REJIMEN KE-10: 30 TAHUN YANG HEROIK

Salah satu sebab penting mengapa pasukan Rejimen Ke-10 tak dapat dikalahkan, malah telah berkembang dan mendewasa hingga menambah beberapa buah pasukan penggempur ialah semangat heroism revolusioner yang telah diperlihatkan oleh kawan-kawan pimpinan, kader-kader angkatan lama serta pahlawan-pahlawan dan serikandi-serikandi Rejimen Ke-10 kita.



Selama 30 tahun ini , serangan musuh yang bertubi-tubi baik dalam sekil besar mahupun kecil dilancarkan ke atas Rejimen Ke-10, akan tetapi, kawan-kawan pimpinan serta seluruh perajurit Rejimen Ke-10 telah mengobarkan semangat tak takut mati, tak takut sulit serta bertempur dengan gagah berani untuk menangkis serangan-serangan musuh sehingga semua serangan gila-gilaan musuh dapat dihancurleburkan. Contoh-contoh tipikal ialah:

Kempen kepung basmi besar-besaran pada tahun 1949 telah diremuk redamkan dengan tindakan-tindakan militer kita. Serangan udara yang terbesar sekali dalam sejarah peperangan di Malaya di Ulu Kinta, Perak pada tahun 1954 tak dapat menjejaskan sehelai bulu roma kawan-kawan kita, pasukan kita menerobosi kepungan musuh mara ke utara Malaya dengan gagah perkasa. Serangan besar-besaran dari kaum reaksioner Malaysia – Thai pada tahun 1963 di kawasan sempadan telah ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang telah ditetapkan kerana menderita kerugian-kerugian yang besar. Serangan besar-besaran untuk menyerang pasukan penggempur Rejimen Ke-10 yang bergerak cergas di Ulu Kelantan pada awal tahun 1975 juga menderita kegagalan yang memalukan setelah pasukan penggempur kita berturut-turut kali melancarkan serangan balas terhadap pos musuh dan rondaan bot musuh dan lain-lain. Kempen serangan “Cahaya Bina Kedua” pada tahun 1977 di kawasan sempadan terpaksa ditamatkan setelah menerima pukulan-pukulan periuk api tentera kita dan lain-lain. Kesemua ini telah membuktikan bahawa tentera rakyat yang dipimpin oleh parti politik proletariat dan mendapat sokongan rakyat serta mempunyai semangat kepahlawanan revolusioner itu adalah tak tertaklukkan.

Pada komander dan perajurit Rejimen Ke-10 telah mendemonstrasikan semangat gagah berani dan tenang dalam pertempuran-pertempuran. Dengan menggunakan taktik yang tangkas dan cergas, pasukan Rejimen Ke-10 telah banyak mencapai kemenangan-kemenangan dalam pertempuran-pertempuran. Dalam pertempuran serangan hendap pada 5 Ogos 1949, 3 platun perajurit baru di bawah arahan langsung Kawan Abdullah C.D. telah Berjaya membasmi satu platun tentera upahan penjajah (17 ditawan hidu-hidup dan dibebaskan dengan selamat) dan merampas 22 laras senjata. Atas kemenangan yang besar itu, Markas Agung Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah menyampaikan Perintah Kepujian yang pertama dalam Perang Anti-British kepada pasukan Rejimen Ke-10. Dalam pertempuran di kebuh getah Bukit Kuin, Kerdau, Pahang pada 30 September 1949, kawan-kawan kita mengejar dan menerkam askar British bagaikan sang harimau sehingga askar-askar penjajah itu lari terbirit-birit. Dalam pertempuran Bukit Chempedak pada bulan Julai 1949, kawan-kawan Rejimen Ke-10 telah melakukan pertempuran bertahan dan berundur kemudian melakukan serangan mendadak pula ke atas musuh, banyak askar penjajah berbangsa Australia dibasmi. Serangan kilat lagi cerdik ke atas pos kawalan musuh di Kampung Balok, Pahang yang dilakukan oleh Platun 5 dibawah pimpinan Manap, kawan-kawan kita yang menyamar sebagai askar musuh dengan menaiki bas, kemudian turun di depan pos musuh lalu merampas 6 laras senjata. Pada tahun 1950, selama 6 bulan satu platun Rejimen Ke-10 di bawah arahan langsung Kawan Abdullah C.D. melakukan berbagai bentuk serangan dari Pahang selatan ke Pahang timur sampai ke sempadan Terengganu, telah berjaya menewaskan 120 orang musuh serta merampas 69 laras senjata. Pada tahun 1954, satu seksyen kawan-kawan telah melakukan serangan hendap di tepi Sungai Sekam, Cameron Highlands ke atas 160 orang askar musuh bangsa Inggeris. 40 orang askar dibunuh mati dan banyak lagi yang dicederakan.

Di kawasan sempadan, pasukan Rejimen Ke-10 juga banyak kali melakukan pertempuran yang menang, seperti pertempuran bertahan di Bukit Rambutan, pertepuran bertahan di Bukit Tuel dan lain-lain. Pertempuran di Bukit Tuel ialah mempertahankan perkhemahan daripada serangan askar reaksioner Malaysia – Thai dan telah mendapat Perintah Kepujian dari Markas Besar Kawasan Ketenteraan Pertama. Pada tahun 1972, Rejimen Ke-10 telah mematahkan kempen kepung basmi dari tentera kaum reaksioner Malaysia – Thai sehingga kempen tersebut mengalami kegagalan yang memalukan.

Sederetan lagi contoh teladan dari kawan-kawan Rejimen Ke-10 yang bertempur dengan gagah perkasa dan bijak seperti dalam pertempuran di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang pada tahun 1948. Pahlawan Nordin telah memandu kawan-kawan menyerbu melawan berpuluh-puluh musuh dan menyelamatkan 2 orang kawan yang luka-luka. Pada awal tahun 1949 ketika Pahlawan Manap seorang diri diserang hendap oleh 150 orang askar musuh di tebing sungai Pahang, beliau dengan pantas melemparkan bom tangan terhadap musuh, kemudian segera melompat ke atas tebing sambil menembak musuh dengan pistolnya sambil berlari di celah-celah musuh dan merempuh keluar kepungan dengan selamat. Pada tahun 1950, Ketika Kawan Abu Samah seorang kader parti yang penting bersama kawan-kawan utusan diserang hendap oleh musuh, kawan-kawan lain semuanya telah terkorban; Kawan Abu Samah segera menyelamatkan semua risalah dan barang-barang penting organisasi dan bertempur dengan seorang tentera semut berjam-jam lamanya di dalam tumpukan lalang, akhirnya dapat mengundurkan diri dengan selamat dengan berlindungkan tabir malam. Pada tahun 1952, Kawan Abu Samah bersama seorang lagi kawan memasuki rumah yang sedia dikepung oleh 120 orang askar musuh yang mencurahkan tembakan secara gila-gilaan dari empat jurusan ke atas rumah itu. Waktu turun anak tangga terakhir, Kawan Abu Samah telah diterkam peluk oleh seorang musuh. Dalam pergelutan itu, seorang musuh yang lain menghentak pinggangnya dengan buntut senapang lalu rebah dan terlepas dari pelukan musuh. Dengan peluang ini, Kawan Abu Samah melemparkan sebiji bom tangan ke arah musuh. Di tengah-tengah jeritan dan kepanikan musuh, Kawan Abu Samah dan seorang lagi perajurit dengan pantas meluluskan diri dari kepungan rapat musuh dengan selamatnya. Kader parti yang terpuji, Kawan Rosli ketika gugur dengan mulianya di lembah Sungai Pergau pada bulan Mei 1970 muncung senapangnya masih berkepul-kepul.

Pada tahun 1949, Kawan Mat seorang kader parti yang berteladan ketika ia dan beberapa orang kawan lain terkepung oleh 200 orang musuh dalam belukar di Muar, Johor, telah bertempur dengan gigih dan tabah selama 2 hari 2 malam dan telah Berjaya membasmi 60 orang lebih musuh sebelum ia terkorban dengan mulianya bersama 2 orang kawan lagi. Pengorbanan kader parti Kawan Hidzir kerana luka parah, kakinya patah, maka ia menggesa kawan-kawan lain supaya cepat berundur. Pada saat askar-askar musuh datang mengepungnya, ia mencabut pin bom tangan lalu membasmi beberapa orang musuh dan Kawan Hidzir juga terkorban dengan perwiranya dalam bunyi letupan yang menggegarkan bumi itu. Pahlawan Yadin juga memperlihatkan semangat yang luar biasa gagah berani dalam pertempuran. Dalam pertempuran di Jalan Chenor . Tindakan pahlawan Yadin yang gagah berani melompat keluar ke jalan raya untuk membasmi saki baki musuh, barulah seluruh pertempuran diselesaikan. Pada tahun 1953, ladang tentera kita di Kuala Kerdau, Pahang telah diserang musuh. Serikandi Hitam telah bertempur dengan gagah berani sampai nafas yang terakhir dengan membasmi sejumlah musuh. Serikandi Zahura ketika gugur dalam pertempuran di kawasan sempadan pada tahun 1960, muncung raifelnya masih berasap, banyak musuh telah dibasmi olehnya. Kisah-kisah pahlawan dan serikandi ini tetap terpahat dalam ingatan kita, jasa-jasa kepahlawanan mereka akan berkilau-kilauan di dalam sejarah Rejimen Ke-10 buat selama-lamanya.

Sumber: 30 TAHUN YANG HEROIK - Jilid 1, 1979

lihat juga:



Categories

Pengikut