GERAKAN POLITIK KIRI DI HULU LANGAT, 1946-1948*


GERAKAN POLITIK KIRI DI HULU LANGAT, 1946-1948*

Dr. Mohamed Salleh Lamry**

Dr. Mohamed Salleh Lamry


Pendahuluan

Mengikut versi sejarah arus perdana atau versi sejarah “rasmi”, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan di Malaysia biasanya dikatakan bermula dengan penubuhan UMNO dan penentangan terhadap gagasan Malayan Union pada tahun 1946. Setelah berjaya menghapuskan Malayan Union, UMNO bersama-sama dengan MCA dan MIC  mengadakan perundingan dengan kerajaan Bristish untuk mendapatkan kemerdekaan, dan  kemedekaan diserahkan kepada UMNO dan rakan-rakannya dalam keadaan aman damai  pada tahun 1957. Tersirat dalam versi sejarah arus perdana ini seolah-olah UMNO-lah yang mempelopori perjuangan kemerdekaan.

       Versi sejarah arus perdana ini sekurang-kurangnya salah dari dua segi. Pertama,  salah dari segi tarikh permulaan perjuangan kemerdekaan. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bukan bermula  pada tahun 1946, tetapi  jauh lebih awal daripada itu. Kalau    penentangan pembesar Melayu seperti Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang dan Tok Janggut di Kelantan tidak kita masukkan dalam perbincangan ini, kita harus mengakui bahawa perjuangan untuk mencapai kemerdekaan  sudah pun bermula  selewat-lewatya pada tahun 1938, dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM), parti politik Melayu pertama yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

      Kedua, salah  dari segi parti  yang mempelopori atau yang  terawal memperjuangkan kemerdekaan. Yang sebenarnya KMM-lah parti yang mempelopori perjuangan kemerdekaan; bukan UMNO  dengan rakan-rakannya MCA  dan MIC. Perjuangan KMM kemudian disambung oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan  pada akhir  tahun 1945.  Dengan itu versi  sejarah arus perdana ini seolah-olah tidak mengiktiraf  peranan KMM dan PKMM, yang biasanya diistilahkan sebagai “gerakan kiri” dalam perjuangan kemerdekaan.

      Oleh yang demikian, sebagai koreksi kepada versi sejarah arus perdana ini, sudah sampailah masanya kita  memperkenalkan dan membincangkan peranan gerakan kiri pula dalam  perjuangan kemerdekaan. Walaupun  gerakan kiri bukan gerakan  yang berjaya mendapatkan kemerdekaan, tetapi gerakan kiri ialah gerakan yang mempelopori dan ikut memainkan peranan  dalam perjuangan kemerdekaan.  Oleh itu  peranan gerakan kiri juga wajar diberi pengiktirafan.

     Gerakan politik kiri bukan saja wujud pada peringkat nasional atau peringkat negara Malaysia, tetapi juga pada peringkat tempatan (daerah dan kampung). Gerakan politik kiri pada peringkat nasional, sudah banyak dikaji dan dibincangkan (lihat misalnya Ramlah Adam 2004; Mohamed Salleh Lamry 2006). Oleh itu, sudahlah sampai masanya kita memberi tumpuan kepada  gerakan politik kiri pada peringkat tempatan (daerah dan kampung) pula.

     Sehubungan itu, makalah ini ingin meninjau gerakan politik kiri pada peringkat daerah Hulu Langat dan kampung Jenderam, iaitu   daerah dan kampung di mana gerakan politik kiri yang aktif telah wujud   antara tahun 1946 hingga 1948 dahulu.
.
Gerakan Politik Kiri di Hulu Langat
Ahmad Boestamam (1972: 78-79) ada mencatatkan dalam memoirnya, “Memang  Ulu  (Hulu ) Langat punya keistimewaan sepanjang yang berkaitan dengan  gerakan kiri dulu. Bukan saja BATAS kuat di sana bahkan API, AWAS dan PKMM juga.” Catatan Ahmad Boestamam ini menunjukkan bahawa gerakan politik kiri memang  pernah muncul dan berkembang di Hulu Langat.

      Berdasarkan pemerhatian, gerakan politik kiri dipercayai mudah muncul dan berkembang di Hulu Langat kerana beberapa faktor, yang antaranya adalah seperti di bawah ini.

      Pertama, kedudukan daerah  Hulu Langat yang  agak hampir dengan Kuala Lumpur,  pusat  gerakan politik sejak sebelum  perang  dunia kedua lagi. Ini memudahkan pemimpin   pusat gerakan kiri yang tinggal di Kuala Lumpur berkunjung ke Hulu Langat untuk mengembangkan pengaruh gerakan itu. Oleh itu, penduduk Hulu Langat mudah melibatkan diri dengan gerakan kiri sejak permulaannya lagi. Misalnya, pada tahun 1938, apabila KMM ditubuhkan, sudah  ada penduduk Hulu Langat yang menyertainya. Salah seorang daripada mereka  ialah  Bakar Jali yang kemudiannya menjadi ketua PKMM  kampung Jenderam (Mohd.Nor Mohd.Amin, 1977/78).

      Kedua, penduduk  daerah Hulu Langat umumnya terdiri daripada orang-orang keturunan Indonesia, seperti juga pemimpin utama gerakan kiri. Mereka umumnya masih mempunyai hubungan dengan keluarga mereka di Indonesia, dan berminat terhadap gerakan politik radikal seperti yang terdapat di Indonesia (Mohd.Nor Mohd. Amin 1977/78). Ini memudahkan mereka menyokong gerakan politik kiri, apabila  pemimpin  dari pusat, yang umumnya terdiri daripada orang-orang ketururan Indonesia datang ke Hulu Langat untuk  mengembangkan  pengaruh gerakan itu.

     Ketiga, bagi sesetengah kampung, seperti kampung Jenderam yang  penglibatan politik penduduknya akan dihuraikan di bawah ini, pengaruh Indonesia memang begitu jelas, dan merupakan faktor utama yang memungkinkan  gerakan  politik kiri berkembang di kampung itu. Kebetulan  pengaruh dari Indonesia ini memang ditekankan oleh Stockwell (1979)  sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan politik radikal Melayu (gerakan kiri Melayu)  di Malaya antara tahun 1945-1948.

      Keempat, di daerah  Hulu Langat telah muncul beberapa orang pemimpin gerakan  kiri yang aktif dan berkebolehan,  yang namanya dinyatakan di bawah ini.

      Kelima, yang tidak kurang pentingnya ialah Kajang, ibu daerah Hulu Langat,  telah dijadikan ibu pejabat PKMM Selangor setelah  berlaku perpecahan dalam PKMM antara  kumpulan yang menyokong Dato’ Onn dengan kumpulan yang menyokong Dr.Burhanuddin  dalam isu penentangan terhadap Malayan Union. Ibu pejabat PKMM Selangor itu terletak di No. 24, Main Street, Kajang (Mohd.Nor Mohd.Amin, 1977/78: 45)

     Selepas itu, Kajang telah dipilih sebagai tempat kongres dan mesyuarat penting gerakan  kiri. Misalnya, pada bulan Oktober 1946, kongres  pertama  AWAS dan BATAS  Malaya telah diadakan di panggung wayang Sun, Kajang.  Kongres AWAS itu mencatat sejarah,  kerana dalam kongres itulah untuk pertama kalinya Kamarulzaman Teh, Ketua API  Pahang yang juga  seorang tokoh komunis Melayu di negeri itu,  menyatakan secara terbuka bahawa ia  berucap sebagai wakil PKM  (Shamsiah Fakeh, 2004: 46; Mohamed Salleh Lamry,  2006: 108).

      Pada tahun 1947 pula, ketika PKMM mengadakan kongresnya yang ketiga di Singapura, para perwakilan dari Zon Utara  (Perlis, Kedah, dan  Pulau Pinang) dan Zon Barat (Perak, Selangor dan Negeri Semblan) telah bertemu di Kajang untuk mengadakan mesyuarat persiapan bagi  menghadiri kongres  tersebut.  Jaafar Husin (1989: 40) perwakilan dari Pahang yang turut sama singgah di Kajang mencatatkan, “Kongres di adakan di tingkat atas sebuah kedai mamak dan barangkalinya menjadi Pejabat Parti Bahagian Kajang”.

      Peranan Kajang sebagai Ibu Pejabat PKMM Selangor dan tempat kegiatan penting seperti mesyuarat dan kongres ini tentu ada pengaruhnya terhadap perkembangan  gerakan politik kiri di daerah Hulu Langat.

      Oleh yang demikian, mulai awal tahun 1946 di kampung-kampung yang ramai penduduknya dan mempunyai orang-orang yang berkebolehan untuk memainkan peranan sebagai pemimpin, lahirlah cawangan PKMM, API, AWAS dan BATAS. Walaupun kita tidak memperoleh senarai kampung yang mempunyai cawangan gerakan kiri, tetapi antara kampung yang mempunyai cawangan gerakan kiri yang kuat termasuklah Sungai Long, Bukit  Raya, Sungai Serai  dan Jenderam (temu ramah dengan Yahya Nasim,   25 Jun 2008).

       Kemunculan    cawangan PKMM, API, AWAS dan BATAS di daerah  Hulu Langat boleh dikatakan seiring dengan kemunculan pemimpin-peinimpin yang aktif, yang menggerakkan  organisasi tersebut. Di sini pun kita tidak mempunyai rekod yang lengkap tentang siapa mereka dan ciri-ciri mereka. Namun, kemudiannya ada beberapa orang pemimpin dari daerah Hulu Langat  yang menduduki jawatan yang agak tinggi,  bukan saja pada peringkat cawangan, tetapi juga pada peringkat kebangsaan dan negeri, dan kerana itu  boleh diiktiraf sebagai pemimpin yang lebih penting.

      Dari kalangan pemimpin PKMM, salah seorang pemimpin dari daerah  Hulu Langat yang  menduduki jawatan penting ialah Yahya Nasim. Di samping menjadi Ketua PKMM Hulu Langat, dia juga menjadi Ketua PKMM Selangor dan menjadi Penolong Bendahari PKMM Pusat.  Beberapa orang pemimpin PKMM dari Hulu Langat juga memegang jawatan pimpinan pada peringkat negeri Selangor, iaitu   Bakar Jali (Ketua 2), Nawawi Haji Abdul Hamid (Setiausaha), Kassim Haji Sirat (Bendahari), Ustaz Yunus Yatimi (Badan Penerangan), Mustafa Yunus (Ahli Jawatankuasa) dan Sulaiman  Pandita (Ahli Jawatan kuasa).                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

      Dari kalangan pemimpin API, yang paling terkemuka ialah Khidir Ibrahim.  Dia menjadi  Ketua API  Hulu  Langat, di samping menjadi salah seorang pemimpin API Selangor.

      Bagi organisasi AWAS pula, salah seorang pemimpinnya yang terpenting ialah Aishah Haji Hussain yang berasal dari Hulu Langat dan pernah menjadi isteri Pak Sako (Ishak Haji Muhamad). Ia menjadi Ketua AWAS daerah Hulu Langat dan negeri  Selangor  dan  Bendahari AWAS Malaya. Sementara itu, beberapa orang pemimpin AWAS dari kampung Jenderam seperti Fatimah Haji Kassim, Rosnah  Mein, Mariam Jaafar, Hindon Tahir dan Zaharah Kasim, juga merangkap jawatan AJK AWAS  Selangor.

     Mengenai BATAS, Ahmad Boestamam (1972: 78) menganggap  bahawa  daerah Hulu Langat  ialah kubu BATAS yang terkuat di Selangor, dan ketuanya  ialah  Mohamad Sharif yang menjadi orang kanan kepada Musa Ahmad, ketua BATAS Malaya. Mungkin kerana ia berjambang, Yahya Nassim (temu ramah  25 Jun 2008)  menggelarnya sebagai  “Sharif Jambang”.

      Dalam tempoh kewujudannya yang agak singkat, dari tahun 1946 hingga 1948,  mungkin tidak banyak aktiviti yang sempat dilakukan oleh  cawangan PKMM, API, AWAS dan BATAS daerah  Hulu Langat. Namun, beberapa akivitinya yang penting boleh disenaraikan  seperti  di bawah ini.

      Pertama, menerima kedatangan pemimpin atau tokoh dari luar dan mendengar ceramah yang diberikan oleh pemimpin tersebut. Misalnya, pemimpin pusat seperti Dr.Burhanuddin, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Wahi Anuar, Musa Ahmad, Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Zainab Mahmud dikatakan sering berkunjung ke kampung Jenderam, salah sebuah pusat gerakan kiri yang terkuat di daerah  Hulu Langat.  Kedatangan mereka disambut dengan kemesraan oleh penduduk kampung tersebut (Mohd.Nor Mohd.Amin, 1977/78: 48-49).

      Kedua, mengadakan latihan ketenteraan untuk anggota API  dan anggota   PKMM serta AWAS yang terpilih.  Sebagaimana yang dilaporkan oleh pusat  perisikan British (Ramlah Adam, 2004: 224)  di  Hulu Langat  terdapat  sebuah  pusat latihan ketenteraan API,  selain daripada sebuah pusat lain di Singapura,   dan  pusat latihan tetap dan utama di Taboh Naning, Alor Gajah  dan   Tanjong Bidara, Melaka.

      Berdasarkan pengalaman  Aishah  Haji Khatib, bekas Ketua AWAS  Cawangan Bukit Raya yang diceritakannya kepada Aishah Ghani,  Aishah Ghani (1992: 33)  menceritakan dalam memoirnya   bahawa  orang yang menyertai latihan itu,

 “… dibawa ke dalam hutan  untuk menjalani latihan menggunakan senjata api dan menghadiri kursus-kursus sulit yang juga diadakan dalam hutan Sungai Long tidak berapa jauh dari Kampung Batu 10…Setelah  berlatih selama dua minggu mereka balik semula ke kampung. Latihan-latihan itu berjalan berterusan dari semasa  ke semasa.”

      Ketiga, mengadakan Kongres Tani  secara besar-besaran di kampung Jenderam pada 28 Mei 1948, tiga minggu sebelum Undang-Undang Darurat diisytiharkan. Walaupun kongres ini tidak dinamakan kongres nasional, tetapi ia dihadiri oleh  pemimpin gerakan  kiri yang penting, seperti  Dr.Burhanuddin,  Abdullah C.D. dan Shamsiah Fakeh.   Bersempena dengan kongres itu, satu perarakan BarisanTani yang mengandungi kira-kira 700 orang telah diadakan dari masjid kampung Jenderam selepas sembahyang Jumaat.  Bendera “merah putih”  dan “bendera  rakyat” turut dikibarkan dalam perarakan itu.

      Kongres Tani itu dikatakan bermula  pada pukul  tiga petang dan  didahului oleh ucapan oleh beberapa orang wakil badan-badan progresif, termasuk Parti Buruh dan Pembantu Indonesia  Merdeka (PIM). Kongres berakhir pada pukul lima petang. Pada sebelah malamnya telah diadakan pertunjukan sandiwara  yang bertemakan semangat  perjuangan oleh anggota PETA (Ikatan Pemuda Tanah Air) cawangan Jenderam (Mohd.Nor Mohd.Amin 1977/78: 49).

      Apabila Undang-Undang Darurat diisytiharkan  pada 20 Jun 1948, dan berikutan dengan itu parti-parti kiri  diharamkan oleh kerajaan penjajah Inggeris,  beberapa orang pemimpin dan anggota gerakan kiri dari daerah  Hulu  Langat  telah menyertai  perang gerila yang diterajui  oleh PKM.  Antara mereka termasuklah Khidir Ibrahim, Ketua API Hulu Langat yang terkorban di Hulu Selangor  (Ahmad Boestamam 1972: 79) dan Aishah Haji  Khatib, Ketua AWAS Bukit Raya, Hulu Langat,  yang kisah perjuangannya diceritakan dengan panjang lebar oleh Aishah Ghani dalam memoirnya  ( 1992: 32-35).

      Bagaimanapun, berbanding dengan penduduk kampung lain, penduduk kampung  Jenderamlah yang paling ramai menyertai perang gerila itu. Ini ditegaskan oleh  Wikipedia (http: ms.wikipedia.org/wiki/sejarah_komunis-di Selangor)  dengan kata-kata seperti berikut:

      Kebanyakan  pengganas komunis Melayu yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datang dari pemuda Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia.
/sejarah_komunis-di Selangor)  dengan kata-kata seperti berikut:

      Kebanyakan  pengganas komunis Melayu yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datang dari pemuda Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia.

bersambung dengan
"Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam"

1 ulasan:

Gambar lokasi rumah Bakar Jali.

http://inderasegara.blogspot.com/2011/09/tapak-rumah-bakar-jali-jenderam-hulu.html

Reply

Categories

Pengikut