SINDROM LUTUT BERGOYANG

SINDROM LUTUT BERGOYANG
oleh Tongkat Bahaman 
(http://tongkatbahaman.com)
Dr jeyakumar
Bila lutut bergoyang, otak akan jadi kimput, fikiran jadi kusut tidak menentu hingga tidak dapat berfikir bagi mencari jalan keluar kepada masalah yang dihadapi dengan bijaksana. Tidak cukup dengan tangkapan dan ancaman dari pihak-pihak yang berkuasa, gegak gempita seluruh dunia TV dan media yang ada. Di kerah juga segala hulubalang termasuk sibongkok dari gua hantu yang sedang khusuk bertapa supaya keluar menunjukkan silat pulutnya meskipun di atas kerusi roda sambil makan sekepal pulut yang dibekalkan tuannya. Tidak ketinggalan juga untuk mengampu para patriot yang di bawa dengan tongkang dari Tamilnadu.

Benar kata Marina Tun Mahathir Only those in fear would resort to such things.. we are behaving like a third world country or less”. Katanya lagi segala tindakan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap BERSIH versi 2.0 kali ini sama seperti yang telah dilakukan oleh diktator-diktator Dunia Ketiga yang pernah kita saksikan.

BERSIH versi 2.0 yang menjunjung 8 tuntutan murni agar mendapat perhatian ke bawah DYMM Yang diPertuan Agung sebenarnya telah mendapat publisiti yang cukup meluas. Kecuali orang-orang seperti sibongkok yang terkurung mindanya, rasanya tiada lagi rakyat yang tidak dikejutkan kali ini. Siang malam pagi petang gegak gempita gendang dipalu supaya menjauhi apa saja yang berwarna kuning. Yang pekak leka bertanya dan yang buta datang meraba. Silumpuh berpapah, yang tua bertongkat dan yang bisu ternganga-nganga. Semuanya hanya kerana gara-gara tuntutan supaya Pilihan Raya kita bersih dan adil.

Tidak ada orang yang baik akan menentang desakan agar Pilihan Raya kita bersih - Tiada penipuan dan tiada rasuah. Pilihan Raya yang bersih akan lebih menjamin kelangsungan keamanan yang sedang kita nikmati. Kerana kita sudah merdeka dan minda kita sudah maju maka kita tahu bahawa rasuah dan penipuan adalah kotor dan mesti dijauhkan. 
\
Bolehkah UMNO membawa kita menapak mencapai status negara maju sedang minda mereka masih terpasung di zaman Perang Dingin dengan propaganda persis penjajah dan fitnah keji yang bertimpa-timpa. Sudah berdamai (1989 dengan PKM) namun masih mahu mengungkit sengketa. Tidakkah ini manifestasi peradaban yang sangat rendah ? 

Demi untuk menghalang BERSIH versi 2.0 ini mereka mesti mencari satu dalil dan alasan yang besar meskipun kubur-kubur lama terpaksa dibungkar. Oleh kerana dalam politik tidak ada kebetulan, semuanya sebenarnya sudah dirancang awal termasuk Penahanan Dr. Jeyakumar. Mereka telah lama memasang getah untuk memerangkap Ahli Parlimen yang hanya memakai kasut jenama bata ini yang begitu lantang menentang dasar cukai baru GST yang akan menyiksa rakyat hingga beberapa kali dasar ini terpaksa ditangguhkan.

Kumpulan ini kecil dan kesannya barangkali tidak seberapa. Mereka ini boleh dikaitkan dengan anasir subversif dan komunis. Di bawah rahang ordinan darurat ini mereka juga boleh ditahan tanpa bicara selama 60 hari dan boleh juga didakwa dengan tuduhan yang tidak pernah terpikir selama ini.

Untuk mencipta bukti ia juga bukan suatu yang sangat sukar. Yang penting ia mesti diulang-ulang di media sebagai suatu perang psikologi. Mereka percaya otak manusia (kecuali yang berakal) akan menerima sesuatu yang diulang-ulang itu sebagai benar seperti isu skandal seks Anwar Ibrahim. Kerana ianya tidak benar maka ia perlu diulang-ulang di media, TV dan Berita Perdana setiap malam.
Jika tidak mahu menjadikan ISA itu tajuk berita yang boleh menghina kita di mata dunia maka Ordinan Darurat juga boleh digunakan. Alasannya ialah keselamatan dan alasan ini juga pernah menjadi projek penjajah dulu untuk menahan ribuan pemimpin-pemimpin kita yang progresif. Yang paling lucu dan melucukan sekali ialah boleh dituduh cuba memerangi DYMM Yang DiPertuan Agung pula!. Kalau ahli Parlimen Sungai Siput Dr. Jeyakumar yang sangat luhur itu mahu dituduh dengan tuduhan itu bukan sahaja seluruh rakyat tidak akan percaya malah mayat juga akan bangkit ketawa.

Beliau dinobat oleh Pandikar Amin Mulia speaker Dewan Rakyat sebagai ahli Parlimen contoh kerana keperibadiannya. Suaranya lembut dan sentiasa tenang - tiada amarah biarpun dia diselar dan dihina. Seluruh orang miskin di Sungai Siput adalah sahabat karibnya. Seorang Doktor Pakar dari keluarga berada tetapi hatinya telah diberi seluruhnya kepada rakyat yang terpinggir. Rumahnya tidak lebih cantik dari rumah seorang pekerja estate. Melawat yang miskin merawat yang sakit tak kira bangsa, berduit atau tidak !. Dia bekerja 365 hari dan tidak suka membuang masa dan boleh didekati siapa saja. Sejak mengambil alih kawasan parlimen Sungai Siput dari Samy Vellu pada pilihan Raya lalu, segala peruntukan kepadanya telah disekat oleh kerajaan (1 Malaysia). Peruntukan Pembangunan 1 juta lazimnya diterima oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia bertahun-tahun dinanti tidak kunjung tiba hinggalah dia membawa kes itu untuk di dengar di sidang “pengadilan….” Dia menjual AP sebuah kereta (yang diterima sebagai Ahli Parlimen) kepada seorang tauke Cina dengan harga RM40,000 dan dengan duit itu dibisikkan pada kawan-kawan untuk membina sebuah jambatan yang rubuh di Kampung Perjek Lasah, 45 kilometer jauh di pedalaman Pekan Sungai Siput. 18 bulan lamanya dia turut berlumpur di setiap hujung minggu membancuh simen, mengangkat batu dan membina konkrit tapak jambatan itu. Akhirnya Jambatan yang panjang 70 meter itu siap juga hanya dengan kos bahan bernilai RM75,000 sahaja. Tiada kos buruh yang dibayar kecuali nasi bungkus yang dibekalkan setiap kali beliau turun bersama kawan-kawan dan orang-orang asal di situ.

Tatkala sudah siap jambatan ini satu majlis perasmian telah diadakan pada bulan Februari yang lalu. Tetamu di sambut oleh kaum asal Temiang di sini dengan senyum hingga menampakkan gigi mereka yang tidak begitu tersusun seperti orang Kuala Lumpur. Dalam majlis itu, berbaris ketua-ketua Kampung orang asal keturunan Temiang ini memberi ucapan – panjang lebar. Setiap ucapan mereka memuji-muji dan menyanjung Dr. Jeyakumar. Mereka juga mengatakan bahawa mereka sangat takut dengan UMNO. Terpegun juga mendengar ucapan mereka penuh perasaan yang mengungkit isu tanah adat yang diambil oleh kerajaan. Jauh di dalam minda tersimpul fikiran bahawa mereka ini sebenarnya lebih berani dari “intelektual-intelektual Melayu” di Kuala Lumpur yang diselar Pak Samat baru-baru ini.
Hari ini tentu ada di kalangan mereka dari kaum Temiang ini menangis kerana Ahli Parlimen mereka sudah terkena getah yang dipasang khas untuknya sebagai satu alasan untuk melebel BERSIH versi 2.0 ini sebagai berniat jahat. Dia seorang doktor yang baik dan lurus tidak begitu faham sangat tentang getah ini kerana seharian dia sangat sibuk dengan tugas termasuk kelas tuisyen sebelah malam untuk anak-anak 100 peratus daripada mereka adalah anak orang-orang Melayu terpinggir dan miskin yang begitu ramai di kawasan Sungai Siput. 

Selepas ini, mungkin fabrikasi bukti-bukti akan kita lihat, didedahkan untuk dikaitkan dengan BERSIH versi 2.0 ini agar seluruh rakyat yang pekak, yang bisu akan terus tercengang dengan perangai jahat UMNO ini.

Baik yang pekak atau bisu atau yang sedang bertapa di gua, semuanya harus berhenti sejenak merenung nasihat DYMM Yang DiPertuan Agung supaya mengelak permusuhan dan menganjurkan perundingan. Inilah jalan yang terpimpin. Tegakkan kebaikan dan halang kejahatan supaya demokrasi yang diagung-agungkan memberi makna kepada kehidupan semua. Semoga pilihan raya yang akan datang bakal membawa lembaran baru buat rakyat Malaysia. Semoga perhimpunan mulia BERSIH 2.0 menuntut suatu yang murni pada 9 Julai ini tidak tercemar. Juga semoga tidak ada yang “menyusup …” untuk merosakkannya ….. !

Categories

Pengikut