepas menyusup ke hutan bergerila membentuk TPRM.
  8. Akta darurat 1948 adalah demi keselamatan negara atau keselamatan imperialis Inggeris di Malaya ?.
  9. Benarkah Darurat 1948 ini diisytiharkan sesudah kuasa penjajah Inggeris melihat PKMM, AWAS, API, PKM, BATAS, Kesatuan Buruh dan lain-lain telah berjaya mengumpulkan berjuta rakyat Malaya di bawah PUTERA-AMCJA untuk mengusulkan negara merdeka berpelembagaan.
  10. Benarkah Darurat 1948 diistiharkan bagi mengekang tekanan dan suara merdeka di bawah PUTERA-AMCJA pelbagai kaum rakyat Malaya ketika itu.
  11. Benarkah HARTAL yang dilancarkan pada 1948 adalah antara penyebab kuasa imperialis Inggeris melancarkan akta darurat 1948…. dan kenapa ?
  12. Siapakah yang sebenarnya dalam keadaan darurat – imperialis Inggeris atau rakyat kerana kebangkitan seluruh rakyat ketika itu… ?
  13. Benarkah akta ini adalah muslihat untuk British tidak mengisytiharkan perang sedangkan ia suatu perang terhadap rakyat yang berjuang menuntut Merdeka dengan membawa masuk 400,000 tentera dari tanah-tanah jajahannya ke Malaya ?
  14. Kerana akta ini ramai pemimpin PKMM, AWAS, API serta lain-lain parti yang berjuang untuk menuntut merdeka telah bersama PKM dan berjuang dengan senjata menentang Inggeris dan kenapa ?
  15. Jika mereka tidak memilih hutan dan gerila apakah pilihan yang ada untuk mereka kerana seluruh parti-parti progresif telah diharamkan. Apakah mereka perlu memilih rumah pasung Inggeris (balai polis), penjara atau tali gantung (UMNO sahaja yang tidak diharamkan ketika itu kerana ia ditaja oleh British).
  16. Kenapa perang dalam negeri terus berlangsung selepas merdeka. Bukankah ini antara syarat yang dikenakan Inggeris untuk merundingkan kemerdekaan ? Apakah signifikan syarat ini ? Tidakkah untuk memberi masa kepada British bagi mengelak “premature withdrawal” ? dan apakah signifikannya terhadap soal perniagaan senjata jangka panjang ke Malaya oleh British serta kepentingan mempertahankan harta mereka (kolonial) yang masih ada.
  17. Benarkah Inggeris memberi kemerdekaan kepada Malaya kerana mereka hormat orang Melayu yang mereka pernah tulis sebagai bangsa yang tinggal di atas pokok (1786) atau kerana mereka sudah tidak dapat tahan terhadap ribuan serangan bertubi-tubi dari gerila PKM yang menyebabkan beribu-ribu askarnya cedera dan terkorban.
  18. Setujukah kalau kita katakan bahawa kita hanya ada sebelah buku sejarah iaitu versi UMNO sedangkan Inggeris mempunyai buku sejarah tentang negara kita yang lebih lengkap yang tersimpan di London.
  19. Bolehkah wira-wira Melayu silam seperti Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau, Dato Sagor, Dato Maharajalela dan yang lainnya yang dituduh oleh British sebagai pengganas itu adalah sebahagian dari pejuang kemerdekaan.
  20. Benarkah pada tahun 1948 UMNO hanya sebuah parti (gerombolan) kecil minoriti seperti PERKASA hari ini ?
  21. Kenapa semboyan UMNO adalah hidup Melayu dan bukan Merdeka, adakah ini kerana mereka pada awalnya memperlekehkan gerakan untuk merdeka atau takut atau ingin mengambil hati Inggeris. ?
  22. Kenapa rundingan Baling 1955 gagal. Tidakkah Tunku di bawah tekanan David Marshall yang merancang untuk menggagalkan rundingan ini ? (Said Zahari (17 tahun pernah merengkok dalam penjara) Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu - adalah penulis cerita ini masih hidup serta boleh diwawancara).
  23. Kenapa Rundingan Baling II yang dijanjikan oleh Tunku tidak menyusul bagi menamatkan perang dalam negeri. Apakah kesannya, jika berdamai bukankah tiada tentera kita yang terpijak periuk api dan menjadi korban perang yang sia-sia.
  24. Ramai pemimpin-pemimpin Melayu termasuk Ulama’ telah ditangkap dan dipenjara kerana mereka tidak sealiran dengan UMNO. Mereka telah dicap sebagai pengganas kemudian ditangkap - kenapa ?
  25. Di manakah pemimpin Melayu yang progresif seperti Dr. Burhanudin al-Helmi, Mustapha Hussein serta Pak Sako, Ahmad Buestamam, Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan lain-lainnya telah menghabiskan usia mereka kalau bukan dalam penjara sedangkan mereka adalah nasionalis ?
  26. Jika PKM adalah anti Agama dan Tuhan, bagaimana ulama’ seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai pemimpin progresif Melayu boleh berjuang dalam satu pasukan yang sama menentang Inggeris.
  27. Kenapa di setiap daerah (province) di China terdapat masjid malah jumlah orang Islam di China lebih dua kali ganda dari penduduk Islam di Malaysia ?. Begitu juga penganut agama lain bebas mengamal agama mereka.
  28. Kenapa orang Melayu selalu ditakut-takutkan dengan fikiran lapuk terhadap komunis yang dituduh tidak percaya kepada Tuhan serta anti agama sedangkan UMNO menjunjung sistem ekonomi riba sedang Allah menganjurkan perang terhadap riba dan memberi ancaman dengan api neraka (al-Baqarah: 279 dan 275).
  29. Kenapa ulama-ulama upahan UMNO lebih gemar menyerang socialism yang anti riba daripada menyerang capitalism yang mendukung sistem ekonomi riba ?.
  30. Kenapa dalam setiap ulang tahun perayaan kemerdekaan UMNO tidak menonjolkan pejuang-pejuang lain yang sepanjang abad bergerila menentang kuasa penjajah Inggeris seperti Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau Datok Maharajalela, Datok Sagor serta yang sebelumnya. Adakah hanya Tunku sahaja yang berjasa kerana dia dipilih oleh Inggeris menjadi wakil untuk berunding ?
  31. Kenapa UMNO sangat benci dan memusuhi pemimpin progresif Melayu hingga sanggup melebelkan mereka sebagai komunis agar mereka dijauhi oleh masyarakat dan tidak mengganggu tahta kuasa yang sedang berada di tangan UMNO.
  32. Siapakah yang menggerakan gerakan menentang Malayan Union 1948 sedangkan pada waktu itu UMNO hanya gerombolan dan sangat kecil jumlahnya.
  33. Benarkah PUTERA-AMCJA telah menggerakan seluruh rakyat Malaya keluar menentang Malayan Union pada 1948. Kenapa tidak nampak satu pun bendera UMNO ketika itu sedangkan terdapat ribuan kibaran bendera yang lain.
  34. Pernahkah UMNO menjelaskan tentang makna merah dan putih benderanya dan dari mana mereka telah menciplaknya ?
  35. Betulkah MCA itu berasal daripada Parti Kuomintang (bukan PKM) yang pernah mengganas selama 14 hari ketika Jepun tewas pada tahun 1945 ?
  36. Kenapa rakyat Malaysia disuruh mendewakan Tunku Abdul Rahman sahaja dan tidak boleh menghargai pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain yang telah menyumbangkan bakti menghalau Inggeris keluar dari negara ini?
  37. Kenapakah UMNO terus memusuhi PKM walaupun mereka sudah berdamai pada tahun 1989.Adakah ini suatu cara untuk mereka terus menipu rakyat.
  38. Adakah mana-mana rekod jenayah yang pernah dilakukan oleh ratusan bekas-bekas perajurit PKM yang dapat kita jadikan bukti bahawa mereka adalah spesis pengganas selepas 22 tahun mereka bersama rakyat.
  39. Kenapa UMNO perlu gelabah apabila kisah sebenar Bukit Kepong didedahkan. Jika versi UMNO benar kenapa perlu gelabah kerana kebenaran tetap kebal.
  40. Kenapa tidak diadakan perdebatan, forum secara terbuka mengenai perkara ini ?
  41. Kenapa orang yang berbeza pandangan tentang sesuatu kisah boleh dituduh pengganas hanya kerana dia tidak bersetuju dengan kerajaan.
  42. Jika kisah ini tidak betul kenapa ianya tidak dibetulkan sahaja melalui pembentangan fakta-fakta dan bukti yang sahih ?
  43. Adakah rakyat semakin kelihatan cenderung untuk tidak mempercayai sejarah yang ditulis oleh UMNO – apakah dosa UMNO hingga ia semakin dibenci.
  44. Adakah ini tanda awal bahawa kuasa dan sejarah sedang mengalami perubahan ?
  45. Kenapa UMNO masih memaksa rakyat melihat sejarah dari perspektif penjajah – tidakkah ini suatu kecurangan yang besar terhadap rakyat ?
  46. Adakah rakyat akan menolak kenyataan bahawa Tunku itu adalah salah seorang perunding untuk kemerdekaan di samping itu terdapat juga ramai lagi tokoh dan pejuang yang lain yang juga berjasa ?
  47. Adakah salah kalau kita menerima orang lain juga berjuang dan mereka juga perlu diberi sanjungan kerana jasanya sama ada besar atau kecil.
  48. Peristiwa Bukit Kepong berlaku pada tahun 1950 (sebelum Merdeka) yang menggariskan pertentangan di antara anak tempatan dengan penjajah – kenapakah UMNO terus-terusan mahu membela penjajah ? Adakah kita masih belum merdeka. ?
  49. Kepada anak muda Malaysia sesekali pergilah melawat tugu negara dan fikirkan fakta-fakta yang terpahat di situ kemudian cuba fikirkan dari siapa kita merdeka. Dari Inggeris atau PKM ?
  50. Tidakkah sejarah negara bangsa kita begitu comot, kotor dan curang, hingga amat sedikit daripada rakyat Malaysia (termasuk professor, guru sejarah dan pelajar serta pemimpin dan ahli-ahli UMNO) yang benar-benar faham dan dapat menceritakan rentetan sebenar perjuangan menentang penjajah dan mencapai kemerdekaan.?
  51. Tidakkah ia bagai seorang gadis yang telah disolek sesuka hati hingga tiada yang dapat mengenalinya dari kalangan anak muda Malaysia hari ini.?
  52. Abdullah CD pernah bertemu Jins Samsudin mengenai fakta filem Bukit Kepong yang jauh terpesong namun beliau telah mengelak diri untuk janji temu kedua yang telah dipersetujui untuk membetulkan fakta ini. Kenapa Jins mengelak kalau bukan kerana Jins sebenarnya berniat memesongkan sejarah kerana ini adalah projek untuk menipu rakyat oleh UMNO. ?
  53. Benarkah kita sudah Merdeka sedang kita boleh saja masuk penjara hanya kerana kita memakai baju kuning sesudah dituduh komunis atau subversive oleh pemerintah.
  54. Jika sejarah kita umpama seorang gadis, apakah harus dia disolek sesuka hati hanya untuk mempertahankan kuasa yang diperolehi hasil dari perjuangan orang lain. ?

REJIMEN KE-10 TRM