SAMBUTAN 21 TAHUN PERDAMAIAN (1)

2 Disember adalah satu tarikh bersejarah bagi bekas perajurit Rejimen Ke-10 dan juga terbentuknya Kampung Peramaian Sukhirin atau secara rasminya disebut Ban Chulabhorn Patana 12. Mereka tidak merayakan tarikh tersebut tepat pada waktunya kerana sebahagian anak-anak mereka sedang bersekolah di luar kampung. Untuk memberi peluang kepada anak-anak generasi baru  mengikuti sendiri tarikh penting ini, perayaan tersebut telah ditunda sehingga 1 Januari 2011 bersamaan dengan masa cuti sekolah. Oleh itu perayaan menyambut 21 tahun perdamaian dan tahun baru 2011 disambut serentak.

Bagi warga Kampung Perdamaian Sukhirin, 2 Disember adalah hari kemenangan - kemenangan polisi ketiga-tiga pihak dan kemenangan rakyat. Jika ditilik dari segi sejarah, tarikh tersebut juga merupakan kemenangan polisi PKM dan TRM.

55 tahun yang lalu, tepatnya pada tahun 1955, Chen Ping atas nama Setiausaha Agung PKM telah menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman untuk mengadakan rundingan damai bagi menamatkan peperangan, dan berlakulah perundingan Baling. Perundingan itu gagal mencapai matlamat memberhentikan persengketaan bersenjata kerana Tunku Abdul Rahman berkeras mahu mengenakan syarat yang tidak adil ke atas PKM iaitu menyerah diri. Justeru itu, perang berlangsung walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Sungguhpun perang tak dapat ditamatkan di meja perundingan Baling, tapi polisi pihak PKM tetap tidak berubah. Pintu perundingan untuk menamatkan perang dengan Kerajaan Kuala Lumpur dibuka selebar-lebarnya.

Sehingga tahun 1988, pintu rundingan damai mulai terbuka dan  berlakulah rundingan permulaan antara Tun Ghafar Baba bagi pihak Kerajaan Kuala Lumpur dengan Abdullah C.D. atas nama Rejimen Ke-10. Perundingan itu akhirnya telah membawa kepada perundingan tingkat tinggi yang disertai 3 pihak - Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan PKM. Pada 2 Disember 2 persetujuan antara Kerajaan Malaysia - PKM dan antara Kerajaan Diraja Thailand- PKM telah ditandatangani. Inilah kemenangan penting polisi perdamaian PKM yang pernah diajukan 55 tahun dahulu. Kampung Perdamaian Sukhirin yang wujud pada hari ini justeru adalah hasil dari kemenangan tersebut.

Categories

Pengikut