BAGAIMANA REJIMEN KE-10 HADAPI "OPERASI CAHAYA BINA" 1977

gambar diciplak dari Utusan Malaysia 27.9.2011
Kempen kepung basmi Cahaya Bina pada tahun 1977 dilancarkan bertujuan membasmi pasukan induk Rejimen Ke-10 di kawasan Weang, sempadan Kelantan-Perak-Thailand. Di kawasan ini Abdullah C.D. yang mengarahkan secara langsung pasukan induk Rejimen Ke-10 telah membentuk dua buah pasukan penggempur iaitu Pasukan Penggempur Ke-14 dan Pasukan Penggempur Ke-15 untuk melakukan kerja memperluaskan kawasan basis dan memulihkan basis lama di sekitar sempadan Malaysia-Thailand. Badan Intelijen Bersama Malaysia-Thai telah mendapat maklumat tepat tentang keberadaan pasukan induk Rejimen Ke-10 di kawasan itu. Dengan itu, kempen kepung basmi besar-besaran yang dinamakan KEMPEN CAHAYA BINA telah dilancarkan oleh angkatan bersenjata Malaysia dan Thailand ke kawasan hutan tersebut untuk membasmi pasukan induk Rejimen Ke-10.

Akan tetapi pada penghujung tahun 1976, pasukan induk Rejimen Ke-10 telah mengadakan suatu perpindahan strategic dari kawasan Weang ke kawasan Sukhirin. Kawasan Weang yang menjadi basis lama pasukan induk telah diamanahkan kepada Pasukan Penggepur Ke-15 di bawah pimpinan Rashid Maidin. Jadi pasukan Penggempur Ke-15 berhadapan langsung dengan serangan tersebut.

Taktik balas yang dilakukan Pasukan Penggempur Ke-15 dan Pasukan induk Rejimen Ke-10 memang diluar dugaan pihak yang menyerang. Pasukan Penggempur Ke-15 main taktik “sembunyi-sembunyi“sehingga pihak musuh tak dapat sasaran untuk menyerang mereka. Pasukan induk Rejimen Ke-10 yang berada di luar garisan kempen kepung basmi pula telah memberikan koordinasi rapi kepada Pasukan Penggempur Ke-15. Selain memagari kawasan hutan dengan banyak periuk api, pasukan induk telah menghantar satu regu tempur ke kampung yang menjadi pusat operasi musuh untuk melakukan serangan. Kebetulan pula regu tempur ini telah dapat mengesan kereta militer yang membawa pegawai tinggi tentera Thai dan Malaysia melalui suatu jalan di kawasan tersebut. Kereta ini telah menjadi sasaran serang hendap regu tersebut. Dengan tidak diduga-duga, sehari selepas serangan itu, pihak tentera Malaysia dan Thai menamatkan serangannya.

Ternyata kempen kepung basmi yang dianggotai oleh 20,000 orang askar itu bukan sahaja tidak membasmi apa yang disebut “saki baki” pasukan-pasukan Rejimen Ke-10, sebaliknya telah memperkaya pengalaman dan mempertingkatkan taktik dan teknik tempur mereka.

Berikut adalah sedikit catatan Abdullah C.D. berkenaan kempen kepung basmi tersebut.


Kempen Kepung Basmi 1977

Pada penghujung tahun 1976, Markas Besar Rejimen Ke-10 berpindah ke kawasan Sukhirin. Kawasan Weang diserahkan sepenuhnya kepada Pasukan Penggempur Ke-15. Pada tahun 1977, setelah Markas Besar meninggalkan kawasan Weang, Badan Intelijen Bersama melancarkan kempen kepung basmi besar-besaran apa yang dinamakan "Cahaya Bina" ke atas kawasan Weang dan Betong dengan menggunakan kekuatan tentera seramai 20,000 orang. Rancangan pokok Badan Intelijen Bersama di kawasan Weang ialah membasmi Rejimen Ke-10 dan membina kubu untuk terus meletakkan pasukan tentera di dalam hutan.

Serangan besar-besaran berkekuatan 20,000 orang itu ditumpukan kepada 2 kawasan iaitu 10,000 di kawasan Weang dan 10,000 lagi di kawasan Betong. Pasukan Penggempur Ke-15 ketika itu berkekuatan 1 kompeni, kira-kira 100 orang lebih. Jika ditilik secara pengaturan strategi, kekuatan musuh 100 kali ganda lebih besar dari kami yang ditumpukan di suatu kawasan yang kecil. Jika ditilik dari sudut ini, pasukan kami yang kecil itu sudah pasti akan hancur.

Akan tetapi, kami ada cara bertempur kami sendiri. Pasukan Penggempur Ke-15 mengambil taktik berputar-putar mengelakkan pertempuran secara berhadapan dengan pihak lawan di samping mengobarkan sepenuhnya keunggulan perang periuk api.

Untuk membantu Pasukan Penggempur Ke-15, dari Pasukan Organ Rejimen Ke-10 kami lakukan 3 perkara: pertama, arahkan regu penyusun massa mengerahkan orang ramai menentang serangan itu kerana menimbulkan banyak kesulitan ke atas massa rakyat. Kedua, menghantar regu tempur melakukan pertempuran di luar garisan kepungan pihak lawan dan ketiga, membantu Rashid Maidin mengundurkan pasukannya ke kawasan Sukhirin.

Semua rancangan berjalan dengan baik. Satu regu tempur dipimpin Junid telah dibentuk. Tugasnya ialah melakukan pertempuran di garisan luar kepungan musuh. Regu tersebut telah berjaya menyusup ke kawasan luar dari garis kepungan musuh. Mereka melakukan satu serangan hendap ke atas sebuah jeep di sebatang jalan raya. Dalam serangan ini, regu tersebut telah membunuh beberapa pegawai tinggi tentera yang berada dalam jeep tersebut. Ini memberikan tamparan besar kepada askar yang sedang berada di dalam hutan. Selepas serangan itu, Badan Intelijen Bersama segera menamatkan kempen serangannya yang baru berlangsung selama sebulan.

Selain itu, di kalangan pegawai kerajaan timbul pandangan yang berbeza terhadap kempen kepung basmi tersebut. Pihak berkuasa nikom tidak bersetuju dengan serangan itu kerana mengkhuatirkan keadaan akan menjadi tegang bila kami melakukan serangan-serangan ke atas mereka.

Selepas serangan ini, operasi menyerang Rejimen Ke-10 hanya dilakukan oleh pasukan tentera Thai sahaja manakala pihak Malaysia mengeluarkan belanja perang. Ini suatu perubahan baru situasi di medan perang.


Categories

Pengikut