SEMUA GOLONGAN PATRIOTIK-DEMOKRATIK BERSATULAH!

Pada bulan Mei 1937, parti politik Melayu yang pertama KMM atau Kesatuan Melayu Muda didirikan untuk merebut kemerdekaan tanah air di atas landasan demokratik - sosialisme. Kerana KMM mengemukakan tuntutan untuk kemerdekaan, ia telah diharamkan oleh fasis Jepun. Untuk mengelakkan dari tangkapan fasis Jepun, sebahagian anggota KMM telah menyertai perang anti-Jepun di bawah pimpinan PKM.

Pada bulan Oktober 1945, didirikan pula PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya untuk meneruskan semangat dan cita-cita KMM di atas dasar gabungan kekuatan nasionalis, sosialis dan agama. Program politiknya ialah berjuang untuk kemerdekaan tanah air dari belenggu penjajahan. Dr. Burhanuddin telah memainkan peranan yang penting dalam penubuhan dan memimpin PKMM dilandasan perjuangan.

Pada tahun 1946 diadakan Kongres Melayu Seluruh Malaya di bawah anjuran berbagai persatuan Melayu di berbagai negeri termasuk PKMM dan berdirilah UMNO pada 11 Mei. Kongres kedua yang membincangkan masalah dasar perjuangan telah berlangsung di Ipoh Perak. Usul PKMM untuk menggunakan semboyan MERDEKA sebagai cita-cita perjuangan telah ditolak. Kerana perbezaan yang bersifat prinsip inilah, PKMM keluar dari UMNO dan membentuk barisan bersatunya sendiri PUTERA - AMCJA.

Pada Jun 1948, kerajaan penjajah mengumumkan undang-undang darurat, mengharamkan semua parti patriotik-demokratik yang memperjuangkan kemerdekaan. Hanya Umno satu-stunya yang tidak diharamkan. Kerana penindasan berdarah tersebut, PKM melancarkan perang gerila melawan penjajah British. Seiring dengan itu, ramai ahli PKMM, Peta, Awas, BTM dan lain-lain dari golongan patriotik-demokratik Melayu juga berundur ke hutan rimba berjuang menentang penjajah British secara bersenjata.

Sementara itu, sebahagian ahli PKMM telah menyertai UMNO, antaranya ialah Mustafa Hussein, Tun Ghafar Baba, Saadon Zubir dan lain-lain. Pada tahun 1951, semboyan merdeka mulai meresap ke dalam Umno. Tunku Abdul Rahmah yang menggantikan Datok Onn sebagai Presiden Umno telah mengubah semboyan HIDUP MELAYU kepada MERDEKA. Di samping itu, Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam selepas keluar dari penjara telah mendirikan Partai Rakyat dan Pas manakala kaum cendekiawan Melayu yang progresif melancarkan perjuangan di bidang sastera dan seni untuk kemerdekaan dalam Utusan Melayu, Asas 50 dan lain-lain. Perjuangan kemerdekaan bergema ke seluruh Malaya, baik perjuangan bersenjata mahu pun perjuangan parti-parti politik telah bersatu. Perjuangan besar tersebut telah memaksa penjajah British mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Kini, tugas kekuatan patriotik-demokratik ialah mengisi kemerdekaan itu dengan sempurna, memberi faedah kepada semua rakyat terutama golongan terbanyak dalam masyarakat kita. Untuk itu golongan patriotik-demokratik haruslah menyemak kembali sejarah tersebut, berdasarkan syarat-syarat dewasa ini membentuk barisan bersatu yang luas dan kukuh dengan mengenepikan segala perbezaan masing-masing, mencari titik-titik persamaan untuk cita-cita bersama - membangun sebuah negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat dan untuk menciptakan sebuah masyarakat demokratik, adil dan saksama. Hanya dengan jalan itulah, cita-cita golongan patriotik-demokratik hari ini dapat dicapai.

Categories

Pengikut