KENANG-KENANGAN: TENTERA DAN RAKYAT BAGAI AUR DENGAN TEBING

Tentera kita bukan saja erat bersatu padu dan sangat akrab di dalam barisannya, tetapi juga berkhidmat sepenuh hati untuk massa rakyat dan telah menjalin hubungan yang sangat karib dengan massa rakyat luas. Suatu kali, satu regu penyusun massa dari pasukan penggempur tentera kita masuk ke sebuah kampung Orang Asal untuk melakukan pekerjaan. Secara kebetulan, terdapat seorang nenek yang sakit tenat dalam bahaya. Saudara-saudara orang Asal yang kehilangan akal terpaksa mengusungnya ke tepi kampung. Pada saat itu juga kawan-kawan kita tiba di sana. Tanpa menghiraukan penat lelah, kawan petugas perubatan segera memeriksanya serta memberi suntikan dan ubat untuk dimakan. Melalui perawatan dan perubatan yang teliti selama beberapa hari, kesihatan nenek itu beransur-ansur pulih. Begitu berita baik ini tersebar, saudara-saudara orang Asal dikampung-kampung berdekatan sangat gembira. Apabila bertemu dengan kawan-kawan, mereka pun menunjukkan ibu jari dan dengan terharu berkata “Nangoi baik!” “Nangoi dan orang Asal karib sesaudara”. (Mereka bahasakan Tentera Pembebasan sebagai Nangoi) Selepas itu saudara-saudara orang Asal yang sakit semuanya mencari kawan-kawan kita untuk dirawat. Dan kawan-kawan kita pun memberi perhatian yang sangat cermat. Menggosokkan sedikit minyak angin, melakukan penjaruman (accuunture) atau beberapa biji tablet pun dirasai mereka sebagai rawatan yang sangat mesra. Mereka merasa “Nangoi” melayan mereka dengan begitu jujur dan sungguh-sungguh dan memandang kawan-kawan kita sebagai orang yang dipercayai.

Selain itu, dalam satu kampung di kawasan basis sempadan pernah terjadi satu peristiwa. Beberapa tahun akhir-akhir ini harga barang-barang melambung naik, massa yang hendak mencabut sebatang gigi pun dikenakan bayaran yang mahal, tambahan pula harus pergi ke pekan yang jauh. Itu sangat sulit bagi mereka. Kesulitan massa cepat diketahui oleh markas dari suatu unit tentera kita yang bergerak cergas di kawasan itu. Tidak lama berselang, pihak atasan menghantar doktor gigi bersama dengan pasukan pekerja massa ke kampung itu, membantu mencabut gigi pesakit dengan percuma. Berita ini cepat tersebar di setiap ceruk kawasan pergunungan yang berdekatan. Massa di sekitar kawasan itu memapah orang tua dan kanak-kanak masuk ke kampung tersebut untuk meminta doktor mencabut gigi mereka yang rosak. Doktor gigi dan petugas-petugas kita bekerja terus dari pukul 2 petang sampai pukul 3 pagi lebih esoknya. Dalam belasan jam itu tak terhitung bilangan gigi pesakit yang dicabut. Doktor gigi dan petugas-petugas terlalu mencurahkan perhatian pada kerja hinggakan mereka terlupa makan malam.

Selain merawati penyakit dan luka-luka orang kampung, kawan-kawan juga dengan ghairah membantu mereka berhuma, menorah getah, merumput, memungut kayu api, mengandar air dll. Kawan-kawan juga membantu mereka mendapatkan mata pencarian , menguruskan kerja, mengatasi masalah kehidupan sehari-hari, memberi jasa baik mendamaikan persengketaan-persengketaan di kalangan mereka dan memimpin mereka melancarkan berbagai perjuangan bagi membela kepentingan mendesak rakyat.

Tahun-tahun kebelakangan ini, sering muncul penjahat-penjahat di kampung dan sekitar kawasan pergerakan kita. Penjahat-penjahat itu memeras ugut penduduk, merompak harta benda, menculik bahkan berturut-turut membunuh massa. Tentera kita sering menghantar pasukan ke situ untuk mengorganais kekuatan bela diri massa, menghukum penjahat-penjahat bersenjata tersebut, membela keselamatan massa dan memelihara keamanan tempatan. Tindakan tentera kita dipuji hangat massa rakyat semua bangsa termasuk pegawai-pegawai tempatan. Ia telah mempererat lebih lanjut hubungan antara tentera dan rakyat.

Justeru demikianlah, komander dan perajurit tentera kita selalu mengambil berat kesulitan massa rakyat. Mereka tak takut susah dan lelah dan tak takut kerumitan, berhati-hati dan tekun, beransur-ansur menambah khidmat kepada rakyat, dengan ini telah memperolehi kepercayaan penuh dan sokongan kuat dari massa rakyat kepada parti dan tentera kita, sehingga kita.

Kawan-kawan dan sahabat-sahabat, kehidupan perajurit kita adalah biasa, pekerjaan mereka juga biasa. Namun semangat revolusioner dan usaha yang diperjuangkan mereka adalah luhur tiada taranya. Oleh yang demikian, mereka itu luar biasa juga disamping biasa. Dengan mengesampingkan segala kepentingan sendiri,mereka dengan taat setia meneruskan perjuangan di dalam hutan dan pos tempur masing-masing, untuk kepentingan bangsa dan rakyat. Mereka berkeyakinan melalui usaha mereka yang tekun dan tak kendur-kendur, satu masyarakat baru yang gilang gemilang di mana rakyat menjadi tuan atas negaranya pasti akan dapat dibangun di bumi tanah air kita.

(Surat kiriman dari pasukan yang disiarkan oleh Suara Demokrasi Malaya pada 4-7 Februari 1982)

Nota:
 Pasukan Penggempur adalah pasukan yang bergerak di kawasan Malaya.

Categories

Pengikut