Sabtu, 29 Oktober 2011

MISTERI PKM HARAM DAN PENGGANAS KOMUNIS

2 ulasan
pejabat PKM di Kuala Lumpur sebelum darurat

Sebelum 1948 PKM bukan pertubuhan haram

Ada antara kita barangkali yang terlupa atau tidak tahu bahawa PKM hanya diharamkan pada tahun 1948. Sebelum itu, PKM adalah sebuah pertubuhan yang "sah" atau halal; bukan pertubuhan haram.

Meskipun sebelum tahun 1948 kebanyakan ahli dan pemimpin PKM memilih bergerak "di bawah tanah" dan hanya sebahagian saja yang mengenalkan diri secara terbuka, tetapi ibu pejabat PKM yang terletak di Kuala Lumpur adalah pejabat yang "terbuka" dan boleh dikunjungi oleh siapa saja.

Sebelum tahun 1948 juga anggota PKM tidak dimomokkan dan dilabel sebagai pengganas.Tidak ada istilah pengganas komunis sebelum tahun 1948

Anggota PKM atau orang-orang komunis hanya dimomokkan sebagai pengganas dan sebagai orang-orang yang anti-Tuhan atau tidak beragama selepas tahun 1948 sebagai perang saraf penjajah Inggeris untuk menumpaskan perjuangan PKM.

Kebetulan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua ideologi komunis (dan juga sosialis) adalah ideologi yang didukung oleh lebih satu pertiga penduduk dunia, khasnya rakyat di negara-negara yang dijajah oleh kuasa barat.

Komunisme adalah ideologi tandingan terhadap kapitalisme dan imperialisme dan merupakan senjata yang berkesan untuk menentang imperialisme barat.

Oleh itu, dalam konteks sejarah yang demikian, barangkali bukanlah satu perkara yang salah, dan bukan pula satu kebodohan, jika ada orang Melayu yang masuk menjadi ahli PKM dan mendukung ideologi komunis dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Kebetulan di Malaya ketika itu, PKM adalah kumpulan politik yang terkuat, yang mempunyai senjata dan mempunyai kemampuan untuk menentang penjajah Inggeris secara bersenjata.

Ini tentunya satu faktor lagi yang mendorong sebahagian orang Melayu, seperti bekas ahli API, AWAS dan PKMM yang tidak dapat lagi berjuang mengikut jalan damai, kerana parti mereka telah diharamkan, masuk ke hutan dan berjuang bersama-sama PKM.

Bila Timbulnya Istilah "Pengganas Komunis"?

Kita sudah lama terbiasa dengan istilah "pengganas komunis". Jadi kita menganggapnya sebagai istilah biasa dan penggunaannya pun sebagai hal yang wajar saja.

Kita tidak menyedari bahawa istilah itu sebenarnya dicipta dan direkayasa dengan tujuan tertentu.

Ketika berlaku konflik berdarah yang dahsyat antara orang Melayu dengan orang Cina pada akhir tahun 1945, selepas berakhirnya pendudukan Jepun, istilah itu belum muncul lagi, walaupun konflik itu melibatkan ahli MPAJA atau Bintang Tiga, yang merupakan cabang tentera PKM.

Orang-orang Bintang Tiga ialah komunis, tetapi ketika itu mereka belum lagi digelar sebagai pengganas komunis.

Istilah pengganas komunis sebenarnya hanya muncul selepas tahun 1948, selepas Darurat, atau selepas PKM melancarkan perjuangan bersenjata menentang penjajah British.

Ketika itu mucul istilah "penjahat", "pengganas" dan "bandit" untuk merujuk kepada anggota Tentera Pembebasan Nasional (TPN), atau cabang tentera PKM, yang terlibat dalam perjuangan bersenjata itu.

Misalnya, ketika melaporkan serangan pasukan TPN ke atas balai polis Bukit Kepong , tajuk berita Utusan Melayu (24/2/1950) ialah "Serangan Penjahat atas Rumah Pasung Bukit Kepong", manakala akhbar Strait Times (24/2/1950) pula membawa tajuk " Johore Bandits Kill 23, Burn Police Station". Dalam laporan itu Utusan Melayu menggunakan istilah penjahat dan pengganas secara tukar ganti.

Istilah penjahat, pengganas dan bandit ini sebenarnya dicipta oleh pihak penjajah British sebagai perang saraf untuk memomokkan dan memburukkan imej PKM supaya orang ramai membenci dan tidak menyokong perjuangan PKM.

Betapi tidak, mereka penjahat, pengganas atau pengganas komunis -- bukan pejuang kemerdekaan!
Ini adalah fakta sejarah, dan tidak dimaksudkan untuk mengagung-agungkan PKM.

dipetik dari http://pacarmerah.blogspot.com/

Rabu, 26 Oktober 2011

SELAMAT MENYAMBUT DEEPAVALI

0 ulasan
KINI DAN SILAM atas nama Abdullah C.D., bekas komander dan perajurit Rejimen Ke-10 yang menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada rakan seperjuangan, rakan-rakan di berbagai parti politik yang menyambut hari raya ini. Ucapan Selamat Deepavali juga ditujukan kepada  seluruh rakyat revolusioner India / Tamil yang pernah memberikan sokongan bernilai selama berlangsungnya perjuangan bersenjata menentang penjajah British.

Kami berharap rakyat berbagai kaum tanah air kita lebih erat bersatu padu dalam perjuangan bersama untuk mengisi kemerdekaan demi faedah semua golongan rakyat, untuk demokrasi dan keadilan sejati.

Selasa, 25 Oktober 2011

BUKU BARU: MENGHARUNGI TITIK NOKHTAH

1 ulasan



Mengharungi Titik Noktah
Dr. Mohd Nasir Hashim
Publisher: Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd and Parti Sosialis Malaysia
Year: 2011
ISBN: 9789670311029
469 Pages
RM30.00 / S$19.50

 
Semboyan tempelak..menggerunkan jiwa-jiwa nan resah. Pegawai-pegawai, konco-konco dan jentolak mula mengganas. Maka tumbanglah rumah peneroka bandar…satudemi satu…demi satu. Anak-anak berteriak…terpisah dari keluarga tersayang. Kelibat Mak Minah…berselendang coklat bergerak pantas mengawal keadaan. Apakah rahsia Mak Minah? Wira-wira muda, ibu-ibu dan warga tua mendedahkan budaya pincang..beracuan penindasan yang menghancurkan kemanusiaan dan alam sejagat. Namun pemaju mengerahkan agensi-agensi pemerintah dan konco-konco keparat. Cuba memaksa titik noktah pada perjuangan. Hamzah, Samad dan rakan-rakan menyusun ideologi baru keyakinan diri…bertakhta di hati. Walaupun ISA sudah menanti patah tumbuh tetap berganti.
Kepada yang berminat sila berhubung dengan:
a) Drop by our showroom at the following address:
           No. 11, Lorong 11/4E
 46200 Petaling Jaya,
 Selangor, Malaysia
 Tel: (603) 7957 8343/8342
 Fax: (603) 7954 9202
 
 
c) Send us an email at sird@streamyx.com or gerakbudaya@pd.jaring.my
 
d) Get it from all major bookstores throughout Malaysia

Ahad, 23 Oktober 2011

MELAWAT KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

0 ulasan
Pada 21 - 23 Oktober, seramai 20 orang para guru dan murid dari Sekolah Menengah Darussalam, Narathiwat telah berkunjung ke Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12. Difahamkan kunjungan ini adalah untuk melihat keunikan kampung ini sebagai kampung di tengah hutan dan untuk mengetahui  latar belakang sejarahnya.

Dalam kunjungan ini para guru dan murid tersebut telah menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti kem lama dan terowong Rejimen Ke-10, muzium sejarah juga tak melepaskan peluang menziarahi Abdullah C.D. dan veteran Rejimen Ke-10 lainnya yang kini sudah lanjut usia.

Berikut adalah pilihan gambar-gambar kunjungan tersebut, dirakam oleh seorang mahasiswa yang juga anak generasi baru Kampung Perdamaian Sukhirin.


merakam gambar kenang-kenangan dengan Abdullah C.D.



melawat muzium sejarah




di depan pintu terowong


kenangan bersama tugu kesatria Rejimen Ke-10


sarapan di dewan makan




Khamis, 20 Oktober 2011

HARI HARTAL

0 ulasan
dari SEPULUH TAHUN SEBELUM MERDEKA
Pada 20 Oktober 1947, hartal raksasa telah dilancarkan di seluruh Malaya  bagi  membantah penjajah British yang menolak Perlembagaan Rakyat di bawah pimpinan PUTERA-AMCJA. Selepas hartal ini, penjajah British mulai memperlihatkan sikap bengisnya menekan perjuangan kemerdekaan dengan kekerasan .  Pada bulan Jun 1948 penjajah British  mengisytiharkan undang-undang darurat di seluruh negara dan mengharamkan semua parti dan pertubuhan yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

catatan Abdullah C.D.

Isnin, 17 Oktober 2011

MALAYSIAKINI: KUMPULAN "PENUHI DATARAN" DISURAIKAN POLIS

0 ulasan

Kumpulan 'Penuhi Dataran' disuraikan polis

(http://www.malaysiakini.com)
Koh Jun Lin
2:30PM Okt 16, 2011



Polis menyuraikan kira-kira 100 orang yang berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur - bagi menunjukkan sokongan terhadap pergerakan sedunia bagi mempromosi kebebasan bersuara dan penyertaan langsung dalam demokrasi - malam tadi.

"Kami menerokai penyertaan demokrasi melampaui pilihan raya.
"Tujuannya bagi meningkatkan penyertaan awam dalam politik dan pembuatan keputusan," kata pengarah filem bebas Fahmi Reza yang mengambil bahagian dalam acara itu.

Bagaimanapun, keputusan mereka hampir tidak bermula apabila polis memberikan arahan bersurai setelah berunding dengan kumpulan itu.

Mereka bersurai dengan aman tetapi memilih berkumpul dalam kumpulan kecil dan terus berlegar-legar di sekitar kawasan itu.


Asisten supretendan Karthik W yang mengetui pasukan kira-kira 15 anggota polis berkata, mereka bertindak bagi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mentadbir kawasan itu.

"Terdapat undang-undang dan peraturan di Dataran Merdeka. Tidak semua acara boleh dilakukan di sini," kata Karthik.

Dalam masa yang sama, orang ramai terus sedang menononton perlawanan bola sepak di layar besar yang disediakan di kawasan tumpuan pelancong itu.

[Baca berita penuh]

Ahad, 16 Oktober 2011

PERTEMPURAN SG. SEMUR: pengaruh pertempuran

0 ulasan
Rampasan perang
perajurit TPNM

Dalam pertempuran ini, seplatun tentera upahan imperialis British telah ditewaskan – 17 orang dibunuh, antaranya termasuk seorang ketua polis dan seorang koperal; 2 orang musuh mendapat cedera parah; 14 orang ditawan, antaranya termasuk seorang leftenan, seorang pegawai pelatih dan 2 orang sarjan, 7 orang lagi berjaya melarikan diri.

Dalam pertempuran ini pasukan kita telah merampas 34 pucuk senjata berbagai jenis, antaranya sepucuk meriam katak, 4 pucuk mesingan ringan, 12 pucuk steengun, sepucuk carbine, 14 pucuk raifel, sepucuk pistol buatan Kanada dan sepucuk pistol isyarat,  merampas 29 biji peluru meriam katak, 32 butir bom tangan, 9 butir bom pemedih mata, belasan butir bom asap, 3,000 butir lebih peluru berbagai jenis, 8 bilah benet, 33 buah haversek militer, puluhan pasang uniform, serta sejumlah besar alat keperluan tentera lainnya seperti tali pinggang, baju hujan, tarmus air dan bekas nasi. Senjata-senjata dan kelengkapan-kelengkapan yang dirampas itu cukup untukmelengkapi satu platun baru.

Kejayaan pertempuran yang cemerlang itu tentulah datang dari usaha keras. Semua komander dan perajurit telah menyumbangkan tenaga masing-masing dan telah membuat jasa tertentu. Sebelum pertempuran mereka berlatih dengan sungguh-sungguh dan membuat perancangan yang teliti. Dalam pertempuran, mereka telah bertempur dengan gagah perwira. 5 orang kawan telah mengorbankan jiwa mereka yang berharga di medan pertempuran.

Selepas pertempuran itu, musuh memborak konon, 250 orang perajurit tentera kita telah ambil bahagian dalam pertempuran itu dan 25 orang telah mati. Ini hanya untuk menutupi kegagalannya sahaja.

Di bawah sinar matahari senja, kawan-kawan pasukan telah mengebumikan jenazah kawan-kawan seperjuangan yang telah gugur di lereng bukit yang tinggi. Setelah beres semuanya, para perajuritpun menghayun langkah bangga balik ke khemah sambil membawa sejumlah besar barang-barang rampasan perang. Pada malam itu juga rapat merayakan kemenangan dilangsungkan.

Esoknya, menyongsong mentari yang baru terbit, pasukan maju ke arah Gua Musang untuk menyambut pertempuran baru.

Pengaruh pertempuran

Ketika bunyi tembakan bergemuruh di tepi Sungai Semur, 30 -40 orang askar musuh yang sedang makan di kem Takuse, kira-kira 2 jam perjalanan dari tempat pertempuran segera menyorok ke dalam parit pertahanan. Bunyi tembakan semakin kencang. Kerana takut kena serangan juga, mereka keluar semula dari parit pertahanan dan membakar kepuk-kepuk padi. Apabila api dinyalakan, merekapun dengan gopohnya melarikan diri ke Pulai. Apabila musuh meninggalkan kampung, regu penyusun massa dan massa pun segera memadamkan api, lalu mengangkut sejumlah besar bahan makanan dan makanan dalam tin ke dalam hutan.

100 orang askar musuh di Pulai juga menyorok ke dalam parit pertahanan tatkala mendengar bunyi tembakan. Askar-askar musuh dari Takuse telah tiba. Mereka takut kalau-kalau diserang oleh tentera kita, lalu meminta bantuan kecemasan kepada musuh di Gua Musang pula. Tawanan-tawanan yang dibebaskan oleh pasukan kita telah balik ke Pulai. Mereka menceritakan keadaan bagaimana platun mereka dibasmi. Ini lebih menggerunkan hati askar-askar musuh sehingga mereka tidak berani melangkah setapakpun dari tempat pertahanan.

Kemenangan pertempuran di Sungai Semur ini segera tersebar ke seluruh pelusuk Ulu Galas bagaikan ditiup angin. Rakyat jelata tempatan gembira dan terdorong kerananya.

tamat

(artikel Pejabat Perajurit Tentera Rakyat Malaya – Siaran SDM 3 -13 Februari 1983)

Sabtu, 15 Oktober 2011

PERTEMPURAN SG. SEMUR: murah hati terhadap tawanan

0 ulasan
Saki Baki Musuh melakukan perlawanan

Rumpun buluh itu terletak ditanah rendah dekat dengan jalan, antara posisi Seksyen Ke-22 dan 23, iaitu di kaki bukit depan tempat markas. Buluh-buluh itu tidak ditebang dan tanah itu tidak diratakan sebelumnya kerana takut meninggalkan kesan. Kini 6-7 orang musuh termasuk pegawai yang mempunyai 3 paku dibahunya sedang berjalan ke situ.

Setelah tembak menembak beberapa minit, hanya beberapa orang musuh saja yang melepaskan tembakan satu satu. Kawan-kawan komander telah membunyikan wisel tanda berhenti menembak, kemudian memerintahkan para perajurit melaung seruan. Para perajurit di kedua belah posisi melaung “letak senjata tidak mati, kami layan baik tawanan”. Perajurit-perajurit di seberang sungai pun ikut melaung. Tapi beberapa orang musuh itu meronta-ronta sekarat. Mereka melemparkan 2 biji bom tangan ke arah markas seterusnya menembak pula.

Bagaikan ikan yang sudah dalam jala yang hanya menunggu digoreng sahaja, musuh yang tidak mahu menyerah diri mesti dibasmi. Perajurit-perajurit kita di kebua-dua belah pun menumpukan kekuatan tembakan mereka ke atas musuh itu. Sebentar kemudian, mereka melaung lagi, tapi saki baki musuh itu tetap bertiarap dengan diam-diam di situ.

Sebahagian besar dari 26 orang musuh itu dibasmi, tapi pertempuran itu berlarutan kerana perlawanan beberapa orang musuh tadi. Kawan komander telah mengambil keputusan tegas. Dia memerintahkan supaya dilancarkan serbuan menghimpit dari 2 hala. Ketua dan Wakil Ketua Platun Ke-33 Kawan Kang Po dan Kawan Chu Lian masing-masing memimpin sebuah regu penyerbu dari kanan ke bawah bukit, kemudian terus merangkak maju. Kawan Chu Lian membawa Kawan Chung Sin dan Kawan Han Cheng menyerbu dari kiri tapi telah dihalang oleh musuh sebaik-baik saja mereka keluar dari parit, Kawan Chung Sin dan Kawan Han Cheng telah terkorban serta merta. Megazin bulat tomygun Kawan Chu Lian telah ditembusi peluru, mujurlah dia tidak kena. Hujan peluru telah menyekat jalan penyerbuan. Kawan Chu Lian terpaksa patah balik dan Kawan Kang Po juga berundur dengan membawa kawan-kawan lain.


Murah hati terhadap tawanan

Di seberang kiri, perajurit-perajurit Seksyen Ke-20 hanya boleh menonton saja, lama sudah mereka menyingsing lengan baju hendak mencuba kehandalan. Melihat pertempuran tidak juga selesai, mereka pun mengutus Kawan Ching Chai dan Kawan Chang Yi mengharungi sungai menyerang ataupun membantu menurut keadaan. Bersamaan dengan itu Seksyen Ke-23 melemparkan bom tangan bertubi-tubi ke arah rumpun buluh itu, manakala seksyen ke-22 pula mengalihkan muncung mesingan ringannya menembaki rumpun buluh itu dengan gencar. Rumpun buluh telah menjadi sasaran bersama para perajurit. Beberapa orang musuh lagi kena tembak. Saki bakinya mulai goyang jika melawan hanya menempah maut sahaja. Sementara itu pasukan kita berhenti menembak dan melaung seruan “Letak senjata tidak mati, kami beri layanan baik pada tawanan”. Seruan itu berkumandang di kiri kanan sungai.

Sementara itu seorang musuh yang hendak melarikan diri ke seberang sungai menyelinap ke dalam rerumput di tengah-tengah sungai, tapi kepalanya timbul di permukaan air. Melihat musuh itu, perajurit-perajurit di tebing kiri menyeru “Mari sini menyerah”. Tapi dia tidak peduli walaupun sudah 2 kali dipanggil. Kawan-kawan sengaja melepaskan 2 das tembakan. Askar itu menggigil ketakutan. Dia mengangkat tangan dan mengharungi sungai sambil berkata: “Jangan tembak saya, jangan tembak saya! Isteri dan anak-anak saya bergantung hidup pada saya.” Kawan komander berkata: “Jangan takut, kalau mahu bunuh kau, bukankah kau sudah habis dalam tembakan tadi lagi. Mari sini, kau tak akan diapa-apakan”. Melihat para perajurit tidak menembak, barulah dia percaya kata-kata pihak kita, kemudian dia pun naik ke tebing menyerah diri.

Tapi saki baki musuh di dalam rumpun buluh itu masih juga diam setelah mendengar seruan itu. Kawan Chu Lian dan Kawan Kang Po masing-masing memimpin kawan-kawan lancarkan serbuan untuk kali kedua. Kali ini saki baki musuh itu tidak berani menembak lagi. Kawan-kawan penyerbu mendekati rumpun buluh itu lalu mengherdik. 5 orang yang masih hidup meletakkan senjata dan mengangkat tangan tanda menyerah diri.

Oleh kerana rumpun buluh itu terletak di tanah rendah menjadi posisi sudut mati, beberapa orang musuh dapat bersembunyi di sana melakukan perlawanan, pertempuran yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam 10 minit telah berlarutan hampir sejam barulah berakhir dengan kemenangan di pihak kita.

Kawan-kawan keluar dari parit pertahanan dan turun dari lereng bukit kemudian terjun ke jalan denai di tepi sungai. Antara 19 orang musuh yang tewas di situ, 17 orang sudah mati dan 2 orang lagi mendapat luka parah. Di samping itu 6 orang telah menyerah diri. Seorang lagi musuh lolos dari medan pertempuran lalu bersembunyi di dalam rerumput. Dari mulut tawanan-tawanan, kita mengetahui bahawa tentera musuh tersebut ialah seplatun dari Batalion Ke-3 Malay Regiment.

Dalam pertempuran itu, kawan-kawan kompeni Ke-27 menembak dengan jitu, dahsyat dan tidak kenal belas kasihan. Tetapi terhadap tawanan yang telah menyerah diri, mereka bertindak menurut disiplin TPNM iaitu dasar bermurah hati terhadap tawanan perang. Tawanan-tawanan itu telah dibawa ke seberang sungai dan dijaga oleh beberapa orang perajurit. Mereka memberi rawatan menahan darah dan membalut luka. Kawan dari Markas menerangkan kepada tawanan dasar parti dan tentera kita, menjelaskan matlamat parti dan tentera kita dalam perjuangan melawan imperialis British. Sesetengah tawanan terharu dan merasa terhutang budi, mereka menyedari bahawa menjadi umpan peluru imperialis British tidak bererti. Para tawanan dengan sendirinya memberitahu sedikit sebanyak keadaan tentera musuh. Mereka mengucapkan terima kasih dan menyatakan bahawa mereka rela meletakkan senjata, pulang ke kampung menjadi petani.

14 orang askar musuh yang dibelakang mengawasi massa mengangkut daun koh ke atas rakit, kemudian menaiki rakit menghilir sungai. Ketika mendekati medan pertempuran, mendengar bunyi tembakan satu satu, mereka tidak tahu apa yang telah terjadi. Mereka segera memerintahkan massa menggalah rakit ke tebing sungai lalu berjalan menyusuri denai di tebing kiri. Pengakap yang berjalan di depan ialah regu mesingan ringan yang terdiri dari 3 orang. Bila regu mesingan ringan itu sampai di tempat penyeberangan, mereka mendapati posisi tentera kita di tebing kanan dan terdengar pekikan suruh menyerah diri, baru mereka tahu keadaan tidak baik lalu tergesa-gesa membelok melarikan diri. Para perajurit Seksyen Ke-24 memandang mereka dari jauh, tapi tidak dapat menembak. Kawan-kawan segera pergi memburu musuh-musuh itu, tapi mereka telah menghilangkan diri entah ke mana.

11 orang askar musuh yang datang menyusul di belakang itu pula tiba di depan pondok pengawal kita di tebing kanan dengan kebingungan. Regu pengawal yang terdiri dari 2 orang perajurit segera melepaskan tembakan. Mula-mula musuh musuh menyangka kawan-kawan kita itu adalah pengakap depan mereka, maka mereka berteriak “jangan tembak, orang kita”. Perajurit-perajurit kita tidak mempedulikan jeritan musuh dan terus melepaskan tembakan gencar.

Mendengar bunyi tembakan, Seksyen Ke-23 di tebing kanan dan Seksyen Ke-20 di tebing kiri bekerja serentak untuk memberi bantuan. Akan tetapi ketika itu sebelas orang askar itu telahpun berpencar dan menyerbu pondok pengawal. 2 orang kawan regu pengawal kita terpaksa berundur ke atas bukit. Musuh segera menduduki pondok pengawal itu.

Pada waktu itu, pasukan bala bantuan kita tidak tahu pondok pengawal telah diduduki musuh. Kawan Ai Hua yang menyerbu di depan terkena peluru musuh dan gugur serta merta ketika dia hendak meniarap. Secepat kilat para perajurit dari kedua-dua seksyen itu berguling ke tepi busut, melepaskan tembakan serentak segugus, kemudian mengepung podok pengawal itu. Mereka bersiap hendak membasmi musuh dengan sekaligus.

Ketika itu kawan komander mengarahkan beberapa kawan membawa sarjan yang telah menyerah diri datang menyuruh musuh-musuh yang terkepung di pondok pengawal itu menyerah diri. Melihat tembakan yang amat dahsyat dan kepungan semakin ketat, sarjan itu naik takut tak berani melangkah lagi walau setapakpun. Dia meniarap di tempat yang jauh dan melaung “Aku Sarjan! Cepat letak senapang kamu dan menyerah. Orang kita tinggal tak seberapa lagi. Kalau bertempur terus mati semua!”

7 orang daripada askar musuh yang menduduki pondok pengawal itu telah angkat kaki seribu dan lolos dari kepungan kita. 4 orang yang lain pula terperangkap dalam kepungan tiada harapan boleh meloloskan diri. Mereka segera letak senapang angkat tangan menyerah diri selepas mendengar laungan sarjan. Di antara mereka itu ada seorang pegawai pelatih, mukanya pucat lesi takut kita membalas dendam. Dengan cemas dia bertanya: “Tadi saya menembak mati seorang rakan kamu, apakah saya dibebaskan nanti?” Meskipun hati perajurit sangat marah, tapi mereka tetap tegas menjalankan polisi tentera kita tentang tawanan. Mereka berkata dengan terus terang: “Tak usah khuatir, Tentera Pembebasan sekali-kali tidak akan membunuh, menganiayai atau menghina tawanan yang telah menyerah.”

Pertempuran itu memakan waktu hampir sehari suntuk. Salah seorang askar musuh yang meloloskan diri dari tembakan kita yang pertama telah menyorok di dalam rumpun rumput di suatu lurah. Dia tidak melepaskan tembakan, tapi telah banyak menyaksikan seluruh pertempuran itu, dan juga menyaksikan layanan murah hati tentera kita terhadap tawanan. Dengan ini dia yakin bahawa menjadi tawanan adalah jalan yang paling terjamin untuk pulang ke rumah dengan selamat. Oleh itu dia merangkak perlahan-lahan kemudian berlutut dan mengangkat tangan tinggi-tinggi tanda menyerah diri sebaik saja sampai di tempat yang boleh dilihat oleh kawan-kawan kita.

3 orang pengakap musuh yang melarikan diri dari posisi kita itu rupanya telah membelok ke lembah, kemudian lari lintang pukang ke tempat rakit di tebing sungai. Tiba di situ, mereka dengan segera tergopoh gapah melompat ke atas rakit dan mendesak massa supaya membawa mereka pergi. Belum sempat semua massa naik ke atas rakit, mereka telah bergegas-gegas menyembunyikan mesingan ringan ke dalam timbunan daun koh lalu mengganti pakaian seragam dengan kain, menyamar sebagai massa biasa dan duduk bersama-sama massa. Pasukan kita telahpun menunggu ketibaan rakit di tepi sungai yang tak berapa jauh di hilir. Apabila rakit ditahan, massa pun membuat pendedahan dan mengeluarkan mesingan ringan musuh dari timbunan daun koh. Askar-askar yang memakai kain itu tidak dapat berdalih lagi, mereka terpaksa menyerah diri.

Kawan-kawan telah memberi penerangan dan pendidikan kepada para tawanan dan membebaskan mereka semuanya, 2 tawanan yang mendapat luka parah telah dibawa ke atas rakit. Tawanan-tawanan berjabat tangan dengan perajurit-perajurit kita. Salah seorang tawanan berkata: “Sungguh pun saya telah menembak mati kawan kamu, tapi sekarang saya dilayan dengan begitu baik dan dibebaskan setelah ditangkap hidup-hidup. Saya amat terhutang budi.” Dan ada pula tawanan yang telah menitiskan air mata kerana terharu. 
bersambung...

Jumaat, 14 Oktober 2011

PERTEMPURAN SG. SEMUR: pertempuran bermula

0 ulasan
Wahab Hamid -sumber UM 28/9/2011

Pertempuran Bermula


Esoknya, 25 Mac 1950. Kompeni Ke-7 semuanya berjumlah 106 orang, selain daripada kawan-kawan yang ditinggalkan di tengah jalan dan yang bertugas di tempat lain. Kekuatan kita satu setengah kali ganda lebih ramai daripada jumlah musuh. Semangat kawan-kawan kita jauh lebih tinggi daripada musuh. Sebelum terang-terang tanah lagi, para perajurit telah menyembunyikan haversek mereka, lalu berjalan menyongsong matahari terbit. Setelah tiba di posisi merekapun berselindung di parit pertahanan. Hutan yang tersergam diam-diam di sisi Sungai Semur itu membiarkan angin lembut melambaikan dahan-dahan pokoknya yang rendang.

Kawan-kawan menghendap di parit pertahanan menunggu ketibaan musuh. Hati mereka bergelora kerana amat terberangsang. Mereka membeliakkan mata mengamati jalan yang akan dilalui musuh, tapi yang nampak hanyalah lambaian dedaunan pokok lemah longlai ditiup angin sepoi-sepoi. Nak menutup mata berehat atau menoleh ke belakang pula, takut kalau-kalau kehilangan peluang menembak musuh.

Sang suria mengambang di langit dengan malasnya. Panahan cahaya matahari yang menembusi celah-celah dedaunan pokok di hutan itu seakan-akan tidak bergerak. Betapa lambatnya peredaran masa sejam, susah nak dikata.

Sehingga pukul 9 lebih, barulah para perajurit mendengar alunan lagu dari arah Sungai Semur. Rupanya orang-orang yang menyanyikan lagu itu ialah beberapa orang kampung yang telah diorganais kawan penysuun massa, yang juga dipaksa musuh datang memotong daun atap koh. Ketika mendapati musuh di Lubuk Ikan Besar hendak bertokak balik, mereka pun diam-diam berangkat terlebih dahulu. Orang Ulu Galas memang suka menyanyi. Lagu mereka bergaya bebas lagi riang. Kerana pemerintahan kuku besi imperialis British lah, kehidupan mereka penuh dengan darah dan air mata, nyanyian mereka menjadi sayu rawan. Hari ini mereka bergirang hati sambil menghayun langkah yang pantas di sepanjang jalan. Apabila dekat dengan posisi, mereka pun tarik suara menyanyi dengan nyaring dan penuh semangat.

Alunan lagu bergema di udara sungai dan hutan. Ini bukan sebarang lagu. Ini seruan menyerang musuh, isyarat bertempur! Dalam seketika itu juga, tali- tali rotan yang simpang siul di posisi ditarik-tarik untuk menyampaikan isyarat perhubungan ke sana sini. Perajurit penghantar perintah pun (oderly) berlari dengan langkah yang ringan tapi cepat. Dia tahu bahawa sebarang suara yang kecilpun mungkin akan menggagalkan pertempuran. Perasaannya terlalu terharu, dia berbisik kepada kawan-kawan yang dilewatinya “Musuh datang, siap bertempur!”

Batu yang sudah disediakan ditolak perlahan-lahan oleh kawan komander ke dalam sungai sebagai isyarat kepada pasukan yang diseberang sana. Perajurit-perajurit di kiri kanan sungai sudah bersiap sedia di parit pertahanan sambil memegang kejat-kejat senapang, jari masing-masing diletakkan pada picu, menunggu perintah untuk melepaskan tembakan.

40 orang musuh itu berpecah dua. 14 orang dibelakang menggiring massa yang mengangkut daun koh di atas rakit. Sedangkan 26 orang yang lain berjalan di depan menyusuri jalan denai di tebing kiri sungai. Mereka tidak segera menyeberang setelah tiba di tempat penyeberangan, melainkan duduk-duduk di batu-batu di tepi sungai, membuka makanan dalam tin dan makan di sana. Setelah menjamu selera, merekapun membuang tin-tin kosong di situ, lalu mengharungi sungai dan berjalan mengikuti jalan denai di tebing kanan sungai. Ini bererti mereka telah masuk ke dalam perangkap Komepeni Ke-7. Namun askar-askar musuh langsung tidak menyedari keadaan itu, mereka berjalan rapat-rapat. Mereka berjalan berlenggang lenggok sambil bergurau senda. Ketika pengakap musuh yang memanggul mesingan ringan mendekati balak yang melintang di jalan itu, askar-askar musuh yang di belakang sudahpun melewati posisi Seksyen Ke-24.

Tidak jauh dari balak itu sepucuk mesingan ringan kita yang dijadikan isyarat pertempuran sudah sehari lebih menunggu. Kawan-kawan kita segera naik darah bila menghadapi musuh. Kawan-kawan regu mesingan ringan yang sudah sedia membidik segera menghujani musuh dengan semagzin peluru secepat mungkin. Sebelum sedar apa-apa beberapa orang askar musuh tersungkur dan mati dalam tumpukan darah. Serentak dengan tembakan mesingan ringan itu, Seksyen Ke-21, ke-22 dan ke-23 pun segera melepaskan tembakan . Puluhan pucuk senapang termasuk mesingan ringan, tomygun, stengun, carbine dan rifle bergemuruh serentak memuntahkan peluru ke atas musuh. Bunyi tembakan bagaikan bertih digoreng memekakkan telinga .

Kebanyakan dari 26 orang musuh itu telah ditembak mati atau dicederakan dalam tembakan serentak pertama. Dalam masa itu 2 kawan kita pun gugur. Tomygun Kawan Ah Chai Ketua Seksyen Ke-21 terganggu setelah melepaskan beberapa das tembakan. Dia mengarahkan kawan yang disampingnya menembak seorang musuh di depan. Askar musuh itu jatuh kena tembak, tapi kepala Kawan Ah Chai terkena peluru sesat bila dia hendak menjenguk musuh itu. Kawan Ah Yu, seorang penembak mesingan ringan Seksyen Ke-23 telah terkorban serta merta setelah ditembak oleh musuh yang merangkak ke rumpun buluh di kanannya bila dia sedang menembak ke arah kiri.

bersambung...

Khamis, 13 Oktober 2011

PERTEMPURAN SG. SEMUR: posisi hendapan

0 ulasan

Posisi Hendapan

Tempat serang hendap sebenarnya terletak di tepi Sungai Semur, tak berapa jauh dari tempat meninjau. Pasukan mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan tinjauan dan pengaturan sebelum pertempuran dimulai. Kawan-kawan dari markas platun telahpun mengadakan mesyuarat untuk mengkaji keadaan posisi. Kemudian mereka melukiskan sebuah peta ringkas dan membuat beberapa penjelasan yang perlu kepada pasukan. Setelah itu, pasukan dipecah-pecahkan mengadakan mesyuarat mencari akal secara beramai-ramai. Perajurit-perajurit mengeluarkan cadangan yang bijak. Pada waktu senja, selain daripada beberapa kawan yang ditinggalkan untuk menjaga khemah, pasukan bertolak ke posisi. Pada malam itu juga, mereka menyusun barisan serang hendap dan membahagi-bahagi pos tempur.

Dari posisi ini, pasukan kita dapat menyergap secara mengejut musuh yang sedang bergerak, hingga musuh seakan-akan terjerumus ke dalam perangkap dan tidak dapat melepaskan diri. Inilah kebaikannya. Di posisi yang berhadapan dengan Sungai Semur, terdapat sebatang jalan denai sepanjang puluhan ela, beberapa kaki dari sungai. Di sebelah kanan jalan denai ialah lereng bukit yang menanjak sedikit, seperti tebing kebanyakan sungai di dalam hutan. Ada yang agak rata sedikit, yang curam dan yang 6 -7 kaki lebih tinggi di tempat yang puluhan kaki jauhnya dari paras sungai. Induk pasukan menghendap dilereng bukit itu. Di sebelah kiri jalan denai ialah sungai. Tebing sungai yang curam sedikit itu tidak berapa tinggi. Permukaan sungai 30-40 kaki lebarnya, airnya tidak dalam dan mengalir perlahan-lahan kerana alurnya rata, boleh diharungi begitu saja. Tebing kiri sungai itu beberapa kaki lebih rendah dari jalan denai di tebing kanan. Di situ pun terdapat pasukan yang menghendap. 4 seksyen dari induk kekuatan, iaitu Platun Ke-33, menghendap di lereng bukit tebing kanan. Di posisi mereka terdapat dua lembah yang membahagikan posisi itu kepada 3 buah anak bukit. Di sisi anak bukit pertama ialah regu mesingan ringan yang bertugas memberi isyarat, di jalan denai di hadapan mereka terlintang balak besar. Anak bukit yang kedua terletak di sebelah balak dan lembah yang pertama. Lereng bukit ini agak lapang. Menghendap di kaki bukit itu ialah Seksyen Ke-21, di lereng Seksyen ke-22 dan di kemuncak ialah seksyen ke-23. Di antara mereka terdapat jarak-jarak yang sesuai sedangkan di bahagian lain lereng bukit itu ialah seksyen ke-24. Seksyen ini telah mendekati tempat penyeberangan dari tebing kiri ke tebing kanan jalan denai. Sedangkan lembah lain di sebelahnya sudah berada di luar posisi. Di situ terdapat seregu pengawal dan peninjau. Setiap seksyen dilengkapkan dengan sepucuk mesingan ringan. Markas pengarah terletak pada pangkal sebatang pokok besar di antara seksyen ke-22 dan seksyen ke-23.

Di tebing kiri sungai itu pula terdapat 3 seksyen dari Platun Ke-31, iaitu seksyen ke-18, 19 dan 20. Masing-masing menduduki posisi-posisi yang bertentangan dengan seksyen-seksyen dari Platun Ke-33 di tebing kanan. Di Lereng bukit tempat penyeberangan jalan denai melencung ke tebing kanan pun terdapat seregu pengawal dan peninjau.

Pertempuran gagal

Setelah pos-pos tempur dibahagi-bahagikan, masing-masing seksyen pun menggali kubu-kubu pertahanan. Kerana perkakas-perkakas tidak cukup, ada yang menggali tanah dengan dengan penyodok dan parang, dan ada pula yang menggunakan kayu dan buluh yang telah ditajamkan. Gemercik air sungai di hutan yang sunyi itu tenggelam ditelan bunyi menggali tanah. Cuaca buruk dan hujan lebat telah membersihkan peluh di badan para perajurit, dan semangat tempur mereka semakin berkobar-kobar.

Kubu-kubu pertahanan siap dibina pada tengah malam. Para perajurit pulang ke perkhemahan untuk berehat. Kawan-kawan markas terus bermesyuarat mengkaji bagaimana melancarkan pertempuran ini dan apa tindakan yang hendak diambil oleh pasukan setelah pertempuran selesai. Akhirnya, Timbalan Komander Kompeni ditugaskan memimpin beberapa kawan lain bertolak ke Gua Musang pada malam itu juga untuk mencari posisi menghadang bala bantuan musuh. Regu penyusun massa pula diarahkan supaya segera membawa massa mengangkut puluhan ribu gantang padi di Takuse, kalau-kalau askar musuh di situ melarikan diri setelah pertempuran dimulai.

Ketika terang-terang tanah hari esoknya, para perajuritpun memasuki posisi dengan menggalas haversek dan bekalan makanan. Mereka menyamar kubu pertahanan, membersihkan benda-benda yang menghalangi penglihatan dan memasang tali perhubungan. Sesudah semua itu selesai, mereka pun terjun ke dalam parit pertahanan. Mulai saat itu, mereka tidak boleh menghisap rokok dan bercakap lagi. Posisi terbenam dalam kesepian hutan.

Posisi mereka itu betul-betul baik. Orangnya ramai dan senjatanya pun banyak. Mesingan ringan saja ada 9 pucuk. Para perajurit semuanya suka bertempur. Mereka menghendap di parit pertahanan dengan keyakinan penuh sambil menunggu saat untuk menghancur leburkan musuh yang datang mencari maut.

Sayangnya hari itu musuh tak datang. Sehari suntuk posisi itu sunyi saja selain bunyi sang serangga dan kicauan burung yang merdu. Tirai malam turun, pasukan kembali ke khemah. Perajurit-perajurit kesal kerana hampa menunggu sehari suntuk. Mereka berkata: Hari ini tak datang, kami tunggu esok. Bagaimanapun kamu tak dapat lari lagi.

Rabu, 12 Oktober 2011

PERTEMPURAN SG. SEMUR: Massa Digiring Memotong Atap

1 ulasan
Massa Digiring Memotong Atap
Perajurit TPNM sedang memasak nasi

Menurut maklumat dari massa, musuh telahpun mengerah massa memotong daun atap koh selama 2,3 hari, kemudian mengangkut daun-daun atap koh itu dengan rakit mengikut jalan sungai. Setelah mendapat maklumat itu, para perajurit dengan riang berkata: “Mari kita serang hendap musuh itu .”

Ya, pertempuran semakin mendekat, kawan-kawan dari markas sudah mulai sibuk. Di tepi setiap batang sungai di situ terdapat regu peninjau kita yang mengamati gerak geri musuh. Kawasan sekitar perkhemahan telah disamar, segala kesan telah ditutup. Kegiatan sehari-hati telah diberhentikan, bunyi dikontrol keras. Siang hari sunyi saja. Setiap hari, belum terang-terang lalat lagi, para perajurit sudah makan kenyang-kenyang menunggu maklumat dari regu peninjau.

Suatu pagi beberapa hari kemudian, kawan-kawan regu peninjau yang mengintai di tepi Sungai Semur dekat khemah mendapati 20 – 30 orang massa, masing-masing dengan sebilah parang terselit di pinggang dan kain semuntal di atas bahu, masuk hutan memotong daun atap koh mengikut jalan denai tepi sungai. Askar musuh yang mengawasi massa itu 40 orang.

Kenapa imperialis British mengerahkan begitu ramai askar mengikuti massa tersebut? Apakah kerana ia takut massa tidak mahu memotong daun atap koh? Tidak. Imperialis British tahu watak massa Ulu Galas. Ia takut mereka berhubung dengan PKM setelah masuk hutan. Jadi lebih selamat jika sejumlah besar askar dihantar mengikuti mereka. Baiklah, biarkan imperialis British bermimpi di siang hari bolong.

Setelah melihat musuh, regu peninjau segera mengutus seorang perajurit ke perkhemahan untuk membuat laporan. Komander mendengar laporan sambil tersenyum-senyum. Topi tenteranya ditolak ke belakang dan nampaklah dahinya yang berkilat. Dia segera mengerahkan Ketua Platun membawa perajurit mengadakan pengintaian.

berdiskusi menetapkan rancangan pertempuran secara kolektif
Askar-askar musuh mengawasi massa berjalan sambil mengherdik-herdik. Kawan-kawan kita pula mengikuti mereka secara senyap-senyap dari belakang. Tibalah mereka di suatu tempat, “Lubuk Ikan Besar” namanya. Bukit bukau di situ penuh dengan pokok-pokok koh, massa pun berhenti. Benggolan musuh mulai membagi kerja. Ada pula massa yang membuat rakit setelah menebang serumpun buluh dan mengerat beberapa batang rotan. Dalam sekelip mata saja, rakitpun selesai dibuat. Askar musuh yang mengawasi massa melompat ke atas rakit. Mereka bermain rakit di tengah-tengah sungai dan bersukaria sambil ketawa terkekeh-kekeh dan berteriak-teriak. Askar-askar musuh yang berada di atas rakit pun melaung-laung, gema pekikan itu berdengung di sana sini. Tanda-tanda ini membuktikan, askar-askar musuh masuh hutan semata-mata untuk mengawasi massa memotong daun atap koh, bukan untuk mengadakan gerakan pengesanan. Kalau begitu, 2,3 hari nanti musuh tentu akan mengiring massa membawa daun-daun atap koh pulang mengikuti Sungai Semur. Kawan-kawan yang mengintip itu berundur secara diam-diam. Mereka balik mengikut jalan asal sambil mencari tempat menyerang hendap. Akhirnya mereka mendapati satu tempat hendapan yang agak menguntungkan di antara perkhemahan dengan Sungai Semur.

Sesampai di khemah, mereka mendapati senapang kawan-kawan sudahpun digosok sampai berkilat. Para perajurit segera mengerumuni mereka dan menanyakan berita. “Tak usah resah,” kata komander seraya tertawa “ada pertempuran yang diidamkan, kajilah dahulu.”
bersambung...
---

Selasa, 11 Oktober 2011

PERTEMPURAN DI SUNGAI SEMUR

1 ulasan
bendera TPNM/TRM
Sudah banyak diperkatakan tentang Pertempuran Bukit Kepung, Johor. Berbagai pandangan telah dikemukakan oleh berbagai pihak mengikut pandangan politik dan latar belakang pendidikan masing-masing. Mereka yang menerima pengaruh penjajah menganggap sebagai keganasan kerana serangan itu menyebabkan pembunuhan ke atas polis-polis Melayu yang mengawal kepentingan penjajah. Akan tetapi mereka yang melihat dari sudut nasionalisme Malaya melihatnya sebagai perjuangan kemerdekaan kerana pertempuran itu bersifat menyerang kekuasaan penjajah demi menghalau penjajah British dari Malaya. Sebenarnya banyak pertempuran seumpama itu berlaku sepanjang Undang-Undang Darurat yang diisytiharkan British di Malaya. Rejimen Ke-10 dan pasukan-pasukan sesaudara telah melakukan entah berapa banyak pertempuran jaya menyerang kekuasaan Inggeris.

Sempena merayakan 34 tahun berdirinya Tentera Pembebasan Nasional Malaya, pejabat Perajurit Tentera Rakyat Malaya telah menerbitkan cerita pertempuran di Sungai Semur yang berlaku pada tahun 1950. Kerana kisahnya agak panjang, kami akan disiarkan secara bersiri di sini.

PERTEMPURAN DI SUNGAI SEMUR

Ulu Galas Dalam Kancah Perjuangan

Pada penghujung bulan Mac 1950, Kompeni Ke-7, Rejimen Ke-12 TPNM telah melancarkan pertempuran di Sungai Semur, Ulu Galas, Kawasan Gua Musang, Kelantan. Pertempuran yang terkenal itu telah mendapat surat pujian dari Markas Agung TENTERA PEMBEBASAN NASIONAL MALAYA (TPNM).

Ulu Galas dikelilingi oleh bukit bukau, terletak di sempadan Kelantan – Pahang. Di celah-celah bukit bukau itu terdapat sebuah pekan yang bernama Pulai. Sungai Galas yang mencantumkan Sungai Semur dan Sungai Takuse mengalir di barat Pulai, kemudian bengkang bengkok ke utara, melingkari bukit-bukit dan kampung, akhirnya bercantum dengan Sungai Kelantan yang menggelora. Di Ulu Galas hanya terdapat sebatang jalan tanah merah sepanjang 7-8 batu. Jalang yang menghubungkan Pulai dengan Gua Musang itu adalah satu-satunya garis perhubungan rakyat tempatan dengan dunia luar.

Massa Ulu Galas adalah massa revolusioner. Mereka pernah membaktikan sumbangan kepada kemenangan perang anti-fasis Jepun bersama-sama Tentera Anti-Jepun. Setelah Perang Pembebasan Nasionnal Anti-British meletus , ramai belia Ulu Galas menyertai pasukan revolusioner. Pada bulan Julai 1948, tentera kita telah menyerang balai polis Gua Musang, membunuh, mencedera dan menawan semua musuh di situ dan merampas semua senjata mereka. Tentera kita juga menduduki Gua Musang dan kawasan sekitarnya selama seminggu. Maka itu Ulu Galas dianggap imperialis British sebagai duri dalam daging. Untuk menghancurkan desa pergunungan yang revolusioner tersebut, imperialis British dengan ganas menjalankan tindakan-tindakan kejam. Ia bertubi-tubi menangkap massa yang tak berdosa, memusnahkan tanaman-tanaman, membakar rumah-rumah dan akhirnya menganiayai secara kejam dengan menggiring massa ke dalam kem konsentrasi (kampung berkurung). Oleh itu, massa Ulu Galas benci bukan kepalang terhadap imperialis British.

Hati massa Ulu Galas berkiblat kepada PKM dan TPNM. Bila mereka mendapat tahu dari kawan penyusun massa bahawa sebuah pasukan besar akan bertempur di Ulu Galas, mereka pun berusaha sedaya upaya menyediakan makanan untuk setengah tahun lebih di dalam hutan. Sekarang, untuk menyambut pasukan di Tahun Baru Imlek (tahun baru Cina), mereka bukan saja menghantar ayam itik, bahkan juga lembu dan kambing ke dalam hutan.

Pasukan tinggal di sebuah bukit dekat Sungai Semur yang merupakan anak Sungai Galas. Mereka semuanya bekerja keras dengan semangat yang berkobar-kkobar. Setiap hari seseksyen perajurit ditugaskan untuk mengisar padi secara bergilir-gilir. Mereka boleh mengisar 200 gantang padi sehari untuk dimakan dan disimpan. Seluruh pasukan berkawad dan belajar pengetahuan militer dan politik. Tentera dan rakyat Ulu Galas bagaikan ikan dengan air. Dengan bantuan massa rakyat, pasukan kita mengintip di mana-mana untuk mencari peluang bertempur.

Sebahagian besar daripada kira-kira 160 orang askar imperialis British ketika itu ditempatkan di kem tenteranya di Pulai, sedangkan yang sebahagian kecil lagi ditempatkan di Takuse. Sungguhpun massa yang tinggal di sana hanya beberapa ratus orang saja, wanita dan kanak-kaak, tetapi imperialis British masih merasakan sulit untuk menghadapi Ulu Galas yang merah dan mempunyai tradisi revolsuioner itu. Ia merasakan kekuatannya tak cukup. Ia hendak memperbesar kem tentera di Pulai dan menambah jumlah tenteranya. 
bersambung...

Jumaat, 7 Oktober 2011

TEKS UCAPAN DR. JEYAKUMAR MEMBANTAH PINDAAN AKTA PEKERJAAN 1955 SEMASA SIDANG PARLIMEN 6.10.2011

0 ulasan
Teks ucapan Dr. Jeyakumar membantah pindaan Akta Pekerjaan 1955 semasa sidang Parlimen 6hb. Oktober 2011 mendebat usul pindaan Akta Pekerjaan

Dr. Jeyakumar
Tuan yang Dipertua, saya sedih dan kecewa mendengar hujjah-hujjah ahli-ahli parlimen daripada Barisan Nasional. Nampaknya, selain daripada Rembau dan Kapit mereka tidak memahami masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak di Malaysia.

Izinkan saya memberi satu contoh daripada kawasan saya. Kilang simen, APMC dan sekarang dipanggil Lafarge, telah menjadikan "house-keeping" tugas yang dikontrakkan ke pihak ketiga 12 tahun dahulu. Pekerja di bahagian ini diberi pilihan - berhenti kerja dan dapat pampasan seperti dicatit dalam undang-undang ataupun kerja untuk kontraktor yang ambil alih tugas "house-keeping". Hampir kesemua kerja pilih berkerja untuk kontrakto "A". Masalahnya adalah selepas 3 tahun, bila sampai masa untuk membaharui kontrak, kontraktor "A" telah memberitahu pekerjanya bahawa ada seorang kontraktor baru yang menawarkan sebutharga yang lebih rendah. Jadi kontraktor "A" memberi pilihan pada pekerja - terima potongan gaji ataupun hilang kerja. pekerja terpaksa memilih potongan gaji. Situasi seperti ini telah berulang tiap tahun. Sekarang selepas 12 tahun gaji harian pekerja housekeeping telah menurun daripada RM32 sehari ke RM 22 se hari sekarang.

Inilah antara masalah yang dihadapi oleh pekerja kontrak. Gaji turun dari masa ke semasa, dan tiada sekuriti kerja. Pekerja hilang keahlian mereka di kesatuan Nonmetallic Union. Dan sekarang jika dia diberhentikan kerja, bolehkah kontraktor yang bukan seorang jutawan membayaran pampasan berhenti kerja.

Inilah sebabnya saya kecewa dengan respons Kementerian Sumber Manusia. Menteri berkata pindaan ini dilakukan untuk melindungi pekerja kita. JIka melindungi pekerja, boleh saya menyokong tetapi apa yang dibawa sini adalah begitu sedikit. It is not enough! Kita hanya mahu mendaftarkan kontraktor dan mewajibkan mereka menyimpan senarai pekerja mereka. Mengapa tidak memperketatkan Seksyen33. Pada masa ini, Seksyen 33 (1)(b) hanya mempertanggungkan majikan principal untuk gaji bulan terakhir untuk seorang pekerja kontrak. Principal tidak diwajib membayar KWSP ataupun Perkeso, ataupun pampasan berhenti kerja jika kontraktor itu melarikan diri tanpa melakukan bayaran ini.
Ataupun Kementerian Sumber Manusia boleh membawa pindaan untuk haramkan pemberian kontrak untuk kerja-kerja yang berterusan. Kerja kontrak hanya dibenarkan untuk kerja bercorak bermusim atau sementera. Tetapi  Kerajaan gagal buat begini. Hanya membawa satu pindaan yang begitu lemah, yang tidak dapat mengawal masalaah kontraktualisation.

Tuan Speaker, pekerja kita menghadapi dua masalah yang besar - satu adalah pekerja asing yang membanjiri pasaran buruh Malaysia, dan kedua adalah kaedah mengkontrakkan pekerjaan secara yang leluasa. Kita sekarang sedang memindakan Akta Kerja, tetapi kita tidak memakai peluang ini untuk mewujudkan perlindungan yang lebih ketat untuk para pekerja.
Tuan Speaker, masalahnya ia-lah Malaysia terlibat dalam satu perlumbaan ke perengkat terrendah - a race to the bottom, dengan izin. Kita sedang bersaing dengan Vietnam dan Indonesia untuk menarik pelaburan asing. Kita rela menurunkan standard perlindungan untuk pekerja kita. Kita sanggup mengorbankan kesejahteraan pekerja kita. Inilah puncanya masalah Mat Rempit dan gang-gang pemuda India. Peminggiran anak muda kita.

Inilah sebabnya saya kecewa. Saya ingin memohon Menteri menangguhkan Akta Pindaan ini supaya dapat dirujuk ke Jawatankuasa Terpilih untuk memberi Ide. If you need help, we can help you in this.
Saya pohon Akta ini ditangguh. 

Dr. Jeyakumar - Ahli Parlimen Sungai Siput dan Ahli JK Pusat PSM

Rabu, 5 Oktober 2011

PIKET SERENTAK MEMBANTAH PINDAAN AKTA PEKERJAAN

0 ulasan
JARINGAN RAKYAT TERTINDAS (JERIT)
 Piket SERENTAK  DI 8 TEMPAT : Membantah pinDAAN TERBURUK AKTA PEKERJAAN 
Salam Perjuangan rakan seperjuangan dan komrad,
Seperti yang anda sedia maklum, kerajaan BN yang telah dan sedang menghakis hak demokrasi Rakyat Malaysia telah mengalihkan fokusnya untuk mencabul hak pekerja Malaysia pula.
Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955 di sesi Parlimen ini bagi bacaan kedua. Pindaan ini dikatakan sebagai paling buruk dan akan mengadaikan hak pekerja Malaysia. Jika pindaan ini diluluskan, maka para pekerja boleh dibuang senang dan pekerja tidak boleh mendakwa pihak majikan lagi. Malah, bayaran kerja lebih masa (OT) juga boleh dilambat-lambatkan oleh pihak majikan. Ada juga lain-lain pindaan yang lebih teknikal yang akan menyebabkan hak pekerja akan tergadai kepada majikan.
Dengan mengambil kira perkembangan ini protes 7/10/2011 telah dibawa ke hadapan sebagai PIKET SERENTAK pada 6/10/2011 di 8 tempat. Piket ini dianjurkan oleh JERIT dan PSM membantah pindaan ini,  di Selangor, Penang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor pada 6 OKTOBER 2011
Piket akan bermula pada pukul 5pm ke 6pm di kawasan –kawasan berikut.
No
Tempat Piket
No. Untuk dihubungi
1.
 Berhampiran Dewan MPKJ & Stadium Kajang, Kajang, Selangor
2.
Industrial Zon, Senawang, Seremban
3.
Simpang Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tengah, Penang
4.
Seksyen 15, Shah Alam, Selangor
5
Industrial Zon, Sg.Siput, Perak
6.
Industrial Zon, Tasek, Perak
7
Depan perhentian bas, Tanjung Malim
8
Taman Tampoi Indah (near Esso), Tampoi, Johor

Jom bersama untuk menyatakan bantahan kita demi melindungi hak pekerja sekarang dan generasi masa depan.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Sivaranjani : 0196693412@ 019-2612259


Sivaranjani
Gabungan Pekerja & Kesatuan

Selasa, 4 Oktober 2011

BAGAIMANA REJIMEN KE-10 HADAPI "OPERASI CAHAYA BINA" 1977

0 ulasan
gambar diciplak dari Utusan Malaysia 27.9.2011
Kempen kepung basmi Cahaya Bina pada tahun 1977 dilancarkan bertujuan membasmi pasukan induk Rejimen Ke-10 di kawasan Weang, sempadan Kelantan-Perak-Thailand. Di kawasan ini Abdullah C.D. yang mengarahkan secara langsung pasukan induk Rejimen Ke-10 telah membentuk dua buah pasukan penggempur iaitu Pasukan Penggempur Ke-14 dan Pasukan Penggempur Ke-15 untuk melakukan kerja memperluaskan kawasan basis dan memulihkan basis lama di sekitar sempadan Malaysia-Thailand. Badan Intelijen Bersama Malaysia-Thai telah mendapat maklumat tepat tentang keberadaan pasukan induk Rejimen Ke-10 di kawasan itu. Dengan itu, kempen kepung basmi besar-besaran yang dinamakan KEMPEN CAHAYA BINA telah dilancarkan oleh angkatan bersenjata Malaysia dan Thailand ke kawasan hutan tersebut untuk membasmi pasukan induk Rejimen Ke-10.

Akan tetapi pada penghujung tahun 1976, pasukan induk Rejimen Ke-10 telah mengadakan suatu perpindahan strategic dari kawasan Weang ke kawasan Sukhirin. Kawasan Weang yang menjadi basis lama pasukan induk telah diamanahkan kepada Pasukan Penggepur Ke-15 di bawah pimpinan Rashid Maidin. Jadi pasukan Penggempur Ke-15 berhadapan langsung dengan serangan tersebut.

Taktik balas yang dilakukan Pasukan Penggempur Ke-15 dan Pasukan induk Rejimen Ke-10 memang diluar dugaan pihak yang menyerang. Pasukan Penggempur Ke-15 main taktik “sembunyi-sembunyi“sehingga pihak musuh tak dapat sasaran untuk menyerang mereka. Pasukan induk Rejimen Ke-10 yang berada di luar garisan kempen kepung basmi pula telah memberikan koordinasi rapi kepada Pasukan Penggempur Ke-15. Selain memagari kawasan hutan dengan banyak periuk api, pasukan induk telah menghantar satu regu tempur ke kampung yang menjadi pusat operasi musuh untuk melakukan serangan. Kebetulan pula regu tempur ini telah dapat mengesan kereta militer yang membawa pegawai tinggi tentera Thai dan Malaysia melalui suatu jalan di kawasan tersebut. Kereta ini telah menjadi sasaran serang hendap regu tersebut. Dengan tidak diduga-duga, sehari selepas serangan itu, pihak tentera Malaysia dan Thai menamatkan serangannya.

Ternyata kempen kepung basmi yang dianggotai oleh 20,000 orang askar itu bukan sahaja tidak membasmi apa yang disebut “saki baki” pasukan-pasukan Rejimen Ke-10, sebaliknya telah memperkaya pengalaman dan mempertingkatkan taktik dan teknik tempur mereka.

Berikut adalah sedikit catatan Abdullah C.D. berkenaan kempen kepung basmi tersebut.


Kempen Kepung Basmi 1977

Pada penghujung tahun 1976, Markas Besar Rejimen Ke-10 berpindah ke kawasan Sukhirin. Kawasan Weang diserahkan sepenuhnya kepada Pasukan Penggempur Ke-15. Pada tahun 1977, setelah Markas Besar meninggalkan kawasan Weang, Badan Intelijen Bersama melancarkan kempen kepung basmi besar-besaran apa yang dinamakan "Cahaya Bina" ke atas kawasan Weang dan Betong dengan menggunakan kekuatan tentera seramai 20,000 orang. Rancangan pokok Badan Intelijen Bersama di kawasan Weang ialah membasmi Rejimen Ke-10 dan membina kubu untuk terus meletakkan pasukan tentera di dalam hutan.

Serangan besar-besaran berkekuatan 20,000 orang itu ditumpukan kepada 2 kawasan iaitu 10,000 di kawasan Weang dan 10,000 lagi di kawasan Betong. Pasukan Penggempur Ke-15 ketika itu berkekuatan 1 kompeni, kira-kira 100 orang lebih. Jika ditilik secara pengaturan strategi, kekuatan musuh 100 kali ganda lebih besar dari kami yang ditumpukan di suatu kawasan yang kecil. Jika ditilik dari sudut ini, pasukan kami yang kecil itu sudah pasti akan hancur.

Akan tetapi, kami ada cara bertempur kami sendiri. Pasukan Penggempur Ke-15 mengambil taktik berputar-putar mengelakkan pertempuran secara berhadapan dengan pihak lawan di samping mengobarkan sepenuhnya keunggulan perang periuk api.

Untuk membantu Pasukan Penggempur Ke-15, dari Pasukan Organ Rejimen Ke-10 kami lakukan 3 perkara: pertama, arahkan regu penyusun massa mengerahkan orang ramai menentang serangan itu kerana menimbulkan banyak kesulitan ke atas massa rakyat. Kedua, menghantar regu tempur melakukan pertempuran di luar garisan kepungan pihak lawan dan ketiga, membantu Rashid Maidin mengundurkan pasukannya ke kawasan Sukhirin.

Semua rancangan berjalan dengan baik. Satu regu tempur dipimpin Junid telah dibentuk. Tugasnya ialah melakukan pertempuran di garisan luar kepungan musuh. Regu tersebut telah berjaya menyusup ke kawasan luar dari garis kepungan musuh. Mereka melakukan satu serangan hendap ke atas sebuah jeep di sebatang jalan raya. Dalam serangan ini, regu tersebut telah membunuh beberapa pegawai tinggi tentera yang berada dalam jeep tersebut. Ini memberikan tamparan besar kepada askar yang sedang berada di dalam hutan. Selepas serangan itu, Badan Intelijen Bersama segera menamatkan kempen serangannya yang baru berlangsung selama sebulan.

Selain itu, di kalangan pegawai kerajaan timbul pandangan yang berbeza terhadap kempen kepung basmi tersebut. Pihak berkuasa nikom tidak bersetuju dengan serangan itu kerana mengkhuatirkan keadaan akan menjadi tegang bila kami melakukan serangan-serangan ke atas mereka.

Selepas serangan ini, operasi menyerang Rejimen Ke-10 hanya dilakukan oleh pasukan tentera Thai sahaja manakala pihak Malaysia mengeluarkan belanja perang. Ini suatu perubahan baru situasi di medan perang.


Sabtu, 1 Oktober 2011

GERAKAN POLITIK KIRI DI KAMPUNG JENDERAM

2 ulasan

Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam




Gerakan politik kiri di kampung Jenderam menarik untuk dikaji dan difahami, kerana secara perbandingan, kampung Jenderam adalah salah satu pusat atau  kubu  gerakan politik kiri yang terkuat, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor.

      Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, di samping beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung  Jenderam,  iaitu  pengaruh dari Indonesia. Pengaruh dari  Indonesia ini boleh dilihat dalam empat perkara yang berikut:

     Pertama, kampung Jenderam dibuka antara tahun 1909-1910 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu  orang-orang  keturunan Minangkabau dari kampung lain  di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang   keturunan Minangkabau.

     Sehingga Perang Dunia Kedua (1941-1945), penduduk kampung Jenderam masih mempunyai hubungan yang rapat dengan “alam Minangkabau”  yang merupakan tempat asal ibu bapa mereka atau tempat asal mereka sendiri.  Salah satu cara mereka mengekalkan hubungan itu adalah dengan berkunjung atau pulang ke Minangkabau.  Satu cara lagi adalah dengan menghantar anak mereka belajar ke Minangkabau.

     Kedua, pada tahun 1922 Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah.  Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang  guru agama lain dari Minangkabau.  Haji Jalaluddin adalah seorang ulama  “kaum Muda” yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kadatangannya  turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu.

     Ketiga, bekas penuntut Madrasatul-Ubudiah ramai yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama terkenal di Minangkabau, seperti Sekolah-sekolah Diniah dan Thawalib. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru sekolah itu  apabila balik ke kampung Jenderam, dan turut menyebarkan fahaman  kaum muda di kalangan murid dan keluarga mereka. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung  Jenderam,

     Keempat, anak penduduk kampung Jenderam yang belajar di Minangkabau  bukan saja terdedah kepada cara pembelajaran yang baru, yang dikendalikan  oleh ulama  kaum muda, tetapi juga  terlibat dengan gerakan  politik. Misalnya pelajar yang belajar di Sekolah Thawalib terlibat dengan Parti Sarekat Islam yang berpusat di Jawa.  Di samping itu, ada juga yang belajar politik secara  khusus. Misalnya, Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Gurunya ialah Muchtar Lutfi, tokoh politik dari Minangkabau yang pernah belajar di Mesir (Mohd. Nor 1977/78: 38-39). Oleh  itu,  mereka telah terdedah kepada idea antikolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk  kemerdekaan di  samping membawa  fahaman kaum muda, apabila  mereka kembali ke tanah air.

    Oleh yang demikian, beberapa aspek gerakan  politik  kiri yang  muncul di kampung Jenderam boleh dihuraikan dengan ringkas seperti di bawah ini.

Penglibatan dengan KMM
 Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula  di kampung  Jenderam  tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung  Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka  yang utama  adalah dengan menjadi  ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah  Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78: 40).

Penglibatan dengan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) dan Revolusi Indonesia.
Selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, sebuah organisasi yang dinamakan PIM telah ditubuhkan di Malaya dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan material ke Indonesia. Sebagai orang-orang yang bersemangat patriotik dan antikolonial, penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia. Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh  Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur.

      Apabila revolusi Indonesia meletus tidak lama selepas itu, kira-kria 10 orang penduduk kampung Jenderam telah pergi ke Sumatera untuk berbakti kepada Indonesia yang masih mereka anggap sebagai ”ibu pertiwi” mereka. Kepergian mereka dengan hanya menaiki sampan direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung  Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh  penduduk kampung tersebut. Di Indonesia  pada mulanya mereka menyertai pasukan tentera rakyat, kemudian diserapkan ke dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946 (Mohd. Nor Mohd.Amin 1977/78: 41-42).

Penubuhan Cawangan PKMM dan Badan Gabungannya
Di samping memberi bantuan kepada saudara mara mereka di Indonesia dan melibatkan diri dengan revolusi Indonesia, penduduk kampung Jenderam  tidak mahu mengasingkan diri dari gerakan politik di Malaya sendiri. Oleh itu, apabila PKMM ditubuhkan  pada akhir tahun 1945, mereka dengan cepat melibatkan diri dengan gerakan itu. Dengan dipelopori oleh Bakar Jali dan beberapa orang kawannya yang pernah menjadi ahli KMM, sebuah cawangan PKMM telah dttubuhkan di kampung Jenderam pada awal tahun 1946.

      Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri  dengan semua gerakan itu. Ini bererti pada masa itu hampir  seluruh penduduk kampung Jenderam, lelaki dan perempuan, telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk  mencapai kemerdekaan.

      Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bahawa pada masa itu tidak ada kepimpinan yang berasingan bagi menerajui PKMM, API, dan BATAS kampung  Jenderam. Sebaliknya, semua pemimpin  PKMM merangkap sebagai pemimpin API dan BATAS.  Barisan kepimpinan ketiga-tiga organisasi itu adalah  seperti berikut:

                     Ketua 1:         Bakar bin Jali
                     Setiausaha:    Ustaz Haji Hashim
                     Ahli Jawatankuasa:
                                           Osman bin Binu
                                            Jani bin Sudin
                                            Ustaz Talib Nor
                                           Abdul Latif bin Arshad
                                           Mohd.Sharif  bin Jamek

       Mengenai jawatankuasa AWAS kampung Jenderam pula, nama mereka adalah  seperti berikut:

                     Ketua 1:         Fatimah binti Haji Kassim
                     Setiausaha:     Rosnah binti  Mien
                     Bendahari:      Mariam binti Jaafar
                     Ahli Jawatankuasa:
                                             Zaharah binti Hamid
                                             Hindon binti Tahir
                                             Zaharah binti Kassim

       Sebagaimana yang dinyatakan di atas, beberapa orang pemimpin dari kampung Jenderam, seperti Bakar Jali dan semua pemimpin AWAS bukan saja menjadi pemimpin pada peringkat kampung itu, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan pemimpin gerakan kiri dari kampung Jenderam dan memang selaras dengan kedudukan kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.

Penglibatan dalam Perang Gerila
Penglibatan penduduk kampung Jenderam dengan perang gerila yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap penjajah Inggeris wajar dihuraikan di sini, kerana ia  merupakan satu episod penting dalam  sejarah perjuangan penduduk kampung  Jenderam, malah  itulah satu cara yang terbuka  bagi orang-orang  nasionalis kiri untuk meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.

      Selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kampung Jenderam sebagai salah sebuah pusat atau kubu gerakan nasionalis kiri menjadi tumpuan pihak polis yang bertindak menangkap orang-orang yang menjadi pemimpin dan aktivis gerakan itu. Oleh itu, sepanjang tahun 1948 dan  awal 1949   ada 16  orang penduduk kampung Jenderam yang telah ditangkap, sama ada kerana tidak sempat melarikan diri atau tidak mahu berbuat demikian.  Di samping itu, sekurang-kurangnya ada lima orang yang telah melarikan diri ke Indonesia dan tidak balik semula ke negara ini (Mohd.Nor 1977/78: 58-60).

      Namun, mengikut maklumat yang diperolehi oleh Mohd. Nor Mohd.Amin (1977/1978:58-60), sekurang-kurangnya  ada 18 orang penduduk kampung Jenderam yang  lebih  rela masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan   tentera PKM daripada membiarkan diri mereka ditangkap dan dijadikan tahanan politik.  Mereka ialah: 


1.      Bakar bin Jali
2.      Azman bin Haji Nordin
3.      Hamid bin Tahir
4.      Yaakob bin Mohd.Ali
5.      Alias bin Siu
6.      Mohamd Akib bin Kassim
7.      Manaf bin Pisah
8.      Ismail bin Manan
9.      Yunus bin Buyung
10.  Ismail bin Mohd.Sharif
11.  Mohd.Zain bin Haji Kassim
12.  Tajuddin bin Mahat
13.  Yunus bin Abu
14.  Abdul Malik bin Kabut
15.  Sulaiman bin Haji Said
16.  Malik bin Haji Bor
17.  Manan bin Abdul Latif
18.  Karim bin Sulaiman

     Golongan 18 orang ini tidak mahu ditangkap dan dijadikan tahanan politik, dan dengan itu perlu mencari alternatif untuk  meneruskan perjuangan mereka. Dari awal lagi mereka sudah melihat bahawa perjuangan bersenjata adalah jalan yang perlu mereka tempuh  untuk meneruskan  perjuangan mereka. Timbulnya persepsi yang demikian sekurang-kurangnya kerana dua faktor  utama. Pertama, semasa melibatkan diri dengan API, mereka  telah diorientasikan untuk berjuang secara bersenjata  berdasarkan slogan API, “ Merdeka dengan Darah.” Kedua, sebagai orang-orang yang masih merasa dekat dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia, mereka juga melihat bahawa perjuangan secara   revolusi atau perjuangan bersenjata adalah satu cara perjuangan yang boleh dijadikan  contoh.

      Walau bagaimanapun, pada masa itu mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan. API  dan PETA  telah diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas  pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang.  Pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr.Burhanuddin telah ditahan. Dr.Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Oleh itu, pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung  mereka dan  belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri.

       Namun, kira-kira tiga atau empat bulan kemudian, mereka telah dihubungi oleh utusan PKM yang  mempelawa mereka supaya menyertai perang gerila yang dilancarkan  oleh parti itu.   Mereka menerima pelawaan PKM, kerana ketika itu hanya itulah jalan yang boleh mereka pilih jika mereka mahu meneruskan perjuangan mereka.

      Orang yang mula-mula melibatkan diri dengan  perang gerila  anjuran PKM itu ialah Bakar bin Jali. Dia melibatkan  diri dengan  peperangan itu  pada bulan  September 1948, diikuti oleh kawan-kawannya yang lain pada bulan Oktober 1948.

       Pada mulanya mereka bergerak sebagai satu  seksyen “komunis Melayu”  di kawasan Salak, daerah Sepang. Kemudian mereka dipindahkan ke Sungai Long,  daerah Hulu Langat untuk bergabung dengan  seksyen Melayu yang lain, dan membentuk  satu  platun Melayu (seramai 36 orang)  bersama dengan orang-orang dari Sungai Long, Sungai Serai dan Hulu Langat.

       Pada tahun 1949 mereka berundur ke kawasan Titi, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan ketenteraan dan taktik perang gerila selama kira-kira enam bulan. Selepas tamat latihan itu, mereka dipecah-pecahkan kepada unit  dua atau tiga orang dan diserapkan ke dalam platun-platun lain. Dengan itu, tidak ada lagi platun khusus untuk orang  Melayu. Sebahagian daripada mereka diarahkan beroperasi di kawasan utara Selangor, sementara  sebahagian lagi di kawasan selatan Selangor, khasnya di daerah Sepang.

     Penglibatan mereka dengan  perang gerila yang dipimpin oleh PKM  itu hanya berakhir apabila  11 orang daripada mereka  gugur di medan perjuangan, seorang ditangkap dan dikenakan hukuman gantung dan enam orang lagi menyerah diri. Mereka yang gugur ialah:

1.      Mohd.Akib bin Kassim
2.      Ismail bin Manan
3.      Yunus bin Buyung
4.      Ismail bin Mohd.Sharif
5.      Tajudin bin Mahat
6.      Yunus bin Abu
7.      Abdul Malik bin Kabut
8.      Sulaiman bin Haji Said
9.      Malik bin Haji Nor
10.  Manan bin Abdul Latif
11.  Mohd.Zain bin Haji Kassim

      Yang tertangkap dan dihukum gantung ialah Manaf bin Pisah. Enam orang yang menyerah diri pula ialah:

1.      Bakar bin Jali
2.      Azman bin Nordin
3.      Hamid bin Tahir
4.      Yaakob bin Mohd.Ali
5.      Alias bin Siu
6.      Karim bin Sulaiman

      Antara  enam orang yang menyerah diri, Bakar Jali mungkin yang terawal berbuat demikian. Dia menyerah diri pada 18 Mac 1951, kerana kemnya dibom dari udara dan dia tidak dapat lagi melepaskan diri. Azman Haji Nordin pula  mungkin yang terakhir menyerah diri. Dia menyerah diri pada tahun 1957, selepas lapan tahun bergerila, kerana katanya pada masa itu Malaya sudah pun merdeka.

Nasionalis atau Komunis?
Setelah meninjau penglibatan penduduk kampung Jenderam dan daerah  Hulu Langat dalam perang gerila yang diterajui oleh PKM, kita tentunya wajar menjawab satu soalan yang penting, iaitu adakah mereka nasionalis ataupun komunis?

      Selama ini mereka dituduh telah “masuk komunis” dan menjadi komunis kerana telah masuk ke hutan dan bergabung dengan pasukan bersenjata komunis (Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Tuduhan ini memang sukar untuk dinafikan, kerana dengan menggabungkan diri dengan pasukan tentera PKM bermakna mereka berada di bawah arahan PKM, terikat dengan disiplin parti komunis dan   sama ada secara langsung atau tidak telah terlibat dengan aktiviti keganasan  yang dilancarkan oleh PKM.

     Namun, dalam hal ini adalah wajar kita menyelidiki sikap dan pendirian mereka sendiri. Dalam pengakuannya kepada Mohd.Nor (1977/78: 77) Azman Haji Nordin, salah seorang  daripada mereka menyatakan bahawa mereka bukan komunis, tetapi bergerila bersama-sama komunis  untuk mencapai kemerdekaan. Pengakuan ini saya kira wajar dipertimbangkan. Dari pengakuan Azman Haji Nordin itu, kita mendapat maklumat bahawa mereka berjuang bersama-sama dengan komunis tidak lain daripada  meneruskan  perjuangan asal  mereka, iaitu untuk mencapai kemerdekaan. Akan tetapi, mereka tidak menganut ideologi komunis dan mungkin juga tidak menjadi ahli  parti komunis. Oleh itu, pada hakikatnya mereka  masih lagi merupakan  orang-orang masionalis.

      Dalam hal ini, kita patut juga mempertimbangkan keadaan mereka yang  terdesak dan tersepit setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan  pada Jun 1948. Mereka terpaksa membuat pilihan, sama ada membiarkan diri mereka ditangkap ataupun masuk ke hutan. Mereka memilih masuk ke hutan dan  menggabungkan diri dengan PKM, kerana itu sahaja cara yang terbuka untuk meneruskan perjuangan mereka. Namun, selagi mereka belum menerima ideologi komunis dan belum menjadi ahli parti komunis, kita mungkin boleh menganggap bahawa mereka masih lagi nasionalis, dan bukan komunis. Dengan perkataan lain, mereka adalah nasionalis, tetapi telah dipaksa oleh keadaan untuk berjuang bersama-sama dengan komunis.

       Dalam hubungan ini, penilaian yang  agak  adil dan saksama terhadap perjuangan mereka   telah diberikan oleh seorang tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Samad Idris (almarhum) (1982:253) dengan kata-kata seperti berikut:

       Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di
       Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri
       dengan pengganas dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman komunis mereka
       yang tebal.

       Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan
       Melayu yang tulin. Mereka memilih jalan hanya dengan pemberontakan saja untuk
       mencapai kemerdekaan. Hal ini diperkuatkan dengan cita-cita API pimpinan Ahmad
       Boestamam  yang melaungkan slogan “ Merdeka Dengan Darah.”

Kesimpulan

       Daerah Hulu Langat adalah satu kawasan dalam negeri Selangor di mana gerakan kiri Melayu pernah wujud antara tahun1946 hingga 1948 dahulu. Dengan sokongan orang-orang keturunan Indonesia di daerah itu, cawangan  PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya  PETA telah wujud sebagai cawangan yang aktif. Hal ini ada kaitannya dengan kemunculan  beberapa orang pemimpin yang berkebolehan, bukan saja pada peringkat daerah  Hulu Langat, tetapi juga sebagai  pemimpin pada peringkat nasional dan negeri Selangor.

      Kampung Jenderam dalam daerah Hulu Langat pula adalah satu pusat atau  kubu gerakan kiri yang terkuat pada peringkat negeri Selangor. Apa yang menarik ialah  penduduk kampung itu telah menyertai perang gerila yang diterajui oleh PKM sebagai cara meneruskan perjuangan  mereka setelah gerakan kiri itu diharamkan oleh penjajah Inggeris. Bagaimanapun,  dengan meminjam pendapat Abdul Samad Idris,  penulis menyimpulkan mereka  pada dasarnya  ialah nasionalis dan bukan komunis, dan mereka  berjuang bersama-sama dengan  komunis  masih lagi dalam konteks perjuangan untuk mencapai kemerekaan.


Rujukan

Abdul Samad Idris. 1982.  25 Tahun Merdeka.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Pustaka
     Budiman.
Ahmad Boestamam. 1972. Merintis Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur:  Pustaka Kejora.
Aishah Ghani. 1992.  Memoir Seorang Pejuang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
     Pustaka.
Cheah Boon Kheng. 1979. The Masked Comrades: A Study of the Communist Front
     1945-48.  Singapore: Times Book International.
Insun Sony Mustapha. 1999.  Memoir Mustapha Hussain.  Kuala Lumpur: Dewan
    Bahasa dan Pustaka.
Means, G.P. 1970.  Malaysian Politics.  New York: New York University Press.
Mohamed Salleh Lamry. 2005. Pejuang Kemerdekaan yang Dilupakan: Kisah dari
    Jenderam.  Kertas kerja tambahan untuk  Seminar Sejarah  Daerah Kuala Langat.
    Banting: 29 Januari.
Mohamed Salleh Lamry. 2006.  Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan.
     Bangi: Penerbit Unviersiti Kebangsaan Malaysia.
Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan dan Tokoh Kiri. Petaling Jaya: SIRD.
Mohamed Salleh Lamry. 2007. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:
     Kajian Kes di Kampung  Jenderam. Dalam Armida S.Alisjahbana, Ramlan  Panigoro
     dan Parikesit (Pnyt..)  Indonesia dan Malaysia dalam Era Globalisasi dan
     Desentralisasi Mewujudkan Kemakmuran Bersama.  Buku 2. Bandung: Universitas
     Padjadjaran.
Mohamed Salleh Lamry. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:
     Kajian Kes di Kampung Jenderam. 2007/2008.  Malawati.  Bil.7.
Mohd.Nor bin Mohd.Amin. 1977/78.  Jenderam: Korban Darurat 1948-1958. Tesis B.A
     Universiti Malaya.
Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur:
    Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roff, W.R. 1974. The Origins of  Malay Nationalism. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
     Malaya.
Shamsiah Fakeh. 2004. Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejiman Ke-10. Bangi:
    Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Stockwell, A.J. 1979.  British Policy and Malay Politics During the Malayan Union
     Experiment, 1942-1948. Kuala Lumpur: MBRAS.


-----------------
  * Kertas kerja untuk Seminar Sejarah Daerah Hulu Langat, Shah Alam,  22 Disember  2009.
**  Mantan Prof. Madya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti
      Kebangsaan Malaysia.

REJIMEN KE-10 TRM