IBU SURIANI DENGAN SELIMUT 40 PENAMPUNG

Kawan Suriani sedang menyampaikan ucapan
Bagaimanakah kehidupan para pemimpin dan perajurit Rejimen Ke-10? Setiap anggota Rejimen Ke-10 berbagai peringkat tidak hanya dididik dengan semangat berjuang dengan tak kenal susah payah demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat, tetapi juga diasuh dengan langgam hidup sederhana dan berjimat cermat. Tulisan Ibu Suriani yang dipaparkan dibawah mencerminkan keadaan nyata para komander dan perajurit Rejimen Ke-10. Tulisan ini pernah dimuatkan dalam penerbitan Rejimen Ke-10 dan juga dimuatkan dalam Memoir Ibu Suriani yang bertajuk SETENGAH ABAD DALAM PERJUANGAN



Pameran yang Bererti Sejarah

Pada tahun 1970 dan 1971 kami adakan pameran kenang-kenangan sejarah secara berasingan. Dalam gerakan ini, kawan-kawan pimpinan, kawan-kawan kader dan kawan-kawan mempamerkan barang-barang kenangan yang mewakili sejarah perjuangan yang ditempuhi masing-masing. Abdullah C.D. mempamerkan sebuah wisel yang dirampas dalam pertempuran di Jalan Chenor, Temerloh, Pahang pada 5 Ogos 1949. Wisel tersebut telah membawa fikiran mengenang kembali sejarah pertempuran tersebut, yang dilakukan oleh para komander dan perajurit Rejimen Ke-10.

Saya mempamerkan sehelai selimut yang memiliki 40 penampung dengan judul Gebar Yang Mulia, Gebar Yang Bahagia. Ketika dipamerkan selimut tersebut berusia 22 tahun 4 bulan. Bersama selimut tersebut saya mencatatkan sedikit sejarah yang dilaluinya:

Gebar ini telah berusia 22 tahun 4 bulan lamanya, namun warnanya sedikit pun tidak luntur. Walaupun 40 lubang ditampung, tapi itu adalah tampungan yang mulia! Tampungan yang bahagia!

Gebar ini mulia kerana: 1. Ia mempunyai kebanggaan revolusioner yang tak terhingga, perjalanannya dari paling hujung selatan Malaya sampai ke sempadan Malaya - Thai di utara; ia pernah dibawa mendaki kemuncak Gunung Cameron Highlands, tempat kapal terbang musuh berlegar-legar. Ia pernah dibawa menyeberangi 2 batang sungai terbesar di tanah air - Sungai Pahang dan Sungai Perak, dibawa mendaki ribuan bukit bukau, dibawa mengharungi ribuan sungai, bersama-sama dengan senapang kejat-kejat di tangan, hutan rimbalah gelanggang perjuangannya. 2. Gebar mulia ini telah ikut menyaksikan banyak ujian dan tempaan yang dahsyat seperti serangan musuh besar-besaran, terputus hubungan dengan parti, melawan kebuluran, melawan sakit teruk dan lain-lain ujian. 3. Gebar mulia ini juga ikut menyaksikan perajurit-perajurit kita telah lulus ujian dan lain-lain dalam gelombang pasang dan gelombang surut revolusi. Ia juga telah menyaksikan betapa kita bergelut untuk lulus dalam perjuangan di luar dan di dalam parti!"

"Gebar ini bahagia kerana ia menyaksikan bagaimana kita memikul tugas parti yang berat tapi mulia, dan menerima pupukan parti yang tak putus-putus serta mendapat perhatian parti yang paling mesra dan paling mendalam".

Selimut itu mewakili suatu sejarah perjuangan yang mulia. Kami berjuang untuk tanah air, untuk rakyat. Setiap pejuang sejati haruslah memiliki watak dan langgam hidup sederhana dan berjimat cermat di samping semangat yang tinggi dan tekad juang yang teguh. Selimut tersebut justeru mencerminkan langgam tentera rakyat yang sejati serta mencerminkan ideologi kelas proletariat, tidak bejat, boros dan membazir yang dimiliki kaum borjuis kelas kapitalis.

catatan oleh Ibu Suriani Abdullah

Categories

Pengikut