PERTEMPURAN SG. SEMUR: posisi hendapan


Posisi Hendapan

Tempat serang hendap sebenarnya terletak di tepi Sungai Semur, tak berapa jauh dari tempat meninjau. Pasukan mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan tinjauan dan pengaturan sebelum pertempuran dimulai. Kawan-kawan dari markas platun telahpun mengadakan mesyuarat untuk mengkaji keadaan posisi. Kemudian mereka melukiskan sebuah peta ringkas dan membuat beberapa penjelasan yang perlu kepada pasukan. Setelah itu, pasukan dipecah-pecahkan mengadakan mesyuarat mencari akal secara beramai-ramai. Perajurit-perajurit mengeluarkan cadangan yang bijak. Pada waktu senja, selain daripada beberapa kawan yang ditinggalkan untuk menjaga khemah, pasukan bertolak ke posisi. Pada malam itu juga, mereka menyusun barisan serang hendap dan membahagi-bahagi pos tempur.

Dari posisi ini, pasukan kita dapat menyergap secara mengejut musuh yang sedang bergerak, hingga musuh seakan-akan terjerumus ke dalam perangkap dan tidak dapat melepaskan diri. Inilah kebaikannya. Di posisi yang berhadapan dengan Sungai Semur, terdapat sebatang jalan denai sepanjang puluhan ela, beberapa kaki dari sungai. Di sebelah kanan jalan denai ialah lereng bukit yang menanjak sedikit, seperti tebing kebanyakan sungai di dalam hutan. Ada yang agak rata sedikit, yang curam dan yang 6 -7 kaki lebih tinggi di tempat yang puluhan kaki jauhnya dari paras sungai. Induk pasukan menghendap dilereng bukit itu. Di sebelah kiri jalan denai ialah sungai. Tebing sungai yang curam sedikit itu tidak berapa tinggi. Permukaan sungai 30-40 kaki lebarnya, airnya tidak dalam dan mengalir perlahan-lahan kerana alurnya rata, boleh diharungi begitu saja. Tebing kiri sungai itu beberapa kaki lebih rendah dari jalan denai di tebing kanan. Di situ pun terdapat pasukan yang menghendap. 4 seksyen dari induk kekuatan, iaitu Platun Ke-33, menghendap di lereng bukit tebing kanan. Di posisi mereka terdapat dua lembah yang membahagikan posisi itu kepada 3 buah anak bukit. Di sisi anak bukit pertama ialah regu mesingan ringan yang bertugas memberi isyarat, di jalan denai di hadapan mereka terlintang balak besar. Anak bukit yang kedua terletak di sebelah balak dan lembah yang pertama. Lereng bukit ini agak lapang. Menghendap di kaki bukit itu ialah Seksyen Ke-21, di lereng Seksyen ke-22 dan di kemuncak ialah seksyen ke-23. Di antara mereka terdapat jarak-jarak yang sesuai sedangkan di bahagian lain lereng bukit itu ialah seksyen ke-24. Seksyen ini telah mendekati tempat penyeberangan dari tebing kiri ke tebing kanan jalan denai. Sedangkan lembah lain di sebelahnya sudah berada di luar posisi. Di situ terdapat seregu pengawal dan peninjau. Setiap seksyen dilengkapkan dengan sepucuk mesingan ringan. Markas pengarah terletak pada pangkal sebatang pokok besar di antara seksyen ke-22 dan seksyen ke-23.

Di tebing kiri sungai itu pula terdapat 3 seksyen dari Platun Ke-31, iaitu seksyen ke-18, 19 dan 20. Masing-masing menduduki posisi-posisi yang bertentangan dengan seksyen-seksyen dari Platun Ke-33 di tebing kanan. Di Lereng bukit tempat penyeberangan jalan denai melencung ke tebing kanan pun terdapat seregu pengawal dan peninjau.

Pertempuran gagal

Setelah pos-pos tempur dibahagi-bahagikan, masing-masing seksyen pun menggali kubu-kubu pertahanan. Kerana perkakas-perkakas tidak cukup, ada yang menggali tanah dengan dengan penyodok dan parang, dan ada pula yang menggunakan kayu dan buluh yang telah ditajamkan. Gemercik air sungai di hutan yang sunyi itu tenggelam ditelan bunyi menggali tanah. Cuaca buruk dan hujan lebat telah membersihkan peluh di badan para perajurit, dan semangat tempur mereka semakin berkobar-kobar.

Kubu-kubu pertahanan siap dibina pada tengah malam. Para perajurit pulang ke perkhemahan untuk berehat. Kawan-kawan markas terus bermesyuarat mengkaji bagaimana melancarkan pertempuran ini dan apa tindakan yang hendak diambil oleh pasukan setelah pertempuran selesai. Akhirnya, Timbalan Komander Kompeni ditugaskan memimpin beberapa kawan lain bertolak ke Gua Musang pada malam itu juga untuk mencari posisi menghadang bala bantuan musuh. Regu penyusun massa pula diarahkan supaya segera membawa massa mengangkut puluhan ribu gantang padi di Takuse, kalau-kalau askar musuh di situ melarikan diri setelah pertempuran dimulai.

Ketika terang-terang tanah hari esoknya, para perajuritpun memasuki posisi dengan menggalas haversek dan bekalan makanan. Mereka menyamar kubu pertahanan, membersihkan benda-benda yang menghalangi penglihatan dan memasang tali perhubungan. Sesudah semua itu selesai, mereka pun terjun ke dalam parit pertahanan. Mulai saat itu, mereka tidak boleh menghisap rokok dan bercakap lagi. Posisi terbenam dalam kesepian hutan.

Posisi mereka itu betul-betul baik. Orangnya ramai dan senjatanya pun banyak. Mesingan ringan saja ada 9 pucuk. Para perajurit semuanya suka bertempur. Mereka menghendap di parit pertahanan dengan keyakinan penuh sambil menunggu saat untuk menghancur leburkan musuh yang datang mencari maut.

Sayangnya hari itu musuh tak datang. Sehari suntuk posisi itu sunyi saja selain bunyi sang serangga dan kicauan burung yang merdu. Tirai malam turun, pasukan kembali ke khemah. Perajurit-perajurit kesal kerana hampa menunggu sehari suntuk. Mereka berkata: Hari ini tak datang, kami tunggu esok. Bagaimanapun kamu tak dapat lari lagi.

Categories

Pengikut