MISTERI PKM HARAM DAN PENGGANAS KOMUNIS

pejabat PKM di Kuala Lumpur sebelum darurat

Sebelum 1948 PKM bukan pertubuhan haram

Ada antara kita barangkali yang terlupa atau tidak tahu bahawa PKM hanya diharamkan pada tahun 1948. Sebelum itu, PKM adalah sebuah pertubuhan yang "sah" atau halal; bukan pertubuhan haram.

Meskipun sebelum tahun 1948 kebanyakan ahli dan pemimpin PKM memilih bergerak "di bawah tanah" dan hanya sebahagian saja yang mengenalkan diri secara terbuka, tetapi ibu pejabat PKM yang terletak di Kuala Lumpur adalah pejabat yang "terbuka" dan boleh dikunjungi oleh siapa saja.

Sebelum tahun 1948 juga anggota PKM tidak dimomokkan dan dilabel sebagai pengganas.Tidak ada istilah pengganas komunis sebelum tahun 1948

Anggota PKM atau orang-orang komunis hanya dimomokkan sebagai pengganas dan sebagai orang-orang yang anti-Tuhan atau tidak beragama selepas tahun 1948 sebagai perang saraf penjajah Inggeris untuk menumpaskan perjuangan PKM.

Kebetulan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua ideologi komunis (dan juga sosialis) adalah ideologi yang didukung oleh lebih satu pertiga penduduk dunia, khasnya rakyat di negara-negara yang dijajah oleh kuasa barat.

Komunisme adalah ideologi tandingan terhadap kapitalisme dan imperialisme dan merupakan senjata yang berkesan untuk menentang imperialisme barat.

Oleh itu, dalam konteks sejarah yang demikian, barangkali bukanlah satu perkara yang salah, dan bukan pula satu kebodohan, jika ada orang Melayu yang masuk menjadi ahli PKM dan mendukung ideologi komunis dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Kebetulan di Malaya ketika itu, PKM adalah kumpulan politik yang terkuat, yang mempunyai senjata dan mempunyai kemampuan untuk menentang penjajah Inggeris secara bersenjata.

Ini tentunya satu faktor lagi yang mendorong sebahagian orang Melayu, seperti bekas ahli API, AWAS dan PKMM yang tidak dapat lagi berjuang mengikut jalan damai, kerana parti mereka telah diharamkan, masuk ke hutan dan berjuang bersama-sama PKM.

Bila Timbulnya Istilah "Pengganas Komunis"?

Kita sudah lama terbiasa dengan istilah "pengganas komunis". Jadi kita menganggapnya sebagai istilah biasa dan penggunaannya pun sebagai hal yang wajar saja.

Kita tidak menyedari bahawa istilah itu sebenarnya dicipta dan direkayasa dengan tujuan tertentu.

Ketika berlaku konflik berdarah yang dahsyat antara orang Melayu dengan orang Cina pada akhir tahun 1945, selepas berakhirnya pendudukan Jepun, istilah itu belum muncul lagi, walaupun konflik itu melibatkan ahli MPAJA atau Bintang Tiga, yang merupakan cabang tentera PKM.

Orang-orang Bintang Tiga ialah komunis, tetapi ketika itu mereka belum lagi digelar sebagai pengganas komunis.

Istilah pengganas komunis sebenarnya hanya muncul selepas tahun 1948, selepas Darurat, atau selepas PKM melancarkan perjuangan bersenjata menentang penjajah British.

Ketika itu mucul istilah "penjahat", "pengganas" dan "bandit" untuk merujuk kepada anggota Tentera Pembebasan Nasional (TPN), atau cabang tentera PKM, yang terlibat dalam perjuangan bersenjata itu.

Misalnya, ketika melaporkan serangan pasukan TPN ke atas balai polis Bukit Kepong , tajuk berita Utusan Melayu (24/2/1950) ialah "Serangan Penjahat atas Rumah Pasung Bukit Kepong", manakala akhbar Strait Times (24/2/1950) pula membawa tajuk " Johore Bandits Kill 23, Burn Police Station". Dalam laporan itu Utusan Melayu menggunakan istilah penjahat dan pengganas secara tukar ganti.

Istilah penjahat, pengganas dan bandit ini sebenarnya dicipta oleh pihak penjajah British sebagai perang saraf untuk memomokkan dan memburukkan imej PKM supaya orang ramai membenci dan tidak menyokong perjuangan PKM.

Betapi tidak, mereka penjahat, pengganas atau pengganas komunis -- bukan pejuang kemerdekaan!
Ini adalah fakta sejarah, dan tidak dimaksudkan untuk mengagung-agungkan PKM.

dipetik dari http://pacarmerah.blogspot.com/

2 ulasan

Komunis adalah satu ideologi berdsarkan teori pertelingkahan kelas ekonomi.Keganasan adalah satu kaedah atau tektik-orang yang memilih teknik ganas adalah penganas
1945- PKM Memerintah 14 hari menginaya peribumi:Hasil nya Perang Sabil Batu Pahat & Sungai Manik
1948- Membunuh Pengurus 3 Estate di Sungai Siput oleh PKM- Itu adalah keganasan. Perang gerila walaupun Malaya Merdeka sehingga 1960
1968-1989- Aktif semula menyerang tentera Malaysia
1969- meyusup dalam massa-keganasan 31 Mei

Reply

Saya tertarik dengan kenyataan bahawa istilah "pengganas" dicipta untuk memenuhi sesuatu tujuan. Ini mengingatkan saya kepada Perang Terhadap Kegananasan yang dipelopori Amerika Syarikat pada tahun 2001 yang melabelkan pejuang Islam sebagai pengganas. Sewel bukan?

Dalam konteks yang sama, agak menyedihkan istilah tersebut yang prtama kalinya digunakan terhadap penentang British pada tahun 1948; telah diperpanjangkan oleh pemerintah selepas Merdeka sehingga rakyat Malaysia (terutama anggota Pasukan Keselamatan) secara automatik "membenci" semua pejuang/ perjuangan kemerdekaan negara yang bukan dari kalangan pemerintah!! Kesian bukan..

Justeru "fakta" yang disebut di dalam artikel ini (rasanya) tidak dapat ditemui dalam buku teks, MAKA "selagi tiada pencerahan" dibuat ke atas sejarah negara, selagi itulah masalah pemahaman/salah faham sejarah negara akan berterusan.

Sekian pandangan saya.
PEMINAT SEJARAH

Reply

Categories

Pengikut