PASUKAN HANG JEBAT BEDAL PASUKAN HANDALAN INGGERIS DI SUNGAI SEKAM

PASUKAN HANG JEBAT BEDAL PASUKAN HANDALAN INGGERIS DI SUNGAI SEKAM

Abu Samah Mohd. Kassim
Nampaknya serangan kempen kepung basmi musuh akan terus perpanjangan dan memungkinkan pasukan akan menunggu lama lagi bagi meneruskan perjalanan strategiknya. Masalah yang penting dihadapi ialah tentang makanan pasukan yang ramai jumlahnya itu. Oleh yang demikian, pihak pimpinan menugaskan saya keluar untuk meninjau ladang-ladang dan hasil pengeluarannya dan sekaligus memandu kawan-kawan dan Orang Asli  menyelamatkan sekoi dan jagung yang sedang masak itu.

Pada 25 Januari 1954, saya bersama 18 orang kawan bertolak keluar dari perkhemahan menuju ke ladang pertama di sebuah bukit yang tidak jauh dari Sungai Sekam lalu berkhemah di sana. Pada 26 Januari setelah regu peronda yang menyiasat balik melaporkan bahawa keadaan di ladang itu tiada musuh, maka dihantarlah kawan-kawan dan Orang Asli mengutip jangung dan sekoi secara kencang, kemudian dipungah ke tempat simpanan dekat perkhemahan sementara.


Pada pagi 27 Januari, dihantar regu peronda menyiasat di beberapa bahagian penjuru ladang. Di satu penjuru, anggaran 100 meter dari ladang, regu peronda terterjah betul-betul di tengah-tengah perkhemahan besar musuh. Askar-askar musuh sudah keluar menghendap di ladang, mungkin juga ada askar-askar yang tinggal, tetapi kerana kawsan perkhemahan itu agak luas, kawan-kawan tidak nampak musuh di situ. Di perkhemahan kita, kawan-kawan dan Orang Asli sudah sedia untuk turun ke ladang mengutip jagung dan menuai sekoi.

Apabila regu peronda sampai balik melaporkan bahawa angaran 100 meter dari ladang ada perkhemahan musuh yang besar dan ramai anggotanya, manakala dalam ladang ada musuh melakukan hendapan. Oleh kerana perkhemahan terletak hanya 150 meter sahaja dari ladang, sedangkan jalannya besar, banyak pula kesan-kesan kaki yang baru-baru lagi kerana semalamnya berulang alik memunggah hasil tuaian, maka pastilah akan ditemui dan dikesani oleh musuh sehingga ke perkhemahan. Saya segera memerintah kawan-kawan berkemas dan mengambil keputusan menyerang hendap musuh di jalan hadapan pondok kawalan. Kedudukan kami sungguh sangat baik dan menguntungkan. Satu kumpulan musuh betul-betul sampai ke tepi ladang kawasan tanahnya becak dan nampak dari kedudukan kawan-kawan yang menyerang hendap itu. Kerana musuh nampak banyak kesan-kesan kasut dan tak berkasut, maka askar musuh itu tak berani menaiki anak bukit tempat kita menghendap itu, lalu mereka berundur balik ke ladang. Kami menunggu hingga sampai pukul 3.00petang, tetapi musuh tak berani mara.

Kerana tak dapat melakukan pertempuran dan tak dapat meneruskan kerja menuai sekoi dan mengutip jagung, maka dalam perbincangan telah diputuskan menghantar sebahagian kawan balik ke pasukan, khasnya kawan-kawan wanita bersama-sama dengan Orang Asli yang diketuai oleh Rosmah (Zaleha Mat Roni) membuat laporan kepada pimpinan. Manakala saya bersama 12 orang beserta 3 orang lasykar rakyat Orang Asli bergerak menyusuri Sungai Sekam untuk mencari tempat untuk melakukan serangan hendap ke atas musuh.

Tepat pukul 9 pagi, 28 Januari 1954, kita sudah siap mengatur barisan dan kekuatan tenaga di atas tebing sungai yang amat strategik  itu. Oleh kerana pada malamnya, lasykar rakyat Orang  Asli berulang-ulang kali meminta dibenarkan pergi menyuluh katak, ini menyebabkan  160 orang pasukan Golden British yang dipandu oleh beberapa orang askar yang terdiri daripada Orang Asli (bakal pengasas kepada Senoi Praq) cukup berhati-hati dalam perjalanannya. Pengakap depannya tak putus-putus memberikan isyarat, berjalan beberapa langkah berhenti memandang ke atas tebing kiri dan kanan sungai, begitulah seterusnya. Ini kerana musuh terjumpa kesan-kesan baru di sepanjang jalan khasnya habuk karuk (penyuluh) lasykar rakyat yang menyuluh katak itu.

Tepat pukul 11 tengah hari, barulah sebahagian besar askar musuh yang barisannya rapat-rapat  masuk ke dalam garisan hendapan kita. Kebetulan pula di waktu itu musuh berhenti tak bergerak dengan senapang siap sedia memerhati ke atas kiri kanan tebing sungai kerana pengakap depannya member isyarat. Kawan-kawan kita yang jarinya sudah di pemetik senapang menunggu isyarat tembak dari saya kerana musuh di tepi sungai itu jaraknya 5-10 meter saja dengan kawan-kawan yang di atas tebing sungai, sedangkan mata dan muncung carbine saya mencari-cari mana satu pengarah atau pegawai tinggi sebagai sasaran isyarat tembakan. Malangnya, tembakan isyarat peluru yang pertama tak meletup, terpaksa memasukkan peluru sekali lagi melepaskan tembakan yang diikuti bedilan kawan-kawan yang bergemuruh. Rangkaian tembakan yang pertama, nampak jelas 8 orang askar musuh yang berjalan di depan mati tersungkur. Satu regu kawan-kawan sangat gembira , siap sedia menunggu perintah menyerbu kerana di depan matanya nampak bergelimpangan 8 pucuk senjata automatik. Pertempuran itu sangat hebat, walaupun bahagian tengah musuh banyak  mati dan luka-luka bergelimpangan di celah-celah batu dalam sungai, tapi musuh yang dapat berlindung di sebalik batu besar terus menembak ke bahagian depan arah askar-askarnya yang mati itu. Manakala askar-askar musuh di belakang yang tak masuk ke dalam lingkungan serangan hendap kita dengan berselindung di sebalik batu dalam sungai juga terus menembak ke alur sungai yang tempat itu agak lurus. Akibat tembakan itu, kita tak dapat turun menyerbu dan merampas senapang musuh, manakala di tempat kedudukan saya (pengarah) yang diapit kiri dan kanan oleh 2 orang kawan,mereka  juga luka terkena tembakan musuh. Mat Amin terkena di punggung manakala Duwi kena di kaki, tetapi tidak parah dan masih boleh berjalan.

Dalam masa 20 minit berlangsungnya pertempuran, kapal terbang musuhpun mulailah berlegar-legar terbang rendah. Setelah hampir setengah jam bertempur dan berhasil menghajar serta mematahkan kecongkakan musuh, kami pun berundur ke tumpuan mengambil galas dan balik menuju ke perkhemahan. Tetapi dalam perjalanan itu diganggu oleh pusingan kapal terbang musuh yang terbang rendah, seolah-olah di atas kepala saja, di mana terdapat tempat yang terdedah, kami berselindung dulu untuk mengelakkan diri dari kelihatan olehnya. Jadi petang itu, tak sempatlah kami balik ke kem pasukan dan hanya bermalam di perkampungan Orang Asli.

Ketibaan kami disambut hangat oleh  orang-orang Asli dengan pekikan “Langoi menang! Orang putih kalah!

Malamnya, kami diberi jamuan dan diadakan perkumpulan bersuka ria, berjinjang, bergabak, bersiwang, menyanyi dan lain-lain hingga ke subuh. Paginya kami balik ke perkhemahan dan disambut hangat oleh pimpinan dan kawan-kawan. Manakala pihak musuh pula, pada hari itu bersamaan 29 Januari 1954, satu hari penuh kapal terbangnya berulang alik memunggah askar-askar yang mati dan luka-luka ke Tapah, Perak. Pada 30 Januari, kempen kepung basminya yang berlangsung selama 3 bulan itu ditamatkan dan semua askarnya ditarik keluar. Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 pula, pada 1 Februari 1954 dengan gembiranya menghayun langkah meneruskan perjalanan jauhnya menuju utara.

(dipetik dari tulisan Abu Samah Mohd Kassim: SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN, terbitan Nan Dao Published, Hongkong, 1996)
---
Keterangan:

1.       Pasukan Hang Jebat didirikan oleh Markas Besar Rejimen Ke-10 pada tahun 1953, beranggotakan kira-kira 40 orang dipimpin oleh Abdullah C.D. untuk melakukan perjalanan jauh ke kawasan sempadan

2.       Kempen Kepung basmi di Sungai Sekam adalah salah satu kempen serangan untuk menghapuskan Rejimen Ke-10 dan menghadang kemaraannya ke utara.




lihat juga:

Categories

Pengikut