KAWAN ATAN KARIM BERKORBAN DI TIANG GANTUNG DEMI KEMERDEKAAN

Kawan Atan Karim adalah seorang Ketua Platun Tentera Pembebasan Nasional Malaya, berasal dari Johor, rakan seperjuangan Mat Indra.

Pada tahun 1949, beliau ditugaskan memimpin satu seksyen regu penyusun massa bergerak di kawasan sekitar Batu 6, Jalan Air Hitam – Muar. Massa rakyat disepanjang kira-kira 30 batu kiri kanan jalan tersebut dengan hangat menyokong pasukan bersenjata.

Kerana perkembangan pesat gerakan pasukan bersenjata Melayu tersebut, penjajah British telah menyeludupkan ramai hantu ke kalangan massa untuk mendapatkan maklumat. Pada suatu hari tempat kediaman mereka telah diketahui oleh penjajah. Ia mengerahkan 25 buah kereta tentera yang penuh dengan askar untuk mengepung unit penyusun massa tersebut.


Unit penyusun massa itu hanya berjumlah 15 orang saja sedangkan musuh berlipat kaliganda daripada mereka. Di bawah keadaan yang genting seperti telur di hujung tanduk ini, Atan Karim dengan tabah mengarahkan kawan-kawan bertempur, mempertahankan posisi, mencari peluang baik untuk berundur.

Pertempuran memakan masa satu hari satu malam. Kawan-kawan melakukan pertempuran dengan semangat kepahlawanan yang luar biasa. Beberapa kawan telah kehabisan peluru. Atan Karim sendiri yang memakai tomygun memiliki 250 biji peluru, 245 biji telah ditembakan. Sementara itu 5 orang kawan telah gugur dengan gagah perwira dalam pertempuran tersebut. Musuh beberapa kali melakukan penyerbuan, tetapi semuanya dipukul mundur, 60 orang askar upahan penjajah telah terbunuh. Musuh menggunakan 2 buah ambulan besar untuk mengangkut askar-askarnnya yang mati atau cedera.

Menjelang subuh, satu jurusan kepungan musuh telah dapat diterobosi, seorang demi seorang kawan melapaskan diri dari kepungan musuh. Demi melindungi kawan-kawan, Atan Karim berundur paling akhir. Malangnya kerana hari masih gelap, beliau terjatuh ke dalam lubang lombong. Kerana tangannya telah tercedera, beliau tak dapat naik ke atas. Musuh menyerbu ke situ. Dengan sisa peluru yang masih tinggal 5 biji itulah dia mempertahankan pertempuran. Apabila musuh cuba menjengokkan kepalanya ke lubang, beliau segera melepakan tembakan. Beberapa orang lagi askar upahan penjajah terbunuh atau cedera dalam pertempuran tahap terakhir ini. Kerana kehabisan peluru, Kawan Atan Karim akhirnya tertangkap.

Penjajah menggunakan bermacam-macam cara mahu menundukkan beliau, baik cara keras mahupun lembut. Tetapi segala siksaan dan tipu muslihat tidak dapat menundukkan pahlawan kemerdekaan yang terpuji ini. Kerana habis ikhtiar, penjajah British telah mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas beliau. Ketika itu beliau baru berusia 28 tahun.

Massa rakyat sangat sedih atas pengorbanan pejuang kemerdekaan Atan Karim. Mereka mengadakan kenduri arwah dan membaca Yassin selama 44 hari untuk arwah pahlawan.

Categories

Pengikut