PERTEMPURAN SG. SEMUR: pengaruh pertempuran

Rampasan perang
perajurit TPNM

Dalam pertempuran ini, seplatun tentera upahan imperialis British telah ditewaskan – 17 orang dibunuh, antaranya termasuk seorang ketua polis dan seorang koperal; 2 orang musuh mendapat cedera parah; 14 orang ditawan, antaranya termasuk seorang leftenan, seorang pegawai pelatih dan 2 orang sarjan, 7 orang lagi berjaya melarikan diri.

Dalam pertempuran ini pasukan kita telah merampas 34 pucuk senjata berbagai jenis, antaranya sepucuk meriam katak, 4 pucuk mesingan ringan, 12 pucuk steengun, sepucuk carbine, 14 pucuk raifel, sepucuk pistol buatan Kanada dan sepucuk pistol isyarat,  merampas 29 biji peluru meriam katak, 32 butir bom tangan, 9 butir bom pemedih mata, belasan butir bom asap, 3,000 butir lebih peluru berbagai jenis, 8 bilah benet, 33 buah haversek militer, puluhan pasang uniform, serta sejumlah besar alat keperluan tentera lainnya seperti tali pinggang, baju hujan, tarmus air dan bekas nasi. Senjata-senjata dan kelengkapan-kelengkapan yang dirampas itu cukup untukmelengkapi satu platun baru.

Kejayaan pertempuran yang cemerlang itu tentulah datang dari usaha keras. Semua komander dan perajurit telah menyumbangkan tenaga masing-masing dan telah membuat jasa tertentu. Sebelum pertempuran mereka berlatih dengan sungguh-sungguh dan membuat perancangan yang teliti. Dalam pertempuran, mereka telah bertempur dengan gagah perwira. 5 orang kawan telah mengorbankan jiwa mereka yang berharga di medan pertempuran.

Selepas pertempuran itu, musuh memborak konon, 250 orang perajurit tentera kita telah ambil bahagian dalam pertempuran itu dan 25 orang telah mati. Ini hanya untuk menutupi kegagalannya sahaja.

Di bawah sinar matahari senja, kawan-kawan pasukan telah mengebumikan jenazah kawan-kawan seperjuangan yang telah gugur di lereng bukit yang tinggi. Setelah beres semuanya, para perajuritpun menghayun langkah bangga balik ke khemah sambil membawa sejumlah besar barang-barang rampasan perang. Pada malam itu juga rapat merayakan kemenangan dilangsungkan.

Esoknya, menyongsong mentari yang baru terbit, pasukan maju ke arah Gua Musang untuk menyambut pertempuran baru.

Pengaruh pertempuran

Ketika bunyi tembakan bergemuruh di tepi Sungai Semur, 30 -40 orang askar musuh yang sedang makan di kem Takuse, kira-kira 2 jam perjalanan dari tempat pertempuran segera menyorok ke dalam parit pertahanan. Bunyi tembakan semakin kencang. Kerana takut kena serangan juga, mereka keluar semula dari parit pertahanan dan membakar kepuk-kepuk padi. Apabila api dinyalakan, merekapun dengan gopohnya melarikan diri ke Pulai. Apabila musuh meninggalkan kampung, regu penyusun massa dan massa pun segera memadamkan api, lalu mengangkut sejumlah besar bahan makanan dan makanan dalam tin ke dalam hutan.

100 orang askar musuh di Pulai juga menyorok ke dalam parit pertahanan tatkala mendengar bunyi tembakan. Askar-askar musuh dari Takuse telah tiba. Mereka takut kalau-kalau diserang oleh tentera kita, lalu meminta bantuan kecemasan kepada musuh di Gua Musang pula. Tawanan-tawanan yang dibebaskan oleh pasukan kita telah balik ke Pulai. Mereka menceritakan keadaan bagaimana platun mereka dibasmi. Ini lebih menggerunkan hati askar-askar musuh sehingga mereka tidak berani melangkah setapakpun dari tempat pertahanan.

Kemenangan pertempuran di Sungai Semur ini segera tersebar ke seluruh pelusuk Ulu Galas bagaikan ditiup angin. Rakyat jelata tempatan gembira dan terdorong kerananya.

tamat

(artikel Pejabat Perajurit Tentera Rakyat Malaya – Siaran SDM 3 -13 Februari 1983)

Categories

Pengikut