PERTEMPURAN SG. SEMUR: murah hati terhadap tawanan

Saki Baki Musuh melakukan perlawanan

Rumpun buluh itu terletak ditanah rendah dekat dengan jalan, antara posisi Seksyen Ke-22 dan 23, iaitu di kaki bukit depan tempat markas. Buluh-buluh itu tidak ditebang dan tanah itu tidak diratakan sebelumnya kerana takut meninggalkan kesan. Kini 6-7 orang musuh termasuk pegawai yang mempunyai 3 paku dibahunya sedang berjalan ke situ.

Setelah tembak menembak beberapa minit, hanya beberapa orang musuh saja yang melepaskan tembakan satu satu. Kawan-kawan komander telah membunyikan wisel tanda berhenti menembak, kemudian memerintahkan para perajurit melaung seruan. Para perajurit di kedua belah posisi melaung “letak senjata tidak mati, kami layan baik tawanan”. Perajurit-perajurit di seberang sungai pun ikut melaung. Tapi beberapa orang musuh itu meronta-ronta sekarat. Mereka melemparkan 2 biji bom tangan ke arah markas seterusnya menembak pula.

Bagaikan ikan yang sudah dalam jala yang hanya menunggu digoreng sahaja, musuh yang tidak mahu menyerah diri mesti dibasmi. Perajurit-perajurit kita di kebua-dua belah pun menumpukan kekuatan tembakan mereka ke atas musuh itu. Sebentar kemudian, mereka melaung lagi, tapi saki baki musuh itu tetap bertiarap dengan diam-diam di situ.

Sebahagian besar dari 26 orang musuh itu dibasmi, tapi pertempuran itu berlarutan kerana perlawanan beberapa orang musuh tadi. Kawan komander telah mengambil keputusan tegas. Dia memerintahkan supaya dilancarkan serbuan menghimpit dari 2 hala. Ketua dan Wakil Ketua Platun Ke-33 Kawan Kang Po dan Kawan Chu Lian masing-masing memimpin sebuah regu penyerbu dari kanan ke bawah bukit, kemudian terus merangkak maju. Kawan Chu Lian membawa Kawan Chung Sin dan Kawan Han Cheng menyerbu dari kiri tapi telah dihalang oleh musuh sebaik-baik saja mereka keluar dari parit, Kawan Chung Sin dan Kawan Han Cheng telah terkorban serta merta. Megazin bulat tomygun Kawan Chu Lian telah ditembusi peluru, mujurlah dia tidak kena. Hujan peluru telah menyekat jalan penyerbuan. Kawan Chu Lian terpaksa patah balik dan Kawan Kang Po juga berundur dengan membawa kawan-kawan lain.


Murah hati terhadap tawanan

Di seberang kiri, perajurit-perajurit Seksyen Ke-20 hanya boleh menonton saja, lama sudah mereka menyingsing lengan baju hendak mencuba kehandalan. Melihat pertempuran tidak juga selesai, mereka pun mengutus Kawan Ching Chai dan Kawan Chang Yi mengharungi sungai menyerang ataupun membantu menurut keadaan. Bersamaan dengan itu Seksyen Ke-23 melemparkan bom tangan bertubi-tubi ke arah rumpun buluh itu, manakala seksyen ke-22 pula mengalihkan muncung mesingan ringannya menembaki rumpun buluh itu dengan gencar. Rumpun buluh telah menjadi sasaran bersama para perajurit. Beberapa orang musuh lagi kena tembak. Saki bakinya mulai goyang jika melawan hanya menempah maut sahaja. Sementara itu pasukan kita berhenti menembak dan melaung seruan “Letak senjata tidak mati, kami beri layanan baik pada tawanan”. Seruan itu berkumandang di kiri kanan sungai.

Sementara itu seorang musuh yang hendak melarikan diri ke seberang sungai menyelinap ke dalam rerumput di tengah-tengah sungai, tapi kepalanya timbul di permukaan air. Melihat musuh itu, perajurit-perajurit di tebing kiri menyeru “Mari sini menyerah”. Tapi dia tidak peduli walaupun sudah 2 kali dipanggil. Kawan-kawan sengaja melepaskan 2 das tembakan. Askar itu menggigil ketakutan. Dia mengangkat tangan dan mengharungi sungai sambil berkata: “Jangan tembak saya, jangan tembak saya! Isteri dan anak-anak saya bergantung hidup pada saya.” Kawan komander berkata: “Jangan takut, kalau mahu bunuh kau, bukankah kau sudah habis dalam tembakan tadi lagi. Mari sini, kau tak akan diapa-apakan”. Melihat para perajurit tidak menembak, barulah dia percaya kata-kata pihak kita, kemudian dia pun naik ke tebing menyerah diri.

Tapi saki baki musuh di dalam rumpun buluh itu masih juga diam setelah mendengar seruan itu. Kawan Chu Lian dan Kawan Kang Po masing-masing memimpin kawan-kawan lancarkan serbuan untuk kali kedua. Kali ini saki baki musuh itu tidak berani menembak lagi. Kawan-kawan penyerbu mendekati rumpun buluh itu lalu mengherdik. 5 orang yang masih hidup meletakkan senjata dan mengangkat tangan tanda menyerah diri.

Oleh kerana rumpun buluh itu terletak di tanah rendah menjadi posisi sudut mati, beberapa orang musuh dapat bersembunyi di sana melakukan perlawanan, pertempuran yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam 10 minit telah berlarutan hampir sejam barulah berakhir dengan kemenangan di pihak kita.

Kawan-kawan keluar dari parit pertahanan dan turun dari lereng bukit kemudian terjun ke jalan denai di tepi sungai. Antara 19 orang musuh yang tewas di situ, 17 orang sudah mati dan 2 orang lagi mendapat luka parah. Di samping itu 6 orang telah menyerah diri. Seorang lagi musuh lolos dari medan pertempuran lalu bersembunyi di dalam rerumput. Dari mulut tawanan-tawanan, kita mengetahui bahawa tentera musuh tersebut ialah seplatun dari Batalion Ke-3 Malay Regiment.

Dalam pertempuran itu, kawan-kawan kompeni Ke-27 menembak dengan jitu, dahsyat dan tidak kenal belas kasihan. Tetapi terhadap tawanan yang telah menyerah diri, mereka bertindak menurut disiplin TPNM iaitu dasar bermurah hati terhadap tawanan perang. Tawanan-tawanan itu telah dibawa ke seberang sungai dan dijaga oleh beberapa orang perajurit. Mereka memberi rawatan menahan darah dan membalut luka. Kawan dari Markas menerangkan kepada tawanan dasar parti dan tentera kita, menjelaskan matlamat parti dan tentera kita dalam perjuangan melawan imperialis British. Sesetengah tawanan terharu dan merasa terhutang budi, mereka menyedari bahawa menjadi umpan peluru imperialis British tidak bererti. Para tawanan dengan sendirinya memberitahu sedikit sebanyak keadaan tentera musuh. Mereka mengucapkan terima kasih dan menyatakan bahawa mereka rela meletakkan senjata, pulang ke kampung menjadi petani.

14 orang askar musuh yang dibelakang mengawasi massa mengangkut daun koh ke atas rakit, kemudian menaiki rakit menghilir sungai. Ketika mendekati medan pertempuran, mendengar bunyi tembakan satu satu, mereka tidak tahu apa yang telah terjadi. Mereka segera memerintahkan massa menggalah rakit ke tebing sungai lalu berjalan menyusuri denai di tebing kiri. Pengakap yang berjalan di depan ialah regu mesingan ringan yang terdiri dari 3 orang. Bila regu mesingan ringan itu sampai di tempat penyeberangan, mereka mendapati posisi tentera kita di tebing kanan dan terdengar pekikan suruh menyerah diri, baru mereka tahu keadaan tidak baik lalu tergesa-gesa membelok melarikan diri. Para perajurit Seksyen Ke-24 memandang mereka dari jauh, tapi tidak dapat menembak. Kawan-kawan segera pergi memburu musuh-musuh itu, tapi mereka telah menghilangkan diri entah ke mana.

11 orang askar musuh yang datang menyusul di belakang itu pula tiba di depan pondok pengawal kita di tebing kanan dengan kebingungan. Regu pengawal yang terdiri dari 2 orang perajurit segera melepaskan tembakan. Mula-mula musuh musuh menyangka kawan-kawan kita itu adalah pengakap depan mereka, maka mereka berteriak “jangan tembak, orang kita”. Perajurit-perajurit kita tidak mempedulikan jeritan musuh dan terus melepaskan tembakan gencar.

Mendengar bunyi tembakan, Seksyen Ke-23 di tebing kanan dan Seksyen Ke-20 di tebing kiri bekerja serentak untuk memberi bantuan. Akan tetapi ketika itu sebelas orang askar itu telahpun berpencar dan menyerbu pondok pengawal. 2 orang kawan regu pengawal kita terpaksa berundur ke atas bukit. Musuh segera menduduki pondok pengawal itu.

Pada waktu itu, pasukan bala bantuan kita tidak tahu pondok pengawal telah diduduki musuh. Kawan Ai Hua yang menyerbu di depan terkena peluru musuh dan gugur serta merta ketika dia hendak meniarap. Secepat kilat para perajurit dari kedua-dua seksyen itu berguling ke tepi busut, melepaskan tembakan serentak segugus, kemudian mengepung podok pengawal itu. Mereka bersiap hendak membasmi musuh dengan sekaligus.

Ketika itu kawan komander mengarahkan beberapa kawan membawa sarjan yang telah menyerah diri datang menyuruh musuh-musuh yang terkepung di pondok pengawal itu menyerah diri. Melihat tembakan yang amat dahsyat dan kepungan semakin ketat, sarjan itu naik takut tak berani melangkah lagi walau setapakpun. Dia meniarap di tempat yang jauh dan melaung “Aku Sarjan! Cepat letak senapang kamu dan menyerah. Orang kita tinggal tak seberapa lagi. Kalau bertempur terus mati semua!”

7 orang daripada askar musuh yang menduduki pondok pengawal itu telah angkat kaki seribu dan lolos dari kepungan kita. 4 orang yang lain pula terperangkap dalam kepungan tiada harapan boleh meloloskan diri. Mereka segera letak senapang angkat tangan menyerah diri selepas mendengar laungan sarjan. Di antara mereka itu ada seorang pegawai pelatih, mukanya pucat lesi takut kita membalas dendam. Dengan cemas dia bertanya: “Tadi saya menembak mati seorang rakan kamu, apakah saya dibebaskan nanti?” Meskipun hati perajurit sangat marah, tapi mereka tetap tegas menjalankan polisi tentera kita tentang tawanan. Mereka berkata dengan terus terang: “Tak usah khuatir, Tentera Pembebasan sekali-kali tidak akan membunuh, menganiayai atau menghina tawanan yang telah menyerah.”

Pertempuran itu memakan waktu hampir sehari suntuk. Salah seorang askar musuh yang meloloskan diri dari tembakan kita yang pertama telah menyorok di dalam rumpun rumput di suatu lurah. Dia tidak melepaskan tembakan, tapi telah banyak menyaksikan seluruh pertempuran itu, dan juga menyaksikan layanan murah hati tentera kita terhadap tawanan. Dengan ini dia yakin bahawa menjadi tawanan adalah jalan yang paling terjamin untuk pulang ke rumah dengan selamat. Oleh itu dia merangkak perlahan-lahan kemudian berlutut dan mengangkat tangan tinggi-tinggi tanda menyerah diri sebaik saja sampai di tempat yang boleh dilihat oleh kawan-kawan kita.

3 orang pengakap musuh yang melarikan diri dari posisi kita itu rupanya telah membelok ke lembah, kemudian lari lintang pukang ke tempat rakit di tebing sungai. Tiba di situ, mereka dengan segera tergopoh gapah melompat ke atas rakit dan mendesak massa supaya membawa mereka pergi. Belum sempat semua massa naik ke atas rakit, mereka telah bergegas-gegas menyembunyikan mesingan ringan ke dalam timbunan daun koh lalu mengganti pakaian seragam dengan kain, menyamar sebagai massa biasa dan duduk bersama-sama massa. Pasukan kita telahpun menunggu ketibaan rakit di tepi sungai yang tak berapa jauh di hilir. Apabila rakit ditahan, massa pun membuat pendedahan dan mengeluarkan mesingan ringan musuh dari timbunan daun koh. Askar-askar yang memakai kain itu tidak dapat berdalih lagi, mereka terpaksa menyerah diri.

Kawan-kawan telah memberi penerangan dan pendidikan kepada para tawanan dan membebaskan mereka semuanya, 2 tawanan yang mendapat luka parah telah dibawa ke atas rakit. Tawanan-tawanan berjabat tangan dengan perajurit-perajurit kita. Salah seorang tawanan berkata: “Sungguh pun saya telah menembak mati kawan kamu, tapi sekarang saya dilayan dengan begitu baik dan dibebaskan setelah ditangkap hidup-hidup. Saya amat terhutang budi.” Dan ada pula tawanan yang telah menitiskan air mata kerana terharu. 
bersambung...

Categories

Pengikut