SEJARAH RINGKAS KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

Teks ucapan Ketua Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) Saudara Droman Binza sempenya meraikan kedatangan Pegawai Daerah Jeli, Kelantan di Kampung Perdamaian Sukhirin pada 18 November 2011.

SEJARAH RINGKAS KAMPUNG CHULABHORN PATTANA 12 (KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Yang Dimuliakan Pegawai Daerah Jeli dan rombongan,
Yang Dimuliakan Wakil Ketua Daerah Sukhirin dan rombongan
Dan saudara saudari sekalian yang tercinta!

Parti Komunis Malaya (PKM) didirikan pada tahun 1930. Pada masa Perang Dunia Ke-2, PKM adalah satu-satunya parti politik yang menentang penjajahan fasis Jepun dengan kekuatan bersenjata di Malaya.

Pada bulan Jun tahun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat, mengharamkan semua parti politik dan pertubuhan patriotik-demokratik yang berjuang untuk kemerdekaan. Kerana itu, PKM terpaksa memperjuangkan kemerdekaan dengan cara perjuangan bersenjata.

Pada 1 Februari 1949, PKM merasmikan penubuhan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 TPNM dirasmikan penubuhannya di Kerdau, Temerloh, Pahang. Rejimen Ke-10 adalah pasukan yang terdiri daripada putera-puteri bangsa Melayu. Kebanyakan anggotanya adalah bekas anggota PKMM, API, AWAS dan BTM (Barisan Tani Malaya) yang diharamkan oleh penjajah British. Abdullah C.D. adalah Komisaris Politik pasukan tersebut.

Pada tahun 1953, induk Rejimen Ke-10 melakukan peralihan stratejik dari pangkalannya di Temerloh dan tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand pada tahun 1954. Tahun 1960, Rejimen Ke-10 mulai merekrut perajurit di kawasan sempadan.

Pada 28 Disember 1955, PKM dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengadakan perundingan damai di Baling, Kedah. Akan tetapi, perundingan tersebut tidak mencapai matlamat kerana pihak berkuasa berkeras mahukan PKM menyerah diri. PKM terpaksa meneruskan perjuangan bersenjata.

Pada tahun 1988, Rejimen Ke-10 melakukan perundingan damai peringkat rendah dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan DiRaja Thailand. Perundingan ini telah menciptakan syarat-syarat untuk perundingan peringkat tinggi kemudiaannya.

Pada tahun 1989, perundingan peringkat tinggi antara 3 pihak –Kerajaan Malaysia, Kerajaan DiRaja Thailand dan PKM telah berjaya mencapai persetujuan damai. Dengan demikian, pada 2 Disember l989, Perjanjian Damai 3 pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Kerajaan DiRaja Thailand dan PKM telah ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hadyai, Thailand.

Dalam perjanjian tersebut, PKM bersetuju menghentikan perjuangan bersenjata, membubarkan pasukan bersenjata dan memusnahkan semua senjatanya serta ambil bahagian dalam aktiviti ekonomi dan pembangunan negara. Kerajaan DiRaja Thailand berjanji memberikan kemudahan dan bantuan kepada bekas Tentera Rakyat Malaya (TRM). Kerajaan Malaysia berjanji membenarkan bekas perajurit TRM yang berwarganegara Malaysia balik ke tanahair dan memberikan bantuan hidup selama 3 tahun, dan sebagainya lagi.

Bekas anggota Rejimen Ke-10 diletakkan di satu kampung yang diberi nama Kampung Rattana Kitti 4 ataupun disebut Kampung Perdamaian Ke-4 di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat. Penduduk pada masa awalnya terdiri daripada 167 keluarga seramai 270 orang. Kerajaan DiRaja Thailand memberikan bantuan-bantuan seperti elaun sara hidup selama 3 tahun, rumah untuk setiap keluarga, tanah kebun seluas 15 rai sekeluarga, bantuan bercocok-tanam dan berbagai kemudahan lain termasuk bantuan membangun kampung.

Pada 28 Jun l993, di bawah perhatian Puteri Chulabhorn, kampung ini diletakkan di bawah Institiut Pengkajian Chulabhorn dan diberikan nama Kampung Chulabhorn Patana 12. Dengan demikian, kampung ini telah memperolehi kemajuan yang lebih pesat dan telah dilengkapkan dengan berbagai kemudahaan asas seperti jalanraya, elektrik, air paip, air bersih, talipon, masjid, sekolah rendah, klinik, taman asuhan kanak-kanak dan lain sebagainya.

Sekarang ini, Kampung Chulabhorn Patana 12 berjumlah 138 keluarga dengan jumlah penduduk seramai 500 orang, lebih 200 orang di antaranya ialah kanak-kanak.

Kampung Chulabhorn Patana 12 diselenggarakan oleh 3 badan, iaitu:

1. Jawatankuasa Kampung.

2. Jawatankuasa Ugama.

3. Badan Kebajikan.

Jawatankuasa Kampung diketuai oleh Ketua Kampung bertanggungjawab mentadbir kampung.

Jawatankuasa Ugama diketuai oleh Imam mengurus urusan ugama Islam dan berbagai aktiviti ugama.

Badan Kebajikan mengurus bantuan kemanusiaan kepada orang tua, orang cacat dan uzur dan bantuan-bantuan lainnya yang diperlukan.

Kampung Chulabhorn Patana 12 memiliki 2 keistimewaan, iaitu:

1. Muzium Kampung Chulabhorn 12. Ia didirikan pada tahun 1990. Menyimpan bahan-bahan bersejarah yang bernilai, khasnya bahan-bahan perjuangan bersenjata PKM bahagian Rejimen Ke-10.

2. Bekas kem Markas Besar Rejimen Ke-10 dan terowongnya. Ia terletak kira-kira 1 kilometer dari kampung. Kem itu digunakan Rejimen Ke-10 dari tahun l981 hingga tahun l986. Manakala terowong sepanjang 300 meter digunakan pada tahun 1983 hingga l986.


Sekian. Terimakasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.



1 ulasan:

apa khabar sekarang musim hujan adakah lampong perdamaian terkena banjir ?

SemanTan

Reply

Categories

Pengikut