SERIKANDI ROZIAH BERJUANG DENGAN GIGIH, BERKORBAN DENGAN PERWIRA



Bulan Julai 1948, kaum penjajah memperhebat penangkapan di mana-mana, letupan senapang menentang penjajah bergema di merata pelusuk Pahang. Ketika itu Abdullah C.D. dipanggil balik ke Temerloh oleh organisasi PKM untuk menggantikan Kamarulzaman Teh yang telahpun ditangkap musuh. Kawan Roziah dan kawan-kawan lain terpaksa membenarkan Abdullah C.D. bertolak meninggalkan Benta dengan hati yang amat berat. Untuk menjaga keselamatan Abdullah C.D., abang Roziah bernama Kudin secara sukarela menawarkan diri menjadi pengawal. Kebetulan ketika itu dia memiliki selaras senapang patah.



Malang tak berbau. Kerana pengkhianatan Ketua Kampung Peruang, rombongan Abdullah C.D. telah disergap musuh. 14 orang telah ditangkap termasuk Abdullah C.D. dan Kudin. Dalam saat begini, Roziah tahu betul, perjuangan akan lebih rumit dan kusut masai, musuh sudah pasti memperhebat penangkapannya ke atas orang ramai. Roziah segera mengemaskan semua buku-buku dan alat-alat kelangkapan rahasia yang tersimpan di rumahnya ke suatu tempat yang selamat.  Beberapa hari selepas itu, Roziah mendapat berita pula yang Abdullah C.D. dan seorang kawan telah dapat melepaskan diri manakala abangnya dan pemuda-pemuda lain telah ditahan.

Tepat seperti mana dugaan Roziah, beberapa hari selepas penangkapan di Ulu Dong itu, seramai 12 orang polis datang menggeledah rumahnya tapi tidak mendapat apa-apa kerana semuanya sudah disampan dengan selamat oleh Roziah. Kerana hilang akal, polis-polis itu mengugut untuk membunuh Roziah. Akan tetapi Roziah mengumpulkan wanita-wanita revolusioner di situ mengadakan perlawanan. Polis-polis itu menjadi semakin marah. Sambil mengacukan muncung senapang kearah Roziah dan wanita-wanita revolusioner itu, musuh menuduh Roziah sebagai ketua komunis dan pemudi lainnya sebagai penyokong komunis. Roziah dan pemudi revolusioner itu mencabar musuh “kalau berani tembak kami di sini juga”. Musuh yang gagal itu beredar dengan perasaan hampa di iringi sorak pekik “berambuslah anjing buruan penjajah” dari pemudi-pemudi revolusioner tersebut. Ini adalah kemenangan pusingan pertama kaum wanita revolusioner Peruang. Penduduk-penduduk revolusioner di situ amat terberangsang kerananya.

Pada akhir tahun 1948, satu rombongan perajurit Melayu datang ke kampung tersebut untuk membentuk pasukan dan pangkalan gerila. Akan tetapi kerana keperluan kerja, sehingga bulan Julai 1949 barulah Kawan Roziah diterima masuk pasukan sebagai perajurit Tentera Pembebasan. Di dalam pasukan, Roziah memperlihatkan semangat perjuangan yang tinggi, tekun berlatih, rajin bekerja. Dendam kesumat terhadap kaum penjajah dan ajing-anjing buruannya semakin menyala-nyala. Dalam masa yang sama, Ketua Kampung Peruang yang menjadi anjing penjajah telah ditembak mati oleh pasukan lasykar rakyat.

Kaum penjajah semakin mengganas ke atas penduduk kampung. Orang kampung terutamanya lelaki satu demi satu ditangkap dan disiksa oleh kaum penjajah. Akhirya kebanyakan lelaki terutamanya para pemuda telah ditangkap musuh. Akan tetapi kaum wanita yang teguh tak berganjak mengambil alih peranan lelaki. Ketika musuh datang menggeledah, mereka berhimpun beramai-ramai menentang keganasan askar dan polis musuh.

Di bawah syarat-syarat yang amat sulit itulah, mereka membekalkan barang-barang perbekalan, mencari maklumat dan lain-lain untuk pasukan gerila. Kerana tak dapat menundukkan semangat mereka, akhirnya kaum penjajah telah menghalau semua penduduk Kampung Peruang ke dalam kampung berkurung Lamai, Pekan, Pahang.  Pindah paksa juga tak dapat menundukkan semangat mereka. Di Lamai, mereka mencari hubungan dengan pasukan gerila yang bergerak di daerah sana.

Kawan Roziah bersama kawan-kawan lain berkhidmat dalam regu penyusun massa Rejimen Ke-10. Mereka sentiasa berpindah dari satu tempat ke satu tempat menyusun massa rakyat dari satu kampung ke satu kampung. Di dalam perjuangan yang berat, mereka pernah menempuh dan menggagalkan serangan-serangan musuh yang berulang-ulang, pernah juga menderita pengkhianatan ejen-ejen dan anjing buruan penjajah. Semua ini  dilalui oleh kawan Roziah dengan tenang dan tabah. Kawan Roziah cukup kenal orang ramai terutamanya kaum tani semuanya adalah revolusioner, mereka semua hendak berevolusi demi kemerdekaan tanah air. Namun demikian di kalangan orang ramai terdapat juga segelintir kecil anasir-ansir jahat yang sentiasa menunggu kesempatan untuk mengkhianati revolusi dan mengancam keselamatan kawan-kawan. Oleh sebab itu Kawan Roziah sangat tinggi pengawasan politiknya.

Pernah pada suatu kali, ejen  musuh di salah satu kampung melakukan komplotan hendak memerangkap mereka. Kerana itu, Kawan Roziah telah menasihatkan 2 orang kawan supaya jangan pergi ke rumah tersebut. Akan tetapi 2 kawan tersebut tidak menerima pendapatnya. Maka berlakulah pertempuran di rumah tersebut. Musuh menyerbu dengan disertai hujanan tembakan, seorang kawan gugur manakala seorang lagi dapat meluluskan diri. Tuan rumah ejen musuh itu juga terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Di dalam perjuangan, kaum penjajah tidak berhasil menimpakan kemalangan besar kepada pasukan gerila melalui pertempuran  besar-besaran atau dalam serangan-serangan ketenteraannya. Oleh itu musuh tak putus-putus menghantar intelijen-intelijennya ke kampung-kampung untuk merosakkan organisasi massa dan pasukan gerila. Dalam suatu peristiwa, kawan Roziah bersama beberapa orang kawan pergi memunggah barang-barang di salah satu kampung. Seorang ejen musuh yang menyamar orang baik telah mengkhianti mereka. Dalam pertempuran yang sengit itu, 2 orang kawan gugur, tetapi Roziah bersama seorang lagi dapat meluluskan diri.

Pada suatu hari, gerup Kawan Roziah terjatuh lagi ke dalam perangkap musuh akibat pengkhianatan seorang ejen musuh yang licin. Dalam peristiwa inilah Kawan Roziah telah gugur dengan mulianya. Kawan Roziah telah mendermakan seluruh jiwa raganya dalam perjuangan menghalau kaum penjajah British untuk kemerdekaan ibu pertiwi.

Abadilah Serikandi tanahair, Kawan Roziah. Semangat perjuanganmu memberikan kekuatan raksasa kepada perjuangan rakyat tanah air kita selanjutnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh serikandi. 


---

ROZIAH: SERIKANDI PAHANG UTARA


baca juga:

Categories

Pengikut