KAWAN

Pemilik itu mengila lagi. Kali ini kami dipaksa belajar sejarah, mengenal asal usul kami dari keturunan hamba yang tiada bermaruah katanya menjejak kaki, menumpang teduh ditanah miliknya.Hamba yang tak berhak hidup di bumi bertuah ini jika tanpa belas sang pemilik. Hamba yang tiada maruah, cuma ada celaan yang celaka dipikul diatas pundak. Hamba yang hanya layak bertuankan sang pemilik angkuh, peneroka awal tanah ini, di angkat maruah di sanjung daulat.

Sejarah silam itu tidak perlu diajar, tetap kami mengerti. Tetap kami taruh kukuh dalam peti kayu bawaan dari tempat asal kami. Peti penuh adat, peti penuh falsafah, peti penuh maruah milik kami. Tidak perlu kami diajar untuk melihat sejarah dari sudut mereka. Sejarah dulu telah lepas pergi, barang yang lepas, tak guna dikenang lagi, biarlah dia hanyut dalam sungai waktu di senjakala. Maruah kami tidak pernah hilang, andai nyawa jadi taruhan, maruah kami tetap kukuh, sebab kami tidak pernah wujud tanpa maruah, tiada maruah, tiadalah kami, yang hanya kekal ialah jasab, sebelum dikandung tanah dimamah tanah-tanah lumpur kotor di ladang sang pemilik.


Sejarah yang di lempar, penuh lompong dan lohong, tidak pernah sempurna bagai menyusuk sesuatu, agar sejarah itu mengikut mereka, condong ke arah yang telah ditarah. Agaknya sang pemilik terlupa, kami masih lagi punya akal untuk berfikir, menafsir sejarah silam mengikut kami, agar dapat dilapah dilihat kebenaran. Perjuangan menuntut ladang itu, menuntut bumi bertuah ini, bumi subur bijih ini, tiada akan berjaya tanpa sokongan dan dokongan dari mereka yang sekarang berada di sebalik bayang hitam. Bayang itu barangkali boleh berganjak, tapi semangat dan perjuangan mereka yang telah dihitamkan itu akan tetap kukuh bersemadi bersama merahnya darah mereka mengalir diserap tanah bumi bertuah ini.

Kawan,
Itulah nama yang dipanggil, dulu kami cukup meluat, benci akan keangkuhan mu, kerana kami telah diajar, telah dihasut, telah ditarbiah sejak dari mengenal dunia mengenai sisi hitam ini. Tidak pernah kami terfikir, yang kami semua telah dihijabkan dari melihat sebuah perjuangan yang suci. Bak kata si tongkat, biar merah air sungai pahang, darah bersemadi itu tetap kukuh menongkah arus, demi sebuah kemerdekaan.

Kawan,
Kini kami tersedar, hijab telah ditarik pergi, kami akhirnya dapat berbangga, kami merasa megah bila bercerita mengenai kehebatan mu. Kami sedar, demi sebuah kemerdekaan, demi satu maruah, kawan telah mengorbankan segalanya, cuma kawan masih lagi mengendong peti kayu penyimpan maruah itu.

Sejarah tiada siapa yang dapat membuktikan kebenarannya, kerana ia telah tertafsir mengikut persepsi pengalam sejarah itu sendiri. Tapi yang pasti, intan di dalam lumpur itu, akhirnya akan berkilau, walau selama mana ia telah terbenam.

Kawan, terima kasih untuk sebuah perjuangan yang penuh bermaruah…

dipetik dari: http://otakosong.wordpress.com

Categories

Pengikut