DARURAT: APA PENDAPAT PENAJA REJIMEN KE-10

Abdullah C.D., penaja dan pemimpin Rejimen Ke-10
Kerana perjuangan menentang penjajah British terus berkembang sehingga tidak dapat dikawal lagi, maka pada 18 Jun 1948, penjajah British mengistiharkan undang-undang darurat di seluruh negara. Parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik (golongan kiri) semuanya diharamkan. Antaranya PKM, PKMM, PETA, AWAS, BTM, Hizbul Muslimin, New Democratic Youth League (NDYL), Kesatuan-kesatuan buruh dan lain-lain.

Pada 20 Jun 1948, penjajah British melakukan penangkapan secara besar-besaran ke atas kader-kader dan anggota-anggota parti atau pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik seperti PKM, PKMM dan lain-lain. Di antara mereka ada yang dipenjara, disiksa, dihukum gantung dan dibuang negeri.



Penangkapan besar-besaran itu telah memberkan pukulan yang paling berat ke atas kekutan patriotik-demokratik bahagian Melayu. 3 orang pimpinan penting bahagian Melayu PKM yang hadir dalam Kem Se-Malaya telah ditangkap. Kamarulzaman ditangkap pada 20 Jun 1948, saya ditangkap pada 10 Julai 1948 dan Rashid Maidin juga ditangkap dalam bulan yang sama. Mujurnya dalam pergelutan yang menentukan hidup mati itu saya berjaya melucutkan gari dan melepaskan diri; Rashid Maidin berjaya melarikan diri (dari penjara) pada tahun 1951 manakala Kamarulzaman yang pada mulanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati telah diubah menjadi penjara seumur hidup.

Rakan-rakan seperjuangan yang lain dalam PKMM dan PKM ramai yang menjadi mangsa penangkapan tersebut. Antara mereka termasuklah Ishak Hj. Mohd, Ahamd Boestamam, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikagu Muda, Cikagu Hamid, Ustaz Yahya Nasim, Taharuddin, Kamaruddin, Bizar Ahmad, Sutan Djenain, Khatijah Ali dan lain-lain. Ketika itu seluruh negara telah ditenggelami dalam suasana terror putih, penindasan dan penangkapan terus menerus berlaku di mana-mana.

Sungguhpun begitu, UMNO parti politik Melayu yang pro penjajah tidakmenjadi sasaran undang-undang darurat. Undang-undang tersebut disamping menekan parti-parti patriotik-demokratik yang memperjuangkan kemerdekaan juga meletakkan batu loncatan kepada UMNO untuk melompat ke panggung politik tanpa sebarang saingan. Mulai dari sinilah ia (UMNO) tampil ke muka sebagai pembela orang Melayu.


Dipetik dari:

ABDULLAH C.D.: DARURAT DAN KEMERDEKAAN, Nan Dao Publisher, 1998

Categories

Pengikut