SEDIKIT PERKENALAN TENTANG DATOK BAHAMAN

(Catatan ini adalah tulisan Allahyarham Abu Samah Mohammad Kassim dan pernah dimuatkan dalam buku Sejarah Dan Perjuangan Kemerdekaan)

Nama lengkap beliau adalah Datok Bahaman bin Tok Noh, berasal dari Minangkabau, Sumatera, Indonesia.

Datok Bahaman adalah anak yang ketiga daripda 6 orang adik beradik . Yang tua bernama Tok Muda Ishak, yang kedua bernama Tok Musa Usoh, yang keempat bernama Mah, yang kelima bernama Syaayah dan yang keenam bernama Juriah.

Datok Bahaman mempunyai 13 orang anak daripada 5 orang isteri, 8 lelaki dan 5 perempuan. Antara anak lelakinya ialah Tok Muda Darus, Tok Mat Lela (yang ikut serta bersama Datok Bahaman dari mula tercetusnya perang; luka di bahagian lutut terkena tembakan askar penjajah British di Batu Hampar, sebelah hulu Mentakab, kemudian terusir ke Chiangmai, Utara Thailand dan balik ke Semantan pada tahun 1913 sebagai menunaikan amanat bapanya yang berbunyi: Apabila kon (aku) meninggal dunia, awak baliklah ke Semantan, Pahang. Datok Mat Lela meninggal dunia di Semantan sewaktu pendudukan Jepun 1944.

Anak lelakinya yang ketiga bernama Datok Muhamad yang dilantik oleh British menjadi Penghulu Semantan dalam lengkongan tahun 1920. Kemudiannya dibuang negeri ke Selangor oleh British atas kesalahan memelihara grup bersenjata seramai belasan orang yang melakukan berbagai aktiviti anti-British termasuk menyerang balai polis Mempatih dan merampas senjatanya, menampalkan surat-surat anti-British, merampas gudang garam dan dibahagi-bahagikan kepada orang ramai dan lain-lain. Rakannya yang sama-sama memelihara dan merancangkan tindakan grup bersenjata itu ialah Mohammad Kassim bin Haji Osman (ayah Abu Samah). Akhirnya pada penghujung tahun 1931, penjajah British menggunakan tali barutnya meracuni Mohammad Kassim dan meninggal dunia pada awal 1932.


Datok Bahaman – Orang Kaya Semantan – telah berjaya melambangkan Negeri Pahang menjadi sebuah negeri yang beraja, berdaulat dan berkuasa penuh. Dulu, beberapa ratus tahun lamanya, Pahang dijajah oleh beberapa kuasa seperti Majapahit dan Siam. Dari akhir kurun ke-15 Pahang diperintah oleh Raja Melaka. Dari awal hingga pertengahan kurun ke-17, Pahang menderita serangan-serangan dari Acheh, Johor, Portugis, Belanda, Riau dan Lingga. Dan setelah Wan Ahmad Berjaya memenangi perang saudara pada tahun 1863 – 1875, di mana Datok Bahaman sebagai panglimanya yang bijak, gagah berani dan mempunyai strategi, taktik dan teknik perang yang bermutu tinggi barulah ditabalkan Wan Ahmad (Bendahara Wan Ahmad) menjadi Sultan Pahang yang kekal zuriatnya bergelar Sultan hingga ke hari ini. (dulu-dulunya tak pernah ada gelaran Sultan, cuma dinamakan Bendahara sahaja).

Satu lagi sumbangan dan kejayaan besar Orang Kaya Semantan Datok Bahaman yang tercatit dalam sejarah ialah mengekalkan kedudukan Sultan Samad sebagai Sultan Negeri Selangor hingga kekal zuriatnya dari kena rampasan kuasa oleh Raja Mahadi. Dalam peperangan yang memakan masa agak lama, Datok Bahaman bersama tenteranya terus berjuang melawan kaum pemberontak hingga sampai kemenangan terwujud.

Dari beberapa fakta yang tersebut di atas itu bolehlah dikatakan bahawa Datok Bahaman adalah seorang PAHLAWAN DAN PANGLIMA PERANG BAGSA MELAYU YANG AGUNG. Perjuangan dan pengorbanannya adalah satu perkhidmatan yang besar terhadap bangsa dan tanah air serta disegani dan dihormati negeri-negeri jirannya.

Setelah perang melawan penaklukan British gagal dan Orang Kaya Semantan bersama 60 orang pengikutnya terusir dengan menaiki kapal api British dari Kota Bahru ke Teluk Siam, Bangkok, Maharaja Siam telah menghantar orang besarnya ke pelabuhan untuk menyambut Datok Bahaman lalu di bawa ke istana mengadap Baginda Seri Maharaja Siam.

Ketibaan Datok Bahaman di istana telah disambut dan dimuliakan oleh Seri Maharaja serta diberi anugerah. Antara lain titah Seri Maharaja: Tentang keselamatan Datok Bahaman dari angkara Inggeris akan dipertahankan oleh Kerajaan Beta, katanya.

Sungguhpun perang melawan campurtangan dan penaklukan imperialis British yang termasyhur dalam sejarah itu gagal, akan tetapi erti penting dan pengaruhnya sangat besar. Lembaran sejarah cemerlang yang ditulis dengan darah pahlawan itu selamanya menyemangati rakyat Pahang dan rakyat seluruh negara maju dengan gagah berani demi kemerdekaan sejati.

Kisah perang ini telah diceritakan sendiri kepada saya oleh Datok Mat Lela dan lain-lain yang pernah terlibat secara langsung dalam perang tersebut. Mengenangi dan mempelajari kisah-kisah gemilang yang mulia melawan imperialis British yang hendak menakluki Negeri Pahang yang dipimpin oleh nenek saya Datok Bahaman bin Tok Noh inilah yang telah mengilhamkan saya mewarisi tradisinya dengan menyambung cita-cita dan wawasannya bangkit berjuang melawan pendudukan imperialis British yang bercokol di negeri kita demi untuk kemerdekaan dan pembebasan bangsa, agama dan tanah air yang tercinta!

4 ulasan

Tanpa Nama mod

Tolong le jaga ejaan dlm penulisan tu..Tambahan melibatkan nama orang..

Reply

terima kasih sudi memberi teguran

Reply

saya rasa, perkataan "kon(aku)" itu mungkin sepatutnya "koi".sebab orang Temerloh (kuala semantan) menggunakan "koi" sebagai merujuk kepada aku.sekian:)

Reply
Tanpa Nama mod

saya bukan ahli sejarah, tapi terbaca dalam laman web, bahawa semua negeri dalam senanjung malaysia adalah dibawah kerajaan Siam Islam berpusat di Ayuthia sehingga tahun 1775. Kalah perang dengan Burma yang disokong British dan melantik kerajaan Thai sekarang. Minta penjelasan akan sejarah ini.

Reply

Categories

Pengikut