MISTERI SEBUAH TUTUP KAWAH



Tutup kawah ini dipebuat daripada zink alumanium oleh tukang pembuat tin Kompeni Ke-21, Rejimen Ke-10 pada awal tahun 1980-an. Ia digunakan dengan dapur tak berasap buatan gerila. Saban hari ia berkhidmat untuk menyediakan makanan untuk seluruh pasukan.

Pada tahun 1986 Badan Intelijen Bersama telah melancarkan kempen kepung basmi besar-besaran ke atas Rejimen Ke-10 yang berpangkalan di Sukhirin. Pihak musuh telah mendapat maklumat tepat tentang kedudukan pasukan induk Rejimen Ke-10 yang terletak di muara yang mencantumkan dua batang sungai Air Teka yang menjadi pucuk Sungai Saiburi, sungai yang terpanjang di Selatan Thai.


Pihak Rejimen Ke-10 telah mendapat maklumat serangan musuh itu kira-kira awal seminggu. Setelah mendapat berita itu kami mengemas dan menyimpan barang-barang. Semua pekerjaan harian diberhentikan, ditumpukan kepada persiapan pertempuran. Kawan Abdullah C.D. bagi pihak badan pimpinan telah mengadakan mesyuarat militer dengan markas pengarah kompeni. Dalam perbincangan itu muncul dua pendapat. Satu pendapat mahu melakukan pertempuran bertahan. Kawan-kawan yang menyokong pendapat ini adalah mereka yang “gatal tangan” kerana pasukan induk tidak melakukan pertempuran secara langsung sejak tahun 1969. Mereka berpendapat peralatan tempur dan teknik tempur lebih meningkat, meriam kecil buatan sendiri pula sangat sesuai digunakan dalam pertempuran bertahan terutama menyerang musuh dikedudukan yang sukar ditembak dengan senapang biasa. Selain itu itu kubu dan parit perlindungan agak baik dengan dilengkapi sebuah terowong.

Satu pendapat lagi mahu mengambil taktik menyingkir, mengosongkan perkhemahan, mengelakkan pertempuran  di samping menggunakan berbagai jenis periuk api untuk memberikan sedikit perlawanan kepada musuh.

Setelah puas melakukan perbahasan, akhirnya badan pimpinan memutuskan untuk menerima pendapat kedua. Alasannya ialah pendapat kedua lebih sesuai dengan situasi masa itu kerana pihak Rejimen Ke-10 selalu mengadakan hubungan persahabatan dengan tentera Thai di kawasan-kawasan basis. Dengan ini pihak kami boleh mengelakkan konflik yang lebih tajam. Walau bagaimanapun mereka harus diberikan sedikit hentaman.

Malamnya, Pengarah Kompeni mengadakan perhimpunan darurat, memerintahkan seluruh pasukan bersiap sedia untuk beredar dari perkhemahan. Sebuah platun tempur dan satu regu pemasang periuk api juga telah dibentuk. Tugas mereka ialah melakukan serangan untuk mengganggu dan menarik perhatian pihak musuh. Sebelum tentera musuh tiba di perkhemahan, mereka telah diserang waktu malam oleh Platun Tempur manakala sebuah helikopternya ditembak rosak.

Seminggu selepas pasukan induk beredar, barulah tentera musuh menyerang perkhemahan itu dari 3 jurusan.  Di dalam perkhemahan kosong itu, sudah tersedia puluhan periuk api besar dan kecil menunggu kedatangan mereka.

Seorang pegawai tentera Thai yang menyertai serangan itu memberitahu bahawa mereka tidak berani berjalan di atas tanah ketika berada di perkhemahan tersebut. Mereka menebang pokok-pokok besar membentuk titian untuk berjalan.

Bagi pihak yang menyerang sudah tentu merasa sangat marah kerana walaupun hanya menawan kem kosong, mereka terpaksa membayar pengorbanan yang mahal. Sebab itu mereka merosakkan barang-barang yang ditemui. 2 buah kawah di dapur dipukul hingga pecah manakala tutup kawah ditikam dengan benet M16 sehingga berlubang-lubang.

Selepas tamat pertemputan, satu regu telah dihantar untuk meyiasat keadaan di perkhemahan tersebut. Regu tersebut menyimpan di tempat yang selamat. Setelah pasukan balik semula ke kawasan tersebut, tutup kawah itu diperbaiki untuk berkhidmat semula kepada pasukan.

Categories

Pengikut