PERTEMPURAN SG. SEMUR: pertempuran bermula

Wahab Hamid -sumber UM 28/9/2011

Pertempuran Bermula


Esoknya, 25 Mac 1950. Kompeni Ke-7 semuanya berjumlah 106 orang, selain daripada kawan-kawan yang ditinggalkan di tengah jalan dan yang bertugas di tempat lain. Kekuatan kita satu setengah kali ganda lebih ramai daripada jumlah musuh. Semangat kawan-kawan kita jauh lebih tinggi daripada musuh. Sebelum terang-terang tanah lagi, para perajurit telah menyembunyikan haversek mereka, lalu berjalan menyongsong matahari terbit. Setelah tiba di posisi merekapun berselindung di parit pertahanan. Hutan yang tersergam diam-diam di sisi Sungai Semur itu membiarkan angin lembut melambaikan dahan-dahan pokoknya yang rendang.

Kawan-kawan menghendap di parit pertahanan menunggu ketibaan musuh. Hati mereka bergelora kerana amat terberangsang. Mereka membeliakkan mata mengamati jalan yang akan dilalui musuh, tapi yang nampak hanyalah lambaian dedaunan pokok lemah longlai ditiup angin sepoi-sepoi. Nak menutup mata berehat atau menoleh ke belakang pula, takut kalau-kalau kehilangan peluang menembak musuh.

Sang suria mengambang di langit dengan malasnya. Panahan cahaya matahari yang menembusi celah-celah dedaunan pokok di hutan itu seakan-akan tidak bergerak. Betapa lambatnya peredaran masa sejam, susah nak dikata.

Sehingga pukul 9 lebih, barulah para perajurit mendengar alunan lagu dari arah Sungai Semur. Rupanya orang-orang yang menyanyikan lagu itu ialah beberapa orang kampung yang telah diorganais kawan penysuun massa, yang juga dipaksa musuh datang memotong daun atap koh. Ketika mendapati musuh di Lubuk Ikan Besar hendak bertokak balik, mereka pun diam-diam berangkat terlebih dahulu. Orang Ulu Galas memang suka menyanyi. Lagu mereka bergaya bebas lagi riang. Kerana pemerintahan kuku besi imperialis British lah, kehidupan mereka penuh dengan darah dan air mata, nyanyian mereka menjadi sayu rawan. Hari ini mereka bergirang hati sambil menghayun langkah yang pantas di sepanjang jalan. Apabila dekat dengan posisi, mereka pun tarik suara menyanyi dengan nyaring dan penuh semangat.

Alunan lagu bergema di udara sungai dan hutan. Ini bukan sebarang lagu. Ini seruan menyerang musuh, isyarat bertempur! Dalam seketika itu juga, tali- tali rotan yang simpang siul di posisi ditarik-tarik untuk menyampaikan isyarat perhubungan ke sana sini. Perajurit penghantar perintah pun (oderly) berlari dengan langkah yang ringan tapi cepat. Dia tahu bahawa sebarang suara yang kecilpun mungkin akan menggagalkan pertempuran. Perasaannya terlalu terharu, dia berbisik kepada kawan-kawan yang dilewatinya “Musuh datang, siap bertempur!”

Batu yang sudah disediakan ditolak perlahan-lahan oleh kawan komander ke dalam sungai sebagai isyarat kepada pasukan yang diseberang sana. Perajurit-perajurit di kiri kanan sungai sudah bersiap sedia di parit pertahanan sambil memegang kejat-kejat senapang, jari masing-masing diletakkan pada picu, menunggu perintah untuk melepaskan tembakan.

40 orang musuh itu berpecah dua. 14 orang dibelakang menggiring massa yang mengangkut daun koh di atas rakit. Sedangkan 26 orang yang lain berjalan di depan menyusuri jalan denai di tebing kiri sungai. Mereka tidak segera menyeberang setelah tiba di tempat penyeberangan, melainkan duduk-duduk di batu-batu di tepi sungai, membuka makanan dalam tin dan makan di sana. Setelah menjamu selera, merekapun membuang tin-tin kosong di situ, lalu mengharungi sungai dan berjalan mengikuti jalan denai di tebing kanan sungai. Ini bererti mereka telah masuk ke dalam perangkap Komepeni Ke-7. Namun askar-askar musuh langsung tidak menyedari keadaan itu, mereka berjalan rapat-rapat. Mereka berjalan berlenggang lenggok sambil bergurau senda. Ketika pengakap musuh yang memanggul mesingan ringan mendekati balak yang melintang di jalan itu, askar-askar musuh yang di belakang sudahpun melewati posisi Seksyen Ke-24.

Tidak jauh dari balak itu sepucuk mesingan ringan kita yang dijadikan isyarat pertempuran sudah sehari lebih menunggu. Kawan-kawan kita segera naik darah bila menghadapi musuh. Kawan-kawan regu mesingan ringan yang sudah sedia membidik segera menghujani musuh dengan semagzin peluru secepat mungkin. Sebelum sedar apa-apa beberapa orang askar musuh tersungkur dan mati dalam tumpukan darah. Serentak dengan tembakan mesingan ringan itu, Seksyen Ke-21, ke-22 dan ke-23 pun segera melepaskan tembakan . Puluhan pucuk senapang termasuk mesingan ringan, tomygun, stengun, carbine dan rifle bergemuruh serentak memuntahkan peluru ke atas musuh. Bunyi tembakan bagaikan bertih digoreng memekakkan telinga .

Kebanyakan dari 26 orang musuh itu telah ditembak mati atau dicederakan dalam tembakan serentak pertama. Dalam masa itu 2 kawan kita pun gugur. Tomygun Kawan Ah Chai Ketua Seksyen Ke-21 terganggu setelah melepaskan beberapa das tembakan. Dia mengarahkan kawan yang disampingnya menembak seorang musuh di depan. Askar musuh itu jatuh kena tembak, tapi kepala Kawan Ah Chai terkena peluru sesat bila dia hendak menjenguk musuh itu. Kawan Ah Yu, seorang penembak mesingan ringan Seksyen Ke-23 telah terkorban serta merta setelah ditembak oleh musuh yang merangkak ke rumpun buluh di kanannya bila dia sedang menembak ke arah kiri.

bersambung...

Categories

Pengikut