SANGGAHTOKSAGOR.COM: Abdullah CD atau Che Dat: Anak jati Lambor, Parit Perak yang menggerunkan 'nafsu serakah' penjajah British

Abdullah CD atau Che Dat: Anak jati Lambor, Parit Perak yang menggerunkan 'nafsu serakah' penjajah British

Tarmizi menerima tiga buah buku Memoir Abdullah CD daripada Che Dat di rumahnya

Kenangan: Che Dat, Suriani bersama Ching Peng ketika bergerak aktif dalam PKM -
Rejimen ke-10 TRM
Di tengah-tengah itu ialah Bung Hatta Yaakob, 75, bekas anggota Rajimen ke-10

Mengiringi Che Dat ke rumahnya dari kantin makan sarapan pagi di sebelah rumah tamu sambil menceritakan beberapa tempat pertempuran di kawasan ini
Tarmizi menulis buku pelawat di rumah Che Dat


Kedatangkan saya ke rumah pejuang kemerdekaan tulen yang juga bekas Pengerusi Partai Komunis Malaya (PKM), Abdullah CD atau Che Dat (gambar kanan) di No 54M. 13 Ban Chulabhorn Pataya 12, T.Sukhirin, C. Narathiwat, Thailand disambut dengan senyum lebar. Barangkali, beliau telah diberitahu terlebih dahulu oleh Bung Ishak Surin tentang saya "orang sekampung" dengan Che Dat akan tiba sebentar lagi. Kami masing-masing anak Lambor, Parit, Perak.

Che Dat dalam bukunya "Zaman Pergerakan Sehingga 1948" ada menulis beliau berasal dari keturunan Maharaja Lambor. Dan beliau juga "cucu-cicit" Dato Sagor, pahlawan terbilang yang menghentak penjajah Bristih di tebing Sg Perak.

Saya menaiki kereta berasingan dengan Bung Ishak; YDP PAS Bukit Bintang, Radhi Hashim dan Ali Maidin. Mereka menaiki kereta Ali, diiringi oleh Pak Akob atau Yaakob Ibrahim, 54, orang kanan Cik Dat sekarang. Ali Maidin bukanlah ada kena mengena dengan Abdul Rashid Maidin tetapi berkebetulan nama ayah mereka serupa. Rashid Maidin orang Sg Manik, Perak. Sementara Ali Maidin orang Tampin, Negeri Sembilan.

Saya bersama Pak Anas atau Anas Indera Jaya, iaitu menantu Cik Dat, anak Abdullah Sudin. Pak Anas berkahwin dengan Karimas, satu-satunya anak Che Dat hasil perkongsian hidupnya dengan wanita Tionghua bernama Eng Miing Ching atau nama Islamnya Suriani Abdullah.

Sepanjang perjalanan kira-kira selama satu jam dari Pekan Golok menuju Sukhirin, banyak cerita yang dipesankan kepada saya. Pelbagai soalan juga diajukan bagi mencungkil sejarah silam, yang bagi saya amat berharga untuk dicerahkan semula. Terdapat kira-kira 12 pos tentera yang berkawal sepanjang jarak 60km itu. Ini kerana Wilayah Naratihiwat, Songkla dan Petani kini dalam perintah dharurat.

Deligasi Bung Ishak Surin, hanya memberanikan diri untuk menemui Che Dat, dalam keadaan gawat di Selatan Thai itu. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan yang menerujakan itu, tiada perkara yang tidak diingini terjadi. Sambil tersenyum girang, Che Dat menghulurkan tangan bersalam dengan saya, sebaik melangkahkan kaki masuk ke rumahnya. Di situ telah ada Cikgu Ishak, Ali, Radhi dan Pak Akob serta Karimas.

"Apa habo orang Lambo?" tanya Che Dat mengusik saya. "Alhamdulillah baik semuenye..." saya menjawab dalam loghat Parit.

Che Dat (gambar kiri) dilahirkan 2 Oktober 1923 di Kg Lambor Kiri, Parit, Perak. Bersebelahan dengan kampung saya, Kg. Lambor Kanan. Sungai Perak yang sarat dengan sejarah perjuangan telah memisahkan kedua kampung ini.

Kata Che Dat, ibunya sangat bekehendakkan anak lelaki setelah dikurniakan seorang anak perempuan. Keluarganya sudah merancang nama anak itu nanti ialah "Dat". Atas keinginan inilah maka apabila beliau lahir, dia dinamakan "Che Dat".

Ceritanya lagi, ada dua kemungkinan dengan kelahiran beliau waktu itu. Satu, umurnya tak panjang dan kedua, dia akan menimbulkan banyak masalah di kemudian hari. Ini ekoran sewaktu ibunya mengandungkan beliau, sang belang selalu menghampiri rumahnya dan ia menggemparkan jiran-jirannya.

"Mereka hairan macam mana harimau boleh sampai ke tengah-tengah kampung yang jauh daripada hutan," ujar Che Dat.

Ayah Che Dat bernama Anjang Abdullah bin KUlop Ali. Kata orang-orang tua Lambor, ayahnya keturunan Maharaja Lambor yang berasal dari Sumatera, Indonesia. Maharaja Lambor ialah pengasas dan orang yang membuka Lambor di Parit, Perak.

Datuk Che Dat, ialah Kulop Ali bin Panjang Limpai dan menjadi Ketua Kg Lambor Kiri. Che Dat tak ingat pula nama opahnya. Hasil perkahwinan itu, mereka ada lapan anak iaitu Long Fatimah; Anjang Abdullah (ayah Che Dat); Pandak Abu Samad; Jumaat; Lahinmat; Itam Kanda; Chu Repah dan Che Lah.

Mak Che Dat bernama Halimah bin Itam Kohor, keturunan Tok Makmor yang berasal dari Bugis. Tok Makmor diriwayatkan sebagai antara sembilan adik-beradik lanun Bugis yang bersemenda dan menetap di sepanjang Sg Perak.

Datuk sebelah mak Che Dat ialah Alang Suri. Mereka mempunyai dua orang anak iaitu Halimah dan Jumaah. Alang Suri pernah menjadi Ketua Kg Sena di Lambor Kiri.

Cerita Che Dat, ayahnya sangat membenci (getik) dengan Inggeris. Dia pernah terlibat dalam gerakan menentang Inggeris secara rahsia di Perak yang dipimpin oleh Raja Chulan pada 1930-an.

Ayahnya bercerita padanya, kumpulannya ada banyak ahli terdiri daripada orang Melayu dan Tionghua. Mereka gunakan isyarat sulit untuk mengenali sesama sendiri dan nbekerjasama antara satu sama lain.

Tetapi kumpulan ini telah diharamkan oleh Inggeris, kata Che Dat. Sultan Perak umumkan pengampunan terhadap orang-orang melayu dalam kumpulan ini. Maka ramailah orang pergi ke Kuala Kangsar mengadap Sultan dan barulah diketahui bahawa kebanyakan orang lelaki di sepanjang Sg Perak menjadi anggotanya.

Setelah datuk Che Dat (Itam Kohor) sakit lumpuh, ayahnya pula dilantik menjadi Ketua Kampung Sena.

"Jemputlah minum," tiba-tiba suara Karimas menerpa. Pelbagai soalan Bung Ishak, Ali dan Radhi disulam dalam celah-celah kerancakan Che Dat bercerita tentang asal-usulnya di Lambor.

Saya akan menukil apa jua yang terfikir dan tercatat dari masa ke semasa dalam blog ini. Dulu saya menyangkakan Dato' Sago ialah orang Kg. Gajah. Rupa-rupanya anak Lambor jati, tempat kelahiran saya. Agaknya, sebab itu hati kecil saya terdetik untuk menamakan blog ini "SanggahTokSago". - bersambung

(disalin dari  http://sanggahtoksago.blogspot.com)

Categories

Pengikut