GERAKAN POLITIK KIRI DI KAMPUNG JENDERAM


Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam




Gerakan politik kiri di kampung Jenderam menarik untuk dikaji dan difahami, kerana secara perbandingan, kampung Jenderam adalah salah satu pusat atau  kubu  gerakan politik kiri yang terkuat, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor.

      Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, di samping beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung  Jenderam,  iaitu  pengaruh dari Indonesia. Pengaruh dari  Indonesia ini boleh dilihat dalam empat perkara yang berikut:

     Pertama, kampung Jenderam dibuka antara tahun 1909-1910 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu  orang-orang  keturunan Minangkabau dari kampung lain  di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang   keturunan Minangkabau.

     Sehingga Perang Dunia Kedua (1941-1945), penduduk kampung Jenderam masih mempunyai hubungan yang rapat dengan “alam Minangkabau”  yang merupakan tempat asal ibu bapa mereka atau tempat asal mereka sendiri.  Salah satu cara mereka mengekalkan hubungan itu adalah dengan berkunjung atau pulang ke Minangkabau.  Satu cara lagi adalah dengan menghantar anak mereka belajar ke Minangkabau.

     Kedua, pada tahun 1922 Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah.  Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang  guru agama lain dari Minangkabau.  Haji Jalaluddin adalah seorang ulama  “kaum Muda” yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kadatangannya  turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu.

     Ketiga, bekas penuntut Madrasatul-Ubudiah ramai yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama terkenal di Minangkabau, seperti Sekolah-sekolah Diniah dan Thawalib. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru sekolah itu  apabila balik ke kampung Jenderam, dan turut menyebarkan fahaman  kaum muda di kalangan murid dan keluarga mereka. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung  Jenderam,

     Keempat, anak penduduk kampung Jenderam yang belajar di Minangkabau  bukan saja terdedah kepada cara pembelajaran yang baru, yang dikendalikan  oleh ulama  kaum muda, tetapi juga  terlibat dengan gerakan  politik. Misalnya pelajar yang belajar di Sekolah Thawalib terlibat dengan Parti Sarekat Islam yang berpusat di Jawa.  Di samping itu, ada juga yang belajar politik secara  khusus. Misalnya, Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Gurunya ialah Muchtar Lutfi, tokoh politik dari Minangkabau yang pernah belajar di Mesir (Mohd. Nor 1977/78: 38-39). Oleh  itu,  mereka telah terdedah kepada idea antikolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk  kemerdekaan di  samping membawa  fahaman kaum muda, apabila  mereka kembali ke tanah air.

    Oleh yang demikian, beberapa aspek gerakan  politik  kiri yang  muncul di kampung Jenderam boleh dihuraikan dengan ringkas seperti di bawah ini.

Penglibatan dengan KMM
 Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula  di kampung  Jenderam  tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung  Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka  yang utama  adalah dengan menjadi  ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah  Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78: 40).

Penglibatan dengan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) dan Revolusi Indonesia.
Selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, sebuah organisasi yang dinamakan PIM telah ditubuhkan di Malaya dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan material ke Indonesia. Sebagai orang-orang yang bersemangat patriotik dan antikolonial, penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia. Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh  Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur.

      Apabila revolusi Indonesia meletus tidak lama selepas itu, kira-kria 10 orang penduduk kampung Jenderam telah pergi ke Sumatera untuk berbakti kepada Indonesia yang masih mereka anggap sebagai ”ibu pertiwi” mereka. Kepergian mereka dengan hanya menaiki sampan direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung  Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh  penduduk kampung tersebut. Di Indonesia  pada mulanya mereka menyertai pasukan tentera rakyat, kemudian diserapkan ke dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946 (Mohd. Nor Mohd.Amin 1977/78: 41-42).

Penubuhan Cawangan PKMM dan Badan Gabungannya
Di samping memberi bantuan kepada saudara mara mereka di Indonesia dan melibatkan diri dengan revolusi Indonesia, penduduk kampung Jenderam  tidak mahu mengasingkan diri dari gerakan politik di Malaya sendiri. Oleh itu, apabila PKMM ditubuhkan  pada akhir tahun 1945, mereka dengan cepat melibatkan diri dengan gerakan itu. Dengan dipelopori oleh Bakar Jali dan beberapa orang kawannya yang pernah menjadi ahli KMM, sebuah cawangan PKMM telah dttubuhkan di kampung Jenderam pada awal tahun 1946.

      Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri  dengan semua gerakan itu. Ini bererti pada masa itu hampir  seluruh penduduk kampung Jenderam, lelaki dan perempuan, telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk  mencapai kemerdekaan.

      Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bahawa pada masa itu tidak ada kepimpinan yang berasingan bagi menerajui PKMM, API, dan BATAS kampung  Jenderam. Sebaliknya, semua pemimpin  PKMM merangkap sebagai pemimpin API dan BATAS.  Barisan kepimpinan ketiga-tiga organisasi itu adalah  seperti berikut:

                     Ketua 1:         Bakar bin Jali
                     Setiausaha:    Ustaz Haji Hashim
                     Ahli Jawatankuasa:
                                           Osman bin Binu
                                            Jani bin Sudin
                                            Ustaz Talib Nor
                                           Abdul Latif bin Arshad
                                           Mohd.Sharif  bin Jamek

       Mengenai jawatankuasa AWAS kampung Jenderam pula, nama mereka adalah  seperti berikut:

                     Ketua 1:         Fatimah binti Haji Kassim
                     Setiausaha:     Rosnah binti  Mien
                     Bendahari:      Mariam binti Jaafar
                     Ahli Jawatankuasa:
                                             Zaharah binti Hamid
                                             Hindon binti Tahir
                                             Zaharah binti Kassim

       Sebagaimana yang dinyatakan di atas, beberapa orang pemimpin dari kampung Jenderam, seperti Bakar Jali dan semua pemimpin AWAS bukan saja menjadi pemimpin pada peringkat kampung itu, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan pemimpin gerakan kiri dari kampung Jenderam dan memang selaras dengan kedudukan kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.

Penglibatan dalam Perang Gerila
Penglibatan penduduk kampung Jenderam dengan perang gerila yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap penjajah Inggeris wajar dihuraikan di sini, kerana ia  merupakan satu episod penting dalam  sejarah perjuangan penduduk kampung  Jenderam, malah  itulah satu cara yang terbuka  bagi orang-orang  nasionalis kiri untuk meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.

      Selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kampung Jenderam sebagai salah sebuah pusat atau kubu gerakan nasionalis kiri menjadi tumpuan pihak polis yang bertindak menangkap orang-orang yang menjadi pemimpin dan aktivis gerakan itu. Oleh itu, sepanjang tahun 1948 dan  awal 1949   ada 16  orang penduduk kampung Jenderam yang telah ditangkap, sama ada kerana tidak sempat melarikan diri atau tidak mahu berbuat demikian.  Di samping itu, sekurang-kurangnya ada lima orang yang telah melarikan diri ke Indonesia dan tidak balik semula ke negara ini (Mohd.Nor 1977/78: 58-60).

      Namun, mengikut maklumat yang diperolehi oleh Mohd. Nor Mohd.Amin (1977/1978:58-60), sekurang-kurangnya  ada 18 orang penduduk kampung Jenderam yang  lebih  rela masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan   tentera PKM daripada membiarkan diri mereka ditangkap dan dijadikan tahanan politik.  Mereka ialah: 


1.      Bakar bin Jali
2.      Azman bin Haji Nordin
3.      Hamid bin Tahir
4.      Yaakob bin Mohd.Ali
5.      Alias bin Siu
6.      Mohamd Akib bin Kassim
7.      Manaf bin Pisah
8.      Ismail bin Manan
9.      Yunus bin Buyung
10.  Ismail bin Mohd.Sharif
11.  Mohd.Zain bin Haji Kassim
12.  Tajuddin bin Mahat
13.  Yunus bin Abu
14.  Abdul Malik bin Kabut
15.  Sulaiman bin Haji Said
16.  Malik bin Haji Bor
17.  Manan bin Abdul Latif
18.  Karim bin Sulaiman

     Golongan 18 orang ini tidak mahu ditangkap dan dijadikan tahanan politik, dan dengan itu perlu mencari alternatif untuk  meneruskan perjuangan mereka. Dari awal lagi mereka sudah melihat bahawa perjuangan bersenjata adalah jalan yang perlu mereka tempuh  untuk meneruskan  perjuangan mereka. Timbulnya persepsi yang demikian sekurang-kurangnya kerana dua faktor  utama. Pertama, semasa melibatkan diri dengan API, mereka  telah diorientasikan untuk berjuang secara bersenjata  berdasarkan slogan API, “ Merdeka dengan Darah.” Kedua, sebagai orang-orang yang masih merasa dekat dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia, mereka juga melihat bahawa perjuangan secara   revolusi atau perjuangan bersenjata adalah satu cara perjuangan yang boleh dijadikan  contoh.

      Walau bagaimanapun, pada masa itu mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan. API  dan PETA  telah diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas  pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang.  Pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr.Burhanuddin telah ditahan. Dr.Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Oleh itu, pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung  mereka dan  belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri.

       Namun, kira-kira tiga atau empat bulan kemudian, mereka telah dihubungi oleh utusan PKM yang  mempelawa mereka supaya menyertai perang gerila yang dilancarkan  oleh parti itu.   Mereka menerima pelawaan PKM, kerana ketika itu hanya itulah jalan yang boleh mereka pilih jika mereka mahu meneruskan perjuangan mereka.

      Orang yang mula-mula melibatkan diri dengan  perang gerila  anjuran PKM itu ialah Bakar bin Jali. Dia melibatkan  diri dengan  peperangan itu  pada bulan  September 1948, diikuti oleh kawan-kawannya yang lain pada bulan Oktober 1948.

       Pada mulanya mereka bergerak sebagai satu  seksyen “komunis Melayu”  di kawasan Salak, daerah Sepang. Kemudian mereka dipindahkan ke Sungai Long,  daerah Hulu Langat untuk bergabung dengan  seksyen Melayu yang lain, dan membentuk  satu  platun Melayu (seramai 36 orang)  bersama dengan orang-orang dari Sungai Long, Sungai Serai dan Hulu Langat.

       Pada tahun 1949 mereka berundur ke kawasan Titi, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan ketenteraan dan taktik perang gerila selama kira-kira enam bulan. Selepas tamat latihan itu, mereka dipecah-pecahkan kepada unit  dua atau tiga orang dan diserapkan ke dalam platun-platun lain. Dengan itu, tidak ada lagi platun khusus untuk orang  Melayu. Sebahagian daripada mereka diarahkan beroperasi di kawasan utara Selangor, sementara  sebahagian lagi di kawasan selatan Selangor, khasnya di daerah Sepang.

     Penglibatan mereka dengan  perang gerila yang dipimpin oleh PKM  itu hanya berakhir apabila  11 orang daripada mereka  gugur di medan perjuangan, seorang ditangkap dan dikenakan hukuman gantung dan enam orang lagi menyerah diri. Mereka yang gugur ialah:

1.      Mohd.Akib bin Kassim
2.      Ismail bin Manan
3.      Yunus bin Buyung
4.      Ismail bin Mohd.Sharif
5.      Tajudin bin Mahat
6.      Yunus bin Abu
7.      Abdul Malik bin Kabut
8.      Sulaiman bin Haji Said
9.      Malik bin Haji Nor
10.  Manan bin Abdul Latif
11.  Mohd.Zain bin Haji Kassim

      Yang tertangkap dan dihukum gantung ialah Manaf bin Pisah. Enam orang yang menyerah diri pula ialah:

1.      Bakar bin Jali
2.      Azman bin Nordin
3.      Hamid bin Tahir
4.      Yaakob bin Mohd.Ali
5.      Alias bin Siu
6.      Karim bin Sulaiman

      Antara  enam orang yang menyerah diri, Bakar Jali mungkin yang terawal berbuat demikian. Dia menyerah diri pada 18 Mac 1951, kerana kemnya dibom dari udara dan dia tidak dapat lagi melepaskan diri. Azman Haji Nordin pula  mungkin yang terakhir menyerah diri. Dia menyerah diri pada tahun 1957, selepas lapan tahun bergerila, kerana katanya pada masa itu Malaya sudah pun merdeka.

Nasionalis atau Komunis?
Setelah meninjau penglibatan penduduk kampung Jenderam dan daerah  Hulu Langat dalam perang gerila yang diterajui oleh PKM, kita tentunya wajar menjawab satu soalan yang penting, iaitu adakah mereka nasionalis ataupun komunis?

      Selama ini mereka dituduh telah “masuk komunis” dan menjadi komunis kerana telah masuk ke hutan dan bergabung dengan pasukan bersenjata komunis (Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Tuduhan ini memang sukar untuk dinafikan, kerana dengan menggabungkan diri dengan pasukan tentera PKM bermakna mereka berada di bawah arahan PKM, terikat dengan disiplin parti komunis dan   sama ada secara langsung atau tidak telah terlibat dengan aktiviti keganasan  yang dilancarkan oleh PKM.

     Namun, dalam hal ini adalah wajar kita menyelidiki sikap dan pendirian mereka sendiri. Dalam pengakuannya kepada Mohd.Nor (1977/78: 77) Azman Haji Nordin, salah seorang  daripada mereka menyatakan bahawa mereka bukan komunis, tetapi bergerila bersama-sama komunis  untuk mencapai kemerdekaan. Pengakuan ini saya kira wajar dipertimbangkan. Dari pengakuan Azman Haji Nordin itu, kita mendapat maklumat bahawa mereka berjuang bersama-sama dengan komunis tidak lain daripada  meneruskan  perjuangan asal  mereka, iaitu untuk mencapai kemerdekaan. Akan tetapi, mereka tidak menganut ideologi komunis dan mungkin juga tidak menjadi ahli  parti komunis. Oleh itu, pada hakikatnya mereka  masih lagi merupakan  orang-orang masionalis.

      Dalam hal ini, kita patut juga mempertimbangkan keadaan mereka yang  terdesak dan tersepit setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan  pada Jun 1948. Mereka terpaksa membuat pilihan, sama ada membiarkan diri mereka ditangkap ataupun masuk ke hutan. Mereka memilih masuk ke hutan dan  menggabungkan diri dengan PKM, kerana itu sahaja cara yang terbuka untuk meneruskan perjuangan mereka. Namun, selagi mereka belum menerima ideologi komunis dan belum menjadi ahli parti komunis, kita mungkin boleh menganggap bahawa mereka masih lagi nasionalis, dan bukan komunis. Dengan perkataan lain, mereka adalah nasionalis, tetapi telah dipaksa oleh keadaan untuk berjuang bersama-sama dengan komunis.

       Dalam hubungan ini, penilaian yang  agak  adil dan saksama terhadap perjuangan mereka   telah diberikan oleh seorang tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Samad Idris (almarhum) (1982:253) dengan kata-kata seperti berikut:

       Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di
       Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri
       dengan pengganas dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman komunis mereka
       yang tebal.

       Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan
       Melayu yang tulin. Mereka memilih jalan hanya dengan pemberontakan saja untuk
       mencapai kemerdekaan. Hal ini diperkuatkan dengan cita-cita API pimpinan Ahmad
       Boestamam  yang melaungkan slogan “ Merdeka Dengan Darah.”

Kesimpulan

       Daerah Hulu Langat adalah satu kawasan dalam negeri Selangor di mana gerakan kiri Melayu pernah wujud antara tahun1946 hingga 1948 dahulu. Dengan sokongan orang-orang keturunan Indonesia di daerah itu, cawangan  PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya  PETA telah wujud sebagai cawangan yang aktif. Hal ini ada kaitannya dengan kemunculan  beberapa orang pemimpin yang berkebolehan, bukan saja pada peringkat daerah  Hulu Langat, tetapi juga sebagai  pemimpin pada peringkat nasional dan negeri Selangor.

      Kampung Jenderam dalam daerah Hulu Langat pula adalah satu pusat atau  kubu gerakan kiri yang terkuat pada peringkat negeri Selangor. Apa yang menarik ialah  penduduk kampung itu telah menyertai perang gerila yang diterajui oleh PKM sebagai cara meneruskan perjuangan  mereka setelah gerakan kiri itu diharamkan oleh penjajah Inggeris. Bagaimanapun,  dengan meminjam pendapat Abdul Samad Idris,  penulis menyimpulkan mereka  pada dasarnya  ialah nasionalis dan bukan komunis, dan mereka  berjuang bersama-sama dengan  komunis  masih lagi dalam konteks perjuangan untuk mencapai kemerekaan.


Rujukan

Abdul Samad Idris. 1982.  25 Tahun Merdeka.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Pustaka
     Budiman.
Ahmad Boestamam. 1972. Merintis Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur:  Pustaka Kejora.
Aishah Ghani. 1992.  Memoir Seorang Pejuang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
     Pustaka.
Cheah Boon Kheng. 1979. The Masked Comrades: A Study of the Communist Front
     1945-48.  Singapore: Times Book International.
Insun Sony Mustapha. 1999.  Memoir Mustapha Hussain.  Kuala Lumpur: Dewan
    Bahasa dan Pustaka.
Means, G.P. 1970.  Malaysian Politics.  New York: New York University Press.
Mohamed Salleh Lamry. 2005. Pejuang Kemerdekaan yang Dilupakan: Kisah dari
    Jenderam.  Kertas kerja tambahan untuk  Seminar Sejarah  Daerah Kuala Langat.
    Banting: 29 Januari.
Mohamed Salleh Lamry. 2006.  Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan.
     Bangi: Penerbit Unviersiti Kebangsaan Malaysia.
Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan dan Tokoh Kiri. Petaling Jaya: SIRD.
Mohamed Salleh Lamry. 2007. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:
     Kajian Kes di Kampung  Jenderam. Dalam Armida S.Alisjahbana, Ramlan  Panigoro
     dan Parikesit (Pnyt..)  Indonesia dan Malaysia dalam Era Globalisasi dan
     Desentralisasi Mewujudkan Kemakmuran Bersama.  Buku 2. Bandung: Universitas
     Padjadjaran.
Mohamed Salleh Lamry. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:
     Kajian Kes di Kampung Jenderam. 2007/2008.  Malawati.  Bil.7.
Mohd.Nor bin Mohd.Amin. 1977/78.  Jenderam: Korban Darurat 1948-1958. Tesis B.A
     Universiti Malaya.
Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur:
    Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roff, W.R. 1974. The Origins of  Malay Nationalism. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
     Malaya.
Shamsiah Fakeh. 2004. Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejiman Ke-10. Bangi:
    Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Stockwell, A.J. 1979.  British Policy and Malay Politics During the Malayan Union
     Experiment, 1942-1948. Kuala Lumpur: MBRAS.


-----------------
  * Kertas kerja untuk Seminar Sejarah Daerah Hulu Langat, Shah Alam,  22 Disember  2009.
**  Mantan Prof. Madya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti
      Kebangsaan Malaysia.

2 ulasan

Saya mempunyai kaitan persaudaraan dengan beberapa nama dalam tesis Politik Haluan Kiri Kampung Jenderam. Seingat saya menurut mereka yang terlibat pada pendapat mereka perjuangan mereka benar. Namun pada masa itu saya masih kanak-kanak kecil yang belum mengerti erti perjuangan yang sebenar.Namun pada pandangan beberapa orang tua di kampung saya perjuangan mereka sealiran dengan komunis yang dikatakan kejam telah menyebabkan kampung Jenderam disenarai sebagai kawasan hitam. Hal ini menyebabkan kampung ini dibersihkan oleh kerajaan pada masa itu. Minta penjelasan Pak Amin akan hal ini. Terima kasih

Reply
Tanpa Nama mod

Mengapakah pemimpin utama politik haluan kiri Kg Jenderam ini menyerah diri?

Reply

Categories

Pengikut