MENGAPA CLIFFORD MEMECAT DATOK BAHAMAN DARI JAWATANNYA

Hugh Clifford
Penjajah British telah mengambil sederaten langkah untuk menguasai Negeri Pahang. Jauh pada tahun 1880-1881, melalui Frederick Weld ia telah memainkan taktik lunaknya untuk memujuk sultan dan pembesar-pembesar Pahang. Pada tahun 1885, Gabenor Chechil Clemente Smith pula telah mengirim rombongan yang diketuai Swettentam ke Pahang. Pada tahun 1887, Frederick Weld menghantar pegawai tingginya bernama Hugh Clifford bersama-sama  Wan Mansor, adik Sultan Pahang yang lari ke Singapura. Clifford telah menjalankan dasar pecah belah, mempergunakan pertentangan di kalangan pembesar-pembesar, mencampurtangani perselisihan antara saudagar-saudagar dengan orang-orang besar di daerah-daerah serta menghantar ramai orang British dari Singapura ke Ulu Pahang. Pada bulan Julai 1887, Gabenor sendiri datang ke Pekan, menuduh Sultan melanggar perjanjian. Dengan demikian dia telah mengajukan beberapa syarat kepada Sultan antaranya mendesak Sultan meminta maaf, mengakui kekuasaan British ke atas Pahang serta menghantar Bahaman ke Singapura untuk berunding dan lain-lain.


Segala tipu helah British tersebut ditolak oleh Sultan dan pembesar-pembesar Pahang. Tapi untuk meneruskan usaha jahatnya, British telah menggunakan sesetengah kerabat diraja untuk menekan Sultan. Ia juga secara kekerasan membentuk badan pentadbirannya dan melantik orang-orang British menjadi majistrit di Pahang serta mengharamkan orang ramai membawa senjata seperti keris, lembing, pedang dan lain-lain. Ini telah menimbulkan kemarahan yang luar biasa orang-orang Pahang kerana senjata-senjata ini adalah satu-satu simbol keberanian orang Melayu turun temurun yang tak boleh dicerai tanggalkan.

Sementara itu Gabenor British di Singpura  berusaha menundukkan Datok Bahaman di meja perundingan. Ia secara licik mengemukakan konon, penjajah British ingin bersahabat dengan orang-orang Pahang, membantu memajukan Pahang dan mahu membayar elaun yang besar kepada Bahaman. Usulan gabenor itu secara tegas ditolak oleh beliau.

Datok Bahaman menyedari tentang azab sengsara yang akan menimpa rakyat dan tanah airnya jika penjajah British dibiarkan menguasai Pahang. Beliau sentiasa menasihatkan Sultan supaya jangan menerima tuntutan penjajah British itu hatta biar berperang sekalipun. Di hadapan Datok Bahaman dan Tok Gajah, Sultan dan Pembesar-pembesar Utama Negeri pernah bersumpah menyatakan sekali-kali tidak akan mengingkari janji. Dengan demikian di mata dan hati penjajah British, Bahaman adalah satu perintang terbesar yang menghalangnya menguasai Pahang. Oleh itu Bahaman perlu disingkirkan. Oleh yang demikian pada 11 Oktober tahun 1891, Majlis Mesyuarat Negeri yang dipengerusikan oleh Clifford telah memecat Datok Bahaman dari jawatannya.

Pegawai penjajah British di Temerloh telah memberitahu Bahaman tentang keputusan tersebut. Tetapi Datok Bahaman telah menulis surat menyatakan bahawa beliau tidak mengakui keputusan itu dan tidak mahu mematuhi segala undang-undang yang dibuat penjajah British  khususnya tidak membenarkan  British mengutip cukai dan hasil tanah kerana Pahang adalah negeri orang Melayu, bukan negeri orang putih, katanya. Sikap tegas Datok Bahaman telah lebih menaikkan darah penjajah British, tetapi ia telah mendapat sokongan rakyat yang luas. Walau bagaimanapun, Datok Bahaman tidak menolak cara diplomasi.

---

dipetik dari catatan  Allahyarham Abu Samah Mohd Kassim yang bertajuk PERANG MELAWAN IMPERIALIS BRITISH YANG HENDAK MENAKLUKI NEGERI PAHANG YANG DIPIMPIN DATOK BAHAMAN

---
artikel terdahulu

Categories

Pengikut