(Kiriman dari anak muda generasi baru sempena hari kemerdekaan ke-53)
Jika kemerdekaan 31 Ogos 1957 berlatarbelakangkan Inggeris, apa pula beza sambutan kemerdekaan pada 2010. Bezanya hari ini kita tidak lagi nampak kelibat penjajah Inggeris meliar-liar di kampung atau dibandar tetapi telah ditukar dengan kelibat pemimpin-pemimpin dari parti penyamun warisan penjajah iaitu UMNO di kaca televisien, radio, surat khabar, dan lain-lain media propaganda kepunyaan mereka. Mereka mendakwa merekalah yang memerdekakan negara ini dari British. Tetapi patung di Tugu Negara menunjukkan orang-orang Inggeris yang mengibar bendera Malaysia dengan memijak jasad tentera rakyat. Persoalan timbul, mengapa muka Inggeris pucat lesi itu terpacak di tugu yang sepatutnya dimuatkan dengan gambar-gambar pahlawan-pahlawan negara yang telah gugur beratus tahun dahulu untuk kemerdekaan hari ini supaya diingati semula?
Merdeka bermaksud kita bebas dari segala bentuk cengkaman. Hari ini, kita belum tentu selamat jika melakukan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan kerajaan UMNO. Mungkin malam esok kita tidur dibilik yang berbeza dari bilik tidur di rumah kita. ISA adalah rentetan kepada Darurat 1948 yang dicetuskan oleh penjajah untuk menangkap semua pemimpin berhaluan kiri anti Inggeris dan yang cintakan keadilan dan demokrasi.
Perjuangan menentang Inggeris telah dilancarkan semenjak British menjejakkan kaki dan mencengkam hasil bumi Malaya termasuk Sabah dan Sarawak. Terlalu banyak tokoh yang melawan penjajahan Inggeris yang tidak tersebut nama mereka. Kita sering mendengar nama-nama seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Pak Sako, Dr Burhanuddin, dan lain-lain tetapi amat jarang kita mendengar nama seperti Mustapha Hussain. Mustapha Hussain adalah nasionalis Melayu. Pernah bertanding bagi jawatan Presiden UMNO melawan Tunku Abdul Rahman tetapi kalah dengan 1 undi sahaja. Beliaulah pelopor slogan "Merdeka" yang menyeru kearah kemerdekaan. Mungkinkah jika beliau menang, penjajah akan memerangi UMNO dan politik hari ini berlainan?


































